Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Melawan Arus. Show all posts
Showing posts with label Melawan Arus. Show all posts

Wednesday, February 8

Sup Habbatussauda'




“Pada Habbatussauda ada ubat bagi segala jenis penyakit kecuali Al-Sam, yaitu maut”
. ~ Bukhari (10:118-119); Muslim(7:25); Ibnu Majah (2:342) ~

Kelmarin seorang teman menghadiahkan sebotol biji habbatussauda' yang belum diproses. Kata teman saya:
" Ambil sesudu.. tambahkan enam gelas air.. tambahkan dengan madu.. rebus.. tapis dan minum airnya setiap hari untuk kesihatan".

Semalam saya merebusnya dengan air tanpa madu. Rasanya tetap menyegarkan dan sedikit berangin.

Pagi ini, saya tetap merebusnya. Cuma kali ini bijian hitam ini dimasukkan ke dalam kuah sup yang sedang menggelegak untuk menambah nilai pemakanannya. Dan jadilah ia... sup habbatussauda'.


Saturday, April 9

Melayu Malas?




Dalam satu wawancara di radio IKIM, terlontar pandangan daripada tetamu undangan bahawa orang Melayu itu sifatnya malas. Penyataan tersebut disokong pula dengan penuh bersemangat oleh seorang pemanggil yang juga berbangsa Melayu dan beragama Islam.


Benarkah Melayu memang malas? Label ini muncul sejak lama dulu dan masih berlegar-legar menghambat masyarakat Melayu hingga kini.


Entahlah, sedari kecil hingga dewasa, kehidupan saya sentiasa dikelilingi oleh bangsa Melayu yang rajin dan berbudi. Sukar hendak mencari orang Melayu yang malas dalam ertikata yang sebenarnya.


Di kampung contohnya, dari sekitar 2000 penduduk, hanya ada beberapa orang sahaja orang yang boleh dikategorikan sebagai malas. Itupun mereka sangat berdikari dan akan bekerja mengambil upah apabila kehabisan duit. Cuma ada seorang yang suka meminta-minta dan itupun kerana ia kurang siuman.


Di sekolah rendah rakan-rakan saya sangat rajin. Secara purata berbasikal 12 kilometer sehari untuk ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Begitu juga di sekolah menengah, mereka begitu rajin belajar dan melibatkan diri dalam kegiatan ko-kurukulum. Di kampus begitu juga, malah ada yang mengalami tekanan mental akibat terlalu fokus kepada pelajaran. Para pensyarah saya apatahlagi. Mereka juga sangat rajin dan boleh dikatakan bekerja selama 24 jam sehari (mujur sehari cuma ada 24 jam sahaja).


Masuk ke alam pekerjaan, juga sukar untuk saya mencari rakan sekerja yang benar-benar malas. Dari seawal jam 6.30 pagi mereka sudah ada di pejabat sehinggalah lewat malam. Begitu juga pada hujung minggu dan cuti umum. Tempat kerja saya sentiasa diisi oleh rakan sekerja yang begitu rajin sekali. Bahkan para pelajar saya yang kebanyakannya berbangsa Melayu juga sangat rajin dan komited dengan tugas mereka. Dan, sepanjang saya mengajar hanya seorang pelajar yang boleh dikategorikan sebagai malas sehingga terpaksa diberi notis gagal dan diberhentikan. Dan, pelajar itu bukan berbangsa Melayu, juga tidak ber bin dan berbinti.


Justeru, maaflah ya.. berasaskan pengalaman peribadi, sehingga kini saya percaya bangsa Melayu adalah bangsa yang rajin dan berbudi. Jika ada pun yang malas, ia cuma segelintir. Maka adilkah, kerana seekor kerbau membawa lumpur, segala kerbau yang ada turut dipalit jua?

Monday, March 28

Kata Perut..


Lapar itu nikmat

kerananya serasa lazat

meski yang terhidang

cuma semata

nasi dan garam.


Lapar itu rahmat

kerananya manusia mengerti

mahalnya nikmat kenyang

lantas memberi

pada yang kasihan.


