Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Kepemimpinan. Show all posts
Showing posts with label Kepemimpinan. Show all posts

Friday, September 7

Konflik


Konflik yang berlaku sama ada dalam keluarga, organisasi mahupun komuniti perlu dileraikan segera. Pelarian dari konflik hanya membawa kepada permasalahan yang lebih besar pada masa hadapan. Adakalanya ia cuma pseudo-konflik (konflik palsu) yang berlaku akibat salah faham dan komunikasi yang tidak berkesan. Dan, di sini mediator berperanan sebagai pendamai dan bukannya batu api.

Monday, August 13

Budaya Sate


Hapuskan budaya sate - cantas-mencantas, gunting-menggunting, potong-potong, cucuk-cucuk, kipas-kipas, bakar-bakar.. yang akhirnya hanya merugikan diri sendiri. Eratkan jalinan ukhuwah dan bersama maju ke hadapan - membina peradaban.

Bangsa yang hebat, fikirnya melangkau zaman dan alam (alam barzah & alam akhirat), sentiasa bersedia untuk mati, melakukan kebaikan dan penambahbaikan, berintegriti lagi berakhlak mulia. 

Makanlah sate ayam, arnab, kambing atau apa sahaja.. selagi halal dan baik.. asal jangan memper'sate'kan orang lain atau membiarkan diri diper'sate'kan oleh orang lain. 


Monday, April 30

Demi Satu


Belajar usah jemu.. dan bertindaklah berasaskan ilmu.. bukan taqlid melulu..
agar diri terpandu.. melerai buntu ragu pilu..demi Satu.

Monday, February 6

Namimah





"Dia kata awak ni sombong dan pemalas".

Apa perasaan anda bila seorang rakan menyampaikan berita ini kepada anda? Marah, sedih atau teruja? Bagaimana jika 'dia' yang dimaksudkan adalah sahabat baik anda sendiri?

Dalam kehidupan bermasyarakat, hal ini telah menjadi satu kebiasaan. Ada orang yang hobinya mengumpat dan ada pula orang yang hobinya suka menyebarkan umpatan ini kepada orang lain agar hubungan keduanya menjadi tegang dan rosak. Dan hobi yang kedua ini dipanggil namimah dan mereka ini layak diberi gelaran batu api.

Namimah bermaksud menyampaikan perkataan seseorang kepada orang lain dengan tujuan merosakkan hubungan di antara mereka (Syarh Nawawi untuk Shahih Muslim 1/214, Syamilah).

Justeru, berhati-hatilah dengan pembawa namimah dan jangan biarkan diri menjadi pembawa namimah kerana ia boleh merosakkan perpaduan sesebuah komuniti mahupun organisasi dalam masa yang singkat - jauh lebih singkat dari masa yang diperlukan oleh seorang tukang sihir yang pintar.

Thursday, February 2

KeADILan




Orang yang suka mengkritik mesti juga suka dan sentiasa bersedia untuk menerima kritikan orang lain dengan terbuka. Dan ini dinamakan... KeADILan.

Friday, October 7

Saya ingat lagi..

"Saya ingat lagi masa kita sembahyang dulu".

Kata seorang staf di fakulti pengajian saya dahulu sewaktu kami bertemu semula di rumah terbuka seorang senior di Bangi Lama. Lebih sedekad yang lalu, kami selalu bertemu.. saling bertukar senyuman dan bertegur sapa di jabatan. Tahun 2002, saya berhijrah ke jabatan lain. Ternyata beliau masih mengingati saya dan momen yang paling diingatinya adalah ketika kami sama-sama berdiri dalam saf yang sama untuk menunaikan solat berjemaah di bilik kuliah jabatan. Ketika itu, buat julung kalinya kami menganjurkan majlis berbuka puasa dan solat terawih untuk mengeratkan silaturahim antara staf dan pelajar. Ternyata, setelah 13 tahun berlalu objektif program terbukti berjaya.


Saya ingat lagi.. II


Ketika sedang bersantai di bawah pohon kurma, tiba-tiba saya disapa oleh seorang wanita. Rupanya kami pernah beberapa kali bertemu beberapa tahun dahulu di Serdang. Kami tidak pernah bertegur sapa. Cuma mungkin saling tersenyum mesra ketika berjabat tangan usai solat subuh berjemaah. Namun ternyata, momen tersebut memberi kesan yang mendalam.


Ingatan yang abadi..


Solat berjemaah memberikan kesan yang efektif dalam perhubungan sesama manusia. Meski cuma bersama selama lima minit dalam saf yang sama, kesannya masih dirasai sehingga bertahun-tahun lamanya. Ianya juga adalah program 'team-building' yang paling murah dan efisyen dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan, komuniti mahupun organisasi. Dalam sedar ataupun tidak, kita akan terus saling mengingati antara satu sama lain. Dan.. ini pastinya berita baik untuk mereka yang mahu berkempen dalam pilihanraya. Maka, rajin-rajinlah solat berjemaah di setiap ceruk masjid, surau dan di mana-mana sahaja terutamanya solat Subuh dan Isyak mulai hari ini. Lupakan seketika perbezaan pendapat, politik, darjat, status dan keturunan kerana setiap kita adalah hamba Allah. Jangan juga lupa untuk mendirikan solat bersama keluarga. Mudah-mudahan kita sentiasa beroleh kejayaan, keberkatan dan kemakmuran hidup.. di dunia dan akhirat.. :).

