Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Tentang Cinta. Show all posts
Showing posts with label Tentang Cinta. Show all posts

Monday, November 21

Mencari Cinta





Mencecah usia 22 tahun, beberapa orang siswi meluahkan rasa bimbang kerana masih tidak mempunyai teman lelaki. Dalam ertikata lain, takut tidak berkahwin dan dipanggil andartu. Sebenarnya, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Hidup tetap sempurna walaupun anda tidak mempunyai teman berlainan jantina. Cinta tak perlu dikejar. Akan tetapi, belajarlah untuk mengurus cinta dari sekarang agar tidak menjadi hamba cinta apabila ia datang.




Nasihat saya mudah, sempurnakan dahulu diploma atau ijazah pertama anda terlebih dahulu. Cinta di alam kampus yang tidak diurus dengan baik telah menyebabkan sebilangan siswa/siswi gagal dalam pengajian. Usia muda anda sangat berharga untuk dipersia-siakan dengan perkara yang tidak bermanfaat. Setelah itu, kembangkan pula bakat serta potensi yang ada dalam dunia kerjaya dan dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam pada itu, perbaiki akhlak diri, pelihara kesihatan dan kesejahteraan diri, tingkatkan kemahiran komunikasi dan pertajamkan kemahiran mengurus rumah tangga dengan baik. Apabila calon yang sesuai datang meminang, segeralah mendirikan rumah tangga.




Jika masih belum bertemu, usah terlalu risau. Fokus kepada perkara yang lebih penting dan mengujakan. Jika berminat, ambil peluang dari kebebasan yang ada untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Jika tidak berminat, gunakan peluang keemasan ini untuk membina dan memantapkan kerjaya anda. Pelihara hubungan dengan Allah dan bina hubungan yang positif dengan sesiapa jua. Rancang keewangan dengan baik dan sentiasa optimis. Dalam masa yang sama, minta ibu bapa, ahli keluarga, guru atau rakan-rakan yang boleh dipercayai untuk mencari calon yang sesuai untuk anda. Sentiasalah juga berdoa agar anda dipertemukan dengan jodoh yang terbaik pada waktu terbaik kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Bijaksana.




Selamat Maju Jaya... :)















Thursday, May 19

Saat Terindah Menyulam Cinta



28 Mei ini, seorang teman bakal melangsungkan majlis perkahwinannya di Sungai Siput, Perak. Menariknya, pasangan ini telah diijabkabulkan setahun yang lalu. Cuma majlis keraiannya sahaja ditunda agar teman saya itu dapat menumpukan perhatian terhadap pengajian ijazah kedoktorannya di Universiti Malaya. Tempoh setahun itu digunakan untuk menyulam cinta dan saling berkenalan dalam ikatan pernikahan. Ternyata, cinta di dalam ikatan perkahwinan lebih indah dan menenangkan kerana di situ terhimpun sakinah, mawaddah wa rahmah. Namun, sebelum itu, ilmu yang mantap, proses pemilihan pasangan yang baik dan restu ibu bapa perlu diambil kira sebagai tapak asas rumahtangga sejahtera. Semoga keluarga baru ini berbahagia hingga ke syurga.


Buat yang sedang mencari pasangan, berhati-hati dalam memilih teman. Seorang wanita itu dikahwini lantaran kecantikan, harta, keturunan dan agamanya. Beruntunglah sesiapa yang memilih yang beragama. Bagaimana kalau ada kesemuanya? Wah! Itu bonus namanya. Namun, usahlah terlalu memilih, cukuplah andai bakal isteri itu menyejukkan mata dan hati, subur, beragama dan memiliki keperibadian yang baik.. dan cukuplah andai bakal suami itu seorang yang saudari hormati dan percaya, matang, bertanggungjawab, berupaya menyara keluarga, serta saudari redha dengan agama dan akhlaknya. Yang lebih utama, laksanakan istiharah dan musyawarah dengan sebaiknya.


