Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Bahasa dan Budaya. Show all posts
Showing posts with label Bahasa dan Budaya. Show all posts

Saturday, November 12

Tebaloi





Di tepi tasik kita bersiwak,


Berenang riang si anak kaloi;


Jika tuan terbang ke Sarawak,


Belikan saya kuih tebaloi.


Saturday, April 9

Melayu Malas?




Dalam satu wawancara di radio IKIM, terlontar pandangan daripada tetamu undangan bahawa orang Melayu itu sifatnya malas. Penyataan tersebut disokong pula dengan penuh bersemangat oleh seorang pemanggil yang juga berbangsa Melayu dan beragama Islam.


Benarkah Melayu memang malas? Label ini muncul sejak lama dulu dan masih berlegar-legar menghambat masyarakat Melayu hingga kini.


Entahlah, sedari kecil hingga dewasa, kehidupan saya sentiasa dikelilingi oleh bangsa Melayu yang rajin dan berbudi. Sukar hendak mencari orang Melayu yang malas dalam ertikata yang sebenarnya.


Di kampung contohnya, dari sekitar 2000 penduduk, hanya ada beberapa orang sahaja orang yang boleh dikategorikan sebagai malas. Itupun mereka sangat berdikari dan akan bekerja mengambil upah apabila kehabisan duit. Cuma ada seorang yang suka meminta-minta dan itupun kerana ia kurang siuman.


Di sekolah rendah rakan-rakan saya sangat rajin. Secara purata berbasikal 12 kilometer sehari untuk ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Begitu juga di sekolah menengah, mereka begitu rajin belajar dan melibatkan diri dalam kegiatan ko-kurukulum. Di kampus begitu juga, malah ada yang mengalami tekanan mental akibat terlalu fokus kepada pelajaran. Para pensyarah saya apatahlagi. Mereka juga sangat rajin dan boleh dikatakan bekerja selama 24 jam sehari (mujur sehari cuma ada 24 jam sahaja).


Masuk ke alam pekerjaan, juga sukar untuk saya mencari rakan sekerja yang benar-benar malas. Dari seawal jam 6.30 pagi mereka sudah ada di pejabat sehinggalah lewat malam. Begitu juga pada hujung minggu dan cuti umum. Tempat kerja saya sentiasa diisi oleh rakan sekerja yang begitu rajin sekali. Bahkan para pelajar saya yang kebanyakannya berbangsa Melayu juga sangat rajin dan komited dengan tugas mereka. Dan, sepanjang saya mengajar hanya seorang pelajar yang boleh dikategorikan sebagai malas sehingga terpaksa diberi notis gagal dan diberhentikan. Dan, pelajar itu bukan berbangsa Melayu, juga tidak ber bin dan berbinti.


Justeru, maaflah ya.. berasaskan pengalaman peribadi, sehingga kini saya percaya bangsa Melayu adalah bangsa yang rajin dan berbudi. Jika ada pun yang malas, ia cuma segelintir. Maka adilkah, kerana seekor kerbau membawa lumpur, segala kerbau yang ada turut dipalit jua?

Monday, January 3

Melentur Buluh




1. Masa yang terbaik untuk mempelajari bahasa baru, mengira dan membaca adalah pada usia setahun.

2. Pada usia enam bulan, kanak-kanak lebih cenderung kepada bahasa yang pernah didengar oleh mereka.

3. Pada usia 9 bulan, kanak-kanak mula menapis bunyi yang tidak pernah didengar.

4. Dua tahun pertama selepas kelahiran merupakan masa yang paling dramatik bagi perkembangan sel otak.

5. Janin, terutamanya janin perempuan bertindak-balas kepada bunyi dan bahasa dari usia 5-7 bulan di dalam kandungan.



Rujukan:


Rohani Abdullah & Mohd Sharani Ahmad, (200). Keibubapaan anak kecil: Melentur buluh, biar dari rebung, dalam Keluarga dan Keibubapaan (editor: Jayaletchumi, Rohani Abdullah dan Abdullah Al Hadi Muhamed), Penerbit Universiti Putra Malaysia: Serdang, 60-76.

Friday, November 19

Kenapa ya?




Kenapa ya... meskipun dalam filem ataupun drama yang bernuansakan agama, suami isteri akan saling meninggikan suara apabila berkonflik atau bertelagah. Bukankah tanggungjawab sosial dunia hiburan dan perfileman yang paling utama adalah mendidik dan menyuburkan budaya mulia dalam masyarakat?

Tuesday, March 30

Bahasa Melayu dalam Era Globalisasi II




RENCANA UTAMA

Kepetahan pelajar asing berpidato

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my

Tiga peserta pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM 2010) dari Jepun, Rusia dan Armenia mempunyai sebab tersendiri mengapa mereka mahu mengenali dan mendalami bahasa kelima terbesar di dunia itu.


MATA kebanyakan tetamu tertumpu kepada perbahasan yang disampaikan oleh peserta dari Rusia, Natalya Budanova, 21.

Menyampaikan pidato bahasa Melayu dengan lenggok seperti seorang pemidato profesional, Natalya atau nama Melayunya, Husna sesekali mengusik para tetamu. Dia benar-benar yakin:

Membawakan tajuk, 1 Malaysia-Ide Malaysia untuk Kesejahteraan Dunia, Husna cukup fasih berbahasa Melayu. Tutur katanya begitu sopan dan tatabahasanya tersusun.

Anak tunggal yang menetap di sebuah bandar kecil di Moscow, Rusia itu belajar bahasa Melayu atas nasihat ibunya, Elena Budanova, 42.

Elena yang juga Profesor Madya Mikrobiologi di Moscow Medical Academy menasihati Husna supaya belajar bahasa Melayu.

"Ibu suka saya belajar bahasa Melayu kerana ramai pelajarnya terdiri daripada rakyat Malaysia.

"Dia kata Malaysia sebuah negara yang bagus kerana memiliki pelbagai bangsa dan budaya. Kita tidak perlu ke India atau China untuk berjumpa dengan orang India atau Cina. Di Malaysia semuanya sudah ada," kata Husna yang mengikuti kelas elektif bahasa Melayu di Moscow State University.

Husna yang juga mahir bertutur dalam bahasa Perancis memberitahu, sudah empat tahun dia belajar bahasa Melayu.

