Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Persepsi. Show all posts
Showing posts with label Persepsi. Show all posts

Tuesday, May 5

Cantik


Sayangi diri dan terima diri seadanya. Setiap kita cantik dalam cara tersendiri. Kecantikan datang dari kesihatan. Kesihatan datang dari kebersihan dan tatacara hidup yang sempurna.


Definisi cantik sentiasa berubah mengikut zaman dan mata yang memandang. Usah biarkan diri terseksa dan binasa hanya semata-mata untuk memenuhi definisi kecantikan orang lain yang tidak relevan. Hitam atau putih, tinggi atau rendah, kurus atau gemuk, besar atau kecil, kurus atau kerinting, masing-masing punya kecantikan dan tarikan tersendiri. Kerana ingin putih, Micheal Jackson merana. Kerana inginkan kulit tan dan memiliki susuk tubuh yang menawan, ramai wanita menderita kanser. Kerana ingin kurus, ramai remaja wanita menderita bulimia dan aneroksia nervosa yang akhirnya membawa kepada kematian. Kerana ingin dipandang cantik, sebilangan wanita Asia mengambil susuk dan mengamalkan rejim kecantikan yang menjauhkan diri dari Tuhan.


Diri kita mempunyai haknya tersendiri. Mengorbankan kesihatan untuk 'cantik' adalah kesilapan yang sangat besar. Apatah lagi apabila ianya melibatkan akidah yang bakal melupuskan peluang untuk kekal cantik selamanya di syurga abadi. Ianya jelas menzalimi diri sendiri.


Kecantikan sebenar lahir apabila kita mensyukuri keberadaan diri seadanya dan memelihara setiap aset yang dimiliki sebaiknya sebagai ibadah. Kecantikan sebenar lahir dari keyakinan yang tidak berbelah bagi, ilmu yang benar, hati yang bahagia, tuturkata yang terpelihara, personaliti yang seimbang, kesederhanaan, nama yang baik dan tingkah-laku yang terpuji. Hargai diri sendiri dan berbahagialah kerana setiap kita cantik dalam cara tersendiri.


Tuesday, March 24

Makna?



"Kehidupan yang bermakna"


Ayat di atas adalah salah satu jawapan stereotype terhadap persoalan - "apa yang anda mahukan dalam hidup?".
o
Apakah sebenarnya kehidupan yang bermakna itu? Adakah kehidupan yang dilalui hari ini penuh makna? Bagaimana memberi makna dalam kehidupan? Bagaimana mengukurnya? Apa natijahnya?


Seorang teman, Cikgu Hana (bukan nama sebenar) memberitahu saya Asar tadi:


"Kehidupan saya sederhana tapi penuh bermakna. Jangan sekali-kali kata tak cukup. Bersyukur dengan apa yang kita miliki, dengan apa yang Allah berikan. Jangan sekali-kali berkeluh-kesah. Tanggungjawab memang banyak, jadual memang sentiasa penuh dengan pelbagai agenda, namun yang penting kita ada kehidupan yang bermakna".


Kehidupan yang bermakna adalah kehidupan yang terpandu dengan ilmu yang benar serta penuh dengan kebaikan. Ilmu menurut perspektif Syed Naquib al-Attas adalah "the arrival of the meaning to the soul" (saya terjemahkan sebagai kehadiran makna dalam jiwa seseorang). Justeru, seseorang itu hanya dikatakan berilmu apabila jiwanya penuh dengan makna. Lebih banyak makna yang berhimpun di dalam jiwanya, lebih mudah manusia memahami tujuan hidupnya, memahami apa yang terbaik untuk dirinya, mengetahui natijah atas apa jua yang dilakukannya, menghargai segala yang dimilikinya, menjadi insan yang berguna, memanfaatkan sumber dan kekuatannya, membangunkan diri, keluarga dan masyarakatnya, berhikmah dalam setiap tindakannya jua sentiasa tenang, redha dan berbahagia dalam menjalani kehidupannya.
O
Hanya orang yang berilmu dan memanfaatkan ilmunya berupaya menjalani kehidupan yang bermakna. Dengan ilmu, manusia berupaya memahami pelbagai makna dan menterjemahkannya. Dengan memahami makna, manusia menjadi bijaksana dalam mendepani kehidupannya. Dengan kebijaksanaan, manusia menjana kebaikan sebanyak-banyaknya sebagai kenang-kenangan untuk generasi yang bakal ditinggalkan, jua bekalan kembara nan jauh sesudah ajal 'bertandang' - tidak lama lagi.