Tuesday, June 14

Awan yang Terpilu





Ajwa dan Harumanis terhidang di atas meja. Ceri terdiam seketika. Angin bertiup kencang dari luar jendela yang menghadap ke arah sawah padi yang menghijau. Cuaca begitu panas dan terik di luar sana. Sepanas dan seterik khabar duka yang diterimanya. Firasatnya sudah lama merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Limau. Wajahnya yang dulu jernih telah lama keruh. Sekeruh hatinya yang telah dicemari sekian banyak bahan radioaktif berbahaya dari letusan nuklear di Chernobil dan Fukushima. Wajah yang berselirat dengan dendam dan kedengkian yang membara sehingga merentungkan seluruh sakinah dinuraninya yang terdalam.


Jun ini, pesta Harumanis sudah berada dipenghujungnya. Kini hanya tinggal Sala, Susu dan Sun Shine di negeri Darul Sunnah yang disinggahinya buat seketika. Berita yang dikhabarkan oleh Prof. Belimbing tidak sedikitpun mengejutkan dirinya. Bukti telah nyata di mana-mana. Cuma hatinya tersayat pilu, betapa Limau yang dihormatinya telah jauh tergelincir dari landasan yang benar. Pekung telah terbuka. Kesalahan yang selama ini dinafikan telah nyata zahir dan batinnya. Kesalahan yang berulang-ulang dan luar biasa. Kesalahan yang menyalahi norma tumbuhan di gugusan kepulauan Ceri yang dikasihinya. Kesalahan yang tidak memungkinkan tertubuhnya negara sejahtera di bawah pimpinan sebiji Limau yang pandai memanipulasikan keadaan lagi suka bermuka-muka.


Ceri membetulkan tempat duduknya. Kerusi yang terbuat dari jati itu agak selesa untuknya. “Masih belum terlambat Limau.. andai kau segera memperbetulkannya. Tiada tumbuhan yang sempurna dan pintu taubat masih terbuka. Seluas-luasnya". Ceri berbisik perlahan lalu menghembuskan bisikan itu ditelapak tangannya. Bisikan itu terbang bagai gugusan awan yang dibawa oleh angin. Jauh sekali . Dan akhirnya.. perlahan-lahan ia singgah di telinga sang Limau yang sedang asyik dengan dunianya. Antara dengar dan tidak.


Saturday, February 26

Ujian Kepemimpinan




terlalu ramai pengikut..

terlalu lama berada di puncak kuasa..

terlalu banyak musuh..

terlalu banyak di puji dan di puja..

terlalu banyak pengampu..

terlalu banyak harta..


Kepemimpinan adalah satu ujian. Para pemimpin terkemuka diuji dengan kuasa, harta, keluarga dan kemasyhuran. Lebih besar kredibiliti dan ketokohannya, lebih hebat ujian yang mendepaninya. Bukan sedikit tokoh yang memasuki dunia politik pada asalnya untuk memperjuang dan membangun negara akhirnya terseleweng jauh dari landasan perjuangannya.


Sekali air bah... sekali pantai berubah. Justeru, usah terlalu taksub pada satu-satu kepimpinan. Dan, usah juga terlalu memuja seseorang pemimpin. Sebaliknya, bantulah ia untuk menegakkan kebenaran dan kembali ke jalan yang lurus.. sebelum langkahnya terpesong jauh dan.. tak dapat diselamatkan lagi.


Berhati-hatilah wahai pemimpin. Jangan sampai senjata makan tuan. Masih ingat lagi kata seorang sahabat sebagai jawapan balas kepada Saidina Umar Ibnu Al-Khatab selepas dilantik sebagai khalifah?


"Kiranya engkau silap Wahai Umar, pedang ini akan meluruskannya!".



Thursday, July 22

Kepemimpinan & Kepengikutan




Dalam kebanyakan masa, pemimpin memimpin dan pengikut mengikut.

Namun, adakalanya, pemimpin perlu dipimpin dan pengikut.. perlu diikut.


Friday, May 28

Beza Antara Kita




Pemaaf adalah sifat kami ketika menjadi raja

darah tertumpah ketika kamu menjadi penguasa

biarkan ada perbezaan ini di antara kita

kerana setiap bejana menjadi basah oleh isinya.


~ penyair~




* petikan dari buku: Yusuf Al-Qardhawi, (2007). 12 peribadi cemerlang Ibadurrahman: Ciri yang disebutkan oleh Allah 1500 tahun dahulu, Kuala Lumpur: Blue T. Publications Sdn. Bhd.
* Foto: Mekah 1937.

Saturday, January 23

Kemangkatan Sultan Johor




JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, yang memerintah Johor hampir tiga dekad, mangkat pada jam 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini kerana gering. Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Pejabat Kerajaan Negeri, Bukit Timbalan, kira-kira jam 11.30 malam tadi. Baginda yang meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 putera dan puteri, akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, kira-kira jam 2 petang ini.


Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada jam 11.30 pagi Jumaat, 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981. Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan. Terdahulu, di Istana Besar di sini, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad, mengumumkan pelantikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail sebagai Pemangku Raja. Pelantikan itu dibuat mengikut Fasal 9(1)(b) dan 9(2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.