"Dalam kelas bahasa Melayu, saya juga belajar mengenai sastera Melayu, bahasa linguistik dan sejarah Malaysia," katanya yang merasa dekat dengan negara Malaysia selepas mengetahui sejarahnya.

Bagi Husna, belajar bahasa Melayu tidak begitu sukar. Dari segi sebutan dan tatabahasa ia lebih mudah berbanding bahasa lain.

Dalam masa setahun, Husna sudah boleh bertutur bahasa Melayu.

"Ini merupakan kali kedua saya datang ke Malaysia. Kali pertama, saya datang bersama kawan-kawan yang belajar bahasa Melayu. Kami ke Malaysia untuk mengenali lebih dekat mengenai negara ini," katanya yang menggemari makanan sate dan rendang daging.



MAEDA MOMO memilih bahasa Melayu kerana terpesona dengan personaliti gurunya, Cikgu Faridah.


Terpilih ke peringkat akhir Husna memberitahu, bahan perbahasannya ditulis sendiri dengan bantuan guru bahasa Melayunya, Dr. Titiana.

Husna yang bercita-cita bekerja di agensi berita Itar-Tass Rusia memberitahu, penyertaannya dalam PABM adalah melalui pertandingan pidato antara pelajar-pelajar bahasa Melayu, Moscow State University.

"Saya beruntung kerana terpilih ke pertandingan PABM," katanya yang bercita-cita menjadi seorang diplomat.

Rusia yang diwakili Husna bukanlah satu-satunya negara di dunia yang mementingkan bahasa ibunda mereka. Jepun juga turut bangga dan mementingkan bahasa ibunda mereka.

Seramai 56 peserta dari 51 buah negara di pertandingan PABM. Peserta yang bertanding terdiri daripada pelbagai negara termasuk China, Jepun, Australia, Ukraine, Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan India. Peserta-peserta yang hadir lengkap berpakaian tradisional mengikut negara masing-masing.

Pendedahan negara asing

Setiap peserta pertandingan PABM juga mempunyai nama-nama Melayu yang disediakan oleh pihak penganjur. Antaranya Saodah, Mimi, Karina, Siti Khadijah dan pelbagai lagi.

Pertandingan pidato dengan tema Pengantarabangsaan Bahasa Melayu itu dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran; Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Kementerian Pelancongan serta AG Bestari Events Sdn. Bhd.




Ia merupakan acara tahunan yang merupakan satu-satunya pertandingan dalam bahasa Melayu di dunia.

PABM tahun ini merupakan pertandingan kali keempat dianjurkan sejak 2007. Buat pertama kalinya untuk tahun ini PABM telah dinaiktaraf kepada Piala Perdana Menteri.




Tujuan PABM dianjurkan bagi menunjukkan bahasa Melayu telah digunapakai di seluruh dunia. Ia juga adalah salah satu platform untuk bahasa Melayu dikenali di seluruh dunia.

Pemilihan peserta dibuat berdasarkan program-program bahasa Melayu yang diwujudkan di luar negara.

Masyarakat Jepun misalnya, agak sukar untuk belajar bahasa asing. Tetapi bagi Maeda Momo belajar bahasa asing memberinya banyak kelebihan.

"Ia bukan sahaja memberi kita pendedahan mengenai budaya dan negara asing tetapi juga mendekatkan kita dengan negara lain," kata peserta PABM dari Jepun itu.

Menurut Momo, antara faktor beliau memilih bahasa Melayu kerana dia terpesona dengan personaliti guru bahasa Melayunya dari Malaysia iaitu Cikgu Faridah.

Kata Momo, bahasa Melayu juga merupakan salah satu bahasa pilihan yang diajar di Universiti Takushoku, Tokyo, Jepun.

Pelajar yang mengikuti kursus Pembangunan Antarabangsa di universiti tersebut mengakui agak sukar mempelajari bahasa asing pada peringkat awal. Momo atau nama Melayunya Mimi memberitahu, selama dua tahun belajar bahasa Melayu di Universiti Takushoku, Mimi sukar menyebut perkataan ber dan meng.

"Saya bernasib baik kerana berpeluang mendalami bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi menerusi program pertukaran pelajar Ogos tahun lalu.

"Selepas belajar selama empat bulan barulah saya betul faham makna-makna ayat yang sukar," kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Meskipun Momo kurang fasih berbahasa Melayu dan gagal ke peringkat separuh akhir, Momo merupakan pelajar terbaik pelajar bahasa Melayu di Universiti Takushoku.


Gadis yang mahir bertutur bahasa Inggeris, Rusia dan Ukraine itu juga berbakat dalam bidang nyanyian apabila membawa lagu 1Malaysia dengan lenggok dan penampilan seolah-olah dia berketurunan Melayu.

Dia yang gemar lagu-lagu patriotik Malaysia mengenali lagu-lagu tersebut melalui laman web.

"Di Armenia, tidak ada kursus bahasa Melayu di universiti-universitinya. Sebab itulah saya sanggup ke Ukraine untuk belajar bahasa kelima yang terbesar di dunia itu," kata Karina yang berminat dengan bahasa Melayu selepas saudaranya, Alexander Gulish yang menetap di Ukraine memberi pendedahan mengenai bahasa Indonesia kepadanya.

Baginya, bahasa Indonesia tidak banyak perbezaan dengan bahasa Melayu. Ketika berumur 17 tahun, dia pernah tinggal di rumah neneknya di Ukraine selama lima bulan. Selama tinggal bersama neneknya, Katrina mengenali Alexander yang bekerja di kedutaan Indonesia di Ukraine.

Menerusi Alexanderlah, Katrina belajar bahasa Indonesia. Pada masa yang sama, dia juga membuat rujukan di laman web dan mendapati bahasa yang menyerupai bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu.

"Hati saya tersentuh membaca sejarah dan mengenali lagu-lagu patriotik Malaysia, lantas saya ingin mengenali bahasa Melayu," katanya yang menyambung pengajian di Universiti Antarabangsa Kyir, Ukraine dalam bidang undang-undang antarabangsa dan mengambil kelas elektif bahasa Melayu di universiti tersebut.

Biarpun jarak perjalanan dari Armenia ke Ukraine memakan masa selama sepuluh jam, anak tunggal kepada pasangan guru dan polis itu tidak kisah asalkan dia dapat mempelajari bahasa Melayu dan mengenali Malaysia lebih dekat.


