Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Saturday, January 23

Kemangkatan Sultan Johor




JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, yang memerintah Johor hampir tiga dekad, mangkat pada jam 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini kerana gering. Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Pejabat Kerajaan Negeri, Bukit Timbalan, kira-kira jam 11.30 malam tadi. Baginda yang meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 putera dan puteri, akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, kira-kira jam 2 petang ini.


Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada jam 11.30 pagi Jumaat, 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981. Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan. Terdahulu, di Istana Besar di sini, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad, mengumumkan pelantikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail sebagai Pemangku Raja. Pelantikan itu dibuat mengikut Fasal 9(1)(b) dan 9(2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.


Abdul Ghani pada sidang akhbarnya, berkata pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor pada jam 1 tengah hari di Istana Besar sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar. Beliau turut mengumumkan hari ini cuti umum untuk seluruh negeri Johor dan semua majlis rasmi termasuk hiburan serta keramaian dibatalkan, manakala tempoh berkabung ialah selama tujuh hari dengan semua bendera negeri dikibarkan separuh tiang bermula jam 6 pagi hingga 6 petang. Abdul Ghani berkata, baginda dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangkat pada jam 7.15 malam tadi. Katanya, manakala Istiadat pemakaman Diraja akan bermula pada jam 9 pagi ini di Dewan Besar Istana Besar di sini, dengan orang ramai boleh menziarahi jenazah sehingga jam 10.30 pagi.


Menteri Besar berkata, mulai 11 pagi hingga 12 tengah hari pula adalah penghormatan terakhir untuk orang kenamaan dan kerabat Diraja. Beliau berkata, jenazah Almarhum akan dibawa dari Istana Besar pada jam 1.30 tengah hari sebelum disembahyangkan di Makam Diraja, Bukit Mahmoodiah pada 2 petang.


Abdul Ghani yang baru pulang dari mengikuti lawatan Perdana Menteri di India, berkata semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan majlis tahlil selama tujuh hari se lepas istiadat pemakaman jenazah.


“Tempoh berkabung bagi kerabat Diraja ialah 40 hari manakala rakyat biasa selama tujuh hari,”

katanya.


Peraturan berkabung bagi lelaki Melayu ialah bersongkok lilit putih dua inci manakala bagi bangsa lain ialah kain hitam lebar tiga inci di lengan kiri.


“Bagi upacara pemakaman, lelaki Melayu berbaju Melayu teluk belanga serba hitam dan lilitan kain putih di songkok hitam dan bagi lelaki bukan Melayu, sut hitam bertali leher dan kain hitam tiga inci di lengan kiri,” katanya.





Thursday, September 25

Diari Buku: Mahathir Mohamad




Tajuk Buku

Mahathir Mohamad: an Illustrated Biography

Penulis/Ilustrator

E.Yu (Yu Chuan Choon)

Penerbit

MPH Group Publishing Sdn Bhd

Harga

RM 15.00 (MPH Alamanda, Putrajaya)

Kekuatan

Kulit buku yang menarik, kandungan yang ringkas, padat serta
mudah difahami, disokong dengan ilustrasi dan sesuai untuk semua golongan masyarakat yang memahami Bahasa Inggeris.

Cadangan Penambahbaikan
Disokong dengan edisi Bahasa Melayu dan kesemua karikatur perlu lebih menyerupai wajah sebenar Dr. Mahathir (terutama zaman kanak-kanak dan remaja), turut dimuatkan dengan foto-foto sebenar dan pandangan orang lain terhadap tokoh.



Tun Dr. Mahathir Mohamad. Secara peribadi, saya melihat beliau adalah seorang tokoh yang genius, serba boleh, penuh kontroversi dan memiliki motivasi pencapaian yang tinggi. Gaya pengucapan beliau bersahaja, mudah difahami semua lapisan masyarakat namun bernas dan efektif. Menyorot biografi beliau dalam bentuk ilustrasi oleh E.Yu sememangnya menarik dan mengujakan. Daya tarikan utama buku ini adalah pada tokoh yang dipilih iaitu Tun Mahathir dan biografi perjalanan hidup beliau yang sarat dengan pengajaran.

Dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Alor Star Kedah, beliau merupakan anak bungsu daripada sembilan beradik yang cerdik, rajin, aktif, berbakat dan kuat berusaha sedari kecil. Pada zaman kanak-kanaknya, beliau sangat rapat dengan ibunya (Cik Wan Tempawan Cik Wan Hanapi, surirumah sepenuh masa), dimanjakan oleh seluruh ahli keluarganya dan dididik dengan tegas oleh bapanya (Mohamad Iskandar, guru besar sekolah Inggeris pertama di negeri Kedah). Faktor-faktor ini kemudiannya banyak membentuk keperibadian beliau apabila dewasa. Di samping itu, beliau juga bertuah kerana memiliki keluarga (keluarga luas dan keluarga nukleus) yang memahami dan sentiasa menyokong perjuangannya.