Abdul Ghani pada sidang akhbarnya, berkata pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor pada jam 1 tengah hari di Istana Besar sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar. Beliau turut mengumumkan hari ini cuti umum untuk seluruh negeri Johor dan semua majlis rasmi termasuk hiburan serta keramaian dibatalkan, manakala tempoh berkabung ialah selama tujuh hari dengan semua bendera negeri dikibarkan separuh tiang bermula jam 6 pagi hingga 6 petang. Abdul Ghani berkata, baginda dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangkat pada jam 7.15 malam tadi. Katanya, manakala Istiadat pemakaman Diraja akan bermula pada jam 9 pagi ini di Dewan Besar Istana Besar di sini, dengan orang ramai boleh menziarahi jenazah sehingga jam 10.30 pagi.


Menteri Besar berkata, mulai 11 pagi hingga 12 tengah hari pula adalah penghormatan terakhir untuk orang kenamaan dan kerabat Diraja. Beliau berkata, jenazah Almarhum akan dibawa dari Istana Besar pada jam 1.30 tengah hari sebelum disembahyangkan di Makam Diraja, Bukit Mahmoodiah pada 2 petang.


Abdul Ghani yang baru pulang dari mengikuti lawatan Perdana Menteri di India, berkata semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan majlis tahlil selama tujuh hari se lepas istiadat pemakaman jenazah.


“Tempoh berkabung bagi kerabat Diraja ialah 40 hari manakala rakyat biasa selama tujuh hari,”

katanya.


Peraturan berkabung bagi lelaki Melayu ialah bersongkok lilit putih dua inci manakala bagi bangsa lain ialah kain hitam lebar tiga inci di lengan kiri.


“Bagi upacara pemakaman, lelaki Melayu berbaju Melayu teluk belanga serba hitam dan lilitan kain putih di songkok hitam dan bagi lelaki bukan Melayu, sut hitam bertali leher dan kain hitam tiga inci di lengan kiri,” katanya.





Wednesday, December 16

Tajdid Iman: Agenda Jahat Bertopeng Kebebasan Bersuara




Oleh Dr Juanda Jaya


Pemimpin muslim perlu amanah, waspada dengan golongan bencikan kesatuan negara Islam


TANYA seorang sahabat Muslim kepada saya ketika berceramah di Kuching, Sarawak, tidak lama dulu. "Ustaz, adakah sebagai penjawat awam, saya berdosa kerana meluluskan pelan rumah ibadat bukan Islam?"


"Saya pula dalam dilema kerana diarahkan pihak atasan untuk meluluskan permohonan tanah bagi pembinaan kuil di kawasan tapak tanah yang cukup luas," soal seorang lagi sahabat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid di kawasan Petra Jaya. Saya katakan kepada dua sahabat ini. "Buatlah kerja kamu kerana kamu penjawat awam sebuah negara yang menjalankan polisi memberikan hak dan keadilan kepada semua rakyatnya, Muslim dan bukan Muslim. Bahkan kalau kamu menzalimi golongan zimmi (bukan Islam), dosanya adalah umpama zalim kepada sesama Muslim." Ini dijelas hadis Rasulullah yang bermaksud:


"Sesiapa yang menyakiti golongan zimmi, maka umpama menyakiti Aku (Nabi SAW)."


Inilah realiti kita di negara ini. Di antara punca dilema ini ialah sebahagian umat Islam tidak faham struktur sebuah negara Islam yang sebahagian rakyatnya adalah golongan bukan Islam yang mengikat perjanjian atau kontrak perlembagaan dengan mereka untuk sama-sama setia kepada sebuah negara. Apabila sudah berlalunya masa, sebahagian golongan bukan Islam pula lupa daratan dan buat tidak faham terhadap konteks kontrak perlembagaan tadi. Lebih parah apabila isu ini dipolitikkan ke arah merugikan semua pihak.


Islam mengajar umatnya untuk berlaku adil kepada zimmi yang mengikat perjanjian dengan mereka. Namun yang menjadi masalah ialah apabila sebahagian mukmin lebih menyayangi zimmi berbanding saudara Muslimnya yang dituduh zalim. Mereka tidak menyedari bahawa semangat kebencian keagamaan dalam diri sesetengah manusia terhadap agama lain adalah suatu hal yang tidak dapat dihapuskan dengan mudah.


Tidak dapat dinafikan akan sentiasa wujud pihak yang mahu menimbulkan huru-hara dan anarki dalam masyarakat dengan mencetuskan pelbagai isu yang boleh membakar sentimen terutama isu bangsa dan agama demi memenangkan politik mereka. Sikap mereka yang pandai bermuka-muka tetapi menyimpan agenda jahat terhadap Islam selalu ditopengkan dengan slogan kebebasan bersuara, persamaan hak dan demokrasi. Sekali lagi umat Islam keliru siapa kawan dan siapa lawan dalam membuat keputusan politik. Mereka mula menuduh sesama Muslim sebagai gagal memberi hak kepada golongan minoriti. Apakah mereka ini sudah 'buta'?