Nota:

1. Ambilan dari Akhbar Kosmo
2. Bahasa Jiwa Bangsa.

Thursday, December 31

Sastera Mutakhir?



“Karya sastera pada masa lalu ada nilai moral tinggi dan mengandungi unsur kebaikan sehingga mudah diterima masyarakat berbanding sesetengah genre sastera masa kini yang tidak begitu menitik beratkan nilai moral".

~Pehin Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Pahlawan Awang Mohammad Daud~

Wednesday, October 28

Beradab dalam berbahasa

Oleh ARIF ATAN

BULAN Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan ini bukan sahaja menuntut kita menggunakan dan mengutamakan bahasa Melayu malah membudayakan bahasa milik Satu Malaysia itu dengan beradab dan sopan.


Adakah kita tertib dalam berbahasa atau kena pada masa dan tempatnya?

Paling mudah, kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS). Tidak patut berlaku SMS yang menggunakan bahasa caca-marba. Kita akui tujuan SMS adalah untuk menghantar pesanan ringkas tetapi hairannya mengapa ada pihak boleh pula menaip 'kenapa' sebagai napew tidak nape atau 'mana' sebagai maner? Bukankah ejaan sedemikian hanya memanjangkan kata berkenaan?
Selain itu, ada pula kakitangan yang mewakili jabatan buat pertama kali menelefon pegawai jabatan lain dengan membahasakan dirinya dan orang lain sebagai "abang", 'adik", "Kak Ti" atau "awak" atas urusan rasmi.

Hal ini turut 'berjangkit' dalam kalangan pelajar universiti. Apabila mereka berhubung dengan agensi atau syarikat atas keperluan kursus pengajian atau memohon peruntukan ada antara mereka sekadar menghantar SMS.

Mesejnya pula menggunakan bahasa yang sukar difahami. Jika menelefon pula, selepas memberi salam kerap dimulakan dengan "En. Ali, ke ni?". Sepatutnya, lebih elok jika memperkenalkan diri dan meminta maaf terlebih dahulu jika mengganggu kemudian barulah menyatakan tujuan menelefon.

Hakikatnya, panggilan formal seperti "encik" dan "saya" lebih sesuai jika berhubung atas urusan rasmi melainkan mungkin kenalan rapat atau umur sebaya. Berkomunikasi perlu mengambil kira faktor kesesuaian usia, masa, tempat dan kedudukan sosial.

Jika tidak, wujudlah keadaan gagal membezakan mana situasi yang memerlukan kita serius dan mana yang tidak perlu. Kerja tidak profesional juga berlaku akibat bercakap pun sambil lewa. Status pelajar universiti pula akan turun apabila bercakap masih kebudak-budakan.
Begitu juga semasa berbual. Timbul gejala apabila bercakap dengan bukan Melayu, orang Melayu akan bercakap menggunakan bahasa Inggeris. Walhal, apabila dua orang bukan Melayu bercakap dan dalam masa yang sama ada seorang Melayu, perbualan sesama bukan Melayu itu adalah dalam bahasa mereka bukannya pun dalam bahasa Inggeris!
Seharusnya, bulan Oktober ini dijadikan sebagai pencetus azam seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan status sosial untuk membudayakan bahasa kebangsaan yang beradab dalam setiap urusan seharian sama ada secara bertulis mahupun lisan.


Sumber: Rencana, Utusan Malaysia







Saturday, October 10

Animisme, Santau & Saka



Dalam sedar, amalan animisme kembali bertapak dalam masyarakat moden. Hari ini, sebilangan kita lebih takutkan hantu berbanding tuhan. Lebih malang, sebilangannya pula bergantung kepada jin dan syaitan untuk mencapai cita-cita politik, memuaskan hawa nafsu, menjadi kaya, menjatuhkan orang lain, kekal cantik dan sihat, kebal, masyhur dan disegani. Yang pasti, tiada siapa dapat menongkat langit apatahlagi untuk mencabar takdir dan kekuasaan-Nya.

Santau


Berhati-hati dalam pengambilan makanan. Selain ancaman kolesterol jahat, bahan kimia beracun dan lemak haiwan yang tidak halal, makanan juga mungkin mengandungi santau yang memudaratkan. Seorang pengamal perubatan mencadangkan agar kita memperbanyakkan membaca dan menghayati taawuz, surah muawidzatain, ayatul kursi dan surah al-mukminun ayat 17 dan 18 sebagai sebahagian ikhtiar untuk menghindarinya.


Saka


Sebilangan kita juga bukan hanya mewariskan harta pusaka malah juga saka. Buanglah segera sebelum ianya memudaratkan diri dan orang lain. Sebaiknya kita mencontohi Nabi Ibrahim yang meninggalkan nama, contoh tauladan dan doa yang baik untuk zuriat keturunannya.


Pendinding Diri


Sudah lumrah kehidupan, semakin tinggi pencapaian, semakin ramai yang dengki dan iri hati dan semakin banyak ujian yang merintangi. Dindingkan diri dari kejahatan jin dan manusia dengan ilmu yang tinggi dan ketaqwaan yang tidak berbelah bagi. Usah terleka kerana setiap saat kita sentiasa diuji dan diperhati.


Nota: Bagaimana memastikan cerita hantu nusantara di media massa tidak melahirkan bangsa yang penakut?



Thursday, October 1

Antara Puji dan Keji



"Orang kita cepat sangat mengutuk... kedekut dengan pujian". Itu antara isu yang ditimbulkan oleh Pn Mahmudah Sulam dalam pembentangannya di kelas kelmarin. Ya, mungkin ada benarnya.


Berapa ramai antara kita yang mengucapkan terima kasih kepada ibu kita setiap kali kita menikmati hidangannya yang suci, lazat dan berkhasiat?


Berapa ramai di antara kita yang mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas dan teksi yang telah memandu dengan berhemah ke lokasi yang di tuju?


Berapa ramai di antara kita yang pernah menghadiahkan cenderahati kepada doktor dan petugas-petugas kesihatan yang telah merawat kita dengan baik?


Berapa ramai di antara kita yang mengisi borang kepuasan pelanggan untuk menghargai kakitangan tertentu yang memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam sesebuah organisasi?


Berapa ramai pula yang menghargai kebaikan anak-anak kecil serta memberi pujian yang mampu merangsang pertumbuhan sosio-psikologi mereka?


