Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

Friday, July 10

Kisah Cinta Halimatul Saadiah


ADALAH menjadi tradisi bagi keluarga-keluarga mulia di Mekah untuk menghantar anak mereka ke kawasan pergunungan. Ini bertujuan agar anak mereka dapat menghirup udara yang sedar dan membesar dengan sihat. Anak-anak ini akan disusui oleh wanita daripada kaum Bani Sa'ad.

Wanita-wanita yang menyusui biasanya lebih tertarik kepada anak-anak orang kaya. Mereka tidak berminat untuk menyusui anak seorang fakir mahupun yatim.

Halimah merupakan seorang wanita yang selalu menjadi ibu susuan. Pada tahun itu, keluarganya ditimpa kemiskinan. Tanah menjadi tandus dan ternakan mereka menjadi kurus kering. Akhirnya Halimah dan suaminya memutuskan untuk ke Mekah bagi mengambil seorang bayi untuk disusui. Mereka berharap upah yang diberikan akan dapat menampung keperluan hidup mereka pada waktu itu.

Unta yang dinaiki mereka itu sangat lemah. Halimah risau kalau-kalau unta itu mati sebelum sampai ke Mekah.

Anak Halimah selalu menangis kelaparan. Unta yang dibawa juga sudah tidak mengeluarkan susu kerana kekurangan zat. Halimah juga tidak mampu menyusui bayinya lagi.

Akhirnya mereka sampai di Mekah. Semua bayi yang ada sudah diambil oleh wanita-wanita yang lebih dahulu tiba di Mekah. Hanya tinggal seorang bayi lelaki bernama Muhammad. Ayahnya sudah meninggal dunia dan keluarganya miskin. Kedudukan mereka sangat mulia di antara tokoh-tokoh Quraisy, namun wanita-wanita lain enggan mengambilnya kerana dia yatim dan miskin pula.

Halimah melihat Muhammad terbaring dalam keadaan lapar di ranjangnya yang kasar. Tiba-tiba Halimah berasa kasihan terhadap Muhammad. Allah menanamkan rasa kasih dan cinta di dalam hati Halimah. Wanita itu terus jatuh sayang apabila melihat Muhammad.

Halimah pun membawa anak yatim itu pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan, Halimah membelai Muhammad dengan penuh kasih sayang. Beliau meletakkan tangan ke dada bayi itu sehingga Muhammad tertawa. Beliau mencium dahi Muhammad. Halimah berasakan seolah-olah Muhammad itu seperti anaknya sendiri.

Halimah pun menyusui Muhammad. Alangkah terperanjatnya Halimah apabila mendapati bayi itu mampu menyusu sehingga kenyang dan tertidur. Anaknya sendiri juga menyusu sehingga kenyang dan tidur. Halimah juga merasa tubuhnya lebih sihat daripada yang sebelumnya.

Tidak berapa lama selepas membawa Muhammad pulang ke perkampungannya, nasib keluarga Halimah berubah. Tanah yang tandus menjadi subur. Binatang ternakan yang kurus menjadi gemuk dan mengeluarkan banyak susu. Hidup Halimah gembira sekali.

Halimah tahu bahawa kebaikan itu telah datang bersama anak yatim yang disusuinya. Cinta Halimah kepada Muhammad semakin bertambah dari sehari ke sehari. Anak yatim itu telah diberkati oleh Yang Maha Esa.


Sumber: Bicara Agama, Utusan Malaysia


Tuesday, June 23

Sebaik-baik Qudwah



"Para remaja hari ini memerlukan contoh ikutan dalam hidup. Selain ibu bapa yang sering dijadikan sumber teladan, para remaja juga amat suka kepada personaliti yang mempunyai daya selebriti seperti artis, pelakon, ahli-ahli sukan dan juga penghibur. Tetapi fitrah remaja akhirnya memerlukan contoh atau qudwah yang lebih kekal dan mendukung nilai-nilai fitrah yang tinggi. Rasulullah SAW mewakili imej teladan yang terbaik. Baik pada zaman kanak-kanak mahupun remaja. Apabila diangkat sebagai Rasul pilihan, peribadi dan akhlaknya amat terserlah dan berjaya memikat hati-hati manusia yang ingin mencari kebenaran dan keabadian".


~Prof. Dr. Sidek Baba~


* Sidek Baba (2008). Jalur berfikir remaja Islami, Shah Alam: Dar Bariyazi.

Tuesday, June 16

Kasihnya Nabi pada Binatang




Menelusuri kehidupan Rasulullah sememangnya indah. Tiada sekalipun singgah rasa jemu meski dibaca berulang kali.


Saya temui buku Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah SAW oleh Nawawi Dasuki ketika menunggu ibu singgah di pasar Parit Sulung. Buku terbitan Wisdom Mind bersaiz A8 setebal 273 ms ini hanya berharga RM12. Penjualnya seorang remaja yang gigih berjalan ke sana ke mari mencari pelanggan. Dia bahkan memberikan saya diskaun dua ringgit menjadikan nilainya hanya RM10. Melihat kegigihannya, saya ambil dua buah, meski tahu rak buku kecil saya sudah terlalu sesak. Tambahan pula harganya agak murah berbanding isi kandungannya.


Bab ke 72 dalam buku ini mengisahkan bagaimana baginda menyantuni haiwan. Ketika Saidatina Aishah memukul unta yang sukar dikendalikan nabi menegur dengan katanya:


"Wahai Aishah, berlaku baik dan lembutlah, kerana sesuatu yang demikian akan menjadi indah. Begitu juga jika sebaliknya".


Ketika seorang sahabat mengambil telur seekor burung merpati, baginda memintanya memulangkannya kembali setelah melihat keadaan burung itu yang terganggu.


Ketika melihat seekor unta yang seakan bergenang dengan air mata, baginda mengusapnya dengan belas kasihan sehingga unta itu menjadi tenang dan berdiam diri. Nabi kemudiannya menegur pemilik unta agar takut kepada Allah kerana tidak memberinya makanan yang cukup dan mengarahkannya bekerja sahaja.


Apabila menyembelih binatang yang halal, baginda berpesan pula agar menggunakan alat pemotong yang tajam agar tidak menyakiti haiwan tersebut.


Begitulah sebahagian daripada kisah ihsannya nabi kepada haiwan yang tidak berakal yang terkadang menyusahkan namun ditangani dengan kesantunan. Sungguh, maka benarlah bahawa Rasul itu pembawa rahmat kepada sekalian alam.



Buku ini tidak menyediakan rujukan terperinci namun usaha menghimpunkan kisah-kisah tersebut secara ringkas dan mudah difahami wajar dipuji.