Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label kisah benar. Show all posts
Showing posts with label kisah benar. Show all posts

Saturday, January 30

Sara Tenang Berjilbab



Susunan ZUARIDA MOHYIN



PENTAS peragaan pakaian, gemerlapan dunia lakonan, jurulatih kesihatan serta aktivis hak asasi merupakan senario kerjaya wanita bernama Sara Bokker. Apatah lagi dia pernah tinggal di Florida dan di pantai Selatan Miami, antara lokasi paling popular untuk mencari kehidupan glamor.

Pastinyalah, kehidupan alam remaja yang dilalui Sara dahulu banyak berfokus kepada kehidupan tanpa bantasan akhlak dan agama. Lebih-lebih lagi dalam aspek penampilan seksi dan rupa paras yang cantik menjamin kelangsungan hidup di mata masyarakat dan pemantapan kerjaya masa depan.

Malah Sara adalah antara ratusan mahupun ribuan pengunjung setia pantai peranginan itu yang 'gemar mempamerkan tubuh' serta kononnya berjaya mencapai taraf hidup yang penuh bergaya dan ada kelas.

Setelah bertahun-tahun bergelumang dalam dunia yang serba-serbinya mementingkan penampilan luaran, menyebabkan Sara rasa terkongkong dalam dunia yang dipujanya selama ini.

Hakikatnya, rutin kehidupan sedemikian tidak membawa kepuasan sejati kepada Sara, terutamanya yang menyentuh aspek kerohanian.

Lantaran itu, Sara mulai mengalihkan kegiatannya dari pesta ke pesta dan alkohol kepada bermeditasi, mengikuti aktiviti sosial dan mempelajari pelbagai agama lain sebagai satu escapism.

Sehinggalah apabila dunia dikejutkan dengan serangan 11 September 2001, Islam tiba-tiba muncul terutamanya di kalangan Barat yang bukan beragama Islam.

"Itulah detik pertama saya mengenali agama Islam. Sebelum ini, gambaran saya tentang Islam ialah wanita berkelubung, agama yang menafikan serta menganiayai hak wanita, berpoligami serta Islam adalah agama yang terkenal sebagai pengganas serta cenderung kepada keganasan. Ditambah pada ketika itu saya dikira seorang aktivis hak asasi manusia.

"Perasaan ingin tahu di sebalik Islam inilah yang membawa saya kepada kitab al-Quran. Melihat pada kulit depannya sahaja saya sudah tertarik.

"Apabila membacanya pula, hati saya menjadi tersentuh kerana isinya membawa kita rapat kepada Pencipta, lebih memahami persoalan tentang kejadian alam sekitar ini dan segala aspek dalam kehidupan," kata Sara yang terkesan dengan agama yang tidak memerlukan perantara, tidak seperti agamanya sebelum ini.

Ketenangan yang diperoleh menerusi al-Quran memberikan keyakinan kepada Sara untuk menjadikan Islam agama kepercayaannya. Setahun kemudian, Sara bukan sahaja mendirikan rumah tangga dengan jejaka Muslim pilihan hati tetapi paling ketara bagi diri Sara ialah penampilan dirinya yang dikira berubah 360 darjah.

"Kalau sebelum ini saya lebih suka dan serasi dengan berseluar pendek, berbikini dan bergaya dengan pakaian Barat yang berkelas. Kini tidak lagi. Saya lebih tenang dan selesa bila mengenakan jubah dan tudung kepala sebagaimana wanita-wanita Muslim berbusana Muslimah.

"Orang yang saya temui tetap sama tetapi untuk pertama kalinya dalam hidup ini, saya benar-benar menjadi seorang wanita Muslimah. Malahan saya tidak lagi terkongkong dengan minda masyarakat moden ketika itu. Inilah kebebasan yang saya cari-cari selama ini," cerita Sara akan pengalaman pertamanya berjilbab di khalayak ramai.

Beberapa lama mengenakan jilbab, hati Sara teringin untuk mengenakan niqab (pakaian Muslimah lengkap dengan purdahnya). Pernah juga dia mengajukan keinginannya itu kepada suami. Namun balas suaminya, menutup aurat itu satu kemestian kepada wanita Islam tetapi sebaliknya bagi berpurdah.

Pun demikian, hampir setahun setengah kemudiannya, Sara akhirnya mengenakan niqab dengan alasan berasa lebih tenang dan damai serta mahu melakukan terbaik hanya untuk Allah SWT.

Sayangnya, penampilan barunya itu mendapat reaksi yang pelbagai. Antara pihak yang terang-terangan mengkritik keras adalah ahli politik, kumpulan gereja dan aktivis kebebasan dan hak asasi manusia di media massa.

Mereka mengatakan bahawa niqab adalah satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita, halangan bagi integrasi sosial dan paling memedihkan, berniqab dikatakan sebagai petanda kemunduran dan terkebelakang.

"Saya melihat kenyataan-kenyataan di atas ini sebagai kata-kata orang munafik.

"Natijahnya sekarang, berlaku banyak halangan terhadap wanita yang mengenakan hijab atau niqab untuk keluar berkerja dan mendapatkan pendidikan di sekolah dan universiti. Ia bukan hanya di bawah rejim kuku besi seperti di Tunisia, Maghribi dan Mesir tetapi juga di negara-negara demokrasi seperti Perancis, Belanda dan Eropah.

"Sehingga kini, saya tetap seorang aktivis wanita tetapi seorang aktivis wanita Muslimah, yang menyeru kepada para Muslimah untuk tetap menunaikan tanggung jawabnya dan memberikan sokongan penuh pada suami-suami mereka agar menjadi seorang Muslim yang baik. Membesar dan mendidik anak-anak mereka agar menjadi Muslim yang berkualiti sehingga mereka boleh menjadi insan berguna bagi seluruh umat manusia.

"Di samping itu, saya menyeru kaum wanita untuk berbuat baik dan menjauhi kemungkaran serta menyebarkan kebaikan dan menentang kebatilan.

"Yang pastinya, saya tidak berhenti setakat diri ini menikmati hidup yang semakin ceria, bahkan turut memperjuangkan Islam, menyedarkan wanita lain agar menutup aurat, memerangi dakyah musuh-musuh Islam dalam hal etika pakaian Islam," tegas Sara.

Tambah beliau, sebagai seorang bekas bukan Islam, dia bertekad menjelaskan kepada wanita lain akan hak-hak wanita untuk sama-sama mengetahui mengenai hijab, kebaikan-kebaikannya, kedamaian dan kebahagiaan yang dibawanya ke dalam kehidupan wanita, seperti yang telah terjadi ke atas dirinya sendiri.


Sumber: Utusan Malaysia Online


Nota: Sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa.


Tuesday, August 18

Kisah Benar: Seorang Perempuan & Seekor Lembu Tua

Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari.

Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.


Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.


Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu. Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut. Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.

Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :


" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana."




Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah.. bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu.


Imam tadi masih keberatan.Masing- masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:

" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza".


Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:


"Apa kata kita ramai-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"


Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.


Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00) !Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.


"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu. Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.


Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.


Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.

(Kisah ini telah disusun semula daripada cerita Dato' Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar yang dipaparkan di sebuah majalah Arab. Bantuan ke Palestin boleh disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Harakah di akaun BIMB: 14069010021298)

Nota: Kisah ini ambilan dari laman forum Melayu Boleh