Berapa ramai antara kita yang menghargai dan memuji sumbangan dan pencapaian pasangan, ahli keluarga, rakan-rakan, kakitangan dan anggota masyarakat sebagai motivasi untuk membakar semangat mereka agar terus cemerlang dan menjadi sebaik-baik manusia?


Mahal sangatkah ucapan terima kasih, pujian dan penghargaan yang membina atau sekurang-kurangnya- sebuah senyuman yang tulus?


Bukankah pujian yang benar dan penghargaan yang munasabah (bukan ada udang di sebalik batu) adalah sebahagian daripada amar maaruf yang perlu disuburkan dalam masyarakat?


Bukankah kutukan yang tidak berasas dan teguran yang dilakukan secara tidak berhemah akan melahirkan bangsa yang lemah, pendendam, pemarah dan penuh hasad dengki?


Bukankah pujian itu tanda kesyukuran kita kepada Allah yang telah mengizinkan manusia melakukan kebaikan?


Dan, yang lebih penting lagi, berapa ramai di antara kita yang sentiasa berterima kasih kepada Allah atas rahmat dan kurniaan-Nya yang melimpah ruah? Dan, adakah 'kekedekutan' ini manifestasi dari pergolakan jiwa kita dalam hubungan menegak dengan Allah?



Sunday, September 27

Salam Aidilfitri II

Zaman berubah. Dekad-dekad yang lalu, kad ucapan menjadi medium utama untuk menghubung silaturahim. Hingga kini, keseronokan menjual kad-kad raya dengan harga sepuluh sen sekeping kepada rakan-rakan sekelas ketika di sekolah rendah masih terasa. Kad-kad dengan gambar kartun kucing hitam yang gebu dan comel di dalam bakul menjadi rebutan untuk diutuskan kepada teman-teman, guru-guru dan ahli keluarga. Ketika di sekolah menengah, seronok pula mengumpul kad-kad raya dari teman-teman lalu ditampal di dinding sebagai hiasan menjelang lebaran.


Kini, situasinya berbeza. Tahun demi tahun, bilangan kad raya semakin menyusut kerana pengguna memilih untuk menggunakan medium elektronik untuk mengeratkan silaturrahim. Selain pantas dan menjimatkan, ianya juga mudah dan ringkas. Biarpun 'feel'nya berbeza, tujuannya tetap sama. Selagi bernama manusia, kreativiti dan ketulusannya tetap menyerlah :)


Berikut antara ucapan menarik yang sempat didokumentasikan sempena syawal ini:


I pray that happiness be at your door. May it knock early, stay late, & gift of Allah's peace, love, joy & good health behind. Happy Eid!


~Cik Shahida, UIAM~


Sebening air wudhu', sesuci al-Quran. Andai tanganku tak sempat berjabat, bukalah pintu maaf untukku. Selamat menyambut Aidilfitri.


~Cik Zanariah dan keluarga, UDI~


Salam, buat temanku yang dikasihi, sempena kedatangan syawal yang menjelang tiba ini, insan ini dengan serendah-rendah hatinya ingin memohon kemaafan di atas segala tanggungjawab ukhuwah yang teabai, janji-janji yang tak tertunai, dan segala kekhilafan diri yang sangat lemah sebagai seorang insan. Selamat Hari raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.


~Cik Nursyakirin, JKM~


Tangan kuhulur tak kesampaian, senyum kuukir tak kelihatan, sms kukirim tanda ingatan, di aidilfitri kita bermaafan. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.


~Cikgu Aisyah, Shah Alam~


Sempena syawal ini, saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri. Semoga sihat di sisi keluarga. Salam 1Malaysia.


~Saudara Nasrul, UKM~


Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Moga syawal diraikan dengan syukur dan mendapat keredhaannya. Mohon dimaafkan salah silap. Didoakan berbahagia di Hari Raya.


~Cik Elly, UKM~


GEMBIRA jika DIINGATI, BAHAGIA jika DIHARGAI, UNTUNG jika DISAYANGI, BERTUAH jika DICINTAI, KECEWA jika DILUKAI, SEDIH jika DILUPAI, INDAH jika Ramadan dan Syawal dihayati & dihayati. Selamat menyambut Aidilfitri. Bagaia dan ceria jika silaturahim berkekalan.


~En. Mohd Zahir, Pn. Wan Shila & Keluarga, UPM~


Andai kata merungkai dusta, andai langkah membekas lara, andai suara menikam rasa, andai tingkah menoreh luka, andai nasihat dibiar melata, andai pandang menggerak sangka, andai dosa melingkar jiwa, apa yang dapat kukatakan sekadar keampunan dipinta, kerana aku insan biasa.. Hanya sms pengganti kad raya. SELAMAT HARI RAYA, Maaf zahir & Batin.


~Cik Fareza & Cik Fatihah, UKM~


Kambing ranggi naik LRT,


Katak pisang tercekik tulang,


Walau sms saja yang diberi,


Itu tandanya ingatan tak hilang.


~Cik Y, Pasir Gudang~



? ??? ???? ????????.?? ??? ???? ??? ???


~Cik Nadiah Busyra, JKM~


Selamat Hari Raya, Maaf zahir dan batin. Ampun maaf tulus dipinta, moga persaudaraan terus terjalin.


~Pn Adlina & keluarga, UIAM~


Tiada ucapan seindah zikir. Tiada bulan seindah ramadan. Izinkan kedua tangan bertangkup memohon maaf atas lisan yang tak dijaga, janji yang tak ditepati, hati yang buruk sangka dan semua sikap yang menyakitkan hati. Maaf zahir dan batin dari saya... SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


~???~



Nota:

1. Terima kasih atas doa dan ingatan. Moga dirahmati.

2. Mohon perkenalkan diri apabila menghubungi saya di talian. Telefon bimbit lama saya telah rosak. Berikutan itu, senarai nombor telefon lama tidak dapat dikenalpasti.

Thursday, September 10

Jom Sungkai !




"Kak, nanti kita sungkai sama-sama ya". Dayang Nurbismillah tersenyum manis di depan pintu. Rupanya sungkai adalah istilah dari Brunei yang bermaksud berbuka puasa. Oh.. baru saya tahu :).


Nota: Selamat bercuti, bersungkai dan beribadah bersama keluarga.












Friday, July 31

Kopitiam Ghadir

"Hidayah tidak hinggap pada hati semua orang. Ia hinggap pada hati yang terpilih"- Kopitiam Ghadir.