Thursday, February 26

Duyung




Pada suatu hari, sebuah kapal telah pecah lalu karam di tengah samudera. Ramai yang mati lemas ditelan gelombang. Seorang gadis sunti sempat berpaut pada sebatang kayu besar yang terapung-apung di laut. Setelah beberapa hari, ombak membawanya hampir dengan pantai. Tubuhnya terasa begitu lemah. Semangatnya kembali hidup ketika ternampak seorang pemuda sedang berjalan di tepi pantai. Sedaya upaya dia cuba melambaikan tangan kepada pemuda itu. Akhirnya pemuda itu mendapat isyarat gadis tersebut lalu segera ingin menyelamatkannya. Ketika itu barulah gadis itu tersedar yang tubuhnya tidak berpakaian. Malu dengan keadaan dirinya, gadis itu segera melepaskan pegangan tangannya pada kayu tersebut dan membiarkan dirinya lemas ke laut. Gadis itu kemudiannya dikatakan menjadi ikan duyung dan terus berenang-renang di laut luas.


Kisah ini diceritakan oleh seorang teman yang kini mungkin sedang bertugas di perbatasan. Meskipun sekadar mitos, ianya mengubah persepsi saya tentang duyung yang sering dikaitkan dengan imej seksi. Duyung adalah lambang gadis suci. Dia lebih rela mengambil risiko untuk lemas kerana ingin memelihara harga dirinya.
l

Monday, February 23

Korban



Berkorban apa saja... harta ataupun nyawa... itulah kasih mesra...sejati dan mulia

Anda setuju dengan bait lagu di atas? Ramai orang sanggup berkorban- harta, masa, tenaga, cita-cita, bahkan nyawa dan harga diri. Namun, sejauh manakah pengorbanan itu benar-benar diperlukan? Adakah pengorbanan itu mulia sifatnya atau malah menjatuhkan diri ke lembah kebinasaan. Yang pasti, setiap pengorbanan memerlukan kebijaksanaan agar pengorbanan itu benar-benar membawa manfaat dan bukan mudarat. Niat yang baik masih belum mencukupi. Tanpa kebijaksanaan, manusia mudah terpedaya dan dipergunakan. Manusia bukan kambing, biri-biri, unta atau lembu. Maka... manusia hanya layak untuk 'menunaikan ibadah korban' dan bukan untuk 'dikorbankan'.

Saturday, January 24

Laguku.. Lagumu




Irama dan lagu tak dapat dipisahkan. Andai terpisah, musnah tiada berjiwa -hampa. Itu pendapat Seniman Agung Negara, Tan Sri P Ramlee tentang lagu. Sayangnya, lagu-lagu yang ada terkadang melalaikan lagi melesukan pemikiran.


Lagu Luka vs Ceria


Setiap tahun, ribuan lagu digubah dan diperdengarkan. Namun secara purata, daripada 10 lagu yang ada, mungkin hanya 1 yang benar-benar membina lagi terjamin mutunya. Selebihnya lagu-lagu picisan, cinta luka, memuja kecantikan, kecurangan, prasangka dan pelbagai lagi yang tidak perlu disenaraikan di sini.


