Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Diari Fikir. Show all posts
Showing posts with label Diari Fikir. Show all posts

Saturday, January 30

Zarah Perubahan



Masa terus berjalan. Persekitaran sentiasa berubah. Kita mungkin berada di tempat yang sama, namun bukan di bawah awan sama dan di atas butiran tanah yang sama. Molekul-molekul kecil di persekitaran kita sentiasa berubah silih berganti. Ketika kita sedang asyik dengan tugas kita, entah apa yang berlaku kepada setiap butiran tanah yang tepat berada di bawah kaki sehingga ke teras bumi. Dan entah apa pula yang berlaku kepada setiap inci ruang yang tepat berada di atas kepala hingga ke lapisan langit yang ketujuh. Begitu juga dengan setiap unit nucleus di dalam setiap sel tubuh yang bertrilion jumlahnya. Setiap hari, trillion sel baru terbentuk dan disingkirkan. Setiap hari jantung mengepam trillion molekul darah yang berbeza. Begitu juga dengan paru-paru dan organ-organ tubuh yang lain. Perubahan berlaku terlalu pantas dan sering kali kita tidak menyedarinya kerana semua tugas itu disempurnakan tanpa memerlukan sebarang pemantauan atau arahan langsung dari manusia.

Ya, ia mungkin antara perkara yang terlalu remeh untuk difikirkan. Namun, izinkan saya meletakkan keremehan itu sebagai satu peringatan. Peringatan bahawa perubahan sentiasa berlaku dengan sangat pantas. Persoalannya, adakah kita sentiasa peka, sedia dan upaya untuk mengurus segala perubahan yang berlaku - dari sekecil-kecil perubahan hingga ke sebesar-besar perubahan?


Saturday, January 23

Fikir-fikir






UNTUK menjaga kesihatan jiwa, biasakan berfikir setiap hari walau fikiran yang kecil sekalipun kerana apabila otak dibiarkan menganggur, boleh ditimpa sakit malah menjadi bingung. Tiap-tiap hari otak mesti dilatih. Jika otak malas berfikir, kita menjadi dungu. Kebanyakan mereka yang bodoh kerana malas berfikir. Itulah mati di dalam hidup. Haruslah diajar kekuatan berfikir sejak kecil kerana orang yang kuat berfikir akan dapat menghasilkan hikmat. Jika besar kelak dia akan menjadi garam, yang tanpanya sambal masyarakat tiada ada rasa. Berfikir hampir dengan pengalaman. Seorang pemikir berpengalaman, boleh mengambil natijah (kesimpulan) suatu perkara dengan segera, sedang orang lain memandang perkara itu besar dan sulit.



Laksana seorang yang ada keris pusaka yang tajam, sentiasa diasah dan digosok. Jika keris itu disimpan saja, tidak diasah, digosok, akan berkarat. Begitu juga fikiran manusia, seorang ahli ilmu akan sentiasa ingin menambah ilmunya kerana ilmu laksana lautan. Manusia umpamakan rahsia dan keajaiban alam ini dengan lautan besar. Ombaknya yang memecah, membawakan mutiara yang tersimpan di dasar lautan masih banyak, hingga dunia kiamat, perbendaharaan laut itu tidak akan habis. Berkata Hasan Basri: "Pimpin dan kendalikan jiwa dengan baik, kerana amat liarnya, dan beri ingatlah, kerana dia lekas lupa."



Sumber: Berita Harian Online.


Monday, November 16

Berfikir di Luar Kotak




Sedih, sakit hati, cemburu, geram dan kecewa?

Apakata atasinya dengan memikirkan perkara yang lebih besar. Terkadang kita terperangkap dalam diri sendiri. Untuk itu, jangan takut untuk meluaskan sempadan pemikiran. Fikirkan perkara lebih besar dan terkehadapan.


Fikirkan senario yang berlaku di seluruh dunia... bencana alam, peperangan, kebuluran, penindasan dan pelbagai lagi. Dengarkan rintihan mereka... kesedihan..ketakutan... dan kesengsaraan yang tiada putusnya. Letakkan diri dalam situasi mereka dan fikirkan apa yang mampu dilakukan untuk melepaskan mereka dari kitaran sengsara.


Sesekali, cuba bayangkan diri saudara seorang Perdana Menteri yang baru dilantik selepas perang meletus, apa perancangan saudara untuk menangani konflik dalaman dan luaran yang berlaku?


Bayangkan diri saudara di tempat Presiden Barack Obama, Presiden Ahmadinejad, Napolean Bonaparte, Hitler, Malcom-X, Ghandi atau mana-mana pemimpin dunia yang saudara kagumi.


Percayalah... jika mereka terlalu memikirkan tentang diri mereka sendiri, disinggung sepatah merajuknya bertahun, ditegur sedikit sudah melenting berbatu-batu, di'provok' secuit sudah melatah tiada henti, dimaki hamun sekati sudah nekad membunuh diri... saya percaya... mereka tidak akan ke mana-mana.