Berminat dengan teater? Teater muzikal Kopitiam Ghadir yang berasaskan semangat Surah al-Asr dan gagasan 'memasjidkan seni' kelihatan menawarkan sedikit kelainan.


"Drama sejam 15 minit ini mengisahkan seorang lelaki yang tersesat ke sebuah kota misteri dan terpaksa singgah di sebuah kafe untuk bertanyakan arah. Di situ beliau bertemu dengan sekumpulan pemuda aneh yang asyik menyanyikan pelbagai rentak lagu nasyid. Lelaki tersebut berbual-bual mengenai Rasulullah saw dan keutamaan baginda sebelum membuat keputusan samada untuk menetap di kota kecil tersebut, atau keluar pulang ke tempat asalnya".


"Pementasan Kopitiam Ghadir akan berlangsung antara 8-11 Ogos 2009 bermula pukul 9 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka (Balai Budaya Tun Syed Nasir). Tiket hanyalah RM 10. Tempahan tiket boleh dibuat mulai sekarang melalui pengurus produksi saudara Luqman Hisyam di nombor 012 2335263. Sms sahaja nama, tempahan malam pementasan dan jumlah tiket."


"Komposer, penyanyi dan aktor Kopitiam Ghadir - penasyid dari kumpulan Revolusi Pembudayaan Selawat - akan muncul di Radio Ikim.fm pada 1 Ogos 2009 (Sabtu) pukul 10-12 malam"


Nota: Sila rujuk laman berikut untuk maklumat lanjut: http://tehranifaisal.blogspot.com/.

Tuesday, March 10

Antara Isu Utama dan Sampingan

Dalam salah-satu bengkel Kepimpinan Intelektual Muda Melayu sekitar tahun 2003 di Kuala Lumpur, En. Hanafi dari UITM sempat membincangkan tentang kemahiran berfikir. Antaranya adalah tentang unsur 'core' (saya terjemahkan sebagai unsur/perkara utama) dan 'non-core' (sampingan). Menurut beliau, kita selalu terperangkap dengan unsur sampingan sehingga mengabaikan unsur utama. Ini kerana unsur sampingan kelihatan lebih besar dan lebih mudah dilihat berbanding unsur utama sebagaimana rajah di bawah.
Segiempat kecil (berwarna biru tua) mewakili unsur utama dan segiempat yang lebih besar (berwarna biru muda) mewakili unsur sampingan.

Unsur utama adalah isu utama yang perlu diselesaikan dan unsur sampingan adalah unsur-unsur lain yang berkait dengan isu tersebut. Bagi menyelesaikan masalah, kita perlu bijak membezakan antara isu utama dan unsur-unsur yang berlegar disekelilingnya. Contohnya dalam isu PPSMI, isu utamanya adalah kepentingan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bagi memudahkan pembelajaran sains dan matematik di sekolah sementara isu sampingannya adalah siapa yang memperjuangkannya, berapa ramai, kaedah yang digunakan, parti politik mana yang terlibat dan sebagainya. Justeru, perkara yang perlu diselesaikan adalah apakah medium bahasa yang sewajarnya digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi tujuan pembangunan negara bangsa?

Pemimpin yang bijaksana dapat membezakan antara isu utama dan sampingan (kurang penting atau tidak penting) dengan mudah. Pemahaman terhadap isu utama membolehkan pemimpin mengenalpasti punca, situasi dan implikasi isu tersebut dan seterusnya membuat keputusan yang tepat bagi menangani permasalahan atau konflik yang timbul tanpa dipengaruhi sentimen pribadi.

Thursday, March 5

Kajian PPSMI


KOMPETENSI GURU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK MENGGUNAKAN BAHASA INGGERIS SERTA IMPLIKASINYA TERHADAP PRESTASI KE ARAH PEMBANGUNAN MODAL INSAN MURID.



DIKEMUKAKAN OLEH:


Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA)


TUJUAN


Untuk menyampaikan dan membincangkan hasil dapatan dan kajian PEMBINA bersama-sama Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknolgi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengenai “ Tahap Kompetensi Guru Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Prestasi Ke Arah Pembangunan Modal Insan Murid”. Kajian ini meliputi 70 buah Sekolah Menengah dan 90 buah Sekolah Rendah meliputi seluruh Malaysia, dan 23000 murid.



Walau bagaimanapun disebabkan kajian ini belum lagi tamat seluruhnya, maka hanya sebahagian daripada dapatan kajian tersebut sahaja akan dibincangkan.



LATAR BELAKANG PELAKSANAAN PPSMI



Berikut disenaraikan urutan dan peristiwa bagaimana PPSMI diperkenalkan:



  • Pada 17 April 2002, Mesyuarat Jemaah Menteri mengarahkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengkaji pelaksanaan PPSMI.

  • 6 Mei 2002, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesyorkan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

  • 8 Mei 2002, Jemaah Menteri bersetuju Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

  • 10 Mei 2002, Majlis Tertinggi UMNO menyokong cadangan Jemaah Menteri.

  • 19 Julai 2002, Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bersetuju Strategi dan Jadual Pelaksanaan PPSMI.

  • Julai 2002, Menteri Pendidikan mengumumkan dengan rasminya PPSMI akan digunakan mulai tahun 2003.


RASIONAL PELAKSANAAN PPSMI



  • Dasar ini digubal berasaskan hakikat bahawa Sains dan Matematik adalah bidang ilmu yang sangat dinamik dengan pelbagai penemuan baru dan sebahagian besar maklumat yang berkaitan dengannya terdapat dalam bahasa Inggeris.

  • Matlamat akhir dasar ini adalah membolehkan murid mengakses maklumat yang berkaitan melalui pelbagai media supaya mereka mampu menguasai ilmu Sains – Matematik dan lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

  • Di samping itu untuk melahirkan generasi yang kukuh dalam penggunaan bahasa Inggeris. (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11/2002 : Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris Di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Menengah (SM), dan Tinkatan 6 Mulai Tahun 2003. Kp (BS) 8591/Jld XVIII/(13), 27.11.2002).

  • Bahasa Inggeris dipelajari oleh murid selama 11 tahun, tetapi prestasinya masih belum memuaskan. Dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, maka diharapkan akan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid.