Serta-merta saya terkenangkan kata-kata seorang teman:


"Zura cuma tulis yang positif saja. Yang sedih-sedih Zura tak tulis. Kalau tulis yang sedih-sedih, bila baca semula kita jadi sedih".


Itu tentang diari yang ditulis untuk bacaan sendiri. Bagaimana pula dengan lagu-lagu yang digubah untuk tatapan umum? Tiada salahnya untuk berkongsi kesedihan dengan orang lain, namun sebaiknya pilihlah kesedihan yang berasas dan bermanfaat. Mungkin kesedihan yang dapat menyedarkan orang ramai tentang bahaya obesiti, budaya pengotor, pergaulan bebas, rokok, marah yang tidak dikawal, kejahilan beragama dan rasuah. Mungkin lagu-lagu yang membuatkan pendengarnya merasa takut dan malu atas keaibannya sendiri. Mungkin kesedihan yang dapat membangkitkan semangat perjuangan dan patriotisme.


Nama adalah Tanggungjawab


Setiap karyawan bertanggungjawab terhadap karya yang ditulisnya. Karyawan yang baik menulis bukan kerana nama. Sebaliknya, meletakkan namanya di situ kerana ia bersedia untuk bertanggungjawab terhadap setiap karyanya.


Setiap lagu memberikan implikasi sosial dan psikologikal samada secara sedar ataupun separa sedar. Lagu-lagu yang layu dan longlai menjadikan akal dan jiwa manusia ikut lesu dan keliru. Lagu-lagu yang positif dan membina menjadikan jiwa pendengarnya ceria, bersemangat dan tenang.


Alang-alang berkarya, tulislah karya mendidik jiwa. Alang-alanglah berkarya, tulislah karya yang bermanfaat kepada ummah lagi berpahala.


Meminjam kata sifu Faisal Tehrani: tulislah karya lingkungan jauh berbanding lingkungan dekat. Karya-karya yang berintikan falsafah, agama, politik dan isu-isu antarabangsa.


Sesekali, tiada salahnya menulis isu-isu pribadi, namun biarlah hanya yang lazat, seimbang dan berkhasiat sahaja yang disajikan kepada umum.


Friday, January 16

Sedetik... secubit... tapi penuh makna..




Dalam sekelip mata... segalanya berubah!


kehidupan dan kematian
j
keindahan dan kemusnahan
h
keamanan dan kerusuhan

kejayaan dan kegagalan

kesihatan dan kesakitan

keakraban dan kerenggangan

kecintaan dan kebencian

kejujuran dan kedustaan

kekayaan dan kemiskinan

keagungan dan kehinaan

keimanan dan kekufuran


...bezanya mungkin cuma sesaat, secubit... sekelumit, namun natijahnya jauh berbeza.


Berhati-hati mengatur langkah. Di lebuh raya kehidupan, segala kemungkinan boleh saja terjadi. Ya, bukankah antara kehidupan dan kematian, bezanya cuma sesaat. Justeru, kata kuncinya cuma satu - bersedialah!



Wednesday, January 14

Gaya Biarawati?












"Kenapa hari ini ramai pelajar memakai tudung seperti biarawati? Tak perlulah terikut-ikut".


Demikian pandangan seorang pensyarah kami tentang fesyen bertudung semasa.


Apa pandangan anda?

Wednesday, December 24

Kematangan Berpolitik



Politik bermain dengan kuasa. Politik berkait rapat dengan dunia kepimpinan. Politik berhubung terus dengan pengurusan amanah. Kata orang politik itu kotor. Tidak hairanlah ramai yang menjauhi dunia politik, bahkan ada sebilangannya enggan langsung berbicara tentang politik. Sebaliknya, terdapat juga individu yang terlalu taksub dengan politik kepartian tertentu sehingga mengabaikan kepentingan negara dan agama. Hakikatnya, politik itu sifatnya neutral. Yang menentukan kotor-bersihnya dunia politik adalah pelakunya- manusia. Setelah 51 tahun merdeka, Malaysia memerlukan anjakan baru dalam dunia politiknya samada di peringkat nasional, organisasi mahupun di peringkat akar umbi kerana isu politik berkait rapat dengan kepimpinan. Saf kepimpinan inilah yang bertanggungjawab menentukan jatuh bangun negara. Persoalannya, sejauh manakah kematangan berpolitik di Malaysia?