Mungkin juga benar mereka 'buta' akibat kerap menukar kaca mata dan sudut pandang hasil berpolitik yang tiada batasan. Umar bin Abdul Aziz pernah memansuhkan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pentadbiran khalifah sebelumnya mengenai kewajipan membayar jizyah bagi orang yang baru masuk Islam. Padahal dalam syariat, jizyah hanya diwajibkan kepada zimmi saja. Disebabkan jumlah mereka yang ramai masuk Islam sehingga menyusutkan pendapatan negara, maka pentadbir bertindak sewenang-wenangnya mengambil jizyah dari mualaf atas anggapan mereka sengaja masuk Islam secara beramai-ramai untuk menghindari jizyah. Umar memecat pegawai dan petugas yang zalim ini dan menggantikan mereka dengan orang yang adil dan salih (pandai mentadbir). Beliau memerintahkan hakim agar tidak seorang pun Muslim atau bukan Muslim dihukum tanpa keadilan. (Tarikh al-Tabari Jilid 5 halaman 314-315 dan Al-Kamil oleh Ibn al-Athir Jilid 4 halaman 158).


Meneladani pentadbiran Umar bin Abdul Aziz, pemimpin Islam yang mewakili apa saja bendera politik hendaklah bekerja dengan amanah dan adil, tetapi berwaspada dengan gangguan mereka yang bencikan kesatuan negara Islam. Namun hal ini tidak menyebabkan mereka menafikan hak bukan Muslim yang mengikat perjanjian dengan negara Islam untuk sama-sama menjaga keamanan dan kedamaian masyarakat seluruhnya. Tuntutan yang bersifat provokasi dan prejudis hendaklah dilayan dengan jawapan yang makruf tetapi tegas dan berwibawa supaya tidak timbul sentimen perkauman yang boleh memusnahkan semua golongan. Jika mereka mahukan penjelasan, kemukakan data dan hujah yang tepat. Jelaskan hak dan tanggungjawab semua pihak, jangan hanya buat perbandingan matematik yang kaku dan tiada perasaan.


Hakikatnya, umat Islam di Malaysia amat menghormati agama lain dan tidak wujud sebarang usaha menzalimi mereka seperti yang dialami umat Islam minoriti di negara lain. Bukankah ini bentuk bantuan yang lebih bermakna? Padahal umat Islam, contohnya di United Kingdom yang melaungkan slogan kebebasan beragama, amat sukar untuk umat Islam keluar sekejap untuk hadir solat Jumaat, solat Hari Raya sampai perlu dilakukan enam kali kerana masjid yang sempit dan tidak dibenarkan solat serentak hingga memenuhi jalan raya atas alasan mengganggu trafik. Azan hanya dalam masjid, bahkan sesetengah tempat dilarang pakai mikrofon.


Terkini, Switzerland, simbol kebebasan dan demokrasi dunia, melarang pembinaan menara masjid. Apa kaitan menara dengan keadilan dan kebebasan? Inilah slogan yang berbeza dengan amalan, tapi ramai manusia yang 'butakan' kebenaran. Apa maknanya bantuan wang jika kebebasan beragama disekat, dihalang dan diharamkan? Apakah sehingga perlu pentadbiran agama selain Islam dikuasai pemerintah dan terganggu oleh 'politiking' pentadbir? Pada masa itu nanti, akan timbul tuduhan yang baru pula.



Nota:
1. Sumber: Berita Harian
2. Adil = meletakkan sesuatu pada tempatnya
3. Perbuatan baik perlu disertai dengan kebijaksanaan agar impaknya lebih mengesankan dan tidak dimanipulasi oleh pihak yang berpentingan.


Tuesday, December 1

Satu Pilihan






Kejahatan boleh saja.. dibalas kejahatan



namun seorang hakim..

dia memilih - menegak keadilan



dan seorang guru..

dia memilih - mencanai ihsan.. membangun peradaban.


Friday, August 21

Warkah Buat Limau



Ada rahsia hati yang tersembunyi kata Cik Cendawan. Rahsia hati Cik Cendawan pada Limau yang kini tinggal kenangan. Ceri terdiam. Membuka sampul surat biru berbunga putih dengan berhati-hati. Di dalamnya ada warkah biru berbau harum bak kasturi. Di tengah-tengahnya terselit sehelai sapu tangan putih berbunga halus warna ungu dalam tulisan jawi yang indah:









Warkah Buat Pemimpin

Wahai pemimpin yang dikasihi
Jadilah dikau misykat yang menerangi
Pengikutmu dahaga pimpinan, bukan pembohongan
Pengikutmu rindu kesantunan, bukan cacian
Pengikutmu mengharap kebijaksanaan, bukan ketergesaan

Wahai pemimpin yang dikasihi
Hari-hari yang malang mengekori
Saat dikau mencabul kehormatan dustur Ilahi
Membiar todak melanggar negeri
Membunuh Nadim, mengangkat Haman

Wahai pemimpin yang dikasihi
Musuhmu berbaris dengan wajah manis
Sedang hati busuk berulat
Menyanjungmu dihadapan, menikammu di belakang
Mengumpanmu dengan kebesaran… kesombongan
Memecah saf, meletus dendam

Wahai pemimpin yang dikasihi

Dirimu bukan bayangan tuhan di bumi
Tapi khalifah, pemegang amanah
Fajar baru telah menjelma
Pengikutmu yang arif lagi mukhlis
Kan bangkit diserata buana
Meninggalkanmu terpinga sendirian
Atau membenammu ke pusara kegelapan
Dan membina barisan baru
Andai kau terus-terusan begitu






Ciri-ciri Pemimpin Sejati

Oleh NUR HIDAYAH ZULKIFLI



PADA satu hari, Abu Dzar al-Ghifari meminta Rasulullah SAW melantik dirinya menjadi pegawai, tetapi Rasulullah menolaknya.


