Diam tak diam, semester ketiga sudah mencecah ke pertengahan. Untuk itu, bersama seorang teman dari Thailand, kami kembali menekuni nota-nota psikologi kanak-kanak bagi ujian pertengahan semester Khamis ini. Terima kasih kepada seorang sarjana bernama Santrock yang telah menulis buku rujukan yang terperinci, mendalam, mudah difahami dan berwarna-warni- Life Span Development edisi ke-7 dan ke-11. Terkini, edisi ke -12 sudah berada di pasaran. Saya kira, saya antara ‘peminat tegar’ buku-buku beliau sejak 'berkenalan' dengan buku ‘Adolescent Development’ pada tahun 2006. Sekarang saya sedang ternanti-nanti ketibaan buku ‘Child Development’ yang dijanjikan akan tiba dalam masa tujuh hari lagi dari Singapura (jika Malaysia menjadi hub buku-buku ilmiah, pasti urusannya lebih cepat).
Saya kira, anjakan baru dalam penerbitan karya akademik diperlukan. Entah kenapa, kebanyakan (mungkin semua) buku-buku akademik kita hanya berwarna hitam dan putih. Menghazam karya-karya akademik tidaklah sesukar yang disangka. Malah, jika kena caranya, ianya lebih ‘santai’ dan menghiburkan berbanding karya popular. Semalam saya sempat berkongsi dengan anak-anak saudara saya yang masih berusia lima (Nazira & Nazura) dan tujuh tahun (Syuhada). Ternyata mereka sangat berminat dengannya dan berupaya mencerap beberapa fakta fisiologi manusia dengan baik sambil bermain. Justeru, saya percaya, karya akademik bukan eksklusif untuk bacaan mahasiswa dan ahli akademik sahaja. Karya akademik 'enak dan berkhasiat' untuk dijadikan santapan sesiapa sahaja yang mahu belajar dan sentiasa ingin maju. Dan... chef yang hebat, bijak menggoda selera sesiapa saja untuk menikmatinya :)
No comments:
Post a Comment