STRATEGI DAN JADUAL PELAKSANAAN



  • 100%, Tahun 1, SK, SJKT dan SJKC bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

  • 100%, Tingkatan 1 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

  • 100%, bagi Tingkatan Enam Rendah untuk mata pelajaran Fizik, Biologi, Kimia, Matematik, Matematik T, Matematik Lanjutan T, dan Perkomputeran.

  • Peruntukan waktu bagi SJK, SJKT dan SJKC ditetapkan oleh kementerian. Walau bagaimanapun dari segi peruntukan waktu, didapati SJKC jauh lebih beruntung jika dibandingkan dengan SK dan SJKT kerana diberi peruntukan waktu yang lebih. Di samping itu mereka juga dapat memahami pengajaran dengan berkesan kerana diizinkan menggunakan bahasa Mandrin di samping bahasa Inggeris.


Pentaksiran



Mulai tahun 2003 hingga tahun 2007, semua peperiksaan awam mata pelajaran Sains dan Matematik akan disediakan dalam dwi-bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (SK), Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil (SJKT), dan Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandrin (SJKC). Murid dibenarkan memilih untuk menjawab soalan peperiksaan bagi mata pelajaran tersebut dalam salah satu daripada dua bahasa atau kedua-dua bahasa.



  • Bagi Sekolah Menengah dan Tingkatan 6 , dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

  • Mulai tahun 2008 UPSR, bagi Sains dan Matematik soalan akan di sediakan di dalam Bahasa Inggeris sahaja (SK, SJKT dan SJKC).

  • Bagi mata pelajaran Sains dan mana-mana mata pelajaran lain yang berasaskan Sains dan Matematik di SM, akan disediakan dalam Bahasa Inggeris.

  • Walau bagaimanapun, pada tahun 2007, KPM mengumumkan bahawa soalan soalan peperiksaan masih akan diadakan di dalam 2 bahasa.


REAKSI MASYARAKAT


Pelaksanaan PPSMI secara tergesa-gesa ’ad hoc’ tanpa perancangan rapi menimbulkan berbagai-bagai reaksi masyarakat. Ada yang menyokong dan terdapat pula yang menentang. Antara isu-isu yang ditimbulkan ialah:


  • Bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan Perkara 152(1) yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dan Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan

  • Bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967: Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Rasmi telah diperuntukkan di bawah Seksyen 2, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) seperti berikut:


“Kechuali sa-bagaimana di-peruntokkan dalam Akta ini dan tertaklok kepada perlindongan2 yang terkandong dalam Perkara 152(1) Perlembagaan berhubong dengan mana2 bahasa lain dan bahasa mana2 kaum lain dalam Malaysia, bahasa kebangsaan hendak-lah digunakan bagi maksud2 rasmi”.



  • Bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996: Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Pengantar Utama. Seksyen 17, Akta Pendidikan 199 menetapkan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Pengantar Utama seperti berikut:

(1) Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyn 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.



(2) Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan adalah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi
pendidikan.



Peruntukan subseksyen 17(1) bermakna pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas hendaklah secara utamanya dijalankan dalam Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, kecuali bagi Sekolah Jenis Kebangsaan.


Pelaksanaan PPSMI akan menghilangkan identiti bangsa, kepatriotan dan kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa akhirnya akan lenyap peranannya. Istilah-istilah baru dalam bidang sains, teknologi, perubatan, kejuruteraan dan sebagainya tidak akan dibentuk lagi.



Pelaksanaan PPSMI akan melemahkan lagi pencapaian dan prestasi pelajar-pelajar dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Teknologi. Malah matlamat KPM untuk mencapai hasrat nisbah pelajar aliran Sains dan Teknologi berbanding dengan aliran Sastera, dan iaitu 60:40 pada tahun
2010 akan gagal. Kesan negatif ini akan membawa secara kumulatif ke peringkat lebih tinggi seterusnya (peringkat sekolah menengah). Jika dibuat unjuran seterusnya, besar kemungkinan yang penawaran bilangan pelajar Matematik, Sains, Teknologi dan Kejuruteraan yang cekap dan cemerlang untuk meneruskan pengajian ke peringkat pengajian tinggi dalam bidang-bidang Sains dan Teknologi, Kejuruteraan, Perubatan, Pertanian dan Perniagaan akan menurun, terutama di kalangan pelajar Melayu/Bumiputra (lebih-lebih lagi luar bandar dan pedalaman). Atau IPT akan terpaksa menyediakan kursus-kursus ’persediaan’ dan ’pemulihan’ kepada pelajar lulusan sekolah Menengah bagi menentukan asas pelajaran mereka mencukupi untuk mengikuti program-program pengajian di IPT ini. Ertinya PPSMI telah gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi Matematik dan Sains, terutama pelajar Melayu/ Bumiputra; dan gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi Bahasa Inggeris pelajar rendah dan menengah. Kesan kumulatif jangka panjang ialah sebahagian besar (lebih 75%) pelajar Melayu/Bumiputra tidak akan menguasai secukupnya konsep ilmu dan kemahiran Matematik dan Sains.



’They are weak in learning tools to learn Maths and Science’.


(Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ishak Haron, UPSI : Kesan Dasar Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris Di Sekolah Rendah)



Untuk menambahjelaskan lagi dapatan ini, sila rujuk Rajah 4 , di mana dengan jelas menunjukkan bahawa peratus pelajar yang beroleh D dan E Matematik dan Sains PMR amat tinggi dan membimbangkan. Hampir separuh daripada pelajar tersebut iaitu 44.08% (Matematik) dan 45.94% (Sains) mendapat D dan E. Dengan keputusan seperti ini kita boleh bayangkan kemanakah mereka akan pergi selepas SPM.