Sambil menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu, Baginda bersabda: ''Tidak, Abu Dzar, engkau orang lemah. Ketahuilah, jawatan itu amanah. Ia kelak di hari kiamat merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mendapatkannya dengan betul dan melaksanakan tugas serta kewajipannya dengan betul pula.''


Imam Nawawi menyebut hadis di atas merupakan pedoman dasar dalam berpolitik. Politik mampu menjadi sumber petaka bagi orang yang tidak bertanggungjawab.

Namun kata Nawawi, politik juga boleh menjadi ladang pengabdian dan amal soleh yang subur bagi orang yang mampu dan bertanggungjawab. Politik (kekuasaan) bukan sesuatu yang buruk. Ia ibarat pisau bermata dua; ada baik dan buruknya.

Ia menjadi baik dengan tiga syarat - seperti dalam hadis di atas - iaitu berada di tangan orang yang berkemampuan, diperolehi dengan cara yang betul dan dipergunakan untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Malangnya, dalam percaturan politik kini, orang kerap hanya bercakap satu perkara, iaitu bagaimana merebut kekuasaan. Bukan bagaimana mempergunakan kekuasaan itu serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan lebih daripada itu kepada Allah SWT.

Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa kuasa sememangnya sesuatu yang menggiurkan kerana dengan kuasa, individu berkenaan membayangkan dia boleh mencapai apa juga impiannya. Menurut Imam Ghazali, dibandingkan dengan harta, kuasa jauh lebih menggoda.

Ia berasaskan kepada tiga alasan iaitu, pertama, kuasa mampu menjadi alat untuk memperbanyakkan harta. Dengan kuasa, seseorang boleh mengayakan dirinya.

Keduanya, pengaruh kekuasaan lebih kuat dan lebih lama. Harta, kata Imam Ghazali, boleh hilang kerana dicuri atau berkurangan.

Namun itu tidak berlaku kepada kekuasaan kerana ia bererti pengaruh seseorang pemimpin di kalangan pengikut dan penyokongnya. Ketiga, kekuasaan menimbulkan kesan populariti yang sangat luas.

Bagaimanapun apa yang harus difahami menjadi pemimpin tidak hanya menerima amanah rakyat, tetapi juga menerima amanah Allah. Pemimpin adalah 'hamba' kepada rakyat. Pemimpin yang mengkhianati dan menodai hak rakyatnya, bererti menggugat dan mengabaikan amanah Allah.

Hakikatnya, menjadi pemimpin bukan mencari kekayaan, tetapi pengabdian. Menjadi pemimpin bererti melaksanakan ibadah yang paling berat untuk melunaskan amanah rakyat dan Allah.

Seorang pemimpin yang baik sentiasa membersihkan batinnya kerana dia sedar niat yang tidak baik boleh menjadikan kekuasaan yang dimiliki sebagai sesuatu yang boleh dijual beli.

Akibatnya, dia mungkin akan tergoda untuk menipu dan membohongi rakyat. Rasulullah bersabda: ''Tiada seorang hamba yang diberi amanah Allah untuk memimpin rakyat kemudian menipu mereka, melainkan Allah mengharamkan syurga baginya.''

Apabila masyarakat lebih mementingkan kebendaan sehingga segalanya harus dibayar dan kemuliaan seseorang hanya diukur oleh berapa banyak harta yang dimilikinya, maka godaan yang paling besar bagi para pemimpin, birokrat dan mereka yang berada dalam lingkaran kekuasaan ialah harta.

Para pemimpin atau wakil rakyat yang lemah imannya, nescaya akan mudah terperangkap dalam penjara hawa nafsu yang dibungkus dengan kata-kata indah, iaitu korupsi, kolusi dan nepotisme.

Oleh itu seorang pemimpin tidak harus terpengaruh dengan kekuasaan yang dimiliki, sebaliknya berusaha menjadi pemimpin yang dihormati dan melaksanakan amanah dengan sebaik-baik.
Dalam soal ini apa yang dilakukan ialah Khalifah Umar Al Khattab seperti mana yang dipaparkan dalam cerita berikut boleh dijadikan teladan.



Satu hari, selepas selesai mengimamkan solat Asar, Khalifah Umar bertanyakan mengenai seorang sahabatnya yang tidak datang.

Dia diberitahu bahawa sahabat tersebut sedang sakit. Umar segera meluangkan masa menziarah sahabatnya itu.

Sampai di rumah sahabat yang sakit tersebut, Umar mengetuk pintu memberi salam. Dari dalam sahabat berkenaan menjawab salam dan bertanya: ''Siapa di luar?'' Umar menjawab: "Umar bin Khattab." Mendengar yang datang adalah Amirul Mukminin, sahabat tersebut terus bangun dan segera membuka pintu.