Buat yang sedang bercinta, fikirkan sejenak sama ada pasangan anda sekarang sesuai dijadikan teman hidup dikala susah dan senang. Terkadang, saat bercinta, mata menjadi 'kabur' dan 'buta' seketika. Justeru, tiada salahnya meminta orang yang lebih arif dan dipercayai untuk merisik akhlak dan keperibadian bakal pasangan. Dalam pada itu, sentiasa perbaiki diri sendiri dan segera berpijak di bumi yang nyata kerana perkahwinan bukan hanya seputar cinta tetapi juga satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama. Jika tidak sesuai, hentikanlah dengan segera. Namun jika telah benar-benar yakin, segeralah mendirikan 'rumah dan tangga' kerana bercinta terlalu lama di luar ikatan perkahwinan, lebih banyak buruk berbanding baiknya. Elakkan keluar berdua-duaan dan berbicara perkara yang tidak perlu meskipun dalam ikatan pertunangan. Sabar itu indah... dan kesabaran dalam melayari fasa pra-perkahwinan pastinya membuahkan keindahan setelah kedua pasangan dijabkabulkan nanti.. :).




Monday, April 25

Kebijaksanaan Dalam Bercinta




Cinta sesama manusia adalah fitrah kejadian manusia itu sendiri. Setiap manusia yang normal pastinya inginkan dirinya dicintai dan menyintai. Secara umumnya terdapat tujuh gaya bercinta mengikut ilmu psikologi Barat iaitu cinta persahabatan, cinta romantis (eros), cinta permainan (ludus), cinta logical (pragma), cinta pengorbanan (agape) dan cinta kepunyaan (mania).


Cinta boleh diibaratkan seperti senjata pada waktu peperangan. Setiap cinta memiliki kualiti dan kekuatan yang berbeza. Cinta yang hebat dan dikendalikan dengan baik berupaya menjadi benteng pertahanan yang ampuh, bahkan membolehkan manusia membangunkan peradabannya sendiri. Dalam masa yang sama, seperti mana senjata, cinta juga boleh digunakan untuk membunuh dan memusnahkan seluruh tamadun yang ada. Bahkan, cinta yang tidak dikendalikan dengan baik juga boleh memusnahkan pemilik cinta itu sendiri. Justeru, apabila kemusnahan berlaku, yang salah bukan cinta kerana cinta itu sekadar wahana yang perlu dikendalikan oleh manusia dengan bijaksana.


Cinta memerlukan kebijaksanaan. Antaranya dalam mengendalikan 3 perkara utama:



1. memilih motif atau matlamat bercinta yang betul


2. memilih subjek atau pasangan bercinta yang betul


3. memilih kaedah, pelan tindakan atau strategi bercinta yang betul





Persoalannya.. bijaksanakah anda dalam mengemudi cinta? :)




Tuesday, October 13

Bisikan Syurga



Mengapa kita selalu mengatakan... " lindungi kami dari bisikan syaitan..." ?

Jawabnya.... kerana bisikan selalu saja lebih mengesankan berbanding kata-kata yang keras dan tajam. Maka, apakata kita gunakan strategi yang sama untuk membawa diri sendiri... dan manusia lainnya pada jalan kebaikan? Ya.. bisikkan kepada diri dan manusia lainnya dengan bahasa yang lembut lagi indah agar menuju syurga-Nya.

Ok ke? :)

Monday, October 5

Hati Perempuan



Sambungan kipas komputer riba berputar laju dengan cahaya biru. Mesej dari Mahsuri, isteri Ustaz Malinja bertubi datang. Marah dan sedih barangkali. Ceri membiarkan sahaja. Sabar menanti hati perempuan itu rasional semula.


"Kalau awak nak suami saya, ambillah... tapi pesan pada dia, lepaskan saya cara baik". Aik! Lain macam saja bunyinya. Ceri tersenyum kecil membaca rangkap terakhir sambil meneguk jus jambu batu di dalam gelas kristal perlahan-lahan. Terasa mahu saja jari nakalnya menaip - ok. Namun tak sampai di hati untuk memprovokasi.



"Usahlah dirisaukan. Puan lebih hebat dari saya untuk dicemburui. Kehidupan dunia ini terlalu singkat dan saya tak punya masa untuk itu... kerna saya sedang berlari, menyempurna segala misi sebelum ajal bertandang". Ceri menyusun kata. Menaip pantas dan menghantarnya segera ke ruang digital. Dia segera menyedari, tanpa iman, hati yang patah sering saja mengundang dendam dan kebencian.


Bacaan surah al-Fath yang merdu berkumandang dari masjid universiti. Mahsuri barangkali sudah tenang. Tiada lagi mesej penuh emosi menjengah PDA putih. Ceri tersenyum bahagia, mendoakan kesejahteraan mahligai Mahsuri dan Ustaz Malinja dari segala marabahaya. Di matanya, mereka model keluarga yang sempurna dan dia mahu mereka kekal begitu selamanya.



