Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Isu Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Isu Pendidikan. Show all posts

Sunday, March 14

Membangun Pribadi Terpuji


Berkawan dengan teman yang baik bagai berkawan dengan penjual minyak wangi. Keharumannya turut terpalit kepada temannya yang lain. Sebaliknya, berkawan dengan teman yang jahat diibaratkan seperti berkawan dengan tukang besi. Sesekali api terpercik membakar tubuh. Pendapat tersebut ada benarnya kerana keperibadian manusia juga sangat dipengaruhi oleh proses sosialisasi. Justeru, pemilihan teman yang baik adalah penting dalam usaha membangun peribadi terpuji.


Terdapat pelbagai ciri teman yang baik.


Antaranya, saya tertarik dengan pandangan seorang profesor dalam subjek Pembangunan dari Perspektif Islam yang saya ikuti lama dulu.


"Cari rakan yang sebegini sifatnya:


1. apabila kamu memandangnya, kamu ingat akan Allah.

2. apabila bersamanya, ilmu kamu bertambah.

3. apabila kamu bergaul dengannya, akhlaknya mengingatkanmu akan ahli syurga".



Alhamdulillah, saya temui ramai teman yang sebegini sifatnya. Semoga populasi manusia yang berkualiti, trampil dan terpuji sentiasa bertambah dari masa ke semasa... bersesuaian dengan risalah Islam sebagai pembawa rahmat ke seluruh jagatraya.








Wednesday, November 11

Membangun Tekno-Murabbi



Perspektif Ikim: Gabungan dakwah, teknologi cetus pembangunan jiwa ummah



Oleh Norkumala Awang



KEPESATAN pembangunan teknologi tidak harus dipinggirkan dalam memartabatkan dakwah agar pengajaran dan maklumatnya sampai kepada khalayak dengan cepat, tepat dan berkesan. Kombinasi kedua-dua elemen, iaitu dakwah dan teknologi mampu mencetuskan natijah untuk pembangunan jiwa ummah. Kehebatan teknologi yang wujud pada era sekarang harus dipandang sebagai satu kelebihan untuk dimanfaatkan bagi mereka yang bergelar teknodaei atau pendakwah pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Menyoroti sejarah dakwah Islam tersebar dan disampaikan kepada umat manusia, kisah Nabi Musa AS boleh dijadikan iktibar. Bagaimana Baginda dianugerahkan Allah dengan mukjizat tongkat kerana zaman itu kepakaran sihir adalah antara ciri kekuatan dan menjadi pelindung kepada kezaliman penguasa.


Hakikat inilah yang memaparkan bahawa cara dan pendekatan dakwah mesti bersesuaian dengan cabaran dan situasi semasa. Namun, kecanggihan dan kepesatan teknologi pula tidak dapat menjamin bahawa sesuatu dakwah Islam itu dapat difahami dan bertapak ke setiap jiwa manusia. Duduknya kefahaman seseorang individu terhadap sesuatu ilmu itu bukan terletak pada kehebatan teknologi, tetapi terletak kepada mutu kandungan ilmu itu. Dalam hal sebegini, adab menuntut ilmu dan penyediaan jiwa yang berada di luar kerangka teknologi itu perlu diberi penekanan. Oleh itu, teknologi sekadar membantu teknodaei untuk memudahkan kefahaman Islam itu disampaikan. Dalam sifat yang lebih global, perkembangan teknologi menjadi pemangkin dalam usaha penyebaran dakwah menerusi pelbagai media, contohnya internet, filem, iklan, animasi, radio, televisyen dan banyak lagi aplikasi terkini yang terlalu mudah untuk dicapai.



Persoalannya, bagaimana untuk menggunakan medium itu agar ia berkesan dalam penyampaian ajaran Islam dan lebih daripada apa yang sekadar dipaparkan. Sebaliknya mempunyai mesej yang sesuai dengan realiti dan kehendak sebenar masyarakat Islam. Masyarakat kita amat terpengaruh dengan apa yang ditayangkan di media massa. Justeru, ia adalah satu peluang untuk pendakwah teknologi menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing, memainkan peranan dan memikul tanggungjawab dakwah. Di sinilah pentingnya ruang dan kepakaran itu dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat agar terpaut dengan ajaran Islam yang sarat nilai murni. Apa yang perlu digarapkan adalah penghasilan drama, filem dan iklan memerlukan tenaga tunjang iaitu pengarah, penerbit dan penulis skrip yang memahami dan mementingkan aspek ajaran Islam dalam setiap produk mereka. Dari sinilah akan bermulanya pendidikan secara tidak langsung kepada masyarakat yang dahagakan alternatif lain untuk bagi mempelbagaikan tontonan mereka. Dominasi media elektronik perlu membabitkan pengamal yang berkualiti dari aspek sahsiah dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap dakwah. Dari sini, akan lahirlah produk yang sarat dengan pengetahuan dan pengajaran Islam untuk dihidangkan kepada masyarakat. Dengan kata lain, penyedia program media elektronik tidak terbelenggu dan stereo taip malah sentiasa mencipta semula program yang lebih menarik daripada yang sedia ada.



