Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Falsafah Pendidikan Islam. Show all posts
Showing posts with label Falsafah Pendidikan Islam. Show all posts

Wednesday, March 18

Aras Perubahan Zaman




Didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau


~Saidina Umar Al-Khattab~


Tuesday, November 4

Membangun Insan Murabbi II


Mencari Murabbi dalam era globalisasi yang mencabar ini bagai mencari nombor bertuah dalam balang kaca. Ada tapi sukar dicari. Hanya insan bertuah saja yang menemuinya. Walhal, keperluan insan Murabbi sangat kritikal dalam melahirkan generasi yang bijaksana dan trampil serba-serbi.

Murabbi bukan sekadar berpengetahuan luas malah berbudi pekerti mulia. Murabbi bukan sekadar mendidik dengan lidah dan penulisannya, bahkan setiap gerak-diamnya menjadi sumber pembelajaran yang amat berguna dan berpengaruh dalam kehidupan anak didiknya. Nabi kesayangan umat, Rasulullah SAW sebagai contohnya, semasa hayatnya, baginda bukan sahaja manusia yang paling bertaqwa dan berilmu, malahan juga memberi suri tauladan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan. Baginda tidak sekadar bercakap atau berteori, sebaliknya menunjukkan tingkah yang sentiasa berhemah dan tindakan yang tepat dalam apa-apa jua situasi yang berlaku sama ada di rumah, di masjid, di pasar, di medan perang atau di mana saja. Tingkah baginda dalam kehidupan seharian menjadi cerminan akan keindahan dan keagungan ajaran wahyu dan al-Quran yang telah bersebati dengan diri baginda.

Keindahan peribadi Rasulullah pastinya tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun. Namun, ia seharusnya memberi aspirasi yang tinggi kepada sistem pendidikan hari ini dalam menangani kemelut gejala sosial, keruntuhan akhlak, kemalasan, penyelewengan kuasa, kerosakan akidah dan pelbagai lagi penyakit masyarakat masakini.

Rasulullah adalah Murabbi pada zamannya. Begitu juga para sahabatnya. Masing-masing memiliki iman yang sangat tinggi mutunya, berpengetahuan luas dan berakhlak mulia. Ilmu menjadi budaya dan gaya hidup bernilai tinggi menjadi identiti zamannya.

Hari ini, masyarakat ketandusan Murabbi sebagai contoh tauladan yang hidup. Globalisasi dan kepesatan media massa membolehkan masyarakat mengenali aneka ragam role model dan akhirnya keliru dalam memilih idola. Hari ini pula, sebilangan masyarakat berlumba-lumba menjadi selebriti dan watak-watak tersohor dalam bidangnya tanpa terlebih dahulu menyediakan diri untuk menjadi role model apatah lagi Murabbi yang baik. Sebaliknya, kesempatan yang ada digunakan untuk mempengaruhi masyarakat memuja hedonisme , materialisme, 'mengganas' dan mewujudkan perpecahan dalam masyarakat. Situasi ini menjadi lebih gawat apabila ibu bapa, keluarga, jiran-jiran dan rakan sebaya juga tidak dapat menunjukkan contoh tauladan yang baik untuk diikuti.

Justeru, melahirkan insan Murabbi seharusnya menjadi agenda utama dalam sistem pendidikan hari ini bagi menangani pengaruh-pengaruh negatif yang berleluasa. Persoalannya, di manakah kita mahu bermula? Barisan kepimpinan tertinggi negara, golongan profesional, tokoh-tokoh prolifik, usahawan, seniman, selebriti, ibu bapa atau anak-anak yang baru saja dilahirkan ke dunia?

Monday, November 3

Budaya Ilmu: Pendidikan & Peradaban


Hari ini, institusi pendidikan bercambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Situasi yang jauh berbeza dengan zaman pra-merdeka. Sekolah tadika dan sekolah rendah boleh didapati hampir di semua kampung, estet, felda dan taman perumahan. Sekolah berasrama penuh berada di hampir setiap daerah. Kolej dan universiti wujud di setiap negeri. Peluang pembelajaran terbuka luas. Yang penting, sediakan saja yuran pengajian dan segala keperluan berkaitan pembelajaran. Justeru, timbul satu persoalan. Adakah perkembangan ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ilmu pengetahuan sebagaimana yang berlaku pada zaman awal Islam? Sejauh manakah kecintaan kepada ilmu sebati dalam hidup masyarakat? Dan, atas dasar apa: kerana Allah, prestij, ekonomi atau sekadar mengisi masa lapang?

Pendidikan dan Peradaban

Tujuan utama pendidikan adalah melahirkan manusia yang beradab. Manusia-manusia yang beradab inilah yang kemudiannya diharapkan untuk membentuk peradaban bangsanya. Namun, sejauh manakah institusi pendidikan yang ada berupaya melahirkan generasi yang benar-benar beradab dan boleh diharapkan? Ataukah institusi pendidikan kini telah bertukar menjadi kilang yang memproses manusia sebagai sumber komoditi berasaskan paten-paten tertentu bagi memenuhi keperluan pasaran? Ataukah manusia kini sudah bertukar menjadi robot yang mindanya sudah diprogramkan khusus untuk tujuan materialisme semata-mata? Jika ya, sejauh manakah robot-robot ini berupaya membina peradabannya?