Apapun, tiada salahnya saudara bersedih dan bermuram durja barang seketika. Kesedihan dalam sela waktu tertentu berupaya untuk menjadikan minda lebih fokus. Fungsinya ibarat makanan pahit yang mengimbangi rasa manis, tawar dan masin dalam gizi pemakanan. Manusia yang sejahtera bukanlah manusia yang tidak pernah berasa sedih dan tertekan. Sebaliknya, mereka merasai semua itu tetapi cepat sembuh kerana mampu mengendalikannya dengan baik.


Fikirkan perkara lebih besar.... dan akhirnya, barangkali nanti saudara akan mendapati... permasalahan yang saudara alami itu ibarat seekor kelkatu di tengah-tengah rimba belantara yang luas terbentang. Dan... dengan itu, sauadara lebih mudah berlapang dada dan merasakan permasalahan saudara itu lebih mudah untuk diselesaikan... kerana minda saudara telah diasuh untuk fokus kehadapan dan menyelesaikan permaslahan yang jauh lebih besar.



Friday, October 30

Makan sedap-sedap...




Ada satu mutiara hikmah dari seorang senior saya di UPM yang masih saya ingat hingga kini. Menurutnya ia dari Lukmanul Hakim. Bagaimanapun saya tidak pasti kerana belum menemui sebarang dokumentasi kata-kata ini dalam karya yang autentik atau credible. Ayatnya berbunyi begini:


Makan sedap-sedap, buat rumah banyak-banyak dan kahwin banyak kali.


Makan sedap-sedap bermaksud.. makan apabila lapar. Bila benar-benar lapar, makanan 'biasa-biasa' saja pun akan terasa enak. Begitu juga sebaliknya.


Buat rumah banyak-banyak bermaksud... menjalinkan ukhuwah dan persahabatan yang akrab dengan ramai orang. Oleh itu kita akan saling menziarahi antara satu sama lain seolahnya mempunyai rumah yang banyak.


Kahwin banyak kali? Oh! Yang ini saya tinggalkan kepada saudara untuk main fikir-fikir :)



Saturday, October 24

Jom Kembara !



Saudara suka mengembara? Jika ya, saya juga suka mengembara. Menyaksi kebesaran tuhan dalam kepelbagaian ragam dan corak manusia serta peradabannya yang berbeza. Ajaib bukan.. bagaimana manusia yang asalnya satu menjadi jutaan kelompok yang berbeza.. dengan bahasa, rupa fizikal dan budaya yang berbeza. Namun, bagi saya setiap kelompok memiliki satu persamaan - mereka semua asalnya adalah seorang pengembara! Atau dalam erti kata lain, setiap peradaban manusia dicetus dan diwarnai oleh seorang pengembara. :)


Wednesday, July 22

Antara Dua Ekstrem



Terdapat dua kelompok ekstrem darihal berfikir. Kelompok pertama beranggapan mereka tidak pandai dan tak perlu malah tak layak berfikir. Merasakan dirinya terlalu lemah dan kerdil lalu mengiakan apa saja pendapat individu yang diikutinya. Jika individu yang diikutinya betul, maka betullah ia. Jika tidak, maka sebaliknya. Bak kata pepatah lama- untug sabut timbul, untung batu tenggelam.


Kelompok kedua beranggapan dirinya seorang pemikir yang hebat, sentiasa betul dan pendapatnya tidak boleh dipertikai sama sekali. Membangkang apa sahaja meskipun benar dan bersungguh-sungguh menegakkan pendapatnya meskipun salah.


Kelompok pertama akan terus mundur dan menjadi 'pengikut itik' yang mudah diperdayakan. Kelompok kedua melengkapi kelompok pertama, begitu juga sebaliknya. Menjadi diktator dan akhirnya terperangkap dalam kepompong pemikirannya sendiri. Kelompok pertama mengalami masalah inferiority complex manakala kelompok kedua berada pada tahap over-confident, superior dan egoistik (atau dalam istilah lain ujub, riak, sum'ah dan takabur). Semakin ramai bilanga kelompok pertama, maka semakin ramailah bilangan kelompok kedua. Semakin ramai bilanga kedua-dua kelompok dalam organisasi, maka semakin lemah, huru-hara dan mundurlah organisasi tersebut.


Kelompok ketiga adalah kelompok sederhana. Mereka berfikir secara seimbang dan holistik. Sikap berfikir ini menjadikan mereka pemikir yang hebat tetapi tawaduk. Menggunakan fakulti akal untuk berfikir berasaskan kerangka ilmu wahyu (quranic paradigm), kajian ilmiah (scientific paradigm) dan deria keenam (intuisi). Tahu membezakan antara yang hak dan batil jua meneliti setiap kesamaran dengan saksama. Terbuka kepada pandangan orang lain namun tegas berpegang kepada prinsip yang benar. Meneliti setiap pandangan dan melakukan penambahbaikan demi kesejahteraan bersama. Kelompok inilah yang layak dipanggil ummatan wasatan. Mereka inilah manusia yang memiliki sikap berfikir yang dinamik lantas memiliki upaya untuk beramar makruf nahi mungkar dan melonjakkan masyarakatnya ke takah yang tertinggi.


*Nota: Sekadar reaksi awal kepada pandangan Dr Edward de Bono dalam bukunya - Teach Your Child How to Think terbitan Penguin Books.