Berdakwah tidak hanya terhad dengan cara membabitkan pendengar atau penonton, tetapi di kalangan pembaca juga perlu diambilkira. Sastera mampu dijadikan alat dakwah dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat supaya cenderung dan memahami Islam sebenar. Namun, peranan yang dimainkan penulis yang perlu dibuat penambah baik agar elemen Islam dalam karya penulisan dapat digarapkan seterusnya menambat hati pembaca. Teknologi membuka ruang kepada penyebaran maklumat mengenai agama dengan lebih pantas dan berkesan. Namun, jumlah penyebaran maklumat yang banyak tidak dapat menjamin mutu kefahaman mengenai agama. Di sinilah wujud halangan sebenar dalam dakwah, iaitu berlakunya penyampaian semata-mata tanpa ada unsur pentarbiahan dan mungkin hanya bergantung kepada teknologi semata-mata.




Persoalannya, bagaimana untuk melahirkan ‘tekno-murabbi’ dalam konteks pembangunan jiwa ummah? Sebagai pengguna teknologi, kadangkala kita tiada asas untuk menilai kesahihan sesuatu maklumat ekoran daripada keterbukaan dunia kini.




Nota:

2. Asas pembinaan jati diri 'tekno-murabbi' bermula di rumah, disuburkan di sekolah dan Intitusi Pengajian Tinggi, dimantapkan dalam dunia kerjaya dan diuji secara berterusan di tengah gelanggang masyarakatnya.
3. Iltizam ummah kepada ilmu dan kebenaran membentuk peradaban sempurna.







Tuesday, October 13

Bencana Penarafan Universiti?



Oleh DZULKIFLI ABDUL RAZAK

TANGGAL 8 Oktober 2009, apabila keputusan penarafan THES-QS diumumkan, saya sedang berada di bandar Giessen, lebih kurang satu jam dari Frankfurt, untuk memenuhi undangan Persatuan Universiti-universiti Eropah (EUA) yang menjadi penaung utama semua universiti di benua tersebut.

Undangan ini sempena persidangan bertajuk "Pengantarabangsaan melewati sempadan Eropah" dan saya diminta memberi pandangan dari sudut luar Eropah sebagai seorang antara dua pengucaptama - seorang lagi adalah rakan Rektor, Berlin Free University, salah satu universiti tertua dan ternama di Jerman, malah Eropah.
i
Dewasa ini, e-mel bertalu-talu tiba mengesahkan "bencana" yang menimpa Malaysia. Jika Indonesia dengan gempa buminya, Filipina dengan banjir dan tanah runtuhnya, Samoa dengan tsunaminya dan Jepun banjirnya, bagi Malaysia pula menghadapai bencana gara-gara penarafan IPTAnya. Walaupun hanya beberapa buah IPTA sahaja yang terlibat, kesannya tidak kurang menggugat.

Media gamat dengan liputan berita tersebut. Anehnya hanya yang tersenarai sahaja yang dipertikaikan, sedangkan puluhan yang lain yang tidak langsung tersenarai (termasuk IPTS yang saban diiklan sebagai paling 'global' di akhbar-akhbar) nampaknya terselamat daripada bencana tersebut. Seolah-olah membayangkan lebih baik tidak tersenarai sama sekali daripada tersenarai.
Ini sahaja sudah cukup mengelirukan tentang apa cita rasa yang ingin diluahkan dalam hal ini? Kita belum lagi membincangkan tentang "cita rasa" penganjur THES-QS apabila beria-ia mendakwa penarafannya adalah tepat, bebas dan boleh dipercayai tanpa sebarang ragu-ragu lagi! Walaupun ada bukti sebaliknya! Apa pun kita mengangguk saja.
Sebagai perbandingan suasana di Giessen sewaktu persidangan tersebut cukup aman, biar ratusan rektor universiti Eropah dan benua lain, bersama dengan pegawai tertinggi universiti serta pelajar bersesak-sesak di dewan seminar Justus Liebig Universitat Giessen - sebuah IPTA berusia lebih 400 tahun.
Bandar Giessen merupakan bandar universiti dengan hampir 40 peratus penduduknya terdiri daripada warga universiti tersebut. Universitinya moden disulami tradisi ilmiah dan kesarjanaan yang kental.

