Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Rencana. Show all posts
Showing posts with label Rencana. Show all posts

Sunday, December 27

Lara Bencana Dekad Pertama




Oleh Ku Seman Ku Hussain dalam Utusan Malaysia


Menulis kembali beberapa tragedi bencana alam yang melekat di ingatan dan meninggalkan trauma yang panjang adalah membaca kembali perihal alam. Bencana berlaku tetapi tidak berlalu begitu saja. Bencana meninggalkan pesan dan iktibar tentang kekerdilan manusia untuk mendepani fenomena alam yang penuh misteri dan sangat luar biasa.


Sesekali apabila alam berbicara, berdengus dan merajuk, sesekali juga manusia meratap tangis membilang kehilangan dan kemusnahan yang tidak mungkin dibayar waima berabad lamanya. Bencana alam tidak dapat dihalang tetapi boleh dikurangkan kemusnahan dengan kebijaksanaan akal.


Setiap abad dan dekad berlalu, pasti ada meninggalkan catatan tentang kemusnahan akibat bencana alam. Gempa bumi, taufan, banjir dan letupan gunung berapi menjadi kata kunci mengingatkan kita kepada laranya bencana kepada manusia. Sepanjang dekad pertama abad ke 21, diari kita diwarnai merah dengan kemusnahan dan kehilangan nyawa yang luar biasa angkanya.


Pada geografi yang relatif hampir dengan kita letupan gunung berapi Krakatau di Selat Sunda, Indonesia menjadi ikon bencana alam yang diingati di seluruh dunia pada abad ke 19 dulu. Letupan gunung berapi Krakatau pada 20 Mei 1883 yang berlarutan beberapa hari mengakibatkan gelombang setinggi 40 meter di lautan berhampiran.


Pada abad ke 19, Krakatau yang mencatatkan kehilangan nyawa lebih 30,000 selain harta benda adalah yang paling diingati dalam catatan bencana alam dunia. Banyak misteri Krakatau yang belum terungkai antara kepercayaan mistik dan fakta hinggalah bersambung kepada tragedi tsunami melanda Acheh pada 26 Disember 2004.


Krakatau seolah-olah menghubungkan Sunda dengan Acheh, menyambungkan abad ke 19 dengan dekad pertama abad ke 21 dengan skala kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa yang berpuluh kali ganda lebih besar. Krakatau yang belum hilang dari ingatan sekalipun gambaran dahsyat hanya kelihatan di filem, tsunami menzahirkan dahsyatnya bencana ini di depan mata.


Tsunami di Acheh terbentuk daripada kesan gegaran gempa bumi 9.1 dan 9.3 skala richter di dasar laut. Gempa dahsyat ini juga membentuk tsunami di sebelah negara lain termasuk Malaysia. Korban tsunami di Acheh saja direkodkan sebanyak 300,000 orang. Ini tidak termasuk di Sri Lanka dan beberapa negara lain yang menerima kesan yang teruk. Dicatatkan gempa bumi ini yang kedua terbesar dan kesannya yang juga sangat besar mengubah landskap sosial dan geografi khususnya di Acheh.


Kekuatan gempa bumi dan pukulan tsunami telah mengubah kedudukan Acheh di peta dunia, sementara geografi wilayah Islam yang kaya dengan hasil bumi di Indonesia itu bertukar wajah selepas gelombang "melepasi menara masjid" menyapu bersih Banda Acheh.


Bencana tsunami ini sekaligus meletakkan Acheh dalam "peta dunia" apabila saluran berita di seluruh dunia memaparkan tragedi tsunami terbesar di dunia. Sementara di Indonesia sendiri, inilah yang terbesar selepas letupan Krakatau dua abad sebelumnya.


Gambaran kemusnahan di luar igau dan khayal manusia. Walaupun tidak ada footage yang menunjukkan bagaimana ombak yang tingginya berpuluh meter itu menyerang daratan dan menyapu Banda Acheh, tetapi kesan kemusnahan boleh memberikan gambaran. Tragedi yang genap lima tahun semalam itu tidak akan terpadam dari ingatan seluruh umat manusia tentang keajaiban dan seninya Tuhan menurunkan bencana.


Tahap kemusnahan tsunami adalah yang kedua selepas tragedi banjir besar di Sungai Huang He (Yellow River) di China tahun 1887. Tragedi itu mengorbankan tidak kurang 900,000 nyawa, satu-satunya bencana alam terbesar yang dicatatkan setakat ini. Bencana banjir itu memusnahkan kawasan seluas 70,000 kilometer persegi dan sekurang-kurang dua juta kehilangan tempat tinggal.


Gempa bumi kelihatan menjadi penyebab utama bencana alam yang mengorbankan nyawa dan harta benda di seluruh dunia. Walaupun taufan dan puting beliung serta banjir menjadi penyumbang bencana alam pada dekad awal abad ini, gempa bumi kelihatan lebih banyak memusnahkan bumi.


Selepas tsunami di Acheh yang disebabkan oleh gempa bumi di dasar laut, gempa bumi di daratan juga tidak kurang hebat kuasa pemusnahnya seperti gempa bumi di Bam, Iran tahun 2003, gempa bumi di Kashmir, Pakistan tahun 2004, gempa bumi Sichuan, China pada 2008 dan yang terbaru gempa bumi di Padang, Sumatera pada tahun ini.


Trauma


Kesan kemusnahan dan trauma gempa bumi di Padang, Sumatera seperti masih terasa dengan catatan-catatan tragis bumi yang menelan manusia. Padang, yang menjadi "bunga" kepada Indonesia kerana keindahan alam berbukit dan latar padang saujana dengan sekelip mata terburai seperti medan pertempuran.


Gempa bumi yang berukuran 7.6 skala richter itu menyambung duka Indonesia yang menangisi tragedi tsunami di Acheh lima tahun lalu. Tragedi bencana di Padang juga menyaksikan kemusnahan yang tidak tertanggung mata memandang, ini ditambah pula dengan korban nyawa akibat bumi Padang seolah terbelah dua. Semua ini adalah himpunan cerita duka Indonesia pada dekad pertama abad baru.


Gempa bumi Kashmir pada 8 Oktober 2005 juga tidak kurang hebat kemusnahannya kepada Pakistan. Gempa bumi berukuran 7.6 skala richter berlaku berhampiran bandar raya Muzzaffarrabad. Bencana ini dikatakan sama ukurannya dengan gempa bumi di San Francisco pada 1906, gempa bumi Quetta pada 1935, gempa bumi Gujarat pada 2001 dan gempa bumi Sumatera pada tahun ini.


Pihak berkuasa Pakistan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai 79,000 orang yang terkorban termasuk 1,400 orang di India dan empat orang di Afghanistan.


Gempa bumi ini juga mengakibatkan 3.3 juta penduduk kehilangan tempat tinggal serta memberikan kesan secara langsung kepada lapan juta orang selain kemusnahan harta benda yang dianggarkan RM15 bilion.


Pada dekad pertama abad ini kelihatan lebih banyak diancam oleh gempa bumi yang mengakibatkan banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda. Begitu juga dengan gempa bumi di Sichuan, China pada tahun lalu yang mengakibatkan kehilangan nyawa sebanyak 69,000 orang.


Dekad pertama abad ini juga mencatatkan tentang dahsyatnya puting beliung Nargis yang melanda Myanmar pada 27 April tahun lalu. Walaupun hanya seminggu Nargis dicatatkan sebagai bencana alam paling buruk bagi Myanmar apabila mengorbankan tidak kurang 146,000 nyawa selain beribu-ribu orang hilang.


Puting beliung Nargis yang berkelajuan 165 kilometer sejam itu meninggalkan kerugian RM38 bilion kepada negara yang bergolak dan miskin itu. Kesan sosial sangat ketara selepas bencana dan kadar kemiskinan naik dengan mendadak apabila rakyat kehilangan sumber pendapatan, tempat tinggal dan diserang penyakit yang menular selepas bencana. Nargis dicatatkan sebagai puting beliung kelapan terdahsyat yang pernah melanda dunia.


Nargis juga satu fenomena alam yang bukan saja dahsyat sekaligus unik. Beberapa laporan mengatakan pihak berkuasa India telah memberi amaran lebih 48 jam kepada pihak berkuasa Myanmar tentang kehadiran puting beliung tersebut. Tetapi disebabkan krisis politik dan pergolakan dalam negara Myanmar usaha untuk memindahkan penduduk dan menyelamat menjadi begitu perlahan.


Ini ditambah pula dengan pihak berkuasa tentera Myanmar yang menolak bantuan kemanusian yang dihulurkan oleh Barat khususnya Amerika Syarikat (AS). Nargis dalam bahasa Urdu yang diambil dari bahasa Parsi bermaksud sejenis bunga kuning yang hujungnya seperti trompet meninggalkan kesan buruk berganda kepada negara Myanmar. Sudahlah diserkup krisis politik, miskin dan menjadi pilihan puting beliung untuk "menari".


Wednesday, December 16

Tajdid Iman: Agenda Jahat Bertopeng Kebebasan Bersuara




Oleh Dr Juanda Jaya


Pemimpin muslim perlu amanah, waspada dengan golongan bencikan kesatuan negara Islam


TANYA seorang sahabat Muslim kepada saya ketika berceramah di Kuching, Sarawak, tidak lama dulu. "Ustaz, adakah sebagai penjawat awam, saya berdosa kerana meluluskan pelan rumah ibadat bukan Islam?"


"Saya pula dalam dilema kerana diarahkan pihak atasan untuk meluluskan permohonan tanah bagi pembinaan kuil di kawasan tapak tanah yang cukup luas," soal seorang lagi sahabat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid di kawasan Petra Jaya. Saya katakan kepada dua sahabat ini. "Buatlah kerja kamu kerana kamu penjawat awam sebuah negara yang menjalankan polisi memberikan hak dan keadilan kepada semua rakyatnya, Muslim dan bukan Muslim. Bahkan kalau kamu menzalimi golongan zimmi (bukan Islam), dosanya adalah umpama zalim kepada sesama Muslim." Ini dijelas hadis Rasulullah yang bermaksud:


"Sesiapa yang menyakiti golongan zimmi, maka umpama menyakiti Aku (Nabi SAW)."


Inilah realiti kita di negara ini. Di antara punca dilema ini ialah sebahagian umat Islam tidak faham struktur sebuah negara Islam yang sebahagian rakyatnya adalah golongan bukan Islam yang mengikat perjanjian atau kontrak perlembagaan dengan mereka untuk sama-sama setia kepada sebuah negara. Apabila sudah berlalunya masa, sebahagian golongan bukan Islam pula lupa daratan dan buat tidak faham terhadap konteks kontrak perlembagaan tadi. Lebih parah apabila isu ini dipolitikkan ke arah merugikan semua pihak.