Tuesday, March 22

Pandang ke Belakang



Kepala saudara botak di belakang? Usah risau. Kata seorang teman, itu tandanya saudara suka memikirkan tentang masa silam. Contohnya: Ahli sejarah! Apapun, jika benar sekalipun, ia sekadar satu kebetulan. Belum ada bukti saintifik yang menyokong andaian teman saya itu.


Kata orang, pandang ke depan dan jangan toleh ke belakang. Kata saya, sesekali pandang ke belakang dan ambil iktibar dari apa yang telah berlaku. Sejarah selalu berulang kerana tabiat manusia tidak berubah mengikut zaman. Banyak perkara yang boleh dipelajari dari masa lampau supaya kita dapat mendepani masa sekarang dan masa akan datang dengan bijaksana. Kisah-kisah yang terpapar dalam al-Quran sebagai contohnya, meskipun telah lama berlalu ianya tetap relevan hingga ke hari ini kerana sifat, tabiat dan kecenderungan jiwa manusia tetap sama meski zaman telah berubah. Dan kerana itu, penawar bagi jiwa manusia tetap sama walau apapun panggilannya. Begitu juga dengan rentetan sejarah negara dan dunia yang dipelajari sejak di bangku sekolah menengah, terdapat pelbagai iktibar terangkum di dalamnya. Memahami sejarah bukan sekadar memahami fakta dan angka, namun yang yang lebih penting ialah mengambil ibrah dan merangka pelan tindakan yang terbaik untuk memastikan sejarah yang pahit tidak berulang kembali pada diri, keluarga, masyarakat dan negara.


Memandang ke belakang adalah juga menginsafi segala yang telah dilalui (pagi tadi, semalam, minggu lepas, bulan lepas atau berpuluh tahun yang lalu) dan belajar dari pengalaman pribadi dalam mendepani liku-liku kehidupan. Adakalanya, kesejahteraan hidup tergugat kerana sentiasa mengulangi kesilapan yang sama. Puncanya sama seperti di atas.


Memandang ke belakang juga, bukan hanya melihat kesedihan dan tragedi yang berlaku. Memandang ke belakang juga bererti melihat semula kekuatan kejadian diri sebagai manusia-hamba Allah yang paling sempurna berbanding seluruh kejadian langit dan bumi, jua kekuatan diri sebagai sebahagian dari anggota keluarga, agama, masyarakat, bangsa dan negara yang sebenarnya masih tersisa pada diri, namun terbiar sia-sia. Justeru memandang ke belakang juga bererti mengumpulkan semula kekuatan yang ada dan bangkit semula untuk menjadi manusia yang bermaruah, terkehadapan, unggul, disegani, lagi dirahmati Ilahi.





Sunday, February 13

Berani Jaya




Bila orang lain gagal... tak semestinya kita juga akan gagal.

Rezeki, bakat dan kebolehan setiap orang berbeza.


Bila berjaya usah sombong.

Semua itu ujian, rahmat jua kurnia dari-Nya.






Friday, November 19

Kenapa ya?




Kenapa ya... meskipun dalam filem ataupun drama yang bernuansakan agama, suami isteri akan saling meninggikan suara apabila berkonflik atau bertelagah. Bukankah tanggungjawab sosial dunia hiburan dan perfileman yang paling utama adalah mendidik dan menyuburkan budaya mulia dalam masyarakat?

Thursday, July 22

Kepemimpinan & Kepengikutan




Dalam kebanyakan masa, pemimpin memimpin dan pengikut mengikut.

Namun, adakalanya, pemimpin perlu dipimpin dan pengikut.. perlu diikut.