Universiti itu juga tidak kurang mempunyai pusat kecemerlangan tersendiri di bawah Inisiatif Kecemerlangan Jerman yang dicontohi Malaysia di bawah Inisiatif APEX. Jelas, Justus Liebig Universitat cukup yakin dengan pencapaian dan jati dirinya.
Penarafan, lebih-lebih lagi oleh sebuah organisasi bertujuan komersial, tidak langsung dihiraukan. Mereka tidak juga apologetic - malah kalaupun ada pengajaran daripada aktiviti penarafan, ia dianggap tidak sesuai untuk dijadikan pengukur institusi pendidikan.

Sebaliknya sesebuah universiti itu mempunyai keperibadiannya tersendiri; wawasan serta keunikannya - selaras dengan kefahaman "pendidikan" (bukan sahaja pelajaran atau kajian) yang memegang amanah ilmu dan kesarjanaan.

Kepelbagaian adalah kekayaannya, dan lagi unik adunan kepelbagaian tersebut - lagi terbina keperibadian universiti berkenaan. Ia bukan kilang yang mengeluarkan barangan tidak bernyawa yang seragam dan diseragamkan supaya mudah dibanding-bandingkan untuk tujuan tertentu.

Ia bukannya seperti peraduan ratu cantik yang menaraf pemenangnya berpandukan formula utama 36-24-36 sebagai yang "ideal" dan semuanya dinilai mengikut sukatan ini; kemudian diberi penarafan 1, 2, 3 dan sebagainya. Wajarkah dua insan dibandingkan berdasarkan aspek luarannya sahaja dan bukan sifat keinsanannya?

Begitu juga hal dengan institusi bergelar "universiti" - lebih-lebih ukuran yang dikenakan lebih mirip kepada bahan perkilangan atau untuk peraduan ratu cantik, atau sebaliknya! Pokoknya asas dan pandangan dunia dan amanah sebuah universiti tulen tidak sama dengan pandangan dunia dan amanah sebuah organisasi bukan pendidikan. Namun inilah yang sering kali dicampuradukkan sehingga memusnahkan sama sekali maksud sesebuah universiti di mata ramai di samping mengusutkan lagi keadaan.

Yang turut mengkagumkan adalah rektor-rektor universiti Eropah yang menghadiri persidangan itu amat jelas tentang tanggungjawab mereka dalam membangunkan sebuah universiti. Autonomi berulang-ulang kali disebut untuk menyatakan kelainan sebuah universiti dengan organisasi lain, terutama yang berbentuk komersial, dan wujud untuk mengaut keuntungan.
Autonomi bagi mereka adalah benteng utama yang perlu dipertahankan dalam mengasuh dan mengangkat maruah sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi. Disini mereka tidak berkompromi sama sekali dan enggan dijadi seolah-olah kerbau dicucuk hidung, diarak-arak atau diarah-arah ke hulu dan ke hilir seadanya saja.
Saya mengandaikan yang persidangan tersebut akan gegak gempita membahaskan soal penarafan apabila dilihat dari perspektif pengantarabangsaan. Saya mengagakkan keputusan THES-QS dijadikan tanda aras mutlak, dan turut menimbulkan "bencana" di Giessen seperti mana di tanah air.

Ternyata saya tersilap sama sekali. Selama dua hari berikutnya isu penarafan tidak sekalipun disebutkan baik oleh para penceramah mahupun peserta. Apabila cuba dicukil pendapat mereka, rata-rata maklum balasnya cukup dingin - kalau dalam bahasa Inggerisnya berbunyi "what about it?" (apa halnya?).


Dan bila dikatakan keputusan THES-QS sudah diumum, kelihatan mereka amat sinis dan jelek sekali, bagaikan menegur: "Siapa mereka ini untuk menjadikan universiti kami bak kerbau cucuk hidung?"