Beliau memulakan pendidikan rasmi di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum melanjutkan pengajian ke Kolej Sultan Abdul Hamid dan kemudiannya di Universiti Malaya (Singapura) dalam bidang perubatan. Sifat keushawanan beliau terserlah pada zaman remaja apabila beliau berhenti belajar untuk sementara waktu pada zaman pendudukan Jepun. Beliau mula menjual kopi dan kuih di Pekan Rabu, membina kedai kopinya sendiri sebelum menjualnya untuk memulakan perniagaan menjual buah-buahan. Pada waktu itulah beliau mula menyedari perbezaan taraf hidup masyarakat Melayu yang jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Selepas menamatkan pengajian di sekolah menengah, beliau mula menceburkan diri dalam politik dengan menyertai kempen menentang Malayan Union dan menulis artikel politik dengan nama samaran C.H.E. Det. Lebih membanggakan, dengan hasil penulisannya beliau mampu memiliki motorsikal sendiri. Kerjaya perubatannya bermula pada tahun 1953 di Hospital Besar Pulau Pinang, Alor Star, Perlis dan Langkawi. Beliau mengambil langkah berani meletakkan jawatan dan membuka kliniknya sendiri serta berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada masyarakat sambil melibatkan diri dalam perniagaan berkaitan pengangkutan, perlombongan dan perumahan sebelum menceburi dunia politik dengan serius dan menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat.


Terdapat banyak perkara menarik yang dapat dipelajari daripada beliau melalui buku ini. Antaranya adalah keberanian beliau melakukan sesuatu yang difikirkannya betul, teknik penyelesaian masalah, pengurusan masa dan daya kepimpinannya yang dinamis.

Beliau bijak mengurus masa. Solat Subuh, senaman ringan, mandi, menulis, membaca, bersarapan dan menulis/membaca semula adalah rutin hariannya sebelum ke pejabat. Beliau juga akan membaca sebelum memulakan tugas rasmi (akhbar) dan sebelum tidur. Dengan pengurusan masa yang baik, dalam kesibukannya bekerja, beliau masih sempat melakukan hobinya serta melepaskan ketegangan dengan menyanyi, bertukang, menulis buku, memasak, berkebun, menunggang kuda dan membuat kerja-kerja hiasan dalaman.

Tun Mahathir seorang yang pemalu dan merendah diri namun dalam masa yang sama seorang yang berterus-terang dan tegas. Beliau juga seorang pendengar yang baik dan hanya akan memberikan pendapatnya setelah mendengar semua permasalahan atau aduan dengan teliti. Kritikan beliau mudah diterima pada zaman Tun Razak kerana apabila mengkritik, beliau turut mengemukakan cadangan penambahbaikan. Pemikiran dan daya ingatan yang tajam membolehkannya membuat keputusan dengan cepat, berpandangan jauh, tidak mudah dipengaruhi dan berupaya menyelesaikan krisis dengan tenang. Dalam menyelesaikan masalah, beliau mengadaptasikan kaedah perubatan: membuat pemerhatian, mengenalpasti sejarah penyakit dan klien, melakukan pemeriksaan fizikal, melakukan pemeriksaan khas untuk mengenalpasti penyakit dan membuat keputusan seperti menentukan diagnosis dan rawatan yang diperlukan.

Buku ini adalah permulaan yang baik untuk mendekati kehidupan seorang tokoh yang prolifik. Bagaimanapun, satu bentuk penulisan yang jauh lebih terperinci dan mendalam tentang kehidupan beliau, gaya hidup, pandangan dan pemikiran, strategi-strategi yang digunakan oleh beliau serta kontroversi yang dilalui oleh beliau perlu didokumentasikan dan dikupas secara ilmiah sebagai rujukan pembelajaran dan khazanah keilmuan yang yang mencakupi pelbagai bidang ilmu. Ini penting kerana negara memerlukan saf kepimpinan yang genius, berpengetahuan luas, strategis, serba boleh, berperibadi mulia, bertaqwa dan dalam masa yang sama memiliki kualiti kepimpinan seperti beliau untuk menjadi sebuah negara maju yang disegani dan seimbang pada tahun 2020 atau lebih awal dari itu.

Thursday, January 31

Al- Fatihah untuk Allahyarham Datuk Ishak Baharom


BEKAS Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, 80, yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rasmi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB), petang semalam, adalah seorang tokoh agama yang dihormati, bukan saja di Selangor, malah di seluruh negara. Beliau dilantik sebagai mufti kelima di Jabatan Mufti Selangor secara kontrak pada 16 Ogos 1985, ketika berusia 58 tahun, iaitu tiga tahun selepas bersara sebagai guru agama.

Kontrak Ishak, anak kelahiran Kanchong Darat, Banting, ditamatkan pada 1997, atas faktor usia. Ishak, adalah anak pasangan Baharom Jabar yang berasal dari Banjarmasin, Sumatera dan Fatimah Junid, yang berasal dari Melaka. Beliau yang mempunyai lima adik beradik mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Datin Maznah Yusuf yang berasal dari Manung, Kuala Kangsar, Perak. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak, Shahmun, Nawal dan Ahmad Fuad.