"Kenapa perempuan suka suami orang? Kesianlah pada kami yang masih bujang...". Entah kenapa, pesan Delima dalam nada mengusik tiba-tiba menjelma diingatan. Ceri tertawa sendirian sambil menyemak tarikh luput pasport antarabangsa berkulit merahnya. Malas sekali melayan gosip liar yang bertebaran. Disember ini dia mahu terbang ke Melbourne, Febuari ke Hong Kong, Mac ke Vienna manakala April ini ke Turki dan London untuk menghadiri persidangan. Kesemua artikel akademik yang tertunda dan sebuah cerpen di atas meja bercat hijau lembutnya segera disiapkan. Ya, dia tak punya masa untuk memeningkan kepalanya dengan soal hati dan perasaan yang terkadang merimaskan. Namun, dia juga perempuan. Dan hanya perempuan yang bijaksana dapat memahami hati perempuan... lalu mengemudinya dengan berhikmah pada jalan taqwa dan kemuliaan.


Monday, September 14

Taufan Cinta Menderu: Semangat Badar



Taman ilmu dan budi. Penghuninya kini sang tiung yang peramah, sang kucing yang manja dan sang bangau yang setia. Sirih sudah pulang ke gagangnya. Sang penyu kembali ke pantai kecintaannya. Sang ikan pulang ke lubuknya. Terkini, tebuan juga sudah pulang ke sarangnya. Taman ini sungguh indah, sunguh damai… seindah, sedamai Ramadan yang membahagiakan… semurni… sesegar rumput nan menghijau usai hujan rahmat yang berlimpahan.



Ceri merenung ke langit biru dari jendela kamar yang terbuka luas menghadap ke kampusnya yang damai dalam pelukan alam yang menghijau. Ramadan kareem kini berada di penghujungnya. Hatinya tersayat sayu . Tak sanggup rasanya untuk melepaskan. Alangkah rindunya dia nanti… saat Ramadan berlalu pergi… meninggalkannya termangu sendiri… menghitung hari. Air matanya jatuh lagi… berderaian bagai mutiara salju … tak tertahan rasa hati.



“Biarkan Ramadan berlalu pergi sayang. Asal semangatnya masih di sini… di nuranimu yang paling dalam.. semangat Badar yang tak sekali-kali tunduk pada kekufuran dan nafsu yang membinasakan. Semangat pejuang sejati yang tak pernah mampu dikalahkan meski nyawa sudah tercerai dari badan”. Mersik suara bonda memujuknya di hujung talian.



Ceri tersenyum tenang. Malam berlabuh datang. Bulan seakan tersenyum, bertasbih di balik awan. Bintang seakan bersujud, disimbah nur iman. Ceri bingkas bangun, memperbaharui wuduk, mengulang-ngulang juzuk ke 25 dalam setiap rakaat tahajudnya sebelum menutupnya dengan witir dan munajat yang panjang. Semangat Badar menderu-deru. Tugasan pengajiannya segera disempurnakan satu per satu. Taufan cintanya berseru… demi Esa… seluruh jiwa dan raganya segera dihijrahkan… sepantas buraq… merentas cakrawala…. memburu al-falah beriring jiwa mutmainah. Allahu akbar!

Monday, August 31

Merdeka !

Selamat menyambut ulang tahun ke 52 kemerdekaan negara kepada seluruh rakyat Malaysia walau di mana jua tuan berada. Hubbul watan nisful iman - cintakan negara sebahagian dari iman.



Koleksi lagu-lagu pariotik di sini.





Nota: Moga merdeka jiwa dan raga dari segala unsur negatif jua pergantungan kepada selain Dia.

Friday, July 10

Kisah Cinta Halimatul Saadiah


ADALAH menjadi tradisi bagi keluarga-keluarga mulia di Mekah untuk menghantar anak mereka ke kawasan pergunungan. Ini bertujuan agar anak mereka dapat menghirup udara yang sedar dan membesar dengan sihat. Anak-anak ini akan disusui oleh wanita daripada kaum Bani Sa'ad.

Wanita-wanita yang menyusui biasanya lebih tertarik kepada anak-anak orang kaya. Mereka tidak berminat untuk menyusui anak seorang fakir mahupun yatim.