Umum tidak kisah langsung tentang isu tersebut kerana angka-angka penarafan bagi mereka tidak membawa erti apa-apa, kalaupun konsep penarafan boleh diterima. Malah seorang ada bertanya: "Bolehkah saya menaraf lima orang anak saya secara adil dan saksama? Apa lagi berbanding dengan anak orang lain?"


Natijahnya, dalam penarafan kita mesti ikut telunjuk orang lain yang mengadun segala-galanya. Umpama ratu cantik, kita juga perlu memperagakan diri, baik berbikini sekalipun, berlenggang lengguk, tersenyum tersipu-sipu untuk menawan pengadil dengan harapan untuk menjadi ratu!

Jika tidak agak sukar membayangkan apa-apa kejayaan. Apatah lagi turut diperhatikan dalam peraduan seumpama ini calon tuan rumah sering kali akan "menang" sesuatu kalaupun tidak hadiah pertama. Hal ini juga beransur lumrah dalam aktiviti penarafan di mana unsur-unsur penajaan dan sogokan (bagi sesetengah pihak dikatakan "rasuah") sudah mula menular.

Maka pernah universiti disyor mengiklankan nama dan logonya di laman web penaja dengan bayaran sekian banyak supaya lebih "mesra pelanggan" dan "mudah diperkenalkan" dan melonjakkan kedudukan. Malangnya tidak kurang juga yang terjebak dengan "tawaran" tersebut, umpama si ratu cantik meniduri pengadil, dengan harapan agar menang jua. Tidak kiralah jika maruah turut tergadai.
Banyak lagi yang boleh dipersoalkan berkaitan aspek etika dan keutuhan (sama ada cara langsung atau tidak), sekali gus membuka tembelang usaha penarafan khususnya yang berbentuk komersial. Cukup banyak telah ditulis tentang hal ini supaya jangan terperangkap sebagai Pak Turut saja!
Maka di Giessen saya menghela nafas lega! Lebih daripada itu, saya bertambah yakin yang universiti sememang ada maruah dan nilai sendiri dalam kelangsungan menunaikan tanggungjawab serta amanah tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun, apa lagi yang berkepentingan cukup sempit dan anti cendekiawan! Ataupun mencari sanjungan pintas.


Saya juga belajar yang maruah ini ada kaitannya dengan nilai keluhuran dan kejujuran berilmu dan bersarjana, sesuatu yang tak dapat ditolak ansur dalam apa hal sekalipun; jangan sebutlah memperjudikan etika!

Akhir sekali saya sedar kita tidak perlu apologetic sekiranya jati diri ingin diperkasa. Rupa-rupanya universiti yang istimewa itu adalah universiti yang mengerti semua ini dan terus mempertahankan prinsip keilmuan biar "bencana" apa sekali yang mendatang. Bak kata orang tua-tua: Membujur lalu, melintang patah! Pantang maut, sebelum ajal.

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Ambilan dari Utusan Malaysia

Nota: Penilaian perlu mengambil kira pelbagai sudut pandangan.





Tuesday, October 6

Jenayah Akademik



Berikut antara senarai kesalahan akademik yang boleh menjejaskan integriti pelajar dan kualiti pendidikan:






  1. meniru

  2. menghantar hasil kerja orang lain atas nama sendiri

  3. menghantar kertas kerja yang sama untuk subjek yang berbeza tanpa izin daripada pengajar terlebih dahulu

  4. memplagiat

  5. memalsukan data kajian

  6. membenarkan fakta yang salah

  7. memberi rujukan yang salah

Mengapa ia berlaku dan bagaimana untuk menanganinya?


Nota:


1. Oleh Adlina Arifin, EDC 7720

2. Perlu ditangani segera untuk memelihara mutu kesarjanaan/kepakaran bakal graduan.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan plagiat?


Thursday, October 1

Antara Puji dan Keji



"Orang kita cepat sangat mengutuk... kedekut dengan pujian". Itu antara isu yang ditimbulkan oleh Pn Mahmudah Sulam dalam pembentangannya di kelas kelmarin. Ya, mungkin ada benarnya.


Berapa ramai antara kita yang mengucapkan terima kasih kepada ibu kita setiap kali kita menikmati hidangannya yang suci, lazat dan berkhasiat?


Berapa ramai di antara kita yang mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas dan teksi yang telah memandu dengan berhemah ke lokasi yang di tuju?


Berapa ramai di antara kita yang pernah menghadiahkan cenderahati kepada doktor dan petugas-petugas kesihatan yang telah merawat kita dengan baik?