Antara Takut dan Taksub


Terdapat sebilangan pemimpin terlalu takut ataupun sebaliknya terlalu taksub pada warna dan simbol tertentu meskipun langsung tidak berkait dengan akidah. Hanya kerana perkara remeh-temeh sebegini, kos yang besar terpaksa dikeluarkan untuk mengubah warna atau simbol yang ditakutinya dalam setiap urusan. Akibatnya, pembaziran berleluasa dalam organisasi sedangkan matlamat sebenar penubuhan organisasi tidak tercapai.


Ketidakmatangan berpolitik lebih banyak membawa kepada mudarat berbanding manfaat. Individu dan organisasi tertentu dipinggirkan atau sebaliknya dijulang hanya kerana 'favouritism' dan bukannya berasaskan kredibiliti dan kriteria yang munasabah. Sebilangan individu pula membangkang setiap apa jua yang dilakukan oleh pihak lawan meskipun benar dan sebaliknya mempertahankan apa jua yang dilakukan oleh pihaknya meskipun terbukti salah dan merosakkan. Keluarga dan anggota masyarakat ataupun organisasi pula berpecah belah, saling curiga-mencurigai, dengki-mendengki dan bermusuhan hanya kerana fahaman yang berbeza sedangkan pada asasnya tujuan asal berpolitik adalah untuk kesejahteraan diri dan organisasi.
ll
i
51 tahun menunjukkan usia dewasa pertengahan. Usia yang sewajarnya menyerlahkan kematangan dan kebijaksanaan dalam apa jua aspek. Tanpa keduanya, kita akan terus ketinggalan, terkebelakang dan lemas dalam arus deras kehidupan.

Saturday, November 15

Jejak Kembara



Berbaik sangkalah, namun dalam masa yang sama, berhati-hatilah.

Wednesday, November 12

Jiwa Lara




Jiwa nan kelam

dengki

hipokrasi

manakan mungkin

mengecap

damai maknawi



Saturday, October 25

Ujian Karisma II



Semakin tinggi kedudukan, pengaruh, karisma, kuasa dan ilmu yang dimilki, semakin tinggi keperluan untuk sentiasa bermuhasabah, mendekatkan diri kepada tuhan, berfikir dengan mendalam dan berhati-hati. Ini kerana, setiap patah kata dan gerak lakunya memberi implikasi yang besar kepada manusia dan persekitarannya. Justeru, setiap patah perkataan, keputusan dan tindakan yang dibuat perlu diperhalusi dengan teliti terlebih dahulu kerana impaknya adakalanya bukan hanya sehari tetapi beratus-ratus tahun. Buktinya, lihat sahaja sejarah yang tertulis hari ini. Generasi-generasi terkemudian menyalahkan generasi terdahulu atas kepincangan yang berlaku.


Rantaian ini perlu dihentikan segera. Sejarah tidak boleh diubah tetapi boleh dicipta. Ruang dan peluang yang ada perlu direbut sebaiknya oleh generasi hari ini agar generasi akan datang tidak menyalahkan mereka, bahkan berterima kasih dan berbangga.


Friday, October 17

Eksperimen 'Pilih Bulu'




Percaya atau tidak, manusia selalu pilih kasih dan pilih bulu (hipotesis)?