Islam mengajar umatnya untuk berlaku adil kepada zimmi yang mengikat perjanjian dengan mereka. Namun yang menjadi masalah ialah apabila sebahagian mukmin lebih menyayangi zimmi berbanding saudara Muslimnya yang dituduh zalim. Mereka tidak menyedari bahawa semangat kebencian keagamaan dalam diri sesetengah manusia terhadap agama lain adalah suatu hal yang tidak dapat dihapuskan dengan mudah.


Tidak dapat dinafikan akan sentiasa wujud pihak yang mahu menimbulkan huru-hara dan anarki dalam masyarakat dengan mencetuskan pelbagai isu yang boleh membakar sentimen terutama isu bangsa dan agama demi memenangkan politik mereka. Sikap mereka yang pandai bermuka-muka tetapi menyimpan agenda jahat terhadap Islam selalu ditopengkan dengan slogan kebebasan bersuara, persamaan hak dan demokrasi. Sekali lagi umat Islam keliru siapa kawan dan siapa lawan dalam membuat keputusan politik. Mereka mula menuduh sesama Muslim sebagai gagal memberi hak kepada golongan minoriti. Apakah mereka ini sudah 'buta'?


Mungkin juga benar mereka 'buta' akibat kerap menukar kaca mata dan sudut pandang hasil berpolitik yang tiada batasan. Umar bin Abdul Aziz pernah memansuhkan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pentadbiran khalifah sebelumnya mengenai kewajipan membayar jizyah bagi orang yang baru masuk Islam. Padahal dalam syariat, jizyah hanya diwajibkan kepada zimmi saja. Disebabkan jumlah mereka yang ramai masuk Islam sehingga menyusutkan pendapatan negara, maka pentadbir bertindak sewenang-wenangnya mengambil jizyah dari mualaf atas anggapan mereka sengaja masuk Islam secara beramai-ramai untuk menghindari jizyah. Umar memecat pegawai dan petugas yang zalim ini dan menggantikan mereka dengan orang yang adil dan salih (pandai mentadbir). Beliau memerintahkan hakim agar tidak seorang pun Muslim atau bukan Muslim dihukum tanpa keadilan. (Tarikh al-Tabari Jilid 5 halaman 314-315 dan Al-Kamil oleh Ibn al-Athir Jilid 4 halaman 158).


Meneladani pentadbiran Umar bin Abdul Aziz, pemimpin Islam yang mewakili apa saja bendera politik hendaklah bekerja dengan amanah dan adil, tetapi berwaspada dengan gangguan mereka yang bencikan kesatuan negara Islam. Namun hal ini tidak menyebabkan mereka menafikan hak bukan Muslim yang mengikat perjanjian dengan negara Islam untuk sama-sama menjaga keamanan dan kedamaian masyarakat seluruhnya. Tuntutan yang bersifat provokasi dan prejudis hendaklah dilayan dengan jawapan yang makruf tetapi tegas dan berwibawa supaya tidak timbul sentimen perkauman yang boleh memusnahkan semua golongan. Jika mereka mahukan penjelasan, kemukakan data dan hujah yang tepat. Jelaskan hak dan tanggungjawab semua pihak, jangan hanya buat perbandingan matematik yang kaku dan tiada perasaan.


Hakikatnya, umat Islam di Malaysia amat menghormati agama lain dan tidak wujud sebarang usaha menzalimi mereka seperti yang dialami umat Islam minoriti di negara lain. Bukankah ini bentuk bantuan yang lebih bermakna? Padahal umat Islam, contohnya di United Kingdom yang melaungkan slogan kebebasan beragama, amat sukar untuk umat Islam keluar sekejap untuk hadir solat Jumaat, solat Hari Raya sampai perlu dilakukan enam kali kerana masjid yang sempit dan tidak dibenarkan solat serentak hingga memenuhi jalan raya atas alasan mengganggu trafik. Azan hanya dalam masjid, bahkan sesetengah tempat dilarang pakai mikrofon.


Terkini, Switzerland, simbol kebebasan dan demokrasi dunia, melarang pembinaan menara masjid. Apa kaitan menara dengan keadilan dan kebebasan? Inilah slogan yang berbeza dengan amalan, tapi ramai manusia yang 'butakan' kebenaran. Apa maknanya bantuan wang jika kebebasan beragama disekat, dihalang dan diharamkan? Apakah sehingga perlu pentadbiran agama selain Islam dikuasai pemerintah dan terganggu oleh 'politiking' pentadbir? Pada masa itu nanti, akan timbul tuduhan yang baru pula.



Nota:
1. Sumber: Berita Harian
2. Adil = meletakkan sesuatu pada tempatnya
3. Perbuatan baik perlu disertai dengan kebijaksanaan agar impaknya lebih mengesankan dan tidak dimanipulasi oleh pihak yang berpentingan.


Wednesday, November 11

Membangun Tekno-Murabbi



Perspektif Ikim: Gabungan dakwah, teknologi cetus pembangunan jiwa ummah



Oleh Norkumala Awang



KEPESATAN pembangunan teknologi tidak harus dipinggirkan dalam memartabatkan dakwah agar pengajaran dan maklumatnya sampai kepada khalayak dengan cepat, tepat dan berkesan. Kombinasi kedua-dua elemen, iaitu dakwah dan teknologi mampu mencetuskan natijah untuk pembangunan jiwa ummah. Kehebatan teknologi yang wujud pada era sekarang harus dipandang sebagai satu kelebihan untuk dimanfaatkan bagi mereka yang bergelar teknodaei atau pendakwah pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Menyoroti sejarah dakwah Islam tersebar dan disampaikan kepada umat manusia, kisah Nabi Musa AS boleh dijadikan iktibar. Bagaimana Baginda dianugerahkan Allah dengan mukjizat tongkat kerana zaman itu kepakaran sihir adalah antara ciri kekuatan dan menjadi pelindung kepada kezaliman penguasa.


Hakikat inilah yang memaparkan bahawa cara dan pendekatan dakwah mesti bersesuaian dengan cabaran dan situasi semasa. Namun, kecanggihan dan kepesatan teknologi pula tidak dapat menjamin bahawa sesuatu dakwah Islam itu dapat difahami dan bertapak ke setiap jiwa manusia. Duduknya kefahaman seseorang individu terhadap sesuatu ilmu itu bukan terletak pada kehebatan teknologi, tetapi terletak kepada mutu kandungan ilmu itu. Dalam hal sebegini, adab menuntut ilmu dan penyediaan jiwa yang berada di luar kerangka teknologi itu perlu diberi penekanan. Oleh itu, teknologi sekadar membantu teknodaei untuk memudahkan kefahaman Islam itu disampaikan. Dalam sifat yang lebih global, perkembangan teknologi menjadi pemangkin dalam usaha penyebaran dakwah menerusi pelbagai media, contohnya internet, filem, iklan, animasi, radio, televisyen dan banyak lagi aplikasi terkini yang terlalu mudah untuk dicapai.



Persoalannya, bagaimana untuk menggunakan medium itu agar ia berkesan dalam penyampaian ajaran Islam dan lebih daripada apa yang sekadar dipaparkan. Sebaliknya mempunyai mesej yang sesuai dengan realiti dan kehendak sebenar masyarakat Islam. Masyarakat kita amat terpengaruh dengan apa yang ditayangkan di media massa. Justeru, ia adalah satu peluang untuk pendakwah teknologi menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing, memainkan peranan dan memikul tanggungjawab dakwah. Di sinilah pentingnya ruang dan kepakaran itu dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat agar terpaut dengan ajaran Islam yang sarat nilai murni. Apa yang perlu digarapkan adalah penghasilan drama, filem dan iklan memerlukan tenaga tunjang iaitu pengarah, penerbit dan penulis skrip yang memahami dan mementingkan aspek ajaran Islam dalam setiap produk mereka. Dari sinilah akan bermulanya pendidikan secara tidak langsung kepada masyarakat yang dahagakan alternatif lain untuk bagi mempelbagaikan tontonan mereka. Dominasi media elektronik perlu membabitkan pengamal yang berkualiti dari aspek sahsiah dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap dakwah. Dari sini, akan lahirlah produk yang sarat dengan pengetahuan dan pengajaran Islam untuk dihidangkan kepada masyarakat. Dengan kata lain, penyedia program media elektronik tidak terbelenggu dan stereo taip malah sentiasa mencipta semula program yang lebih menarik daripada yang sedia ada.



Berdakwah tidak hanya terhad dengan cara membabitkan pendengar atau penonton, tetapi di kalangan pembaca juga perlu diambilkira. Sastera mampu dijadikan alat dakwah dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat supaya cenderung dan memahami Islam sebenar. Namun, peranan yang dimainkan penulis yang perlu dibuat penambah baik agar elemen Islam dalam karya penulisan dapat digarapkan seterusnya menambat hati pembaca. Teknologi membuka ruang kepada penyebaran maklumat mengenai agama dengan lebih pantas dan berkesan. Namun, jumlah penyebaran maklumat yang banyak tidak dapat menjamin mutu kefahaman mengenai agama. Di sinilah wujud halangan sebenar dalam dakwah, iaitu berlakunya penyampaian semata-mata tanpa ada unsur pentarbiahan dan mungkin hanya bergantung kepada teknologi semata-mata.




Persoalannya, bagaimana untuk melahirkan ‘tekno-murabbi’ dalam konteks pembangunan jiwa ummah? Sebagai pengguna teknologi, kadangkala kita tiada asas untuk menilai kesahihan sesuatu maklumat ekoran daripada keterbukaan dunia kini.




Nota:

2. Asas pembinaan jati diri 'tekno-murabbi' bermula di rumah, disuburkan di sekolah dan Intitusi Pengajian Tinggi, dimantapkan dalam dunia kerjaya dan diuji secara berterusan di tengah gelanggang masyarakatnya.
3. Iltizam ummah kepada ilmu dan kebenaran membentuk peradaban sempurna.







Tuesday, October 13

Bencana Penarafan Universiti?



Oleh DZULKIFLI ABDUL RAZAK

TANGGAL 8 Oktober 2009, apabila keputusan penarafan THES-QS diumumkan, saya sedang berada di bandar Giessen, lebih kurang satu jam dari Frankfurt, untuk memenuhi undangan Persatuan Universiti-universiti Eropah (EUA) yang menjadi penaung utama semua universiti di benua tersebut.

Undangan ini sempena persidangan bertajuk "Pengantarabangsaan melewati sempadan Eropah" dan saya diminta memberi pandangan dari sudut luar Eropah sebagai seorang antara dua pengucaptama - seorang lagi adalah rakan Rektor, Berlin Free University, salah satu universiti tertua dan ternama di Jerman, malah Eropah.
i
Dewasa ini, e-mel bertalu-talu tiba mengesahkan "bencana" yang menimpa Malaysia. Jika Indonesia dengan gempa buminya, Filipina dengan banjir dan tanah runtuhnya, Samoa dengan tsunaminya dan Jepun banjirnya, bagi Malaysia pula menghadapai bencana gara-gara penarafan IPTAnya. Walaupun hanya beberapa buah IPTA sahaja yang terlibat, kesannya tidak kurang menggugat.