Berapa ramai di antara kita yang mengisi borang kepuasan pelanggan untuk menghargai kakitangan tertentu yang memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam sesebuah organisasi?


Berapa ramai pula yang menghargai kebaikan anak-anak kecil serta memberi pujian yang mampu merangsang pertumbuhan sosio-psikologi mereka?


Berapa ramai antara kita yang menghargai dan memuji sumbangan dan pencapaian pasangan, ahli keluarga, rakan-rakan, kakitangan dan anggota masyarakat sebagai motivasi untuk membakar semangat mereka agar terus cemerlang dan menjadi sebaik-baik manusia?


Mahal sangatkah ucapan terima kasih, pujian dan penghargaan yang membina atau sekurang-kurangnya- sebuah senyuman yang tulus?


Bukankah pujian yang benar dan penghargaan yang munasabah (bukan ada udang di sebalik batu) adalah sebahagian daripada amar maaruf yang perlu disuburkan dalam masyarakat?


Bukankah kutukan yang tidak berasas dan teguran yang dilakukan secara tidak berhemah akan melahirkan bangsa yang lemah, pendendam, pemarah dan penuh hasad dengki?


Bukankah pujian itu tanda kesyukuran kita kepada Allah yang telah mengizinkan manusia melakukan kebaikan?


Dan, yang lebih penting lagi, berapa ramai di antara kita yang sentiasa berterima kasih kepada Allah atas rahmat dan kurniaan-Nya yang melimpah ruah? Dan, adakah 'kekedekutan' ini manifestasi dari pergolakan jiwa kita dalam hubungan menegak dengan Allah?



Friday, September 11

Membudayakan Penyelidikan di Sekolah




Persoalan:


1. Perlukah guru melakukan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran dan keberkesanan pentadbiran di sekolah? Kenapa?


2. Sejauhmakah kesediaan guru untuk melakukan penyelidikan dan membawa inovasi baru di sekolah?


3. Bagaimana untuk menghidupkan budaya penyelidikan di sekolah tanpa memberikan sebarang tekanan kepada guru? Perlukah insentif diberikan dan dalam bentuk apa?


4. Sejauhmanakah hasil penyelidikan guru didokumentasikan dan diaplikasikan di sekolah?


5. Sejauh mana kualiti penyelidikan tersebut? Bagaimana untuk meningkatkannya?




Wednesday, July 29

H1N1 dan e-Learning



Semester ini, saya hanya mengikuti dua mata pelajaran yang dijadualkan pada setiap hari Selasa dan Rabu. Bagaimanapun, kelas pada hari Rabu dijadikan independent study atau pembelajaran persendirian. Menariknya, ianya dikendalikan menggunakan LMS (Learning Management System). Menerusi LMS, silibus pengajian dan nota-nota kuliah dapat dimuat turun pada bila-bila masa. Selain itu, terdapat juga ruangan forum di mana pelajar dapat berdialog berhubung subjek tersebut bersama rakan-rakan yang lain dan juga pensyarah. Sistem ini membolehkan proses pembelajaran berlangsung walau di manapun pensyarah dan pelajar berada- di rumah, di hospital mahupun di luar negara. Mengambil iktibar situasi hari ini yang memperlihatkan penutupan sekolah, asrama penuh, kolej-kolej dan universiti akibat penularan wabak selsema khinzir (H1N1), sistem e-learning atau e-pembelaran ini perlu diperluaskan dalam semua sistem pendidikan di Malaysia.


Jika digunakan dengan baik, sistem e-pembelajaran memberikan pelbagai manfaat apabila diaplikasikan sepenuhnya dalam sistem pendidikan dalam semua peringkat umur. Antaranya:



  1. sebagai sistem sokongan kepada sistem pembelajaran sedia ada

  2. membolehkan proses pembelajaran terus berlangsung pada saat kecemasan (seperti wabak, kemalangan atau sewaktu kelas bersemuka terpaksa dibatalkan) atau pada bila-bila masa

  3. mengurangkan penggunaan kertas

  4. proses pembelajaran yang lebih menarik dan interaktif serta meningkatkan daya kreativiti pelajar

  5. menyediakan pelajar dengan dunia kerjaya masa depan yang memerlukan kemahiran ICT

  6. membolehkan ibu bapa memantau pembelajaran anak-anak dari rumah atau sama-sama mempelajari subjek anak-anak

  7. mengelakkan penyakit berjangkit, mengurangkan kos pengangkutan dan mengurangkan risiko kemalangan serta gejala sosial di sekolah/institusi.