Halimah merupakan seorang wanita yang selalu menjadi ibu susuan. Pada tahun itu, keluarganya ditimpa kemiskinan. Tanah menjadi tandus dan ternakan mereka menjadi kurus kering. Akhirnya Halimah dan suaminya memutuskan untuk ke Mekah bagi mengambil seorang bayi untuk disusui. Mereka berharap upah yang diberikan akan dapat menampung keperluan hidup mereka pada waktu itu.

Unta yang dinaiki mereka itu sangat lemah. Halimah risau kalau-kalau unta itu mati sebelum sampai ke Mekah.

Anak Halimah selalu menangis kelaparan. Unta yang dibawa juga sudah tidak mengeluarkan susu kerana kekurangan zat. Halimah juga tidak mampu menyusui bayinya lagi.

Akhirnya mereka sampai di Mekah. Semua bayi yang ada sudah diambil oleh wanita-wanita yang lebih dahulu tiba di Mekah. Hanya tinggal seorang bayi lelaki bernama Muhammad. Ayahnya sudah meninggal dunia dan keluarganya miskin. Kedudukan mereka sangat mulia di antara tokoh-tokoh Quraisy, namun wanita-wanita lain enggan mengambilnya kerana dia yatim dan miskin pula.

Halimah melihat Muhammad terbaring dalam keadaan lapar di ranjangnya yang kasar. Tiba-tiba Halimah berasa kasihan terhadap Muhammad. Allah menanamkan rasa kasih dan cinta di dalam hati Halimah. Wanita itu terus jatuh sayang apabila melihat Muhammad.

Halimah pun membawa anak yatim itu pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan, Halimah membelai Muhammad dengan penuh kasih sayang. Beliau meletakkan tangan ke dada bayi itu sehingga Muhammad tertawa. Beliau mencium dahi Muhammad. Halimah berasakan seolah-olah Muhammad itu seperti anaknya sendiri.

Halimah pun menyusui Muhammad. Alangkah terperanjatnya Halimah apabila mendapati bayi itu mampu menyusu sehingga kenyang dan tertidur. Anaknya sendiri juga menyusu sehingga kenyang dan tidur. Halimah juga merasa tubuhnya lebih sihat daripada yang sebelumnya.

Tidak berapa lama selepas membawa Muhammad pulang ke perkampungannya, nasib keluarga Halimah berubah. Tanah yang tandus menjadi subur. Binatang ternakan yang kurus menjadi gemuk dan mengeluarkan banyak susu. Hidup Halimah gembira sekali.

Halimah tahu bahawa kebaikan itu telah datang bersama anak yatim yang disusuinya. Cinta Halimah kepada Muhammad semakin bertambah dari sehari ke sehari. Anak yatim itu telah diberkati oleh Yang Maha Esa.


Sumber: Bicara Agama, Utusan Malaysia


Monday, July 6

Katakan Kau Cinta




Cinta bukan sebatas uda dan dara. Cinta universal sifatnya. Cinta pada Allah, sumber segala cinta. Cinta yang melimpahkan cinta. Kerana cinta kepada Allah, insan beriman menyintai rasulnya, menghayati keindahan hidup beragama, memuliakan kedua ibu bapanya, menghormati guru-gurunya dan menyintai saudaranya sebagaimana ia menyintai dirinya sendiri. Kerna cinta, tiada setitispun kedengkian berlegar di jiwanya. Kerena cinta, insan beriman sentiasa mengharapkan kebaikan dan rahmah melimpahi kehidupan manusia lainnya. Kerana cinta, insan beriman terus menimba ilmu dan menyebarkannya, mengkaji, merekacipta, membina empayar dan membangun peradabannya. Kerana cinta, insan beriman sentiasa melakukan penambahbaikan dan menumpahkan seluruh kebaktian tanpa mengharapkan balasan dan pujian manusia. Kerana cinta, insan beriman sentiasa tekal tenang lagi bijaksana dalam mendepani cabaran yang merintanginya. Kerana cinta, setiap kejadian mengundang hikmah dan tarbiah. Kerana cinta, kehidupan terasa indah dan bermakna.


Cinta motivasi yang tiada taranya. Hambarnya hidup tanpa cinta... pada Allah dan rasul-Nya... pada agama, bangsa dan negara... pada insan dan pada alam. Tanpa cinta, serasa alam hanya punya dua warna - hitam dan putih. Warnakan hidup dengan cinta... kerna cinta sejati adalah nadinya bahagia dan berjaya.