Media gamat dengan liputan berita tersebut. Anehnya hanya yang tersenarai sahaja yang dipertikaikan, sedangkan puluhan yang lain yang tidak langsung tersenarai (termasuk IPTS yang saban diiklan sebagai paling 'global' di akhbar-akhbar) nampaknya terselamat daripada bencana tersebut. Seolah-olah membayangkan lebih baik tidak tersenarai sama sekali daripada tersenarai.
Ini sahaja sudah cukup mengelirukan tentang apa cita rasa yang ingin diluahkan dalam hal ini? Kita belum lagi membincangkan tentang "cita rasa" penganjur THES-QS apabila beria-ia mendakwa penarafannya adalah tepat, bebas dan boleh dipercayai tanpa sebarang ragu-ragu lagi! Walaupun ada bukti sebaliknya! Apa pun kita mengangguk saja.
Sebagai perbandingan suasana di Giessen sewaktu persidangan tersebut cukup aman, biar ratusan rektor universiti Eropah dan benua lain, bersama dengan pegawai tertinggi universiti serta pelajar bersesak-sesak di dewan seminar Justus Liebig Universitat Giessen - sebuah IPTA berusia lebih 400 tahun.
Bandar Giessen merupakan bandar universiti dengan hampir 40 peratus penduduknya terdiri daripada warga universiti tersebut. Universitinya moden disulami tradisi ilmiah dan kesarjanaan yang kental.

Universiti itu juga tidak kurang mempunyai pusat kecemerlangan tersendiri di bawah Inisiatif Kecemerlangan Jerman yang dicontohi Malaysia di bawah Inisiatif APEX. Jelas, Justus Liebig Universitat cukup yakin dengan pencapaian dan jati dirinya.
Penarafan, lebih-lebih lagi oleh sebuah organisasi bertujuan komersial, tidak langsung dihiraukan. Mereka tidak juga apologetic - malah kalaupun ada pengajaran daripada aktiviti penarafan, ia dianggap tidak sesuai untuk dijadikan pengukur institusi pendidikan.

Sebaliknya sesebuah universiti itu mempunyai keperibadiannya tersendiri; wawasan serta keunikannya - selaras dengan kefahaman "pendidikan" (bukan sahaja pelajaran atau kajian) yang memegang amanah ilmu dan kesarjanaan.

Kepelbagaian adalah kekayaannya, dan lagi unik adunan kepelbagaian tersebut - lagi terbina keperibadian universiti berkenaan. Ia bukan kilang yang mengeluarkan barangan tidak bernyawa yang seragam dan diseragamkan supaya mudah dibanding-bandingkan untuk tujuan tertentu.

Ia bukannya seperti peraduan ratu cantik yang menaraf pemenangnya berpandukan formula utama 36-24-36 sebagai yang "ideal" dan semuanya dinilai mengikut sukatan ini; kemudian diberi penarafan 1, 2, 3 dan sebagainya. Wajarkah dua insan dibandingkan berdasarkan aspek luarannya sahaja dan bukan sifat keinsanannya?

Begitu juga hal dengan institusi bergelar "universiti" - lebih-lebih ukuran yang dikenakan lebih mirip kepada bahan perkilangan atau untuk peraduan ratu cantik, atau sebaliknya! Pokoknya asas dan pandangan dunia dan amanah sebuah universiti tulen tidak sama dengan pandangan dunia dan amanah sebuah organisasi bukan pendidikan. Namun inilah yang sering kali dicampuradukkan sehingga memusnahkan sama sekali maksud sesebuah universiti di mata ramai di samping mengusutkan lagi keadaan.

Yang turut mengkagumkan adalah rektor-rektor universiti Eropah yang menghadiri persidangan itu amat jelas tentang tanggungjawab mereka dalam membangunkan sebuah universiti. Autonomi berulang-ulang kali disebut untuk menyatakan kelainan sebuah universiti dengan organisasi lain, terutama yang berbentuk komersial, dan wujud untuk mengaut keuntungan.
Autonomi bagi mereka adalah benteng utama yang perlu dipertahankan dalam mengasuh dan mengangkat maruah sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi. Disini mereka tidak berkompromi sama sekali dan enggan dijadi seolah-olah kerbau dicucuk hidung, diarak-arak atau diarah-arah ke hulu dan ke hilir seadanya saja.
Saya mengandaikan yang persidangan tersebut akan gegak gempita membahaskan soal penarafan apabila dilihat dari perspektif pengantarabangsaan. Saya mengagakkan keputusan THES-QS dijadikan tanda aras mutlak, dan turut menimbulkan "bencana" di Giessen seperti mana di tanah air.

Ternyata saya tersilap sama sekali. Selama dua hari berikutnya isu penarafan tidak sekalipun disebutkan baik oleh para penceramah mahupun peserta. Apabila cuba dicukil pendapat mereka, rata-rata maklum balasnya cukup dingin - kalau dalam bahasa Inggerisnya berbunyi "what about it?" (apa halnya?).


Dan bila dikatakan keputusan THES-QS sudah diumum, kelihatan mereka amat sinis dan jelek sekali, bagaikan menegur: "Siapa mereka ini untuk menjadikan universiti kami bak kerbau cucuk hidung?"

Umum tidak kisah langsung tentang isu tersebut kerana angka-angka penarafan bagi mereka tidak membawa erti apa-apa, kalaupun konsep penarafan boleh diterima. Malah seorang ada bertanya: "Bolehkah saya menaraf lima orang anak saya secara adil dan saksama? Apa lagi berbanding dengan anak orang lain?"


Natijahnya, dalam penarafan kita mesti ikut telunjuk orang lain yang mengadun segala-galanya. Umpama ratu cantik, kita juga perlu memperagakan diri, baik berbikini sekalipun, berlenggang lengguk, tersenyum tersipu-sipu untuk menawan pengadil dengan harapan untuk menjadi ratu!

Jika tidak agak sukar membayangkan apa-apa kejayaan. Apatah lagi turut diperhatikan dalam peraduan seumpama ini calon tuan rumah sering kali akan "menang" sesuatu kalaupun tidak hadiah pertama. Hal ini juga beransur lumrah dalam aktiviti penarafan di mana unsur-unsur penajaan dan sogokan (bagi sesetengah pihak dikatakan "rasuah") sudah mula menular.

Maka pernah universiti disyor mengiklankan nama dan logonya di laman web penaja dengan bayaran sekian banyak supaya lebih "mesra pelanggan" dan "mudah diperkenalkan" dan melonjakkan kedudukan. Malangnya tidak kurang juga yang terjebak dengan "tawaran" tersebut, umpama si ratu cantik meniduri pengadil, dengan harapan agar menang jua. Tidak kiralah jika maruah turut tergadai.
Banyak lagi yang boleh dipersoalkan berkaitan aspek etika dan keutuhan (sama ada cara langsung atau tidak), sekali gus membuka tembelang usaha penarafan khususnya yang berbentuk komersial. Cukup banyak telah ditulis tentang hal ini supaya jangan terperangkap sebagai Pak Turut saja!
Maka di Giessen saya menghela nafas lega! Lebih daripada itu, saya bertambah yakin yang universiti sememang ada maruah dan nilai sendiri dalam kelangsungan menunaikan tanggungjawab serta amanah tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun, apa lagi yang berkepentingan cukup sempit dan anti cendekiawan! Ataupun mencari sanjungan pintas.


Saya juga belajar yang maruah ini ada kaitannya dengan nilai keluhuran dan kejujuran berilmu dan bersarjana, sesuatu yang tak dapat ditolak ansur dalam apa hal sekalipun; jangan sebutlah memperjudikan etika!

Akhir sekali saya sedar kita tidak perlu apologetic sekiranya jati diri ingin diperkasa. Rupa-rupanya universiti yang istimewa itu adalah universiti yang mengerti semua ini dan terus mempertahankan prinsip keilmuan biar "bencana" apa sekali yang mendatang. Bak kata orang tua-tua: Membujur lalu, melintang patah! Pantang maut, sebelum ajal.

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Ambilan dari Utusan Malaysia

Nota: Penilaian perlu mengambil kira pelbagai sudut pandangan.





Friday, November 7

Yoga bercanggah dengan Islam?


Gambar: Patung Shiva melakukan meditasi yoga dalam postur Padmasana.


Oleh ABDULFATAH HARON IBRAHIM


MATLAMAT yoga Hindu dan tarekat tasauf seakan-akan sama iaitu mahukan mystical union atau fang atau lebur diri. Latihan pernafasan ada dalam yoga juga dalam tasauf tarekat Naqsyabandiyah. Isu ini bukanlah baru.


Kedengaran banyak rungutan kebelakangan ini kerana orang ramai amat tidak senang dengan program televisyen di negara ini yang menggalakkan orang ramai bersenam cara yoga. Mereka ingin tahu tentang yoga dan Islam.


Penulis berpendapat memang ada pengaruh yoga Hindu dalam doktrin tasauf Islam. Matlamat yoga dan tasauf seakan-akan sama iaitu mahu mencapai mystical union dengan Allah atau nirwana. Ini adalah hampir menyamai fana dalam tasauf Islam.


Jika perkara ini hanya kebetulan, tasauf sudah mengadakan bidaah; jika memang hakikat ini adalah pengaruh wahat al-wujud Hindu (bermaksud Brahma atau Tuhan ialah segala-galanya). Ini bererti tarekat dan tasauf adalah Islam kehinduan.


Hakikat ini boleh disaksikan dengan jelas apabila mengkaji matlamat senaman yoga termasuk pentingnya berlatih cara pernafasan. Tarekat Naqsyabandiyah juga ada latihan pernafasan.
Penulis pernah terlihat sekumpulan pelajar duduk di tanah lapang dan bersama mereka seorang Sikh menyebut 'om' atau 'aum' jelas kedengaran beberapa kali. Selepas itu penulis lihat bagaimana mereka berlatih melakukan pelbagai gaya senaman yoga (pelbagai gaya kedudukan badan dalam mengamalkan senaman yoga).


Buku-buku yoga dalam bentuk saiz poket dengan pelbagai judul boleh didapati di kedai-kedai buku, sama ada di dalam atau di luar kampus universiti itu. Ini menunjukkan yoga mendapat perhatian masyarakat setempat.


Masyarakat Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) adalah masyarakat mengejar kebendaan yang tidak mengenal puas menjadikan rohaniah mereka kekosongan.