Meskipun e-pembelajaran tidak dapat menggantikan fungsi pembelajaran bersemuka dalam bilik darjah, namun ianya penting sebagai sistem sokongan utama untuk memantapkan lagi proses pembelajaran. Bahkan, yang lebih utama, ianya bertindak sebagai penyelamat di saat-saat kecemasan sebegini.


Kesimpulannya, sistem e-pembelajaran sedia ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya (saya percaya, di setiap IPTA sistem ini sudah diperluaskan). Dalam pada itu, ianya juga perlu sentiasa diperkemaskan supaya mudah dicapai, mesra pengguna, lebih menarik dan berupaya memantapkan lagi sistem pembelajaran sedia ada. Selain itu, sistem e-pembelajaran yang bersesuaian dengan setiap tahap umur dan pembelajaran perlu dibangunkan secara berperingkat.


Nota: Mungkin selepas ini kita perlu lebih 'menjiwai' sistem e-banking, e-forum, e-book dan pelbagai lagi sistem dalam talian yang telah diperkenalkan oleh kerajaan. Malah, tidak mustahil, selepas ini kita boleh menikmati e-seminar dan mungkin juga.... e-teater Kopitiam Ghadir :)

Wednesday, May 27

Pepatung

Maafkan saya, paparan kali ini agak 'menjolok mata'.



Kelihatan cantik dan menawan bukan?




Inilah Miss Tiffany...

Ratu.... ops.. lelaki cantik yang telah bertransformasi menjadi... 'pepatung' yang berwarna-warni.


Persoalan: Selamatkah remaja dan belia lelaki kita dari fenomena 'Kota Sadom' ini?





Thursday, April 23

Kesan Barnum



Apa bintang anda? Leo, capricon, sagitarius atau taurus? Anda lahir awal bulan atau hujung bulan? Tahun berapa anda dilahirkan... hari apa, jam berapa... pagi nirmala, siang yang 'buta', remang-remang senja atau malam gulita dengan iringan dentuman guruh dan kilat yang sambar-menyambar... dan bulan berapa? Bagaimana bentuk tubuh anda... kurus melidi, gemuk atau sedang-sedang? Bagaimana bentuk mata anda... bulat seperti guli, kuyu seperti daun layu atau sepet ayu bak Puteri Hang Li Po, hidung anda... mancung bak seludang atau comel bak jambu air, rambut anda... lurus seperti bihun atau ikal ranggi seperti me maggi perisa kari berapi, bentuk muka anda.. bulat bak bulan mengambang penuh, bersegi-segi, bujur telur, bujur sireh atau lonjong, bibir anda... kecil comel seperti kuntum bunga ros, nipis bak kulit bawang atau tebal bak buku teks sekolah rendah dan menengah? Bagaimana bentuk garisan pada tapak tangan anda... lurus atau bersimpang siur?

Anda selalu membaca ramalan bintang anda dan mengenal diri berasaskan bintang? Anda cuba mengenal keperibadian anda berasaskan fakta-fakta kejadian diri yang tidak boleh diubah? Anda gembira apabila anda diramalkan memiliki keperibadian yang baik atau bernasib baik dalam perhubungan, perniagaan dan kehidupan seharian? Sebaliknya, anda sedih kerana diramalkan bernasib malang dan memiliki keperibadian yang menjengkelkan?

Jika ya, anda sebenarnya sedang mengalami 'Barnum Effect'. Istilah ini digunakan dalam pengukuran psikologi terhadap individu yang mempercayai ramalan ataupun deskripsi tersebut adalah benar.

Persoalannya, patutkah kita mempercayai ramalan tersebut dalam menilai diri dan orang lain? Adakah ianya tidak bersalahan dengan akidah dan wajarkah ramalan-ramalan seperti ini dipaparkan setiap hari di dada akhbar dan majalah? Adakah benar keperibadian dan nasib seseorang ditentukan oleh data kelahiran dan ciri-ciri fizikalnya berbanding faktor pendidikan dan persekitarannya? Adakah ahli astrologi, ahli psikologi, pakar motivasi, ahli pembangunan manusia, ahli agama, ahli akademik, ahli politik, ahli sains, ahli perubatan, pakar fengshui, ahli nujum dan 'ahli-ahli' yang lain lebih berkuasa dari tuhan dalam menentukan nasib dan tuah manusia? Saya tinggalkan persoalan ini untuk saudara/i yang bijaksana "main fikir-fikir' sebagaimana tema laman ini :)


Thursday, March 26

Matematik







"Kenapa apabila membahagi nilai pecahan kita perlu terbalikkan nilai pecahan yang kedua dan kemudiannya didarabkan?"