  • Alasan pelaksanaan PPSMI diharapkan akan dapat meningkatkan pembelajaran, menambahkan minat dan penguasaan serta membaiki prestasi bahasa Inggeris pelajar tidak dapat diterima oleh masyarakat. Sebaliknya pelajar akan mengalami kerugian berganda ’double jeorpardy’. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran. Kelemahan murid dalam bahasa Inggeris akan menyebabkan mereka tidak berminat , tidak bersedia dan tidak dapat mengikuti pengajaran Matematik dan Sains. Sepatutnya jika bahasa Inggeris yang hendak ditingkatkan, KPM perlu menyemak semula kandungan kurikulum Bahasa Inggeris, membaiki pedagogi, menambahkan waktu pembelajaran, memperkenalkan Kesusasteraan Inggeris dan sebagainya. Ramai yang berpendapat, yang lemah tidak diperbaiki, yang elok dimusnahkan. Misalnya antara langkah yang boleh diambil untuk baiki prestasi bahasa Inggeris ialah pada peringkat sekolah rendah penekanan pengajaran Bahasa Inggeris perlu diberi kepada kemahiran bahasa asas interpersonal (Basic Interpersonal Communicatif Skills atau BICS) yang memberi kemudahan kepada penggunaan bahasa untuk berkomunikasi. Pada peringkat sekolah menengah, kurikulum Bahasa Inggeris perlu memberi penekanan kepada latihan-latihan dan penggunaan bahasa Inggeris untuk memantapkan kemahiran berbahasa kognitif akademik (Cognitive Academic Language Profeciency atau CALP) yang menekankan kemahiran berbahasa, khusus untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik – (Prof. Datin Dr. Juriah Long, UKM).

Perlu ditegaskan bahawa pada hari ini, terdapat seramai lebih kurang 146,861 (29.35%) daripada 500,427 murid di Tingkatan 1 beroleh D dan E (gagal) Bahasa Inggeris ketika UPSR. Bayangkanlah dan fikirfikirkanlah bolehkah pelajar-pelajar ini mengikuti pengajaran Matematik
dan Sains dengan cemerlang jika penguasaan bahasa Inggeris mereka terlalu lemah. Mungkinkah mereka boleh cemerlang dalam SPM dan STPM. ( Sila rujuk Rajah : 1 dan 2)

Prestasi Bahasa Inggeris murid Tingkatan 4 lebih membimbangkan. Bilangan murid yang beroleh D dan E di dalam PMR amat tinggi, iaitu 50.20%. Sayugia diingatkan bahawa mereka yang gagal Bahasa Inggeris bukan bererti mereka juga lemah di dalam Sains dan Matematik


DAPATAN KAJIAN AWAL



Beberapa dapatan dan kesimpulan dapat dibuat berdasarkan kepada 9 buah sekolah.



KESIMPULAN



Dapatan awal telah dibentangkan, pola telah dapat dilihat dan eloklah kita menunggu keseluruhan dapatan untuk dirumuskan.


Tuesday, February 17

Bahasa Jiwa Bangsa




Bahasa dan jiwa manusia adalah dua entiti yang menyatu. Bahasa terbina seiring dengan berkembangnya peradaban sesuatu bangsa. Lebih tinggi peradaban sesuatu bangsa, lebih tinggi nilai bahasanya.


Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, Bahasa Melayu menjadi Lingua Franca sebagaimana kedudukan yang dinikmati oleh Bahasa Inggeris pada masa kini. Bahasa Melayu adalah bahasa ekonomi, bahasa ilmu, bahasa agama dan bahasa yang menyatukan bukan sahaja warga tempatan malahan juga masyarakat antarabangsa terutamanya yang berdagang di Melaka. Seiring dengan itu, Bahasa Melayu terus berkembang. Menurut sebahagian pendapat ahli bahasa, daripada empat perkataan, Bahasa Melayu yang bersifat arbitrari menyerap pelbagai perkataan baru dan membina peradabannya sendiri.


Kedudukan Bahasa Melayu mula tergugat apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 diikuti dengan kerajaan Melayu lainnya sehinggalah Tanah Melayu akhirnya memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957. Penjajahan demi penjajahan menjadikan penduduk Tanah Melayu mula hilang keyakinan terhadap keupayaan dan kekuatannya sendiri. Meskipun secara fizikalnya, Tanah Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia telah bebas dari belenggu penjajahan, namun kesan psikologi yang ditinggalkan oleh imperialis barat masih belum mampu dipulihkan sepenuhnya. Trauma dan fobianya masih kental sehingga hari ini. Dalam sedar, apa sahaja yang datang daripada Barat dianggap hebat dan moden manakala tradisi dan peradaban yang telah dibina sendiri dari acuan keindahan budaya Melayu dan Islam dianggap kolot dan mundur.


Dalam dunia hari ini, penguasaan Bahasa Inggeris adalah satu keperluan untuk menguasai pelbagai bidang ilmu. Kekuatan Bahasa Inggeris adalah kerana kerana nilai ilmunya. Namun begitu, dalam masa yang sama ia turut menjadi senjata neo-kolonialis yang ampuh. Bahasa Inggeris datang dengan pakej yang lengkap - ilmu, ideologi, budaya dan nilai yang bercampur-baur. Penjajahan bukan lagi bersifat fizikal sebaliknya dalam bentuk perang psikologi yang menyerang jiwa manusia yang berada di dalamnya secara terancang. Justeru, penguasaan Bahasa Inggeris adalah penting untuk menguasai pelbagai bidang ilmu namun dalam masa yang sama, kita perlu menyediakan diri untuk menapis virus-virus yang datang bersama kebanjiran maklumat dan kemodenan yang ditawarkan.


Bahasa Melayu mengandungi nilai peradaban yang tinggi. Pantun Melayu sebagai contohnya adalah satu bentuk falsafah yang digubah dengan irama yang tersendiri yang tidak terdapat dalam mana-mana peradaban lainnya. Begitu juga dengan gurindam, syair, seloka, peribahasa, lagu dan sebagainya. Bahasa Melayu turut mengandungi 2000 perkataan bahasa Arab seperti adil, ihsan, amanah, azan, hikmah dan pelbagai lagi. Kesemuanya memberikan makna yang mendalam dan membentuk nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian. Membuang Bahasa Melayu samalah seperti membuang peradaban dan jati diri yang telah dibina berkurun tahun lamanya.


Setelah 51 tahun merdeka, kedudukan Bahasa Melayu perlu diperhalusi kembali. Harus diingat, Bahasa Melayu pernah menjadi Lingua Franca suatu ketika dulu. Tidak mustahil, dalam era globalisasi ini, dengan kesedaran yang ada, Bahasa Melayu akan berada dikedudukan asalnya semula.


Arakian, tiada salahnya kita menguasai bahasa lainnya. Bahkan adalah satu bonus jika kita berupaya menguasai lebih daripada tiga bahasa sekaligus. Malahan, ianya juga adalah satu keperluan dalam era lambakan maklumat ini. Bagaimanapun, Bahasa Melayu yang menjadi jiwa bangsa Malaysia tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Malahan, ia perlu diperkukuhkan dari masa ke semasa agar jiwa bangsa Malaysia yang berada di dalamnya akan terus kukuh dan terpelihara walau sebesar dan sedahsyat manapun Tsunami yang melanda.