Sunday, May 16

Kau Istimewa




Aku tak ingin kau jadi lilin

membakar diri menerangi orang lain

kerna itu bukan satu kebijaksanaan

itu jua bukan satu keadilan


Aku tak ingin kau sengsara

menyumbang bakti dalam paksa

menabur ilmu berteman air mata

membelenggu diri merantai jiwa


Aku ingin kau bahagia

dalam perjuangan mendidik anak bangsa

ketenangan kami adalah kesentosaanmu

kesenangan kami adalah kenikmatanmu

kejayaan kami adalah kemuliaanmu


Aku ingin kau jadi misykat

kemilau sinarmu menerangi maya dalam redha

hati sucimu memancarkan cahaya pesona

tutur ikhlasmu bergelombang mengubah dunia

penamu tajam mengukir bahagia

dan aku jua ingin dirimu tenang di sisi Yang Esa

kerna kau sesungguhnya - istimewa!


Jamiah Manap

Sungai Nibung

28 Ogos 2005



* Puisi lingkungan dekat ini saya deklamasikan buat pertama kalinya di Tanjung Rhu, Sepang pada tahun 2006 atas permintaan teman-teman. Buat guru-guru yang dihormati lagi dikasihi... Selamat Hari Guru. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa melimpahi perjalanan hidupmu.


* Misykat - sila rujuk Surah An-Nur ayat 35.





Saturday, May 15

i


Kelas tamat. Tugasan kuliah bertukar tangan. Prof. Belimbing meneliti dengan pantas. Dahinya berkerut memandang Ceri yang berdiri lurus di sudut meja.


"Ceri.. kenapa i huruf kecil?. Ini kata nama khas". Tugasan kuliah Palestina di Ambang Merdeka itu membawa 20% daripada markah keseluruhan.


"Sebab.. saya tak mengiktiraf negara 'israel' Prof.". Ceri menjawab dalam senyuman. Prof. Belimbing tertawa.. tak terkata.


Saturday, January 30

Zarah Perubahan



Masa terus berjalan. Persekitaran sentiasa berubah. Kita mungkin berada di tempat yang sama, namun bukan di bawah awan sama dan di atas butiran tanah yang sama. Molekul-molekul kecil di persekitaran kita sentiasa berubah silih berganti. Ketika kita sedang asyik dengan tugas kita, entah apa yang berlaku kepada setiap butiran tanah yang tepat berada di bawah kaki sehingga ke teras bumi. Dan entah apa pula yang berlaku kepada setiap inci ruang yang tepat berada di atas kepala hingga ke lapisan langit yang ketujuh. Begitu juga dengan setiap unit nucleus di dalam setiap sel tubuh yang bertrilion jumlahnya. Setiap hari, trillion sel baru terbentuk dan disingkirkan. Setiap hari jantung mengepam trillion molekul darah yang berbeza. Begitu juga dengan paru-paru dan organ-organ tubuh yang lain. Perubahan berlaku terlalu pantas dan sering kali kita tidak menyedarinya kerana semua tugas itu disempurnakan tanpa memerlukan sebarang pemantauan atau arahan langsung dari manusia.

Ya, ia mungkin antara perkara yang terlalu remeh untuk difikirkan. Namun, izinkan saya meletakkan keremehan itu sebagai satu peringatan. Peringatan bahawa perubahan sentiasa berlaku dengan sangat pantas. Persoalannya, adakah kita sentiasa peka, sedia dan upaya untuk mengurus segala perubahan yang berlaku - dari sekecil-kecil perubahan hingga ke sebesar-besar perubahan?


Monday, January 25

Empat Perkara yang Tak Perlu Di Buru




Percaya atau tidak..adakalanya untuk mendapatkan sesuatu, langkah yang terbaik adalah jangan memburunya. Sebaliknya, tumpukan pada perkara yang lebih penting. Memperindahkan hubungan dengan Allah dan sesama manusia: menyempurnakan segala amanah, sentiasa optimis, profesional, berjiwa besar, seimbang, mengamalkan gaya hidup terpuji, sentiasa maju kehadapan, sentiasa memantapkan ilmu di dada, sentiasa memperteguh benteng iman dan taqwa, menghindari perkara yang sia-sia, bijaksana dalam berfikir dan bertindak, menyucikan jiwa dan raga, indah dan berhemah dalam bertingkah dan berbicara, sentiasa ikhlas (melakukan dan meninggalkan sesuatu semata-mata kerana Allah), kaizen... melakukan yang terbaik dalam apa jua, sentiasa peka dan berwaspada, berlapang dada, jua redha dengan setiap ketentuan-Nya.