Monday, September 15

Membangun Insan Murabbi I


Hari ini kita memiliki ribuan guru tadika, guru sekolah, fasilitator, tutor, pembimbing, penceramah, jurulatih, mentor, pakar motivasi, pendakwah dan ahli akademik. Mereka ini semua kita boleh golongkan sebagai guru berasaskan tugasan mereka menyampaikan ilmu. Persoalannya, berapa ramaikah dari kalangan mereka ini yang memiliki kualiti murabbi?

Murabbi adalah individu yang bukan sahaja berilmu dan bijaksana, malah bertaqwa, baik dan berbudi pekerti mulia. Justeru, murabbi mempunyai dua kriteria penting : berilmu dan berakhlak mulia. Peranan guru dalam pendidikan bukan sekadar mengajar ilmu yang bersifat teoritikal (theoritical knowledge) tetapi juga ilmu yang bersifat personal (personal knowledge). Ilmu teoritikal bersifat universal, berulang dan boleh dijelaskan sepenuhnya melalui bahasa sama ada bertulis atau pun melalui pertuturan. Ianya merangkumi mata pelajaran atau subjek yang disampaikan oleh guru sama ada ilmu wahyu, sastera, pendidikan, sains sosial mahupun sains tulen. Ilmu personal pula bersifat sebaliknya. Ianya berhubung dengan pengalaman yang spesifik, tidak berulang dan tidak dapat diajar sepenuhnya melalui penulisan dan pertuturan. Dalam ertikata mudah, ilmu teoritikal adalah subjek yang diajar oleh guru dan ilmu personal adalah gaya hidup guru yang bersebati dengan nilai-nilai mulia pada setiap waktu dan ketika.

Murabbi yang terbaik adalah Nabi Muhammad SAW. Sejarah menyaksikan, tiada suatu kitab pun yang diturunkan Allah tanpa murabbi. Dalam konteks ini, murabbi adalah para rasul yang diamanahkan Allah untuk menyampaikan wahyu_Nya kepada manusia. Sekadar perumpamaan, Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Kaya boleh sahaja menurunkan al-Quran dalam bentuk ukiran-ukiran indah pada tugu-tugu emas yang muncul tiba-tiba dari perut bumi di Kota Mekah. Ianya tentulah fenomena yang mengujakan masyarakat Arab jahiliah waktu itu. Namun, pasti ada agenda besar mengapa Allah Yang Maha Bijaksana mengutus Nabi Muhammad SAW, anak yatim piatu lagi miskin itu untuk bersusah-payah menyampaikan risalah-Nya.



uuu

*Diubahsuai dari nota kuliah Sejarah & Falsafah Pendidikan Islam Dr Yedullah Kazmi, The Notion of Murabbi: An Islamic Critique of Trends in Contemporary Education.



Sunday, August 31

Soalan



Sejak di alam persekolahan kita diajar untuk bertanya, bercerita dan berfikir berlandaskan lima persoalan asas:


APA ?

MENGAPA ?

BILA ?

SIAPA ?

BAGAIMANA ?



Natijahnya, tidak semua persoalan ini digunakan sepenuhnya. Dalam membina peradaban, persoalan tentang APA sahaja tidak mencukupi. Persoalan yang lebih penting adalah BAGAIMANA. Persoalan APA itu Islam dan apa itu kebahagiaan lebih bermanfaat apabila diikuti dengan BAGAIMANA untuk menjadi seorang muslim yang baik dan bagaimana untuk memastikan semua orang berbahagia. Persoalan APA itu peradaban lebih bermakna apabila disusuli dengan persoalan BAGAIMANA untuk membina peradaban yang unggul. Persoalan APA itu filem dan teater lebih mengujakan jika dituruti dengan persoalan BAGAIMANA menjadikan filem dan teater sebagai wahana untuk mendidik masyarakat disamping mengaut keuntungan berlipat ganda.


Persoalan APA dalam agama membawa kita menghayati prinsip dan ajaran-ajaran agama. Persoalan APA juga adalah persoalan tentang ideologi, teori, situasi semasa dan dapatan-dapatan yang sudah sedia ada. Persoalan tentang BAGAIMANA dalam agama membawa manusia menghayati dan mengamalkan agama. Persoalan BAGAIMANA juga membawa manusia berfikir, meneroka, mengkaji, mencipta dan mencari penyelesaian kepada permasalahan yang wujud dengan idea-idea, kreativiti dan inovasi baru yang lebih canggih dan berguna.


Persoalan BILA membawa manusia mengimbau sejarah dan menghargai setiap detik masa, mengurus, mentadbir dan merancang masa agar tidak menanggung kerugian. Persoalan MENGAPA membawa manusia mencari jawapan berasaskan panduan wahyu. Persoalan APA surah pertama yang diturunkan pastinya lebih menarik apabila ditambah dengan persoalan MENGAPA surah al-A'laq menjadi keutamaan. Persoalan SIAPA pula, pada akhirnya, dipenghujungnya membawa manusia pada satu titik pertemuan -



"LAILAHA ILLALLAH & INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIUN"

Manusia yang sentiasa bertafakur dan bertadabur sentiasa melontarkan persoalan tentang APA dan BAGAIMANA. Dan... manusia yang berjaya dapat menjawab persoalan APA, MENGAPA,BILA, SIAPA dan BAGAIMANA dengan tepat.



* Diubah suai berasaskan nota kuliah Sejarah & Falsafah Pendidikan Islam oleh Prof. Dr. Yedullah Kazmi.