.

Saturday, June 20

Moga Luka Cepat Sembuh




"Jodoh adalah sebahagian daripada takdir-Nya dan manusia lemah dari mengetahuinya. Bahkan tak tahu apa yang akan berlaku satu jam daripada sekarang. Kasih tak semesti bersatu. Saya sudah jangka akan hal ini. Saya takkan mampu memiliki awak... kerana awak terlalu sempurna...".


Mesej Langsat terpapar di skrin PDA putih susu. Ceri termenung seketika. Haruman Lavender dari sudut balkoni memenuhi ruang tamu kecilnya yang serba ringkas. Hadiah dan cenderahati dari Langsat tersusun kemas di dalam almari kaca. Ditelan mati anak, diluah mati bapak. Bukan mudah untuk membuat keputusan. Bukan senghaja dia mahu melukakan hati buah yang selalu terlibat dengan kerja amal itu, namun demi kebaikan bersama, dia perlu berterus-terang sedari mula. Sungguh dia amat menghargai setiap lamaran kasih yang menyapa kerna ia tahu, bukan mudah untuk meluahkan perasaan. Jejaka masyarakat buahnya terlalu pemalu dan lebih suka memendam perasaan. Sangat berhati-hati bagai sang tiram yang menjaga mutiaranya dari terlepas ke tangan.


Gerimis membasahi bumi. Sepasang arowana berenang penuh gemalai di dalam akuarium. Ceri menarik nafas dalam-dalam. Tak mungkin dia mampu memuaskan hati seluruh kejadian. Keredhaan Allah dan rasul-Nya- itu yang paling utama. Diikuti ibu-bapa dan guru-gurunya. Kasih yang terabai memang menyakitkan. Namun soal hati, jodoh dan pertemuan, terkadang payah untuk dibicarakan.


"Lang... dirimu tercipta untuk memimpin buah lain pada jalan-Nya. Diri ini bukanlah terlalu sempurna cuma sudah tersurat tiada jodoh antara kita. Moga suatu masa nanti, Lang kan temui permata sejati, mencurah cinta dan bakti sepenuh hati, saling meneguh... saling mengukuh- demi Ilahi". Ceri berdoa penuh harap. Mengharapkan sahabatnya itu terus cemerlang dalam menongkah cabaran yang mendatang. Kehidupan ini terlalu singkat untuk hanya berbicara soal hati dan perasaan. Perjuangan perlu diteruskan dan amanah perlu disempurnakan sebelum diri berpulang ke pangkuan ar-Rahman.


Seekor puyuh sedang memerhatikan anak-anaknya bertatih terbang. Suara imam membaca khutbah dari masjid berhampiran jelas kedengaran. Ceri menutup PDA, mengambil wudhuk dengan tertib, mengenakan telekung putih, membentangkan sejadah putih dan berteleku dengan tenang di situ. Jumaat karim. Moga hari ini nur, barakah dan rahmah melimpah-limpah. Begitu juga esok, tulat, langkat dan seterusnya.

Friday, June 12

Atas Nama Cinta


Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang taat, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah, maka Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.


~terjemahan maksud ayat Surah al-Ahzab, ayat 35~

Sunday, May 17

Segugus Cinta Seuntai Rindu


Ceri memandang ke langit biru dari sudut balkoni. Gugusan awan putih berarak tenang. Air teh limau panas di atas meja menebarkan aroma citrus yang menyenangkan. Diam tak diam, sudah setahun dia bersekolah di Gombak. Taman ilmu dan budi yang membuat akal dan nuraninya terus bersinar bak Kejora di langit tinggi. Guru-guru yang bijaksana, staf pentadbiran yang sentiasa berusaha untuk membantu dan mempermudahkan segala urusan serta rakan-rakan yang prihatin. Semua itu membuat jiwanya tambah damai. Namun usah tanyakan dia peta gombak apatahlagi lokasi Carefour, Giant atau Jaya Jusco. Dia cuma tahu jalan pulang ke Bangi atau menghala terus ke Utara merentas Lebuhraya Duke dan Lebuhraya Utara-Selatan.