Sesuatu itu adalah populariti, kuasa, harta dan... cinta manusia.


Kenapa dan mengapa?


Jawapannya mungkin sedang berlegar di benak saudara yang bijaksana. :)

Friday, December 18

Salam Maal Hijrah




Masa berlari. Meninggalkan manusia tanpa peduli. Kehidupan terus berubah. Zaman berganti zaman. Terasa bagai baru semalam baginda Rasulullah SAW berhijrah meninggalkan Kota Mekah yang dicintainya ke Yathrib. Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, mengadakan perjanjian Hudaibiah dan mentadbir bumi Madinah al- Munawarah bertunjang wahyu dan bersenjatakan kebijaksanaan baginda dan para sahabatnya yang mulia.


Ya, masa terus berputar... 7 kurun zaman keemasan Islam telah berlalu. 7 kurun zaman kejatuhan Islam juga sudah berlalu. Kini 7 kurun yang ketiga mula bertapak kembali. Kurun yang digeruni oleh para musuh Islam yang sombong dan penuh kedengkian. Kurun kebangkitan semula umat Islam yang bakal menyaksikan kejutan demi kejutan.


Zaman ini zaman kebangkitan Islam. Siapa yang meninggalkannya pasti akan ketinggalan zaman. Terumbang-ambing dan terkapai-kapai kelemasan dipukul arus deras kehidupan. Siapa yang meninggikan syiarnya pasti akan ditinggikan. Siapa yang merendahkan syiarnya.. pasti akan jatuh bak kaca berderai.. terhempas ke batu lalu dihinakan. Sejarah dan kajian ilmiah terkini telah membuktikannya. Dan..hanya orang-orang yang bijaksana yang dapat mengambil iktibar dan pengajaran.


Kurun ini cabarannya jauh berbeza dengan kurun sebelumnya. Teknologi berkembang sepantas daya taakulan manusia. Dunia seakan terlalu kecil. Kutub Utara dan Selatan bagai dua kediaman yang berjiran. Maklumat tersebar lebih pantas dari roket yang menerjah ke angkasa raya. Pertembungan budaya berlaku di alam maya dan realiti. Nilai-nilai baik dan buruk bersimpang siur lagi mengelirukan bagai hujan peluru dan jet pejuang yang melatari bumi Palestina, Iraq dan Pakistan. Fitnah berleluasa... kawan dan lawan terkadang terlalu sukar untuk dibeza... hingga bukan sedikit yang terpedaya. Bumi juga seakan terlalu uzur.. menghantar isyarat demi isyarat untuk bersara buat selamanya yang terkadang menelan ratusan ribu korban dalam sekelip mata.


Maka benarlah pesan al-Hakim Yang Maha Sempurna: Demi masa! Manusia itu sentiasa di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan yang berpesan-pesan pada kebenaran. Dan yang berpesan-pesan pada kesabaran.


Moga tahun baru hijrah ini membawa seribu makna buat kita semua. Masa yang ada sudah terlalu singkat untuk dibiarkan percuma tanpa perancanagn yang bijak dan perlaksanaan amal soleh yang efisyen. Sikap individualistik, ego yang terlampau, ilmu yang cetek, tadbir urus yang lemah, pemikiran yang sempit, personaliti yang lemah, jiwa yang kotor, akhlak yang buruk dan sifat taksub yang berlebihan sudah tidak lagi relevan dalam era ini. Untuk berjaya dalam era ini, manusia perlu terbangun secara holistik dan seimbang agar tidak berlaku ketempangan di mana-mana. Dan.. untuk itu, kita harus sentiasa bersedia untuk berubah dan bersegera melakukan penambahbaikan... sepenuh jiwa dan raga.. dan tentunya - dengan penuh kebijaksanaan!