Semasa di Universiti Columbia, New York, penulis sempat memerhati aktiviti di sebuah gereja di pinggir kampus. Hanya beberapa orang berumur yang berulang-alik sembahyang pada hari Ahad di gereja itu. Pemuda dan pemudi tidak kelihatan. Gejala ini menunjukkan bahawa gereja tidak dapat mempengaruhi jiwa muda mereka.


Penulis juga berkesempatan memerhati dan mendengar ramai pemuda dan pemudi rancak menyeru: 'Hare Krisna Hare Rama Hare Hare' di jalan-jalan terbuka, berpakaian kuning membalut badan seperti sari Buddha dengan memalu gendang dan alat-alat muzik India yang lain.


Kumpulan ini mempunyai 26 cawangan termasuk di luar AS iaitu Hamburg, London, Paris, Toronto dan Vancouver. Itu pengalaman tahun 1970-an.


Melihat yoga dari dekat ialah mencantum dan mengaitkan roh individu dengan roh universal di mana sekali imbas pandangan itu adalah janggal, tetapi apabila kita renungi matlamat asas Kristian, kenyataan tersebut adalah munasabah.


Perbezaan asas di antara kedua-dua kenyataan ini ialah bagi Kristian, kesatuan itu selepas mati, manakala bagi yoga, dengan latihan yang gigih semasa hidup di dunia ini dapat mencapai penyatuan roh ketuhanan.


Apabila disebut yoga ialah mencantum dan mengaitkan roh individu dengan roh universal (Union of the Personal Spirit of God), ini menyerupai ajaran tasauf yang digelar ittihad dan/atau wahdat al-wujud dan atau al-fana.


Manakala apabila kita renungi matlamat asas Kristian iaitu penyatuan abadi roh dengan Tuhan bererti yoga sesuai dengan akidah Kristian.


Jika ini ada dalam Kristian maka konsep seperti itu tidak ada dalam Islam kecuali tasauf yang mereka gelar fana. Fana tidak ada dalam Quran dan sunah. Adakah kaum tasauf mencipta sendiri?


Adakah ini bererti bidaah diambil daripada Hindu? Ini dakhil al-Islam, bererti mereka menambah ajaran Islam. Memang Hindu agama wahdat al-wujud. Fakta ini pun sudah cukup bagi menunjukkan bahawa yoga itu ajaran agama Hindu yang menyalahi akidah Islam, tetapi tidak menyalahi ajaran tasauf Islam.


Di antara falsafah yoga adalah untuk mendapatkan ketenteraman jiwa dan kesihatan badan. Erti asal kata yoga ialah 'kok' atau ikat. Yoga adalah satu cara disiplin dan ikatan seseorang dengan roh alam.


Bhagavad Gita sebuah kitab suci Hindu adalah sumber utama ajaran yoga.
Dalam mencari ketenteraman jiwa di antara lain ialah menerima ajaran falsafah Hindu yang mengutuk kebendaan. Kerana inginkan kebendaan inilah yang menyebabkan manusia hidup gelisah dan kecewa. Buangkan keinginan tiadalah kecewa.


Mengamalkan


Berusahalah dengan sedaya upaya supaya keinginan itu dapat dikikiskan. Yang bersikap begini ialah falsafah Hindu ortodoks dan Theravada Buddhism. Mereka perlu mengamalkan yoga yang antara lain termasuklah sikap menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menarik berahi nafsu dengan pergi bertapa ke dalam gua-gua atau dalam rimba belantara. Kosongkan fikiran daripada sebarang keinginan.


Insan idola bagi Hindu-Buddha ialah orang yoga; orang yang berusaha membasmikan perbezaan di antara diri dan objek-objek, malah basmikan perbezaan di antara objek-objek itu sendiri.
Terdapat banyak risalah yang menerangkan bagaimanakah cara mengamal dan melakukan ansana yoga. Semua ini dengan tujuan dapat bersatu dengan roh alam.


Di antaranya sebelum melakukan ansana, yoga ini adalah dianggap penting mengetahui cara melakukannya yang betul: (a) melakukan dan menguasai cara-cara bernafas (bukan lagi seperti cara bernafas biasa sehari-hari); (b) berdoa, termasuk menyebut kalimah suci 'om' atau 'aum'; dan (c) bermeditasi. Kesemuanya ini adalah cara agama Hindu.


Cara meditasi utama ketika hendak mengamalkan yoga ialah konsentrasi pada satu titik. Ini mungkin merupakan perkara fizikal, seperti titik cahaya di dinding, memusatkan perhatian mata kepada batang hidung sendiri atau boleh jadi satu buah fikiran atau kewujudan Tuhan sendiri. Semua fikiran yang bertaburan dan perhatian yang berselerak jadi tersusun rapi ditujukan kepada maha satu.


Tujuannya ialah supaya boleh dikuasai, boleh dihapuskan atau semua fikiran yang bercelaru, sama ada datangnya dari pancaindera atau kesedaran batin diikat-sekat dengan melakukan konsentrasi. Pengamal yoga sebenar mengamalkan konsentrasi ini ke atas satu titik pada bila-bila masa, dan terhapuslah kecelaruan fikiran.


Mengamal yoga adalah keriangan sejati yang tiada taranya. Jika ada amalan pernafasan di kalangan orang Islam seperti dalam tarekat tasauf Naqshabandi, kemungkinan semuanya itu berasal dari yoga Hindu atau bidaah rekaan sendiri. Tidak boleh disebut amalan agama Islam kerana tidak ada asal dalam Quran dan sunah. (isu ini agak sensitif dan memerlukan penjelasan dan ulasan dari pengamal tarekat tasauf Naqshabandi sendiri)


Sehingga kini tiada terdengar yoga Islam tetapi ada sebuah buku bertajuk Christian Yoga ditulis oleh seorang paderi Katholik, J. M. Dechanel. Buku ini mengatakan mengamalkan yoga digalakkan sebagai jalan ke arah merealisasikan ajaran Kristian.


Yoga sebagai 'sambungan' atau 'kok' Roh Individu dengan Roh Alam, (Atma dengan Brahma) iaitu kesatuan Roh Individu dengan Tuhan. Matlamat terakhir dalam ajaran Kristian ialah bersatu roh dengan Tuhan selepas matinya jasad, tetapi bagi Hindu dalam Hindu pun sudah boleh dicapai. Mereka gelar Tuhan itu Brahma: Atma bersatu dengan Brahma.


Bezanya dengan Kristian bersatu itu selepas mati tetapi bagi Hindu tercapainya kesatuan itu semasa nyawa masih dikandung badan di dalam dunia ini lagi.


Terdapat di kalangan orang Melayu apabila mengeluarkan nafas sebut Allah dan apabila menarik nafas sebut Hu. Amalan seperti ini digelar zikir nafas. Dalam kitab Pati Rahsia ada mengandungi bab membicarakan ilmu nafas dengan panjang lebar.


Jika ada orang yang mengamalkan senaman asana-asana tanpa memikirkan falsafahnya dan kehinduannya, jika dia berjaya sampai ke peringkat dapat beribadat dengan Brahman, dan mengalami serta mendapat keriangan yang tiada taranya, dia akan menjadi seperti kebanyakan ahli tasauf mulhid atau menganut wahdat al-wujud, syariat Islam akan menjadi ejekannya.
Hakikatnya, kurang senaman adalah salah satu penyakit kemajuan dunia moden: perang merebut hasil minyak dari dalam tanah, memaksa orang menggunakan sebarang alat bermotor bagi membolehkan minyak dijual. Hidup bernadikan segala-galanya dengan kuasa minyak, terhakislah senaman badan secara natural. Lalu orang Islam ditawarkan senaman yoga.
Secara tidak langsung dan tanpa disedari, senaman yoga ini mendorong orang Islam bakal jadi murtad menganut wahdat al-wujud Hindu. Agama Kristian ada bersefahaman dengan Hindu dalam masalah amalan senaman yoga. Islam tidak.


Semasa penulis hidup di kampung, tidak ada siapa yang merungut perlukan senaman. Kerja-kerja kampung yang pelbagai itu semuanya dilakukan dengan tenaga manual dan fizikal, bukan mesin dan enjin. Rungutan kurang senaman tidak pernah terdengar semasa penulis hidup di kampung.


Semasa hidup di kampung pada zaman itu tidak ada siapa yang memiliki kenderaan empat roda tetapi ke sana sini dengan berbasikal sahaja. Didorong oleh rasa nostalgia hidup di kampung, penulis mengayuh basikal dari rumah ke tempat kerja. Hanya mengambil masa 10 minit.
Dengan cara ini, cukuplah senaman yang diperlukan oleh badan, fikir penulis. Pada mulanya ada mata terbeliak kehairanan (barangkali) melihat penulis menunggang basikal. Penulis peduli apa.
Tetapi pada akhirnya terpaksa juga mengalah kerana laluan pejalan kaki dan orang berbasikal tidak disediakan oleh pihak berkuasa. (Tiada suara yang menggalakkan rakyat berbasikal untuk senaman, ekonomi, mengurangkan sebab-sebab pencemaran udara).


Penulis berbasikal terpaksa berkongsi jalan yang sama dilalui oleh kenderaan empat roda yang memacu seperti peluru. Pernah nyaris- nyaris dilanyak oleh peluru empat roda itu.




Monday, May 5

Tasamuh



Oleh DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


Salah satu punca yang menyebabkan umat berterusan dihinggapi wabak perpecahan sehingga berterusan diperkotak-katikkan musuh ialah kerana terhakisnya nilai tasamuh dalam diri. Tasamuh ialah sikap berlapang-dada yang tercerna dalam jiwa seseorang sehingga terzahirnya sikap mudah memaafkan kesalahan orang lain bahkan bersedia menerima perbezaan pendapat dengan hati terbuka.


Sikap tasamuh merupakan cerminan keperibadian mukmin sejati yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam satu ketika. Bahkan nilai tasamuh jugalah yang telah memartabatkan umat Islam hingga dihormati kawan mahupun lawan di seantero dunia.


Malangnya sikap tasamuh semakin terhakis daripada jiwa dan peribadi umat hinggakan yang lebih terbudaya ialah sikap keras atau taksub kepada satu-satu pendirian sehingga langsung tidak memberi ruang kepada pandangan berbeza. Lebih menyedihkan apabila perbezaan pendapat seringkali ditanggapi secara negatif sehingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama Islam.


Fenomena ini kian membarah dalam masyarakat Islam ketika ini terutamanya dalam senario kerangka politik kepartian. Masih ramai yang terjerat dengan pemikiran politik partisan yang sempit dan jumud. Politik partisan yang dimaksudkan ialah politik memihak yang bukan pada prinsip kebenaran dan keadilan tetapi berasaskan sentimen assabiah melulu sehingga terhalangnya pertimbangan rasional dan objektif dalam menilai sesuatu perkara.