Melihat keadaan sahabatnya itu, Umar bertanya: ''Kenapa engkau tidak bersolat berjemaah bersama kami? Sedangkan Allah telah memanggilmu dari langit yang ketujuh, tetapi engkau tidak menyambutnya! Sedangkan panggilan Umar bin Khattab membuatkan kau gelisah dan ketakutan?"

Hikmah di sebalik peristiwa ini ialah, pertama, seorang pemimpin yang baik bukan semata-mata berasa cukup dengan kesolehan dan ketakwaan dirinya, tetapi dia juga berasa bertanggungjawab untuk mengajak mereka di bawah tanggung jawabnya untuk menjadi soleh.
Kedua,
pemimpin yang soleh tidak akan pernah berasa bangga dengan penghormatan yang diberikan oleh orang bawahannya. Dia tidak mahu mereka hanya mengikut apa sahaja katanya biar pun apa yang dilakukan adalah salah.

Jika itu berlaku maka terjadilah apa yang disumpahkan Allah dalam surat Al-Ashr bahawa mereka semua akan berada dalam kerugian. Itulah sebabnya ketika seorang sahabat melarang sahabat lainnya kerana terlalu sering menegur Khalifah Umar dengan ucapannya: ''Takutlah kepada Allah, hai Umar''. Ternyata teguran itu justeru disokong Umar sendiri. Umar berkata: ''Biarkan dia mengatakannya. Kalau orang-orang ini tidak menegurku sedemikian, maka mereka menjadi tidak berguna dan jika aku tidak mendengarkannya, maka aku bersalah.''

Oleh itu kepada mereka yang bergelar pemimpin dan keluarga mereka sedarilah tanggungjawab yang ada di bahu mereka. Janganlah ingat apabila kita berkuasa dan berpengaruh kita boleh melakukan apa sahaja.

Janganlah memperdayakan rakyat dengan mainan politik kita kerana akhirnya kebenaran pasti akan mengatasi kebatilan. Mungkin demi kepentingan politik dan berebut kekuasaan, kita rela melakukan apa sahaja tetapi percayalah hasrat untuk berkuasa dengan menggunakan kepalsuan sebagai senjata tidak akan bertahan lama.

Akhirnya, pemimpin seumpama itu pasti akan kecundang, kesudahannya dia bukan sahaja akan mengalami kerugian di dunia tetapi juga akhirat.

Begitulah juga dengan keluarga mereka, janganlah kerana ada ahli keluarga kita pemimpin yang berkuasa, kita berasaskan boleh melakukan apa sahaja.

Ingatlah seseorang pemimpin itu berada di tampuk kekuasaan berikutan sokongan rakyat dan sokongan tersebut diberikan demi kesejahteraan mereka bukan untuk diri pemimpin atau keluarga pemimpin berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: ''Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Dan, seburuk-buruknya pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka membenci kamu, dan kamu melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu.''

PENULIS ialah Pendakwah Bebas


Nota: Ambilan dari Utusan Malaysia

Friday, July 17

Hikayat Labu-Labi




"Saya sedih dengan labu-labi pulau kita. Entah ke mana akal mereka. Mudah saja mengkafir dan menuduh sesat saudara seagama. Seolahnya dialah saja buah yang paling beriman dan alim. Menebang balak memang mudah berbanding memugarnya. Lucunya, tahu pula berkasih-sayang dengan parasit harbi yang hanya mencari ruang untuk menghancurkan mereka. ". Prof Belimbing meluah rasa. Sakit benar hatinya.


Pintu bilik persidangan disendal dengan kerusi biru. Udara sejuk memenuhi ruang dari pendingin hawa berpusat. Ceri memasang telinga sambil matanya merenung draf kertas cadangan yang sedang disemak oleh Prof Belimbing. Sungguh dia ikut terpanggil dengan situasi yang melanda.


"Dalam kehidupan kita perlu bersikap realistik dan strategik. Idealistik sahaja tidak mencukupi. Cuba lihat bagaimana pendekatan parasit Khuldi menguasai ekonomi dan senario politik dunia. Mereka banyak menyelidik dan berfikir. Memahami psikologi tumbuhan dan menggunakan apa saja pendekatan untuk menyebarkan ideologi dan mengukuhkan pengaruh mereka. Kita tak akan mampu melawan mereka selagi hidup bertunjangkan nafsu dan sifat terburu-buru. Setiap perkara perlu ditimbang dengan teliti. Gunakanlah akal dan hati. Hayati perintah Iqra' dan bertindaklah dengan bijaksana secara berjemaah. Ini yang tidak ada pada kepimpinan labu-labi pulau kita". Prof. Belimbing menambah lagi. Jarinya yang kuning keemasan ligat menanda kertas cadangan di depannya dengan pen ungu. Di luar, siswa-siswi baru lalu lalang mencari bilik kuliah.


"Hm, apa pula pendapat Prof tentang Limau". Ceri terkenang sahabatnya yang sudah lama tidak ditemui itu. Dia hanya mengikuti perkembangan Limau melalui akhbar Warta Tumbuhan dan laman blog Limau yang mesra buah.