Salam Maal Hijrah... semoga hari ini sentiasa lebih baik dari semalam.



Tuesday, October 13

Bisikan Syurga



Mengapa kita selalu mengatakan... " lindungi kami dari bisikan syaitan..." ?

Jawabnya.... kerana bisikan selalu saja lebih mengesankan berbanding kata-kata yang keras dan tajam. Maka, apakata kita gunakan strategi yang sama untuk membawa diri sendiri... dan manusia lainnya pada jalan kebaikan? Ya.. bisikkan kepada diri dan manusia lainnya dengan bahasa yang lembut lagi indah agar menuju syurga-Nya.

Ok ke? :)

Tuesday, September 8

Tangisan Palestina



Palestina.... usah menangis lagi. Saat kemenangan sudah terlalu hampir.

Thursday, August 20

Main Buai

Hidup ibarat buai... terkadang di atas.. terkadang di bawah... dan selalunya di tengah


Terkadang ada sebab-akibat ... dirancang atau kebetulan
terkadang terlalu mencabar.. mengundang maut



terkadang terlalu santai... damai

terkadang terlalu asyik... tak sedar masa berlarian


terkadang kawan jadi lawan.. terkadang lawan jadi kawan

terkadang sendirian... mendepani realiti kehidupan


terkadang ada yang membantu... persis Kluang Man




terkadang bersama teman... merungkai simpul-simpulan


Terkadang bersama keluarga... mengakrabkan ikatan

Apapun, nikmati hidup ini
bagai si kecil bermain buai... riang tanpa gentar :)




Wednesday, June 17

Wajah Baru Pembangkang I




Ketika di kampus, tanpa senghaja, sedikit kontroversi tercetus setelah saya melepaskan artikel bertajuk Kepentingan Pembangkang dalam Kerajaan untuk diterbitkan dalam majalah kolej. Maklum saja, sayap-sayap muda parti politik sentiasa peka dengan apa yang berlaku.


Bagi saya, tiada apa yang perlu dirisaukan berhubung artikel tersebut. Ia sekadar menjelaskan mengapa kita memerlukan pembangkang dalam satu-satu organisasi sebagai pemantau kualiti 'barangan atau perkhidmatan' yang ditawarkan.


Pada saya, berada dalam saf pembangkang adalah tugas yang mulia seandainya melunaskan amanah dengan cara yang bijaksana lagi berhemah. Bagaimanapun, kedudukan pembangkang selalu dipandang serong dan negatif kerana sering bertindak seperti orang yang kalah.


Dalam situasi semasa, masyarakat memerlukan pembangkang yang berfikir, bersikap dan bertingkah seperti orang yang menang atau dalam kata lain, pembangkang yang berjiwa besar.


Tuesday, June 2

Warna-warni Hidangan Akademia


Diam tak diam, semester ketiga sudah mencecah ke pertengahan. Untuk itu, bersama seorang teman dari Thailand, kami kembali menekuni nota-nota psikologi kanak-kanak bagi ujian pertengahan semester Khamis ini. Terima kasih kepada seorang sarjana bernama Santrock yang telah menulis buku rujukan yang terperinci, mendalam, mudah difahami dan berwarna-warni- Life Span Development edisi ke-7 dan ke-11. Terkini, edisi ke -12 sudah berada di pasaran. Saya kira, saya antara ‘peminat tegar’ buku-buku beliau sejak 'berkenalan' dengan buku ‘Adolescent Development’ pada tahun 2006. Sekarang saya sedang ternanti-nanti ketibaan buku ‘Child Development’ yang dijanjikan akan tiba dalam masa tujuh hari lagi dari Singapura (jika Malaysia menjadi hub buku-buku ilmiah, pasti urusannya lebih cepat).