Keadilan


Politik partisan yang melulu ini turut meranapkan nilai keadilan kerana sesuatu pendirian yang ingin dilakukan bukanlah sangat berasaskan ‘siapa yang benar’ tetapi lebih terjurus kepada soal ‘dia orang siapa’. Akhirnya wujud kecenderungan melampau untuk mempertahankan kelompok sendiri tidak kira betul atau salah.

Gejala seperti inilah yang menghancurkan nilai-nilai tasamuh atau berlapang-dada sehingga tidak boleh lagi menerima pandangan berbeza lantaran terlalu terikat dan taksub dengan sentimen kelompok. Apa sahaja pandangan yang datang daripada kelompok sendiri dianggap benar semuanya manakala yang lahir daripada kelompok lain disanggah dan diperlekehkan.
Sebenarnya fenomena perselisihan umat yang berlaku ketika ini pernah diperdebatkan oleh para sahabat Nabi s.a.w.. Pernah satu hari, Saidina Umar r.a. bertanya kepada Ibnu Abbas r.a.: “Mengapa berselisih umat ini, sedangkan nabinya satu dan kiblatnya pun satu?" Seorang lagi sahabat bernama Said bin Mansur turut menambah: “Dan Kitabnya pun satu”.


Maka berkata Ibnu Abbas: “Ya Amirul Mukminin! Sesungguhnya telah diturunkan kepada kita al-Quran, maka kita membacanya dan mengetahuinya untuk apa ia diturunkan. Walaubagaimanapun kaum selepas kita membaca al-Quran tetapi tidak mengetahui untuk apa ia diturunkan, maka tiap-tiap kaum mempunyai pendapat sendiri; dan apabila terjadi demikian berselisihlah mereka”.


Imam As-Syatibi dalam buku karangan Abu Ubaid bertajuk Fadhail Al-Quran mengulas kenyataan Ibn Abbas tersebut. Katanya: “Apa yang dikatakan Ibn Abbas itu adalah benar, kerana apabila seseorang mengetahui untuk apa diturunkan sesuatu ayat atau surah itu, maka tentunya ia mengetahui kedudukan, takwil dan maksudnya, maka ia tidak pula melampaui batas padanya.


Tetapi bila ia jahil untuk apa sesuatu ayat atau surah itu diturunkan, maka lahirlah beberapa pendapat. Tiap-tiap orang mempunyai pendapat yang berbeza, sedangkan mereka tidak mempunyai kematangan ilmu yang dapat memimpin mereka kepada kebenaran. Akhirnya mereka sesat dan berkecenderungan menyesatkan orang lain.”


Memang tepat sekali ulasan dan analisis Imam Syatibi di atas. Kalau kita perhatikan senario umat Islam di Malaysia khususnya, terjadinya perpecahan banyak terkait kepada soal perselisihan mengenai isu-isu agama yang difahami dalam kerangka yang dangkal. Lebih malang lagi apabila isu-isu agama ditanggapi daripada kacamata parti dan bukannya berasaskan seluhan ilmu yang sahih.


Hakikat yang nyata, Islam tidak pernah menghalang perbezaan pandangan. Islam juga tidak sesekali menyekat kepelbagaian aliran pemikiran. Bahkan Islam menggalakkan umat agar memaksimumkan keupayaan akal kurniaan Allah untuk sentiasa berfikir dan bersikap kritis dalam menanggapi sesuatu perkara. Namun apa yang lebih mustahak, setiap perbahasan haruslah berpandukan ilmu dan fakta sahih, di samping menjaga adab dan tatasusila yang dianjurkan oleh syarak.


Perdebatan


Umum mengetahui bahawa perbahasan dan perdebatan adalah amalan tabii dalam mencari kebenaran yang pastinya wujud dalam realiti kerencaman pendapat dan kepelbagaian aliran pemikiran manusiawi. Ia juga adalah manifestasi kesuburan akal insan yang memerlukan proses lengkap-melengkapi antara satu sama lain bagi menatijahkan kehidupan yang lebih sempurna.
Apa yang pasti, perdebatan dan perbahasan dalam Islam mempunyai makna dan pengertian yang cukup besar dan kudus. Matlamat perdebatan dalam Islam bukan sekadar pentas meraih sokongan membuta tuli. Perbahasan juga tidak harus dijadikan amalan mencetus sentimen amarah atau benci. Lebih malang lagi sekiranya perbahasan hanya sekadar forum adu-domba dan kata-mengata tanpa sebarang resolusi.


Sebaliknya perbahasan dan perdebatan dalam Islam hanya bermatlamatkan mencari kebenaran dan keadilan. Sebab itulah Islam menggariskan dengan jelas prinsip, nilai dan adab-adab yang harus dipertahankan dalam perdebatan sebagaimana terumus dalam Surah an-Nahl ayat 125: Berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.


Justeru, umat harus belajar bersikap tasamuh atau berlapang dada dalam menerima pandangan berbeza. Janganlah kerana perbezaan fahaman politik kita sanggup menggadaikan prinsip keadilan yang menjadi tunjang agama. Janganlah disebabkan berbeza parti kita menafikan kebenaran hanya kerana yang menzahirkannya bukan daripada kelompok sendiri. Mudah-mudahan umat akan lebih matang hingga bersedia menerima kepelbagaian pendapat dengan hati yang terbuka.


Sumber:




Wednesday, April 23

Ramalan Bintang


Oleh Idris Musa dalam Harian Metro


KEKADANG hairan juga apabila umat Islam lebih percaya kepada tilikan bintang atau horoskop daripada qada dan qadar Allah.Mereka percaya apa yang diterangkan daripada bintang malah kadangkala taksub dan menganggap apa yang diberitahu itu benar walaupun ia hanyalah kebetulan.


Apakah pandangan Islam terhadap ramalan bintang horoskop?Ada orang berkata mengapa tidak boleh mempercayai bintang horoskop sedangkan orang dahulu juga mempercayai bintang termasuk menentukan waktu dan arah perjalanan?


Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamihan Mat Zin, berkata mempercayai ramalan bintang horoskop adalah haram bahkan sebarang ramalan lain juga adalah haram. Menurutnya, kepercayaan seperti itu termasuk dalam hukum bertenung nasib yang diharamkan dalam Islam, seperti ditegaskan pada ayat 90, surah al-Maidah.


“Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”


Horoskop atau ramalan zodiak adalah carta atau diagram yang menunjukkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan dan planet. Perkataan horoskop berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud ‘melihat jam.’ Untuk memperoleh horoskop seseorang, tempat, hari dan tarikh lahir orang itu mesti diketahui. Tarikh itu pula akan jatuh pada satu daripada 12 lambang zodiak yang sedia ada iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.


Menurut ilmu astrologi, ramalan nasib berdasarkan bintang, setiap zodiak itu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri dan nasib setiap orang berdasarkan kepada zodiak serta kedudukan matahari, bulan dan planet pada hari itu. Ilmu astrologi dahulunya di Barat adalah satu disiplin bersama ilmu astronomi, namun sejak kurun ke-18, ilmu terbabit menjadi dua disiplin berbeza.Ilmu astrologi adalah ramalan berdasarkan bintang, manakala astronomi ialah bidang kaji bintang dan angkasa raya atau ilmu falak.


Zamihan berkata, ilmu ramalan bintang atau astrologi dan ilmu kaji bintang atau astronomi adalah dua subjek berbeza dan perbezaan ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya supaya tidak nanti timbul kekeliruan.


“Dalam ilmu mengkaji bintang atau disebut juga ilmu falak ia dijadikan sandaran untuk mengenali komposisi kita, contohnya menentukan waktu solat, kita melihat kepada longitud dan latitudnya, apakah sudah waktu Isya atau Subuh.


Sama juga apabila berlayar di lautan, pelayar akan melihat bintang di langit, berdasarkan kerlipan atau kedudukan bintang memberikan panduan kepada mereka untuk menentukan arah pelayaran dan tiba ke destinasi ditujui,” katanya.


Beliau berkata, ramalan horoskop pula ialah merujuk kepada bintang dan dengan ramalan itu mempercayai dapat memberikan penyebab kepada kehidupan seseorang sama ada kebaikan atau keburukan seseorang.“Mempercayainya seperti seorang dilahirkan dalam bulan sekian membawa kebaikan atau keburukan adalah jelas haram kerana ia termasuk perkara karut dan khurafat.


“Dalam Islam, melahirkan atau dilahirkan dalam bulan dan hari apa sekalipun tidak memberikan kebaikan atau keburukan, cuma dalam Islam ada dibincangkan keistimewaan hari dan bulan tertentu. Tetapi mempercayai tarikh, waktu atau bulan tertentu memberikan kebaikan, keuntungan, kerugian atau keburukan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.


“Ini kerana bintang juga adalah makhluk iaitu benda yang diciptakan, sama dengan makhluk yang lain, diciptakan dan yang mencipta ialah Allah.


Sepatutnya kita kena mempercayai kepada Allah, yang berkuasa atas segala-galanya, bukannya seperti ramalan bintang, hanya terikut-ikut dengan pengaruh orang Barat.


Kepercayaan kepada horoskop tidak lebih sekadar amalan orang Jahiliyah,” katanya.


Beliau berkata, orang Jahiliyah memang mempercayai benda karut seperti ini, sehingga menjadikan bintang dan matahari sebagai Tuhan sembahan mereka, membuatkan mereka berada dalam kesesatan.


“Orang Islam tidak boleh terpengaruh dengan benda ini, walaupun sedikit kerana ia boleh menjejaskan akidah.“


Kelahiran manusia dan nasib baik atau buruk adalah ketentuan Allah.


“Teori horoskop itu adalah satu tilikan berdasarkan teori falsafah orang Barat dan mereka yang mempercayainya cuma dari sudut perasaan saja.


“Perasaan saja sudah boleh membuatkan orang yang mempercayai berasa ceria atau murung,” katanya

Monday, April 21

Tajdid Iman

Oleh Dr Juanda Jaya

UMAR al-Khattab adalah seorang pemimpin ulung dan khalifah ternama yang mencatat sejarah sebagai pemimpin utama umat manusia. Ketika menjadi khalifah, beliau berjumpa seorang peminta sedekah yang sudah tua dan lemah daripada bangsa Yahudi. Beliau terkejut kerana mendapati wujud di kalangan rakyat jelatanya peminta sedekah yang tidak berdaya. Beliau pun bertanya: "Mengapa orang tua ini meminta sedekah?" Lelaki itu menjawab: "Saya adalah pembayar jizyah, wahai Amirul Mukminin."


Mendengar keluhan Yahudi itu Umar terus memerintahkan pegawai kewangan Baitulmal: "Tidak patut sungguh! Pada waktu muda tenaga orang ini ditumpahkan untuk mencari nafkah hidupnya dan jizyah pula sentiasa dia bayar. Sekarang dia susah tua, maka mengapa kita biarkan dia meminta sedekah. Mulai sekarang hapuskan namanya daripada senarai orang yang dipungut jizyah, lalu pindahkan namanya ke dalam senarai orang fakir miskin yang berhak menerima zakat."