Sesekali, apakata kita bereksperimen dengan individu yang tidak mengenali kita. Jika kita biasa berpakaian kemas dan elegen, sesekali tidak salah utuk tampil ’miskin’, ranggi dan sempoi selagi bersih dan menutup aurat. Jika anda wanita bekerjaya yang biasa memakai suit yang dipadankan dengan tas tangan yang mahal serta kasut hitam berkilat ke pejabat, sesekali apakata anda berpakaian seperti makcik di kampung dengan baju kurung ringkas dan sandal atau sedikit ranggi dengan jeans longgar yang dipadankan dengan baju denim panjang paras lutut serta beg sandang.

Jika anda selalu tampil dengan kot mewah, kemeja lengan panjang yang bergosok rapi, tali leher dan beg berjenama, sesekali apakata tampil dengan jubah putih dan serban di kepala atau bergaya segak ’ala lelaki Melayu terakhir’ dengan berbaju Melayu, bersongkok hitam, bersamping songket dan bercapal. Anda juga boleh memilih untuk tampil sempoi dengan t-shirt leher bulat yang dipadankan dengan jeans atau kain pelikat. Jika ingin tampil sedikit ’nakal’, pakai ’cap’ terbalik, bercermin mata merah jambu atau oren dan berselipar jepun.

Kalau anda biasa membawa Mercedes Benz, BMW, Harrier atau Perdana, apakata sesekali anda menggunakan Perodua Kancil, menunggang motor ’kapcai’ atau berbasikal ke mana-mana.

Sebaliknya, jika anda biasa tampil ringkas dan ’miskin’, apakata sesekali tampil dengan gaya eksekutif, anggun dan bergaya.

Jika anda biasa tampil yakin, petah dan berwibawa, apakata sesekali anda belajar menjadi pendiam, pemalu dan bercakap dengan tergagap-gagap atau sengau. Jika anda biasa tersenyum dan ramah menyapa sesiapa saja, apakata sesekali anda belajar menjadi pemerhati dan berwajah serius. Sebaliknya, jika anda selalu tampil serius dan ’tidak berperasaan’, apakata anda belajar untuk sentiasa tersenyum serta tampil lincah dan aktif.

Anda boleh membuat eksperimen ini di mana saja, ketika membeli buah-buahan di tepi jalan, di pasar malam, di pusat membeli-belah, di hotel mewah, di butik ternama, di majlis tidak formal, di jabatan kerajaan dan swasta, di tepi pantai, di kampung, di tanah rancangan atau di tengah kesibukan kota metropolitan.

Untuk menjadikan eksperimen ini lebih menarik, pergi ke tempat yang sama dan berjumpa dengan beberapa individu yang sama beberapa kali dengan sela masa yang panjang seperti dalam tempoh dua minggu, dua bulan atau setahun dengan penampilan yang berbeza. Perhatikan bagaimana mereka melayan anda apabila berurusan dengan mereka. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan? Individu yang ’genuine’ akan melayan anda dengan cara yang sama walau bagaimanapun penampilan anda. Namun, individu sebegini lazimnya hanya satu dalam seribu. Selebihnya, 999 yang lain – cenderung untuk ’memilih bulu’. Oh ya, jangan lupa untuk mendokumentasikan hasil eksperimen anda itu :) .


Sunday, September 14

Belajar Setiap Hari


Kehidupan sentiasa dikelilingi oleh maklumat. Kita hanya perlu memilih, mencari dan mencerna serta mencanainya dengan baik untuk dijadikan sebagai sumber ilmu. Pembelajaran tidak terhad kepada pembelajaran secara formal sahaja. Peluang untuk mempelajari perkara baru sentiasa terbuka di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, selagi kita berminat dan mengambil inisiatif untuk belajar.