Saya kira, anjakan baru dalam penerbitan karya akademik diperlukan. Entah kenapa, kebanyakan (mungkin semua) buku-buku akademik kita hanya berwarna hitam dan putih. Menghazam karya-karya akademik tidaklah sesukar yang disangka. Malah, jika kena caranya, ianya lebih ‘santai’ dan menghiburkan berbanding karya popular. Semalam saya sempat berkongsi dengan anak-anak saudara saya yang masih berusia lima (Nazira & Nazura) dan tujuh tahun (Syuhada). Ternyata mereka sangat berminat dengannya dan berupaya mencerap beberapa fakta fisiologi manusia dengan baik sambil bermain. Justeru, saya percaya, karya akademik bukan eksklusif untuk bacaan mahasiswa dan ahli akademik sahaja. Karya akademik 'enak dan berkhasiat' untuk dijadikan santapan sesiapa sahaja yang mahu belajar dan sentiasa ingin maju. Dan... chef yang hebat, bijak menggoda selera sesiapa saja untuk menikmatinya :)


Friday, May 15

Kasih Sayang dalam Dunia Binatang



Binatang! Ia sering dikaitkan dengan tingkah-laku yang buas dan tidak berperikemanusiaan. Bagi saya, seperti juga dalam dunia manusia... tak semua haiwan begitu. Jika anda suka memelihara binatang atau selalu menonton rancangan The Planet Animal, anda akan dapat menyaksikan sifat-sifat baik dalam koloni haiwan. Perhatikan si ibu ayam. Ia lazimnya hanya akan makan setelah kesemua anak-anaknya makan. Tugas menjaga kebajikan anak-anak juga turut dipikul oleh haiwan jantan. Keluarga saya juga pernah memelihara kucing dari pelbagi generasi. Apabila ibu kucing mati, tugas menjaga anak kucing lazimnya akan diambil alih oleh abangnya yang telah membesar. Begitu juga ayam, saya selalu melihat ayam jantan memelihara anak-anak ayam yang masih kecil setelah ditinggalkan ibu ayam yang mati atau mengeramkan telur-telur baru. Ayam Turki jantan pula lazimnya bertindak sebagai pendamai. Apabila ada spesies ayam lain bertelagah, ia akan mengembangkan bulu dan ekornya, mengibas-ngibaskan sayapnya dan mengeluarkan bunyi seakan marah sehingga pergaduhan terlerai. Haiwan juga saling bekerjasama apabila terdapat musuh di sekitar mereka. Sebagai contohnya, apabila ternampak helang berlegar-legar di angkasa, masing-masing akan mengeluarkan bunyi yang bising sebagai amaran kepada binatang-binatang yang lain agar berjaga-jaga.


Sebenarnya banyak lagi perkara yang dapat dicerakinkan dari dunia haiwan. Yang nyata dalam dunia haiwan, kasih sayang tidak mengenal batasan spesies dan jantina. Terkadang manusia jauh lebih kejam berbanding haiwan. Haiwan tidak membunuh atau menyerang tanpa sebab. Haiwan hanya bertindak ganas untuk mempertahankan diri dan meneruskan kelangsungan hidupnya. Haiwan tidak menghimpunkan dua keganasan dalam satu masa seperti membunuh dan memperkosa, membunuh dan membakar mangsa, meragut dan membunuh, apatahlagi melakukan penghapusan etnik atau pembunuhan beramai-ramai dengan senjata biologi dan bom nuklear. Haiwan tidak sekejam Amerika yang telah meledakkan Little Boy dan Fat Man di Jepun sehingga mengorbankan 220,000 manusia di Nagasaki dan Hiroshima. Haiwan tidak pernah sezalim Zionis, Serbia, Komunis dan... Isabela. Bacalah sejarah manusia dan haiwan. Sungguh, binatang tak pernah sekejam dan sejahil manusia meski tiada berakal dan hanya memiliki otak yang terkadang jauh lebih kecil berbanding matanya.




Saturday, May 2

Nikmat Sebuah Kegagalan

Anakanda...

Kegagalan bukan penghujung sebuah kehidupan. Kejayaan bukan hanya terletak pada kemilau puji. Kesungguhanmu adalah kejayaan - kejayaan menentang kemalasan, kejayaan menetapkan matlamat yang terpuji, kejayaan meneroka kekuatan diri yang selama ini tersembunyi jua kejayaan mengetahui takah dirimu saat ini.