Angin berhembus perlahan. Udara segar bertiup dari taman botani yang menghijau subur dan mawar yang tiada jemu mengudupkan senyuman merah jambu nan harum. Memori Ceri terus berlegar jauh. Mengenang buah-buah yang telah mendidik dan mengasuh keperibadiannya. Ayahnya yang pendiam dalam tegas, berani dalam tenang dan sesekali berlucu dalam hikmah. Ibunya yang lemah-lembut jua halus berseni dalam cekatan dan jitu falsafah dalam ramah. Mereka membuatkan dirinya jatuh cinta berkali-kali sampai kini. Jatuh cinta pada Rabbi. Kecintaan yang melimpahkan cinta pada ilmu, pada kebenaran... pada indahnya Islam, pada murninya iman jua pada luhurnya ihsan. Cinta yang menjadikan dirinya bijaksana menata kehidupan. Cinta yang membuat dirinya tekal tenang meski seluruh bima sakti hiruk-pikuk bergoncangan.

"Segala puji bagi-Mu duhai Rabbi... atas limpahan kurnia-Mu yang takkan mungkin dapat kami balas walau pada sezarah oksigen yang dihirup. Segala puji bagi-Mu Rabbi... kerna mengurniakan kami... guru-guru yang bestari dari saat roh kami ditiupkan hingga akhir nanti. Segala puji bagi-Mu Rabbi... kerana menitipkan kami keluarga yang bahagia, masyarakat yang terpelihara, sahabat-sahabat yang baik budi dan anak-anak didik yang penuh santun jua seluruh kejadian langit dan bumi... sebagai guru kami". Dalam sedar, bait-bait merdu beralun dari bibirnya yang sentiasa mewah dengan kalimah tayyibah. Air jernih berlinangan dalam syukur yang terlafazkan. Adi, si kunang-kunang kesayangan, terdiam kerinduan di birai balkoni... membilang-bilang nikmat tuhan dengan sayapnya yang comel.

Friday, March 6

Selagi Jantung Masih Berdenyut...

Sudah sebulan saya tidak pulang ke kampung. Bagi saya ianya sudah terlalu lama kerana lazimnya saya pulang menziarahi ibu dan ayah tercinta setiap dua minggu. Kata orang, selagi ada kesempatan pulanglah. Gembirakan mereka semampunya dan usah biarkan mereka meniti usia senja dalam kesunyian. Saat ini, bukan wang ringgit yang didambakan, tapi kasih sayang dan perhatian yang tulus dari belahan jiwa yang ditatangnya bagai minyak yang penuh itu. Pulanglah sebelum jantung mereka atau jantung kita terhenti berdenyut. Saat itu pasti menjelma jua, cuma... entah bila, di mana... dan bersediakah kita untuk menghadapinya?


Bercerita tentang jantung, di sini saya tampilkan kisah 'jantung' kiriman emel Ustaz Bakhtiar untuk dikongsi bersama. Sememangnya tubuh kita menyimpan pelbagai rahsia, keajaiban dan keindahan untuk direnung-renungkan. Apapun, pastinya... semakin kita mengenal diri sendiri, makin takjub diri kita akan keagungan Ilahi.


Saya akan cerita serba sedikit tentang jantung. Banyak pelajaran berguna yang saya pelajari daripada jantung ini. Jantung ini berakhlak mahmudah (akhlak yang terpuji).

Jantung amanah. Dia tidak pernah mencuri. Jantung ini ada satu otot, namanya endocardium. Endocardium ini tidak akan mengambil darah yang beroksigen buat dirinya. 100% darah yang diterima, 100% darah yang berkualiti juga akan dipam semula. Tidak pernah sesekali dia menggunakannya buat keperluan dirinya.

Sekiranya saluran koronari tersumbat, jantung tetap tidak akan mencuri. Apa yang akan terjadi? Kematian. Dan jantung menujukkan satu lagi sikap, lebih baik mati dalam kemulian daripada mati dalam kehinaan.

Jantung juga tidak mementingkan diri. Dia tahu organ-organ lain di dalam badan memerlukan bantuannya. Dia bekerja dalam jemaah, ada "team work

Jantung mengepam 5 liter darah dalam masa satu minit. Jumlahnya hampir-hampir satu baldi air. Dia bekerja tanpa rehat. Sekiranya manusia tidur, otaknya akan berehat. Tapi jantungnya akan terus menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah.