Selagi manusia mahu membuka ruang fikirnya, manusia boleh belajar melalui 7 pancaideranya dengan beberapa kaedah mudah:


1. Mendengar, melihat dan memerhati

2. Membaca

3. Membuat eksperimen/mengkaji

4. Bertanya dan berbual

5. Merasai sendiri (pengalaman) termasuk mimpi

6. Memahami gerak hati

7. Belajar dan mengajar


Setiap manusia dan setiap kejadian di muka bumi ini mempunyai nilai pembelajaran. Contohnya, dengan memerhatikan sekumpulan semut bekerja, manusia dapat melihat sistem pengurusan, pembahagian tugas, nilai-nilai murni serta faktor fisiologi yang membolehkan semut terus bertahan di muka bumi. Dengan mengkaji struktur tubuh seekor burung, manusia memperoleh idea untuk mencipta kapal terbang. Melalui mimpi, manusia merasai pengalaman baru dan meneroka situasi yang belum pernah dilaluinya dalam dunia sebenar. Melalui pembacaan, manusia berinteraksi dengan penulis yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Dengan bertanya dan berbual, manusia mencungkil maklumat baru dan membuat pengesahan. Dengan belajar dan mengajar, manusia mempertajamkan kefahamannya dan mengenalpasti ruang-ruang kejahilan yang masih tersisa dan perlu diperbaiki.


Ini bermakna, selagi manusia membuka pintu akal dan hatinya, manusia akan sentiasa belajar dan melakukan penambahbaikan dari masa ke semasa kerana itu adalah fitrahnya. Pembelajaran pula tidak terhad kepada pembelajaran formal semata-mata. Justeru, ketinggian mutu keilmuan seseorang tidak hanya terletak kepada bilangan sijil dan ijazah yang dimilikinya, tetapi sumbangannya kepada agama, bangsa, negara, keluarga dan dirinya sendiri.

Tuesday, September 9

Kebenaran.. perlukah dijelaskan?


Kebenaran adakalanya pahit dan melukakan perasaan. Namun, kepahitan itulah yang menjadi ubat kepada kesakitan yang seterusnya kerana dalam kebenaran terhimpun keberkatan. Kepahitan itu juga membolehkan kita menghargai wujudnya rasa manis, masin, masam dan tawar. Kelukaan pula membolehkan sistem imunisasi tubuh terhasil untuk menangkis pelbagai wabak masa depan.

Justeru, usah takut menjelaskan kebenaran. Bagaimanapun, ianya perlu dinyatakan secara berhemah bagi mengelakkan akibat yang lebih buruk kerana bukan mudah untuk individu atau organisasi menerima kebenaran yang menyedihkan dan mendatangkan kerugian kecuali mereka yang berani dan ikhlas dalam perjuangan.

Sunday, September 7

Pulanglah I



Manusia yang malang dan berbahaya adalah manusia yang jahil namun tidak mengetahui dirinya jahil sehingga menganggap segala tindakannya adalah benar belaka. Dan, manusia yang lebih malang dan jauh lebih berbahaya dari itu adalah manusia yang terpandang alim, berpengaruh lagi dihormati namun mengkhianati amanah ilmu dan kepemimpinannya untuk kepentingan pribadi.

Monday, August 25

Sejarah & Manusia

K2
2
Sejarah tidak pernah mati kerana manusia, walau segah manapun peradabannya, sentiasa berinteraksi dengan sejarah.
Namun, hanya manusia yang bijaksana berupaya mencerna intipati sejarah sebagai perkakasan untuk menyelesaikan permasalahan semasa dan akan datang serta mencipta kehidupan yang lebih bermakna.

Thursday, August 7

Tukaran Mata Wang: Menuju Keadilan Sejagat

Apa lebihnya wang kertas Pound Sterling dan US dolar berbanding wang kertas Ringgit Malaysia, Rupiah dan Rupee?
Ambil dua keping wang kertas 1000 pound sterling dan ambil dua keping wang kertas 1000 Rupiah. Koyaknya keduanya sehingga halus mulus dan letakkan ke dalam dua bekas yang berasingan dan berikan kepada penjual surat khabar lama. Adakah keduanya akan dibeli dengan harga yang berbeza? Harga paling mahal bagi kertas terpakai dipasaran tidak pernahpun mencapai RM 2 bagi setiap kilogram, inikan pula dua keping kertas yang beratnya tidak sampaipun 50 gram. Secara logiknya, setelah dipotong halus, wang kertas 1000 pound sterling yang bernilai lebih RM 6000 itu tadi hanya mungkin laku dijual dengan nilai 1 sen atau kurang. Lucu bukan, tapi itulah hakikatnya.