Monday, August 25

Sejarah & Manusia

K2
2
Sejarah tidak pernah mati kerana manusia, walau segah manapun peradabannya, sentiasa berinteraksi dengan sejarah.
Namun, hanya manusia yang bijaksana berupaya mencerna intipati sejarah sebagai perkakasan untuk menyelesaikan permasalahan semasa dan akan datang serta mencipta kehidupan yang lebih bermakna.

Thursday, June 26

Sastera dan Sasterawan

Seorang teman merasakan dunia sastera terpinggir jauh. Dia kemudiannya membandingkan layanan orang terhadap S. N. A Samad Said berbanding Siti Norhaliza. Amarahnya membara apabila tiada siapa mengendahkan sasterawan negara itu mengangkat kotak di pesta buku. Sakit dihatinya tambah membara apabila karya suaminya diciplak sewenang-wenangnya.




Apa ada pada Siti Norhaliza? Keistimewaan Siti Norhaliza terletak pada kemerduan suaranya, kesantunannya dan tak dinafikan, pada paras rupanya yang manis menawan. Fitrah manusia sememangnya suka kepada yang indah-indah. Namun ada satu lagi faktor penting - Siti Norhaliza adalah seorang artis yang bertaraf jutawan. Realitinya memang kita bersikap materialistik. Mungkin ini semua didorong oleh faktor desakan hidup yang semakin menghimpit apatahlagi dengan kenaikan harga minyak, kediaman dan barangan keperluan secara mendadak.

Saya kira ada satu cara untuk mengangkat martabat sastera. Kita perlu melahirkan seorang sasterawan yang mempunyai pakej lengkap (berbakat besar, berpendidikan tinggi, berakhlak mulia, memiliki paras rupa yang sangat menawan, mempunyai perwatakan dan personaliti yang menarik, serba-boleh dan kaya raya). Yang paling utama, berjaya menghasilkan karya membina dengan penjualan mencecah sehingga 1 juta unit atau lebih di Malaysia. Lebih menarik lagi jika karyanya diterjemahkan dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia juga menjuarai carta jualan seperti mana J.K Rowling dengan Harry Potternya. Ya, mungkin itu saja antara jalan yang ada. Saya kira, kita sudah ada beberapa orang sasterawan muda tanah air yang berpotensi untuk membuat kejutan dan mencetuskan fenomena yang mengujakan ini. Kita tunggu dan lihat... siapa dia :).



Wednesday, May 14

Bahasa Ke-3



Bahasa pintu ilmu. Lebih tinggi dan rencam penguasaan bahasa, lebih luas dan pelbagai pintu ilmu yang tersedia untuk diterokai. Bahasa adalah wahana yang menyatukan manusia. Bahasa yang paling hebat adalah bahasa yang paling bermanfaat dan indah. Pastinya bahasa tersebut adalah bahasa al-Quran iaitu Bahasa Arab atas beberapa fakta konkrit yang telah kita sedia maklumi. Justeru, sudah sampai masanya kita turut berusaha untuk memanfaatkan bahasa ini sebaiknya. Dan... masanya sudah tiba barangkali untuk kita mendaulatkan bahasa ini, kalaupun bukan yang pertama atau kedua, sekurang-kurangnya... yang ke-3. Namun, sebaiknya yang kedua atau pun lebih molek lagi, yang pertama.

Sunday, May 11

Rupa dan Wajah



Oleh A Aziz Deraman


Abad ke abad dunia berubah

ada rupa nusa-nusa bertukar wajah

manusia yang bina peradabannya

kekadang ada rekah pada rupa

tidak cambah benih wajah budaya

biak subur ke segenap ladang jiwa.


Ratusan tahun bahasa Melayu

lalui masa berkembang tidak lesu

agung bahasa itu seagung bahasa ilmu

menajami halus senjata komunikasi

hebat gema serantau seindah bunyi

ratusan tahun persuratan Melayu abadi

ghairah megah kukuh tapak berdiri

di tangan pemikir ulama hukama

kitab-kitab ditulis terhimpun minda

ditatap orang para pelajar menadah

di riba dibaca rata-rata menelaah

tradisi ilmuannya tiada kenal muflis

tidak dikikis tidak terhakis habis

lahir pesantren harum nama pondok

langit akal terjunjung tanpa runduk

bumi berpijak laksana resmi padi

sifatnya dikenali setiap benua insani.


Zaman ke zaman bahasa Melayu maju

limpah persuratannya memenuhi penjuru

luas medan fikir jadi cakerawala kebudayaan

riak-riak bijak jadi gelombang perubahan

terima yang terbaik jadi kukuh akal budi

desa tradisi lisan jadi kota hikayat bahari

martabat kreatif cerna karya riwayat asasi

dari roman ke novel dari cerpen ke puisi

itu jadi makna pemikiran yang tinggi.


Abad 20, abad Melayu berani

berjuang sampai merdeka pertiwi

maju segala lapangan mewarnai hidup

tahu antara isi peradaban dan bentuk

masuk abad baru, dunia Melayu kelu

lidah kekaguman orang mulai bisu

kita kehilangan ghairah kalbu

entah ke mana keyakinan

entah di mana keupayaan dalam daya saing bahasa

dalam istimewa hikmah persuratannya

tidak terurus daya juang para ketua

tidak terterus kajian di tangan benua.


Kita biarkan selera diri hilang lebur

di lidah bangsa sendiri bicara terkubur.

Merdeka! Tetap merdeka!

dirgahayu nusa bangsa

apa-apakah tersohor bagi kita megah

setelah kita kehilangan masa yang punah

satu persatu milik kita musnah menanah

kita akan hilang rupa dan wajah.


A AZIZ DERAMAN DBP Kuala Lumpur

Friday, May 2

Menetak Air




Air ditetak tiada akan putus



Maksud:



1. Peri adik beradik dan ibu bapa itu tiadalah dapat dicerai-beraikan

2. Perbalahan antara satu kaum atau antara saudara-mara tiada akan menjadi perceraian selamanya.



Peribahasa lazim: Air dicincang tiada putus



Rujukan:



Shellabear, W. G. 1965. Kitab kiliran budi. Cetakan keempat, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara. (p-1)