Jantung menerima arahan dari SA node. Bahasa mudahnya, SA node ini seperti seorang ketua dan jantung akan mematuhi arahan ketuanya. Dia tidak akan datang lambat. Dia tahu betapa penting dirinya. Dia perlu selalu berinteraksi, menjaga batas perhubungannya. Sekiranya dia berhenti berinteraksi, akan berlaku "sudden cardiac death". Jantung akan tiba-tiba mati.


Satu lagi perkara mengenai jantung - dia tidak akan berhenti bergerak. Apa yang akan terjadi kalau jantung berhenti bergerak? Darah akan bergumpal dan seterusnya menyebabkan strok dan serangan sakit jantung. Jantung mengajar kita agar sentiasa belajar - menjadi continuous learning person. Jangan berhenti. Exam bukannya terminal (penamat) segalanya-galanya. Sebagai seorang muslim, perlu belajar sehingga ke liang lahad.


Jantung ini patuh pada siapa?? Jantung ini patuh pada penciptanya, Allah. Kalau dia patuh pada saya dan awak, sudah lama jantung mati. Contohnya, awak beri arahan, sekarang berdegup macam ini...macam itu... Selepas itu, awak beri lagi arahan...berdegup macam ini... macam itu.. Awak akan jadi gila, dan jantung juga akan mati kerana mematuhi peraturan yang tidak masuk akal.


Kadang kita tidak sedar betapa hebatnya kasih sayang Allah buat hambaNya. Derhaka macam mana pun, jantung tetap berfungsi dengan baik. Semua itu nikmat. Nasihat saya buat awak dan saya, bertaubatlah sebelum jantung itu berhenti berfungsi kerana mematuhi perintah RabbNya.


HARGAILAH JANTUNG ANDA.....WASSALAM...


Wednesday, March 4

Kembara Iman



Mendengar kepayahan yang diharungi oleh saudara baru dari negara minoriti Islam memang menginsafkan. Sungguh nikmat iman itu terlalu mahal lagi membahagiakan. Adakalanya kita tidak menghargai nikmat itu kerana kita mendapatnya dengan mudah dan percuma. Sedangkan insan-insan terpilih ini rela mempertaruhkan harta, keluarga, status, kuasa dan nyawanya demi iman.


Perencanaan Allah tiada siapa yang dapat menghalangnya. Fawaz, bukan nama sebenar, seorang mubaligh yang misinya mengkristiankan umat Islam yang lemah pegangan agamanya akhirnya tunduk kepada kebenaran. Keteguhannya menggegarkan biara. Bapanya dibunuh dan dikerat-kerat dengan kejam. Ibunya gila, seluruh hartanya dibekukan dan nyawanya diancam. Namun itu semua tidak sedikit pun melemahkan jiwanya. Kembara iman membawanya ke Malaysia. Tanah kecintaan yang menjanjikan keindahan kepada yang ikhlas lagi bijak mencarinya.
o
Maka benarlah... sesungguhnya kebenaran itu takkan dapat ditukarganti dengan apa jua. Cinta sejati memungkinkan manusia rela melakukan apa saja meskipun terkadang tampak tidak siuman lagi merugikan di mata manusia lainnya.

Friday, February 27

Kepulangan




Berita kepulangan Dr Ros Kuning dari Kak Serai begitu mengejutkan Ceri. Tak putus-putus al-Fatihah dihadiahkan buat gurunya yang tegas dan baik hati itu. Pulangnya membawa hati nan lara ke pangkuan Ilahi. Kasih sayang yang dicurah sepenuh hati pada suami tercinta dibalas dengan karbon monoksida berkepekatan tinggi. Berbotol pil stress masih tidak mampu melarutkan racun yang meresapinya. Dalam menung panjang, Ceri seolah baru tersedar yang kaunselor juga tumbuhan biasa. Terkadang setiap tumbuhan diuji dengan ilmu yang dimiliki. Lebih tinggi ilmunya, lebih hebat dugaan yang merintanginya. Dr Ros Kuning diuji dengan tumbuhan yang paling signifikan dengan hidupnya. Ternyata dugaan itu tidak lagi mampu ditanggung sehingga melumpuhkan seluruh sistem imunisasinya.


Sehelai daun kering jatuh di atas pusara Dr Ros Kuning. Di atasnya tercoret sesuatu:


"Cintailah kekasihmu sewajarnya, karena boleh jadi suatu saat ia akan jadi musuhmu. Dan bencilah musuhmu sewajarnya pula, karena boleh jadi suatu ketika ia akan jadi kekasihmu".