Berbahagialah dan bersyukurlah... kerna kegagalan menjauhkan dirimu dari kesombongan, mendidikmu dengan kesabaran, mengajarmu nikmat sebuah kejayaan jua membuatmu lebih mengenal akan teman dan lawan.

Wednesday, April 15

Timur atau Barat?




Sesetengah orang berbangga punya teman ‘mat saleh’ atau ‘minah saleh’. Bagaimanapun, lain pula halnya dengan Fifi (bukan nama sebenar):


“Muka memang cantik… handsome.. kulit putih… tinggi.. tapi susah nak cari yang bersih. Kebanyakannya suka bertukar-tukar pasangan. Ngeri bila fikir balik”.


Meskipun tidak semuanya begitu, namun label tersebut seakan sudah sebati dengan masyarakat Barat. Bahkan, kalangan cendekiawan Barat sendiri melontarkan keresahan mereka terhadap isu ini. Kehamilan di luar nikah menjadi fenomena biasa dan tidak dilihat sebagai satu kesalahan. Bilangan pasangan yang bersekedudukan bertambah kepada 60% dalam masa sedekad. Dalam pada itu, semakin ramai pula yang memilih untuk hidup bersendirian ataupun menjalani kehidupan songsang bersama teman sejenis. Seorang teman yang berasal dari New Jersey pernah menyatakan:


“Barat sudah rosak dan kini masyarakat Timur mula mengikuti jejak yang rosak itu”.


Benar, situasi ini mula menular ke Malaysia dan negara-negara Timur. Di saat Barat mula memandang ke Timur untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi krisis nilai yang melingkarinya, masyarakat Timur menjadi ‘anak ketam’ yang kehilangan jati diri. Tidak semua yang berasal dari Barat bersifat negatif, bagaimanapun, perkara yang negatif itulah yang mudah menjadi ikutan kerena sesetengahnya beranggapan itulah definisi sebenar kemodenan. Dalam era globalisasi, tanpa jati diri dan daya tahan yang teguh, sebilangan kita akan mudah ‘hanyut’ tanpa mengira peringkat usia dan status. Situasi menjadi bertambah parah apabila budaya ini dihidup-suburkan dengan bantuan pasukan media elektronik dan media cetak yang tidak bertanggungjawab.


Seorang teman dari Timur Tengah memberitahu, dia memilih untuk tidak mempunyai teman lelaki kerana budaya di tempatnya beranggapan yang ia adalah tiket untuk berbuat apa saja. Di Malaysia, melihat muka depan Harian Metro, Mastika, Warta Perdana dan beberapa majalah tabloid saja sudah cukup untuk membuatkan sesetengah kita tidak jadi membelinya. Berita-berita sensasi yang dipaparkan menjadikan sesetengah media penulisan berwibawa hampir-hampir saja setara dengan majalah bertaraf picisan. Dalam pada kita cuba menidakkan situasi yang kian gawat ini, kajian-kajian akademik memperkukuhkan lagi bukti yang ada meskipun cuba dipertikai oleh sebilangan individu yang takut kedudukannya tergugat. Bilangan yang terlibat sememangnya hanya peratusan kecil dari warga Malaysia namun jika dibiarkan ianya bakal menjadi wabak yang sukar dibendung. Pastinya, kita tidak mahu warga Malaysia yang terkenal sebagai bangsa yang santun dan berbudi tingggi ini memiliki label-label yang ‘mengaibkan’.


Untuk itu, kita perlu kembali kepada agama dan budaya hidup tinggi yang telah kita warisi sejak berkurun lamanya. Dalam pada itu, semangat kekitaan atau jamaah dalam konteks yang luas perlu diterapkan. Dan, saya percaya, saat ini… kita perlu saling ‘menjaga tepi kain orang lain’ secara beradab di samping menjaga ‘tepi kain’ kita sendiri agar kita sama-sama terbangun dengan cemerlang, disegani lagi dirahmati.