Pada Julai 1994, Maznah meninggal dunia ketika berusia 50 tahun selepas berada dalam keadaan koma ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Beberapa tahun selepas kematian Maznah, Ishak berkahwin dengan seorang pegawai tadbir di Jabatan Pendidikan Selangor, Khalijah Abdullah, 48, dan mereka mengambil anak angkat, Nasim, yang kini berusia dua setengah tahun. Ishak bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 hingga 1941 dan pada 1945, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Prai, Pulau Pinang, sebelum melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India. Beliau digantikan Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid sebagai mufti Selangor pada 1998 dan berkhidmat sehingga kini.

Sepanjang Ishak menjadi mufti selama 12 tahun, beliau terpaksa melalui pelbagai kontroversi. Antaranya ialah apabila beliau menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan tiga gadis Islam yang juga model sambilan, menyertai satu pertandingan ratu cantik pada 1997. Pendirian tegas beliau bukan saja menyebabkan ramai pihak terkejut, ada yang mempertikaikan tindakan Jais. Ia juga menimbulkan satu lagi kontroversi, apabila akhbar lidah rasmi Pas, Harakah, melaporkan Ishak menuduh iman Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai terpesong berikutan kenyataan Dr Mahathir mengenai kes penangkapan tiga peserta terbabit. Lanjutan daripada laporan Harakah itu, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tersinggung dengan kenyataan Ishak, namun isu berkenaan dianggap selesai selepas Ishak menjelaskan keadaan sebenar. Pun begitu, tidak lama kemudian, Ishak melahirkan rasa sedih dan kekesalannya kerana tiada seorang pun pemimpin kerajaan negeri yang mempertahankan tindakan Jais menahan ketiga-tiga gadis itu. Kenyataan Ishak itu dikatakan dibuatnya ketika beliau menyampaikan satu ceramah di Masjid Az-Zubir Ibnu Al-Awwam di Cheras. Ketegasan Ishak dalam isu membabitkan akidah dan cara hidup umat Islam di Selangor memang sudah diketahui sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai mufti. Pada awal 1996, Ishak mengeluarkan kenyataan mengharamkan perbuatan merokok di kalangan umat Islam. Beliau yang juga Pengerusi Perunding Hukum Syarak Selangor ketika itu, memberi penjelasan bahawa ada bukti kukuh mengapa perbuatan merokok dianggap sebagai haram. Antara alasan yang diberikan ialah ia membahayakan kesihatan dan hakikat itu sudah diakui pakar kesihatan sendiri. Ishak juga pernah membuat kenyataan bahawa pinjaman yang dibuat penjaja dan peniaga kecil Melayu daripada along atau ceti haram menunjukkan mereka tidak mengambil berat soal halal haram hingga sanggup membuat pinjaman atau berurusan dengan mereka. Ishak menegaskan bahawa perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak kerana ia ada unsur riba yang hukumnya adalah dosa besar.
Sepanjang beliau menjadi mufti sehingga ke akhir hayatnya, Ishak menjadi penceramah dan pendakwah bebas walaupun beliau pernah diharamkan kerajaan Selangor, daripada menyampaikan ceramah di masjid dan surau negeri itu pada November 1998. Bagaimanapun, larangan itu ditarik balik pada Februari 1999.
Secara peribadi, Ishak berpegang kepada prinsip jika kita berbuat baik kepada orang tanpa mengira kaum dan keturunan, Tuhan akan membalas perbuatan dengan balasan yang baik. Selain itu, Ishak percaya setiap individu tidak perlu berkira untuk membantu atau berkorban kepada individu lain asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran agama dan berada di jalan yang benar.
Biarpun Ishak sering berdepan dengan pelbagai kontroversi, dengan prinsip yang dipegangnya sepanjang hayat beliau, Ishak tetap disayangi keluarga dan orang yang mengenalinya sehingga akhir hayat beliau. Ishak menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika dirawat di HSB akibat pendarahan dalam otak selepas tidak sedarkan diri sejak pagi kelmarin, kira-kira 30 hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-80 tahun pada 1 Januari lalu.
PROFIL Ishak Baharom

Beliau dilantik sebagai mufti kelima di Jabatan Mufti Selangor secara kontrak pada 16 Ogos 1985, ketika berusia 58 tahun, iaitu tiga tahun selepas bersara sebagai guru agama.

Kontrak Ishak, anak kelahiran Kanchong Darat, Banting, ditamatkan pada 1997, atas faktor usia.

Ishak adalah anak pasangan Baharom Jabar yang berasal dari Banjarmasin, Sumatera dan Fatimah Junid, berasal dari Melaka.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Datin Maznah Yusuf dan dikurniakan tiga anak, Shahmun, Nawal dan Ahmad Fuad.

Ishak berkahwin dengan Khalijah Abdullah, 48, selepas kematian Maznah.
Sumber: Berita Harian