Dalam diam, negara membangun dan negara mundur atau negara dunia ketiga ditindas secara terang-terangan oleh negara maju dalam bentuk tukaran mata wang asing. Dengan tukaran mata wang asing yang jauh lebih tinggi, negara maju membeli produk negara membangun dan mundur dengan harga yang sangat rendah. Dengan 1000 pound sterling, warga Eropah melancong dan membeli-belah dengan bermewah-mewah di negara membangun. Itu baru di Malaysia, bayangkanlah pula apabila mereka melancong di Indonesia. Sebaliknya, datanglah melancong ke Britain dengan RM 1000. Kos penerbangan pulang ke Malaysia pun tak dapat ditampung, inikan pula berbelanja sakan di United Kingdom. Bagaimana pula kalau melancong ke Britain dengan cuma 1000 Rupiah? Jangankan tiket tram, sebiji gula-gula batu pun belum tentu diperoleh. Cuba bandingkan harga minyak dan barangan import dari negara Eropah di Malaysia dan Indonesia dengan pendapatan pekerja kolar biru dan eksekutif muda. Bandingkanlah pula situasi yang sama di Eropah. Jadi, usah hairan apabila negara kaya semakin kaya dan negara miskin semakin bertambah miskin dan papa kedana. Anda rasa ini adil?

Sekarang, kita ambil dua keping syiling 50 sen dan dua keping syiling emas atau perak. Leburkan sepenuhnya dan masukkan ke dalam bekas yang berasingan. Berikan kepada kepada mana-mana tukang emas. Dua minggu lepas 1gram emas 916k pun sudah mencecah RM 104. Adakah terdapat perbezaan harga? Ya, pastinya harga kedua komoditi tersebut sangat jauh berbeza namun anda sangat puas hati bukan? Jelas, ianya benar-benar adil dan lebih penting lagi, sangat logik!

Justeru, usaha untuk merelisasikan penggunaan matawang emas & perak perlu disegerakan untuk memastikan keadilan dan kestabilan ekonomi sejagat.

Friday, July 4

Seadanya: Damai Abadi



Dendam jangan dibiar memakan diri. Keruh diwajah sudah cukup untuk menyakitkan setiap mata yang memandang. Belajarlah untuk menjadi pemaaf dan berlapang dada. Bantulah setiap insan yang zalim dan yang dizalimi. Kawan usah dibiar menjadi lawan.
Ukhuwah sejati, kuncinya cuma satu - akhlak terpuji.

Thursday, May 15

Sukarelawan


Yang mana lebih baik: sukarelawan sepenuh masa atau separuh masa?


Itu soalan provokasi yang saya lontarkan kepada seorang teman, seorang sukarelawan sepenuh masa yang hobinya membantu menyelesaikan masalah orang lain.


Aha! Saudara ada jawapannya?

Sunday, May 4

Mencari Filem yang Bijak


Sukarnya mencari filem yang bijak. Hampir setiap hari filem-filem Malaysia, Indonesia, Sepanyol, Korea dan Hindustan yang 'kurang bijak' ditayangkan di kaca tivi. Filem yang bijak berupaya menghibur disamping mendidik masyarakat menjadi manusia yang lebih bijak dan berakhlak. Filem yang 'kurang bijak', sebaliknya. Saya percaya, filem yang bijak lahir dari skrip yang juga bijak dan digarap dengan indah serta penuh kebijaksanaan oleh penulis dan pengarah yang bijaksana.