" Ceri, memimpin pulau sama juga dengan memimpin sebuah keluarga. Perlu ada keseimbangan antara kasih-sayang dan ketegasan. Setiap anak ada perangai masing-masing dan ibu -bapa perlu menggunakan pendekatan yang sesuai dengan watak masing-masing untuk memastikan mereka terdidik dengan baik dan seterusnya menjadi tunggak keluarga. Jangan kerana takut mereka merajuk kita berikan apa saja yang mereka mahu. Jangan rosakkan mereka dengan kemewahan kerana mereka tak akan pernah puas dan akan sentiasa meminta sehingga ibu-bapanya muflis dan papa kedana". Prof Belimbing menarik nafas panjang. Kertas cadangan yang sudah bertanda dengan pen ungu diserahkan semula kepada Ceri.


"Sayangkan anak tangan-tangankan ya Prof. ?". Prof Belimbing tertawa lalu menyambung: "Ya Ceri... sebelum terlambat!". Ceri ikut tertawa sambil mindanya mula merangka-rangka strategi untuk memulihkan krisis labu-labi yang kian meresahkan masyarakat buahnya. Sungguh, dia sentiasa percaya, Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum selagi mereka sendiri tidak berusaha untuk merubahnya.



Wednesday, May 13

Setelah 51 Tahun Merdeka



Tragedi berdarah 13 Mei 1969 masih berbekas. Rusuhan kaum yang berpunca dari jurang ekonomi antara kaum yang terlalu jauh sewajarnya menjadi peringatan yang mendalam kepada generasi hari ini. Dalam era globalisasi, jurang ekonomi bukan lagi masalah utama yang bakal menggugat kestabilan negara. Sebaliknya, perhatian kini tertumpu terhadap krisis kepimpinan, integriti dan percaturan politik mutakhir.


Seorang teman berkata, rakyat yang ‘korup’ akan memilih pemimpin yang juga ‘korup’. Dengan itu, wajarkah sistem demokrasi dipersalahkan dalam krisis kepimpinan hari ini? Atau sebenarnya rakyat sudah terlalu bijak dan terlalu berani menanggung apa jua risiko sehingga mencetuskan pelbagai polemik yang tidak terduga? Justeru, apakah kini kita perlu kembali kepada sistem monarki secara total agar tidak berlaku perebutan kuasa antara rakyat jelata? Jika ini berlaku, bagaimana pula untuk menjamin peristiwa ‘Sultan Mahmud mangkat dijulang’ atau perebutan kuasa antara Raja Yusuf, Raja Ismail dan Raja Abdullah setelah kemangkatan Raja Ali di Perak tidak berulang kembali dalam lipatan sejarah tanah air. Atau kita mungkin memerlukan sistem demokrasi terpimpin atau satu badan syura yang benar-benar berkredibiliti, telus dan adil untuk memilih dan melatih pemimpin di peringkat nasional? Sebuah badan yang berupaya memastikan setiap calon yang bertanding bukan sahaja berupaya menerajui negara tetapi juga seorang negarawan tulen yang memiliki semangat patriotism, integriti dan daya juang yang tinggi walau dari parti mana sekalipun mereka berasal. Jika ya, siapa pula yang benar-benar layak dan berwibawa untuk menerajui dan mewakili badan tersebut dan berapa ramaikah pula bilangan pemimpin sedia ada yang berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan sama ada dari barisan kerajaan mahupun pembangkang?

Thursday, April 16

Watikah




"Ceri... tahniah!". Sekeping warkah ungu bertukar tangan. Watikah perlantikan dirinya sebagai Presiden Majlis Belia Ceri Serantau begitu menggamamkan.

"Kenapa saya Ku... bukankah kita punya ramai lagi belia pewaris adam dalam kesatuan kita?". Ciku geleng kepala.


"Itu kehendak majlis mesyuarat Buah-buah Comel Serantau. Awak sepatutnya bangga! ". Sudah lama Ciku memperjuangkan koata 30% daripada jawatan kepimpinan kepada wanita.

"Ku... ini petanda bahaya".


"Petanda bahaya? Ceri... mana pula bahaya, glamour adalah. Jangan lupa tempah busana terkini Ceri. Mesti esok ramai wartawan yang datang". Ceri tertawa. Kemilau bintang bukan impian meski dia punya pakej bintang. Sedari dulu, dia memilih untuk hidup sederhana dan jauh dari publisiti.

"Err... Ceri, atau ada samseng adam yang ugut bunuh?" Ciku mulai cemas. Bimbang jika kuman merah dari daerah timur laut berjangkit ke lembah mutiara. Mesej yang tertera dalam Nilam 007 segera dibeleknya dengan teliti.


"Bukan begitu". Ceri geleng kepala dalam senyum tenang. "Ku... bila hawa menerajui saf kepimpinan tertinggi, itu petanda kualiti adam kini membimbangkan". Ciku terdiam. Penyataan Ceri menjentik tangkai hatinya. Watikah ungu bertukar tangan dan minda Ciku mula ligat merangka sesuatu.


Friday, March 20

Politik Wang Jejas Akidah




Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID


NABI Muhammad SAW pernah diberi gelaran 'Al-Amin' kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti Baginda memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran itu telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraisy kepada Baginda.


Gelaran ini tidak hanya diakui oleh umatnya tetapi seluruh masyarakat Arab waktu itu. Ia sebagai bukti bahawa kepimpinan akan menjadi berwibawa jika ada kejujuran dan ketegasan demi menegakkan kebenaran.