Berikut merupakah satu daripada persoalan Cikgu Kumaravalu ketika membentangkan dapatan kajian kualitatifnya berhubung pembelajaran matematik di sekolah.




Pendekatan pembelajaran matematik perlu diperhalusi kembali. Antaranya, pembelajaran matematik tidak sewajarnya terhad dalam menyelesaikan masalah menggunakan formula matematik yang diwarisi sebaliknya menjadikan pelajar memahami konsep di sebalik formula tersebut. Ini penting agar pelajar memahami konsep matematik dengan baik, berupaya menyelesaikan masalah aplikasi matematik dengan mudah serta melihat matematik sebagai subjek yang menyeronokkan. Guru juga sewajarnya menggalakkan pelajar meneroka formula baru yang lebih mudah seperti formula mendarabkan angka yang besar menggunakan sistem garisan oleh Adiputra. Pastinya Adiputra tidak dapat mencipta formula tersebut tanpa memahami konsep matematik terlebih dahulu.




Apapun... sebelum itu, terdapat satu lagi persoalan yang belum terjawab - adakah guru-guru matematik sendiri memahami konsep di sebalik setiap formula yang diajarnya saban hari?








Sunday, March 1

Trend Wanita Berkerjaya



Bilangan tenaga kerja wanita berbanding lelaki semakin bertambah di seluruh dunia. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan ini antaranya kos sara hidup yang meningkat, kadar perceraian yang semakin bertambah dan penerimaan masyarakat terhadap wanita yang telah berkahwin dalam dunia kerjaya (termasuk artis).


Hari ini, wanita memegang pelbagai peranan di rumah, dalam dunia kerjaya dan dalam komuniti. Sesetengahnya berpendapat, budaya masyarakat terlalu memanjakan lelaki sama ada di rumah, dalam dunia persekolahan sehinggalah dalam dunia kerjaya sehingga akhirnya cenderung menjadi kurang bertanggungjawab dan tidak cukup matang dalam serba-serbi.

Di Australia, trend kerjaya wanitanya agak unik. Pada usia 25-45 tahun, kadar tenaga buruh wanita menurun kerana menumpukan perhatian kepada pengasuhan anak-anak mereka. Setelah usia 45 tahun, iaitu setelah anak-anak dewasa, bilangan tenaga buruh wanita kembali meningkat. Di Australia juga, bilangan yang memilih kerjaya separuh masa semakin bertambah berbanding sepenuh masa.

Apakah agaknya trend yang bakal berlaku kepada wanita berkerjaya di Malaysia dalam tempoh sedekad lagi. Adakah wanita perlu mengejar kouta 30 % dalam hirarki pengurusan tertinggi atau menyerahkan tugasan tersebut kepada lelaki? Namun, yang pasti, terdapat sebilangan wanita yang ditawarkan jawatan tersebut enggan menerimanya kerana mementingkan masa bersama keluarga.

Penglibatan ibu-ibu muda dalam sektor perkilangan suatu ketika dulu terutama di kawasan kampung dan felda membawa fenomena yang membimbangkan. Kesibukan ibu-bapa bekerja membuatkan anak-anak yang tidak memiliki asas agama dan ilmu yang kukuh merasa terabai, tidak dipedulikan dan bebas melakukan apa saja. Akibatnya, gejala penagihan dadah dan aktiviti liar menjadi sebati dengan sebilangan remaja dan belia kampung dan felda.

Apakah trend sedia ada akan berubah dan perlu diubah? Dalam era globalisasi, keibubapaan adalah tugas yang sukar dan mencabar. Ibu bapa perlu bergandingan untuk mewujudkan iklim yang membina bagi perkembangan anak-anak mereka. Dalam pada itu, wanita perlu bijak memilih kerjaya yang bersesuaian dengan fitrah dirinya, mengetahui batasan keupayaannya serta bijaksana agar keutuhan institusi keluarganya tidak terabai dalam kesibukan dunia kerjaya dan aktiviti kemasyarakatan.