Adil, rahmat dan bertimbang rasa. Begitulah seharusnya gambaran Islam apabila menjadi dasar pada sebuah negara. Prof Yusuf al-Qaradawi dalam Al-Khasaisul Ammah Lil Islam, memberikan pandangan lebih luas mengenai ciri Islam yang merangkumi nilai utama iaitu nilai ketuhanan, kemanusiaan, sejagat, sederhana dan gabungan transformasi serta ketetapan dalam seluruh ajarannya.


Nilai ketuhanan bermakna segala fahamannya tidak terlepas daripada bimbingan wahyu, sementara nilai kemanusiaan yang membawa ajaran mengakui dan membela hak asasi manusia sejagat. Adapun ciri yang ketiga ialah agama ini memiliki nilai sejagat iaitu mengatur segenap sistem hidup manusia secara lengkap bukan hanya aspek ibadah saja diutamakan, tetapi juga sistem politik, ekonomi, sosial, ilmu dan teknologi, kedaulatan negara dan kekuatan jihad diatur dengan sempurna.


Keempat ialah Islam bersikap sederhana, adil dan seimbang berlainan dengan fahaman dibuat manusia seperti fahaman sosialis yang menghapuskan hak setengah golongan daripada setengah yang lain ataupun fahaman kapitalis membebaskan golongan kuat memperhambakan yang lemah. Islam juga bercirikan transformasi dipadu kekuatan ketetapannya terhadap nilai wahyu. Islam menerima perubahan dan penggabungan nilai lama dan baru dengan syarat ia tidak merosak syariah yang suci kerana yang menciptanya adalah Allah Yang Maha Suci daripada kecacatan.


Islam yang cantik, ideologi sempurna, doktrin efektif, fahaman relevan. Tetapi sayang, ramai orang di luar Islam diberikan gambaran teruk mengenai agama ini, gerak kerja orientalis yang bersepadu berjaya menconteng arang ke wajah sejarah Islam. Ini ditambah dengan pengaruh media masa kini yang dikuasai kebencian terhadap Islam dan sumbangan besar serpihan kumpulan radikal menggunakan nama Islam sebagai alat untuk kepentingan peribadi dan golongan yang jelas bercanggah daripada sistem Islam yang suci berjaya mencorotkan kedudukan agama kita di mata dunia.


Jangan salahkan Islam, tetapi peribadi yang membawa nama Islam itu sebenarnya menjelekkan lagi wajah agama Allah ini. Islam tetap suci, tetapi perbuatan seorang Muslim yang sepatutnya mesti disucikan kerana mengotori Islam.


Banyak sungguh yang menggunakan nama Islam untuk kepentingan peribadi, akibat daripada kejahatan ini, maka orang komunis berpendapat agama itu candu bagi manusia. Sedangkan yang sekular benci mendengar sistem Islam cuba diterapkan dalam ekonomi, politik dan sebahagian aspek kehidupan. Mereka mahu memisahkan agama daripada kepentingan dunia.


Apakah kejahatan yang lebih dahsyat pada agama ini selain mengambilnya jika mendatangkan keuntungan dan membuangnya jika dilihat menjejaskan kepentingan hawa nafsu?


Keuntungan yang didapati daripada penjualan nama agama ini bukan dilakukan oleh ahli perniagaan atau orang politik saja, tetapi juga pendakwah yang mengambil peluang duniawi dalam dakwahnya. Ada yang meminta bayaran untuk khidmat membaca al-Quran bagi arwah orang sudah meninggal. Jika begitu, bolehlah syurga itu dibeli untuk orang yang sudah mati, asalkan ada duit semuanya boleh diatur. Amalan yang langsung tiada sandaran daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW semakin subur.


Menambah cela pada wajah agama ini, semua itu kerana desakan kepentingan peribadi. Erti keikhlasan menjadi persoalan adakah memperguna agama boleh diterima sebagai usaha meninggikan kalimah Allah? Rasulullah SAW bersabda bermaksud:


"Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukuman ke atasnya pada hari kiamat ialah seorang yang mati syahid. Dia dihadapkan kepada Allah kemudian Allah mengingatkannya akan nikmat yang pernah dikurniakan ketika di dunia, maka dia pun mengingatinya, kemudian Allah bertanya: "Apakah yang engkau lakukan dengan nikmat yang Aku berikan kepadamu itu? Dia menjawab: Nikmat itu saya gunakan untuk berperang kerana membela agama-Mu sehingga aku mati syahid. Allah berfirman: Engkau bohong, sebenarnya engkau berperang dengan matlamat supaya engkau dipuji sebagai perwira dan sudah pun dikatakan orang begitu kepadamu." Orang itu kemudian diheret wajahnya dan dicampakkan ke dalam neraka." (Hadis riwayat Imam Muslim)


Jika orang yang syahid dipersoalkan matlamat jihadnya padahal dialah dipuji sebagai pahlawan dan seorang yang berani, bagaimana pula dengan orang dicela kerana terang-terangan merompak agama ini dan memperguna Islam demi kepentingan peribadi?


Namun demikian kita tidak menafikan masih ada yang memiliki setulus keikhlasan dalam memperjuangkan agama. Allah berfirman mengenai ciri umat yang bersih daripada segala kepentingan diri, bermaksud;


"Katakanlah: Jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik."


Sifat paling menonjol dalam diri mereka berjuang ikhlas untuk Islam ialah mereka mahukan perubahan ke arah kebenaran, suka menyebarkan amar makruf dan bergiat aktif menegakkan nahi mungkar. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:


"Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ubah dengan tangannya, Jika dia tidak kuasa, maka ubahlah dengan lidahnya. Barang siapa yang tidak kuasa dengan lidahnya hendaklah ubah dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)


Al-Imam Hasan Al-Basri berkata:


"Tidak sedikit orang yang mati syahid, tetapi bukan di medan perang melainkan di atas katilnya. Iaitu orang yang terus menerus bekerja keras melaksanakan kehendak Allah dan Rasul-Nya dengan menyampaikan dakwah, mempergunakan peluang, atau kekuatan dan kekuasaan yang ada padanya. Sehingga tegaklah kalimah Allah."
Sumber:
Juanda Jaya, 2008. Tajdid Iman: Komplot pribadi rosak imej Islam, 21/04/2008, http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Agama/20080420232233/Article

Thursday, April 10

Pengurusan Islam



Oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia

PENGURUSAN membabitkan proses pengumpulan dan penggemblengan sumber ekonomi termasuk manusia dan modal penting dalam mana-mana organisasi untuk mencapai matlamat yang sudah ditetapkan. Dalam pengurusan moden berasaskan pendekatan Barat, beberapa pendekatan pengurusan diperkenalkan dan konsep diperkenalkan F W Taylor pada 1909 digunakan secara meluas bertujuan meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

Taylor berpendapat, untuk meningkatkan produktiviti hanya hal cara saintifik saja boleh digunakan di mana pekerja tidak perlu mencari jalan sendiri untuk menyelesaikan masalah kerja mereka sebaliknya akan dilatih untuk melaksanakan kerja yang ditetapkan oleh pengurusan. Pendekatan konsep pengurusan itu ada kecenderungan untuk menilai segala sesuatu dari segi keuntungan ekonomi. Penekanan adalah terhadap prestasi dan kecemerlangan yang diukur daripada keuntungan ekonomi berasaskan petunjuk kebendaan. Ada pakar pengurusan yang berpendapat konsep itu tidak sesuai dipraktikkan kerana ia melihat pekerja dalam perspektif negatif. Mengikut konsep pengurusan itu, pekerja harus diawasi dan hanya perlu buat apa disuruh tanpa perlu memberi sebarang pandangan kepada pengurusan.

Pakar itu berkata, Taylor tidak langsung ambil peduli mengenai perasaan pekerja walaupun pada hakikatnya, perasaan pekerja boleh mempengaruhi produktiviti kerja. Jika seseorang pengurus mengamalkan sepenuhnya model pengurusan Taylor, bentuk pengurusan menjadi kaku dan menjejaskan produktiviti kerja disebabkan pekerja rasa terkongkong. Beberapa pakar pengurusan Barat membuang istilah pengurus dan pengurusan serta menggantikannya dengan konsep pemimpin dan kepemimpinan. Andainya manusia sebagai tenaga kerja dalam organisasi tidak boleh diurus, dikerah, diarah atau diatur, mereka perlu dipimpin supaya dapat menyumbang dengan cukup berkesan dalam proses mewujudkan nilai tambah kepada sistem ekonomi. Pakar pengurusan menekankan kepemimpinan ialah semangat, menghendaki personaliti contoh dan wawasan ke hadapan. Pengurusan perlu tetapi ketua penting. Kepemimpinan dan pengurusan tidak sama. Kepemimpinan mengenai beri arahan, membina kumpulan dan menjadi penggerak kepada yang lain melalui teladan dan perbuatan.

Justeru, satu lagi model pengurusan moden sudah dibentuk ke arah mementingkan kesejahteraan pekerja. Pengurusan moden juga memberi penekanan kepada nilai sejagat atau pandangan meluas dalam mengutamakan nilai murni dianggap sebagai nilai positif. Jepun memperkenalkan pendekatan pengurusan seperti Just-In-Time, Quality Control Circles (QCC), dan Tota; Quality Management (TQM). Negara Barat memperkenalkan konsep Management by Objectives (MBO), Management By Walking Around (MBWA) dan Management By Walking Outside (MBWO).

Jepun, dalam pendekatan pengurusannya memberi penekanan kepada pengurusan pekerja dengan melihat sikap, ketaatan kepada organisasi, mementingkan kualiti, peningkatan teknologi dan kepuasan pelanggan. Ini bermakna pendekatan pengurusan Jepun dan Barat mementingkan pengamalan nilai murni.

Model pengurusan saintifik diperkenalkan Taylor dan model pengurusan yang mementingkan kesejahteraan pekerja mempunyai persamaan dengan konsep Pengurusan Islam. Konsep Pengurusan Islam merangkumkan kedua-dua pendekatan di mana pekerja harus mengikut hukum syarak yang ditetapkan Allah, dan sebaliknya manusia tidak perlu pengawalan rapi. Pekerja diamanahkan melaksanakan tugas masing-masing dan berdasarkan amanah itu, mereka perlu memberi perkhidmatan yang baik tanpa perlu diawasi atau dipaksa.

Sistem pengurusan Barat kini menekankan konsep nilai bersama sebagai asas untuk maju ke depan dalam organisasi. Tom Peters dalam bukunya In Search Of Excellence menekankan nilai bersama akan mengawal kemahiran, strategi, struktur, sistem dan gaya pengurusan. Di Jepun, pegangan Zen Buddhism menjadi teras syarikat seperti Matsushita kerana pengasasnya percaya moral dan agama memainkan peranan penting dalam organisasi.