Dalam konteks negara kita, usaha kerajaan untuk membasmi gejala rasuah, politik wang, penyelewengan dan salah guna kuasa merupakan manifestasi daripada intipati sifat Al-Amin dalam konteks kepimpinan yang diredai Allah. Ia bertepatan dengan kaedah dan ajaran yang disarankan oleh Rasulullah SAW.


Umat Islam harus diciptakan menjadi umat yang mempunyai semangat jihad untuk melawan apa jua bentuk rasuah. Pengajaran penting daripada tindakan kerajaan ke atas isu-isu berkaitan politik wang adalah untuk melahirkan semangat jihad memerangi rasuah.


Paling penting, orang yang bakal dipilih sebagai pemimpin itu mestilah boleh dipercayai dan jujur.


Tindakan Lembaga Disiplin UMNO terhadap mereka yang mengamalkan politik wang adalah bukti ketegasan parti tersebut untuk memerangi rasuah.


Persoalannya, mengapa sesetengah ahli masyarakat ada kecenderungan melakukan rasuah? Jawapannya, kerana tiada kejujuran. Mereka takut kepada bayang-bayang sendiri padahal ketakutan itu sebenarnya berpunca dari dalam diri mereka sendiri.


Perlu diingat, kedua-dua pihak yang memberi dan menerima rasuah merupakan golongan yang berdosa. Sekiranya tidak ada yang memberi walaupun diminta, sudah tentu rasuah tidak berlaku dan begitu juga sebaliknya.


Permasalahan politik wang seakan-akan tidak berkesudahan. Orang Islam yang meyakini akan adanya hari pembalasan tentunya tidak akan menganggap masalah itu biasa sahaja. Ini kerana kesan daripada perbuatan rasuah akan mengikis akidah seseorang.


Golongan tersebut terlalu meyakini bahawa wang adalah segala-galanya dan wang juga boleh membuatkan mereka berkuasa. Jika tidak dibendung, mereka boleh menjadi seumpama Firaun yang tidak mempercayai kekuasaan Allah SWT dan hanya bertuhankan kuasa dan harta benda.
Bagi golongan ini, harta dan kekayaan adalah kuasa. Percayalah bahawa kepimpinan atau kekuasaan yang diperolehi secara haram itu tidak akan kekal lama kerana ia tidak diredai oleh Allah SWT.


Ketika pertama kali Nabi SAW menerima wahyu daripada Allah SWT, Baginda berasa bingung. "Siapakah yang akan aku ajak? Dan siapakah pula yang akan mendengarnya?"


Sudah sewajarnya apabila Khadijah percaya kepadanya, ia bermakna telah mengambil berat perihal Baginda. Selama hidupnya, Baginda SAW adalah seorang yang jujur.


Lalu Khadijah menyatakan keimanannya atas kenabian tersebut. Ia merupakan hadiah kepercayaan daripada orang lain sebagai balasan kerana kejujuran Nabi SAW.


Baginda adalah contoh pemimpin sejati dan memiliki prinsip. Prinsip itulah yang menciptakan kepercayaan dan pengaruh luar biasa ke atas pengikutnya.


Suatu ketika sahabat Baginda, Utbah menawarkan harta, pangkat malah kedudukan sebagai raja. Rasullullah SAW menjawab dengan membacakan surah As-Sajadah.


Maka Utbah melihat yang berdiri di depannya itu bukanlah seorang lelaki yang berhasrat memiliki harta duniawi tetapi seorang insan yang mahu mengajak manusia ke arah kebaikan.
Baginda mempertahankan sesuatu dengan baik dan menggunakan kata-kata dengan penuh berhemah. Baginda menolak tawaran dengan cara yang begitu mempesonakan.


Dalam hal ini, terdapat banyak hadis sahih yang menunjukkan Baginda melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah. Rasuah adalah satu daripada dosa besar manakala rasuah paling keji dan besar dosanya ialah rasuah berkaitan hukum. Ini kerana hukum ditetapkan oleh Allah SWT sementara manusia sebagai pelaksana sahaja.


Melakukan penyelewengan dalam hukum bererti melanggar perintah Allah. Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayat oleh Al-Tarmizi yang bermaksud: "Rasuah dalam urusan yang berkaitan dengan hukum adalah kufur."


Sementara itu, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasullullah bersabda: "Allah melaknat orang yang memakan riba, pemberi, kerani dan saksinya. Mereka itu adalah sama."
Seseorang yang menginginkan sesuatu jawatan atau kedudukan dalam pemerintahan, kemungkinan besar akan mengorbankan agamanya demi mencapai keinginannya itu. Dia mungkin rela melakukan apa sahaja meskipun perbuatan maksiat demi untuk mendapat atau mempertahankan kedudukannya.


Rasulullah SAW juga pernah menolak permintaan seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan dalam pemerintahan. Baginda bersabda yang bermaksud: "Kami tidak akan memberikan jabatan pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan bercita-cita untuk mendapatkannya."


Alasan penolakan itu ialah kerana bimbang orang yang bercita-cita tinggi seperti itu akan berani melakukan apa sahaja demi mendapatkan jawatan tersebut.


Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Manusia apabila melihat kemungkaran, tidak merubahnya, maka dipastikan hampir sahaja Allah menimpa akan seksaan secara menyeluruh." (Riwayat Ahmad)


PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)