Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Komunikasi Berkesan. Show all posts
Showing posts with label Komunikasi Berkesan. Show all posts

Monday, February 6

Namimah





"Dia kata awak ni sombong dan pemalas".

Apa perasaan anda bila seorang rakan menyampaikan berita ini kepada anda? Marah, sedih atau teruja? Bagaimana jika 'dia' yang dimaksudkan adalah sahabat baik anda sendiri?

Dalam kehidupan bermasyarakat, hal ini telah menjadi satu kebiasaan. Ada orang yang hobinya mengumpat dan ada pula orang yang hobinya suka menyebarkan umpatan ini kepada orang lain agar hubungan keduanya menjadi tegang dan rosak. Dan hobi yang kedua ini dipanggil namimah dan mereka ini layak diberi gelaran batu api.

Namimah bermaksud menyampaikan perkataan seseorang kepada orang lain dengan tujuan merosakkan hubungan di antara mereka (Syarh Nawawi untuk Shahih Muslim 1/214, Syamilah).

Justeru, berhati-hatilah dengan pembawa namimah dan jangan biarkan diri menjadi pembawa namimah kerana ia boleh merosakkan perpaduan sesebuah komuniti mahupun organisasi dalam masa yang singkat - jauh lebih singkat dari masa yang diperlukan oleh seorang tukang sihir yang pintar.

Friday, October 7

Saya ingat lagi..

"Saya ingat lagi masa kita sembahyang dulu".

Kata seorang staf di fakulti pengajian saya dahulu sewaktu kami bertemu semula di rumah terbuka seorang senior di Bangi Lama. Lebih sedekad yang lalu, kami selalu bertemu.. saling bertukar senyuman dan bertegur sapa di jabatan. Tahun 2002, saya berhijrah ke jabatan lain. Ternyata beliau masih mengingati saya dan momen yang paling diingatinya adalah ketika kami sama-sama berdiri dalam saf yang sama untuk menunaikan solat berjemaah di bilik kuliah jabatan. Ketika itu, buat julung kalinya kami menganjurkan majlis berbuka puasa dan solat terawih untuk mengeratkan silaturahim antara staf dan pelajar. Ternyata, setelah 13 tahun berlalu objektif program terbukti berjaya.


Saya ingat lagi.. II


Ketika sedang bersantai di bawah pohon kurma, tiba-tiba saya disapa oleh seorang wanita. Rupanya kami pernah beberapa kali bertemu beberapa tahun dahulu di Serdang. Kami tidak pernah bertegur sapa. Cuma mungkin saling tersenyum mesra ketika berjabat tangan usai solat subuh berjemaah. Namun ternyata, momen tersebut memberi kesan yang mendalam.


Ingatan yang abadi..


Solat berjemaah memberikan kesan yang efektif dalam perhubungan sesama manusia. Meski cuma bersama selama lima minit dalam saf yang sama, kesannya masih dirasai sehingga bertahun-tahun lamanya. Ianya juga adalah program 'team-building' yang paling murah dan efisyen dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan, komuniti mahupun organisasi. Dalam sedar ataupun tidak, kita akan terus saling mengingati antara satu sama lain. Dan.. ini pastinya berita baik untuk mereka yang mahu berkempen dalam pilihanraya. Maka, rajin-rajinlah solat berjemaah di setiap ceruk masjid, surau dan di mana-mana sahaja terutamanya solat Subuh dan Isyak mulai hari ini. Lupakan seketika perbezaan pendapat, politik, darjat, status dan keturunan kerana setiap kita adalah hamba Allah. Jangan juga lupa untuk mendirikan solat bersama keluarga. Mudah-mudahan kita sentiasa beroleh kejayaan, keberkatan dan kemakmuran hidup.. di dunia dan akhirat.. :).

Wednesday, July 8

Tingkahlaku Asertif



Terdapat tiga jenis tingkahlaku yang digunakan oleh individu dalam berkomunikasi: Asertif (tegas diri), pasif dan dan agresif. Tingkahlaku yang paling berkesan adalah tingkah laku asertif. Ianya adalah keseimbangan di antara tingkahlaku pasif dan agresif. Berikut merupakan antara ciri-ciri tingkahlaku asertif:



  • Berterus-terang dalam menyatakan pendapat, keinginan dan pandangan tanpa niat memaksa, mengancam atau memalukan orang lain

  • Menghormati orang lain

  • Tegas dalam menyatakan pendirian

  • Tiada unsur ketakutan atau kebimbangan yang luar biasa

  • Tegas dalam pendirian tetapi tidak menganiayai hak orang lain

  • Jujur dan berterus-terang dalam berkomunikasi di antara individu

  • Tenang, mesra dan jujur terhadap perasaan mereka

Tingkahlaku asertif dan agresif bertujuan untuk menyampaikan mesej dengan jelas. Bezanya ialah bagaimana ia dilakukan. Individu yang agresif mungkin berniat untuk memalukan atau menyakiti individu lain tetapi individu asertif lebih tenang dan tegas tanpa niat untuk menyakiti orang lain.


Contoh:



  • Asertif: Meminta peminjam membayar semula hutangnya dengan bahasa yang sopan.

  • Agresif: Meminta dengan bahasa kasar dan ugutan seperti pendekatan ALONG.

  • Pasif: Membiarkan saja walaupun sangat memerlukan.

Tingkahlaku asertif membolehkan proses komunikasi berkesan berlaku. Individu asertif menyampaikan mesej secara telus dan tulus. Ianya sukar dilakukan pada peringkat awal namun ia penting untuk membolehkan matlamat dicapai serta mengelakkan salah faham dalam komunikasi (pseudo-conflict).



* Nota kuliah Bsc HRD 2001, Komunikasi dalam Pembangunan Sumber Manusia. Senghaja saya paparkan nota-nota lama di sini bagi tujuan dokumentasi dan percambahan fikiran.