Penekanan kepada sistem nilai dalam konsep pengurusan moden adalah sama dengan konsep Pengurusan Islam. Dalam konsep pengurusan moden, sistem nilai yang diterima oleh satu masyarakat berbeza dengan masyarakat lain. Sistem nilai diamalkan dalam pengurusan moden adalah sistem nilai yang boleh berubah mengikut keadaan semasa. Krisis nilai timbul dan bertapak dalam kehidupan manusia apabila kemahuan hawa nafsu dan pengaruh syaitan menjadi pegangan dan manusia tunduk kepada keduanya dalam membuat keputusan serta peri laku. Manusia sanggup melakukan perkara bercanggah dengan nilai sejagat, menyeleweng dan mengubah nilai diamalkan supaya dapat memenuhi kepentingan kebendaannya.

Sistem nilai Islam mengatasi masalah bertukarnya nilai sejagat sesuatu masyarakat. Ini membezakan konsep pengurusan moden dengan pengurusan dalam Islam yang bermula dengan hakikat setiap manusia melihat peranannya sebagai khalifah serta pemegang amanah di dunia. Perspektif tauhid memberikan ukuran sejagat dan memberikan takrif tepat mengenai sistem nilai yang harus diikuti setiap manusia. Pokoknya, ia berasaskan pada teras bahawa setiap manusia dilahirkan di dunia sebagai hamba Allah dan perlu sentiasa setia kepada Allah. Mereka perlu memainkan peranan penting sebagai khalifah dan pemegang amanah. Jawatan, ilmu, kemahiran dan segala keupayaan termasuk masa adalah amanah Allah kepada kita untuk digunakan dengan berkesan. Kita akan dihisab atas tindak tanduk di dunia apabila tiba hari akhirat nanti. Ini satu bentuk pengawalan yang menentukan kita tidak akan mengubah sistem nilai.

Dengan itu, pengurusan Islam tidak menghadapi perubahan nilai. Islam mengikat manusia dengan iman, ilmu dan amal. Islam menguasai manusia dengan hukum 'pahala-dosa'. Dalam Islam, tauhid menekankan kesetiaan kepada Allah dan Rasul SAW sebagai nilai utama yang mengatasi segala nilai lain diwujudkan dalam sistem organisasi. Ia memberikan implikasi bahawa setiap manusia berkhidmat untuk kebaikan manusia dengan matlamat mendapat keredaan Allah bukan untuk matlamat kebendaan. Sebagai pemegang amanah kepada Allah, manusia akan menggunakan segala ilmu, harta, kemahiran dan keseluruhan dirinya untuk kepentingan ummah. Kerja dan kegiatan adalah sebagai satu proses ibadah, motivasinya bukan ganjaran dunia tetapi pengharapan balasan di akhirat.
Berasaskan paradigma tauhid, kita dapat memupuk satu matlamat hidup yang jelas dapat dipraktikkan termasuk memainkan peranan sebagai pemimpin, pengurus dan usahawan. Kita menyedari kehidupan di dunia mempunyai tujuan lebih jauh dan tinggi daripada kesenangan di dunia untuk mencapai keredaan Allah.


Rujukan

YPeIM, 2008. Pengurusan Islam utama sifat amanah, dilihat pada 9 April 2008, http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20080408232835/Article





Thursday, February 14

Miskin Sifar


Oleh: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)



SECARA amnya manusia lebih percaya kepada fakta dan data berbanding teori. Oleh itu, dipaparkan beberapa fakta yang sempat dicatat sejarah berkenaan dengan kemenangan Islam memerangi kemiskinan. Begitu juga kesejahteraan, keamanan dan ketenteraman yang berjaya diwujudkan pemerintah dan sistem pentadbiran negara yang adil. Kesejahteraan, keamanan serta ketenteraman diwujudkan itu pernah diperkatakan Rasulullah SAW.


Baginda SAW mengatakan, manusia akan memperoleh kenikmatan yang banyak, hasil tuaian berlimpah ruah, kehidupan bahagia, sejahtera dan aman jika mereka mentadbirnya dengan baik. Bahkan, mereka tidak akan mendapati seorang pun yang layak menerima zakat. Semua itu hanya akan terjadi jika pemerintah yang adil dan saksama mengamalkan pendekatan pentadbiran menyeluruh dan pengamalannya turun hingga ke peringkat akar umbi.


Imam al-Bukhari bin Hatim at-Thay-i, bahawasanya ketika Hatim berada bersama Nabi SAW, seorang lelaki datang mengadukan kesusahan hidupnya. Kemudian datang pula lelaki lain yang mengadukan kejadian rompakan yang berlaku ke atas dirinya.


Pada masa itu, niat Adiy berjumpa Rasulullah SAW ialah untuk memeluk agama Islam. Nabi SAW khuatir Adiy akan berubah niat selepas melihat kemiskinan kaum Muslimin serta tidak wujudnya keamanan dalam masyarakat mereka. Oleh itu, Rasulullah SAW memaparkan ramalannya sebagai dorongan dan galakan kepada Adiy. Baginda bersabda, "Wahai Adiy, pernahkah engkau melihat bandar Herat?" Jawab Adiy, "Belum pernah, wahai Rasulullah. Tetapi seseorang pernah memberitahu saya mengenai bandar itu." Rasulullah bersabda: "Jika panjang umurmu kelak nescaya engkau akan menyaksikan bagaimana seorang wanita boleh berpergian di atas seekor unta dari Herat hingga bertawaf di Makkah tanpa berasa takut kepada sesiapa pun kecuali Allah."


Adiy yang meriwayatkan hadis ini berkata, "Saya sendiri berkata dalam hati, ke manakah gerangan perginya para perompak Thay-i yang membakar seluruh negeri," Adiy seolah-olah berasa mustahil suasana tenang dan aman akan wujud sampai kepada tahap diberitakan Nabi SAW. Beliau sendiri mengetahui kejahatan perompak di negerinya yang tidak pernah berhenti mengacau kehidupan masyarakat dan menyalakan api fitnah di merata negeri.


Rasulullah SAW menyambung sabdanya kepada Adiy: "Jika umur engkau lebih panjang lagi, maka engkau boleh menyaksikan khazanah Raja Kisra dikuasai kaum Muslimin." "Raja Kisra bin Hormuz?" Tanya Adiy. Jawab Rasulullah SAW: "Ya, Raja Kisra bin Hormuz. Dan jika umurmu lebih panjang lagi, nescaya engkau akan menyaksikan satu masa iaitu seorang lelaki keluar dengan telapak tangan dipenuhi dengan emas atau perak untuk disedekahkan, tetapi tidak ada seorang pun yang mahu menerima sedekahnya itu."


Selepas itu, Adiy pun memeluk Islam dan menjadi seorang Muslim yang baik. Beliau menyaksikan sendiri ketepatan kata-kata Nabi SAW. Beliau berkata, "Saya sudah menyaksikan sendiri bagaimana seorang wanita boleh berpergian sendirian atas untanya dari Herat sehingga bertawaf di Kaabah. Tidak ada sesuatu pun yang ditakutinya melainkan Allah. Saya juga berada bersama pejuang yang menakluki kerajaan Parsi dan menguasai khazanah Raja Kisra bin Hormuz.


Sabda Rasulullah SAW kepada Adiy berkenaan seorang lelaki yang keluar dengan emas dan perak menunjukkan ia akan berlaku pada masa yang dekat dan masih dapat disaksikan sahabat yang berumur panjang. Perkara itu berlaku pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang adil.


Banyak hadis Nabi SAW menceritakan mengenai kekayaan yang akan dilimpahkan kepada umat sehingga tidak ada lagi orang yang layak menerima sedekah. Semua hadis itu adalah ucapan Rasulullah SAW yang maksum. Baginda SAW tidak bersabda mengikut kehendak peribadi atau hawa nafsu. Hadis itu memberi harapan kepada kita akan satu hari di mana kemiskinan berjaya dibanteras dan dihapuskan. Hal itu bertentangan dengan Taurat yang menyatakan kemiskinan adalah fenomena kekal abadi, dan orang miskin akan sentiasa wujud di atas muka bumi.


Imam al-Bukhari serta imam lain meriwayatkan daripada Harithah bin Wahab al-Khuza'i Harithah berkata, "Saya mendengar Rasulullah bersabda bermaksud: Bersedekahlah sebelum sampai kepada kami satu zaman iaitu seorang lelaki berjalan dengan membawa harta untuk disedekahkan, tetapi tidak seorang pun yang mahu menerimanya. Seseorang berkata kepadanya, "Seandainya kamu membawanya semalam tentu saya terima, tetapi sekarang saya tidak memerlukannya lagi."


Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud: Kiamat tidak akan terjadi sebelum kamu semua memperolehi harta yang melimpah ruah. Hal ini menimbulkan kerunsingan di kalangan pemilik harta kerana tidak ada orang yang mahu menerima sedekah. Bila mereka menawarkan harta tersebut kepada seseorang, maka orang itu akan berkata, "Saya tidak memerlukannya." (Hadis riwayat Imam al-Bukhri daripada Abu Hurairah)


Kitab ad-Dalail Al-Bayhaqi meriwayatkan daripada Umar bin Usaid (Ibnu Abdul Rahman bin Zaid bin al-Khattab) berkata, "Umar bin Abdul Aziz memegang tampuk khalifah selama 30 bulan. Demi Allah sebelum beliau meninggal dunia, beliau memberikan kekayaan yang sangat banyak kepada kami. Beliau pernah berkata kepada pegawainya, "Bahagikanlah harta ini kepada sesiapa saja orang miskin yang kamu jumpai." Akan tetapi pegawai itu tidak berjaya menemui satu orang miskin pun dan terpaksa kembali dengan membawa harta itu. Umar bin Abdul Aziz sudah menjadikan rakyatnya kaya-raya."


Yahya bin Sa'ad berkata, "Umar bin Abdul Aziz pernah mengutuskan saya untuk mengutip zakat di benua Afrika. Selepas hasil zakat berjaya saya kumpulkan saya pun mencari orang miskin untuk saya bahagikan hasil zakat itu kepada mereka. Namun, saya tidak menjumpai seorang miskin pun dan tidak ada seorang pun yang mahu mengambil hasil zakat itu. Umar bin Abdul Aziz sudah menjadikan seluruh manusia kaya raya. Akhirnya saya terpaksa membelanjakan hasil zakat itu dengan membeli beberapa hamba sahaya untuk saya memerdekakan."


Kekayaan dan kesejahteraan penduduk tidak hanya wujud di benua Afrika seperti diceritakan Yahya bin Sa'ad. Sebaliknya sejarah mencatatkan kemakmuran dan kesejahteraan wujud di merata pelusuk kawasan yang bernaung di bawah khalifah Islamiah pada masa itu.


Abu Ubaid meriwayatkan, Umar bin Abdul Aziz pernah menulis warkah kepada Gabenor Iraq, Abdul Hamid bin Abdur Rahman. Isi warkah itu ialah satu perintah supaya Abdul Hamid membahagikan agihan (gaji atau peruntukan khas) kepada orang ramai. Warkah itu dijawab oleh Abdul Hamid dengan jawapan: " Saya sudah memberikan seluruh agihan kepada orang ramai, tetapi masih tersisa lagi sejumlah harta di Baitulmal. Umar bin Abdul Aziz menghantar satu warkah lain mengatakan: "Carilah orang yang dibebani hutang, tetapi dia berhutang bukan untuk tujuan berfoya-foya. Tunaikanlah hutangnya."


Warkah itu dijawab kembali Abdul Hamid, "Saya sudah menunaikan hutang mereka, tetapi masih lagi tersisa sejumlah harta di Baitulmal." "Jika begitu, carilah orang bujang yang ingin menikah. Nikahkanlah mereka dan bayarlah maharnya," perintah Umar bin Abdul Aziz. Tidak lama kemudian datang jawapan daripada Abdul Hamid, "Saya sudah menikahkan seluruh orang bujang yang saya jumpa, tetapi masih tersisa lagi sejumlah harta di Baitulmal." "Jika demikian, carilah orang yang terkena kewajipan cukai. Tambahkanlah tanah mereka dan berikan kepada mereka modal yang boleh mengembangkan usaha pertanian mereka. Kita tidak akan memintanya kembali selepas setahun atau dua tahun."


Apabila hajat dan keperluan orang ramai sudah dipenuhi, barulah Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengarahkan gabenornya untuk melaburkan harta itu untuk tujuan pengembangan dan menambah hasil pengeluaran negara. Pelaburan dijalankan dengan cara membantu petani kecil yang hanya memiliki sebidang tanah. Mereka diberi pinjaman yang boleh mempertingkatkan usaha mereka. Semua perkara ini berlaku ratusan tahun sebelum dunia mengenal 'Bank Pinjaman Pertanian'. Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz menerangkan kepada petani bahawa kehebatan hasil pertanian bukan hanya membawa keuntungan kepada petani saja, tetapi juga menambah kekuatan negara. Di samping itu, setiap negara berhak mengutip cukai daripada kalangan berada, tetapi negara juga tidak boleh melupakan kewajipannya membantu kalangan itu mengembangkan usaha mereka supaya mampu menunaikan segala kewajipannya secara teratur.


Sumber: Berita Harian, 13 Febuari 2008

Monday, December 3

Renung sejarah sebelum 'bersuara'


Oleh Roslan Mohd Latif

KEDANGKALAN memahami sejarah negara menjadi antara sebab segelintir rakyat negara ini sanggup melakukan tindakan membabi buta di luar lunas budaya Malaysia tanpa sedikit pun memikirkan sensitiviti kaum lain yang bukan saja telah berkorban malah bersedia menyerahkan sebahagian hak mereka demi memastikan perpaduan kaum terus utuh dan semua kaum dapat menikmati kehidupan dalam suasana damai. Demonstrasi jalanan anjuran segelintir kaum India yang kononnya berasakan kaum mereka ditindas dan seterusnya meminta ganti rugi daripada Kerajaan British yang membawa mereka ke sini, tidak lebih daripada wayang kulit yang didalangi sekumpulan ahli politik muflis. Berbanding dengan rakan mereka di Fiji, Uganda, Kenya, Zimbabwe, kaum India di negara ini seharusnya bersyukur kerana berada di sebuah negara yang kaum pribuminya begitu pemurah dan paling bertolak- ansur.






Mereka bukan saja diberikan pelbagai keistimewaan dari segi peluang pekerjaan, malah di bidang pendidikan dan ekonomi ada kalanya mereka lebih terkehadapan berbanding orang Melayu. Seawal 1816, kaum India berpeluang memasuki sekolah yang mana Penang Free School dibuka dan kelas Tamil ditumpangkan di situ. Dengan wujudnya Malacca Free School, VI, King Edward antara 1826 dan 1906, kelas Tamil juga diwujudkan. Pada 1850, Anglo Tamil School diwujudkan di Melaka. Malah hampir di setiap estet, sekolah Venekular Tamil diwujudkan bagi menampung kaum India yang tinggal di sekitar ladang. Malangnya bagi kaum pribumi, hanya pada 1856, ia itu selepas 40 tahun kaum lain menikmati kemudahan, barulah dua sekolah Melayu diwujudkan dengan serba kekurangan sekadar membasmi buta huruf. Kaum India boleh meneruskan pendidikan hingga ke peringkat Overseas School Certificate yang kemudian boleh menyambung pelajaran ke King Edward Medical College atau pun ke Raffles College malah boleh meneruskan pendidikan ke Britian atau ke Australia, sedangkan pelajar Melayu hanya ke peringkat darjah empat.










Terkecuali Malay College yang ditubuhkan pada 1905, peluang pelajar Melayu hanya terbuka pada 1930 apabila dasar British membenarkan pelajar Melayu ke sekolah Inggeris. Itu pun terhad kepada segelintir pelajar di bandar dan daripada keluarga elit. Tidak hairanlah, antara 1919 hingga 1937 hanya 15 peratus pelajar Melayu di sekolah Inggeris berbanding 35 peratus India dan 50 peratus Cina. Fakta begini seharusnya difahami sebelum melakukan tindakan melulu dan membabi buta. Penjajah British mengenakan pelbagai jenis peperiksaan bertujuan menyekat pelajar Melayu ke peringkat lebih tinggi seperti Peperiksaan Memasuki Sekolah Menengah, Junior Middle Cert, Overseas School Cert dan Queen School Cert yang hanya mampu dicapai oleh pelajar di bandar besar yang majoritinya Cina dan India. Rata-rata keluarga mereka bertugas dengan pentadbir British atau pun menjadi peniaga. Bagi pelajar luar bandar terutama dari negeri Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan serta Johor, peluang yang ada hanya di madrasah yang banyak ditubuhkan selepas 1906 oleh golongan muda seperti Syed Syeikh Al Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin yang peluang kerjanya begitu terhad. Akibatnya jurang ekonomi antara kaum pendatang dan orang Melayu menjadi begitu ketara. Ini ditambah pula dengan dasar British yang tidak membenarkan pembabitan Melayu dalam industri menanam getah dengan berbagai-bagai sekatan serta pengwujudan pelbagai akta termasuk Akta Tanah Rezab Melayu yang bertujuan memastikan Melayu terus tinggal di kampung menanam padi yang mana hanya cukup untuk kegunaan sendiri. Dasar membenarkan penubuhan Sekolah Venekular Cina dan Tamil pada peringkat Sekolah Rendah oleh Penjajah British adalah sikap tolak ansur yang tidak dilakukan di mana-mana negara lain. Hanya pada 1958 selepas 142 tahun kaum Cina dan India menikmati peluang ke peringkat menengah, barulah Sekolah Menengah aliran Melayu pertama diwujudkan iaitu Sekolah Alam Shah pada 1963 dan hanya pada 1968, kumpulan dari aliran Melayu pertama keluar dari Universiti Malaya.






Untuk rekod juga, hanya pada 1967 selepas Institut Teknologi Mara (ITM) ditubuhkan barulah orang Melayu mendapat peluang ke peringkat yang lebih tinggi, selepas 151 tahun kaum Cina dan India yang berasakan mereka ditindas menikmati peluang pendidikan tinggi. Tidak hairan, antara 1964 dan 1970 hanya 119 siswazah Melayu lulus dari Fakulti Sains Universiti Malaya berbanding kaum Cina dan India. Seharusnya mereka yang menggelar diri mereka profesional ini lebih sensitif dengan fakta sebegini daripada membuat tuduhan melulu tanpa bukti. Dasar tolak ansur orang Melayu juga telah memberi peluang kepada kaum India untuk mendapat suara di Parlimen walaupun peratus kaum India tidak sampai pun 10 peratus. Seawal pilihan raya pertama pada 1955, wala pun kaum India hanya meliputi 3.9 peratus daripada pengundi berdaftar dan kaum Cina hanya 11.2 peratus, pemimpin Melayu atas dasar berkongsi kuasa telah memperuntukkan 15 kerusi kepada kaum Cina dan dua kerusi kepada kaum India daripada sejumlah 52 kerusi yang dipertandingkan, walaupun orang Melayu mampu menang tanpa berkongsi kuasa kerana mereka menguasai 84.2 peratus kuasa mengundi. Ini berterusan sehinggalah pada pilihan raya lalu di mana kaum India menang di tujuh kerusi Parlimen dan 14 DUN yang majoriti Melayu termasuklah wakil MIC yang bercakap di Parlimen baru-baru ini mengenai kaum mereka dipinggirkan tanpa menyedari beliau sendiri menang di kawasan majoriti Melayu. Atas dasar tolak ansur dan kerjasama yang wujud begitu lama juga pengundi Melayu di Ijok sanggup membiarkan calon Melayu kalah di Ijok dan memejam mata untuk mengundi calon MIC. Apakah ini bukan pengorbanan. Inikah yang di panggil 'pembersihan kaum'? Dalam bidang ekonomi juga, kaum India lebih terkehadapan. Malah empat orang India terkaya di Malaysia memiliki jumlah kekayaan tiga kali ganda lebih banyak daripada 10 orang Melayu daripada jumlah 40 orang terkaya di Malaysia, sedangkan salah seorang dari yang terkaya itu, ayahnya hanyalah seorang kerani Felda, satu-satunya agensi yang ditubuh Tun Abdul Razak Hussein untuk orang Melayu. Pendapatan Isi Rumah Bulanan Purata antara kaum juga menunjukkan nisbah kaum India lebih tinggi berbanding Melayu ia itu 1.27: 1 atau sebanyak RM3,456 bagi kaum India berbanding RM2,711 bagi kaum Bumiputera. Kadar kemiskinan tegar di bandar kaum India juga jauh lebih baik berbanding Bumiputra iaitu 0.2 bagi India dan 0.7 Bumiputera, tetapi di luar bandar kadar kemiskinan Bumiputra 3.3 peratus berbanding kaum India hanya 0.5 peratus. Seperti kata pepatah, 'Di mana bumi di pijak di situ langit di junjung ', maka untuk mengeluar perkataan seperti 'penghapusan kaum' amat keterlaluan bagi sebuah NGO yang kononnya didukung golongan terpelajar apatah lagi di dalam masyarakat di mana adat dan budaya masih menjadi pegangan penting.


Penulis ialah Presiden Alumni Melayu Amerika Utara(ALMA)


Sumber: Berita Harian dalam kolum Rencana, 2 Disember 2007