Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Showing posts with label Gaya Hidup Sihat. Show all posts
Showing posts with label Gaya Hidup Sihat. Show all posts

Monday, June 11

Kembali Berat Asal

Ringan rasanya tubuh apabila BMI (body mass index) kembali normal. Semasa mengandung, berat badan bertambah secara mendadak sehingga 1kg sebulan. Selepas bersalin, terdapat beberapa cara alami agar berat badan kembali normal dalam tempoh setahun selepas melahirkan cahayamata. Antaranya: 

1. Menyusukan bayi dengan kerap (susu ibu)
2. Berurut
3. Bertungku
4. Berpuasa (terutama selepas bayi mengambil pemakanan lain selain susu ibu)
5. Bergerak aktif/senaman
6. Banyak minum air putih
7. Amalan pemakanan sihat. 





Wednesday, February 8

Sup Habbatussauda'




“Pada Habbatussauda ada ubat bagi segala jenis penyakit kecuali Al-Sam, yaitu maut”
. ~ Bukhari (10:118-119); Muslim(7:25); Ibnu Majah (2:342) ~

Kelmarin seorang teman menghadiahkan sebotol biji habbatussauda' yang belum diproses. Kata teman saya:
" Ambil sesudu.. tambahkan enam gelas air.. tambahkan dengan madu.. rebus.. tapis dan minum airnya setiap hari untuk kesihatan".

Semalam saya merebusnya dengan air tanpa madu. Rasanya tetap menyegarkan dan sedikit berangin.

Pagi ini, saya tetap merebusnya. Cuma kali ini bijian hitam ini dimasukkan ke dalam kuah sup yang sedang menggelegak untuk menambah nilai pemakanannya. Dan jadilah ia... sup habbatussauda'.


Thursday, June 2

Bila tubuh lesu tak bermaya..





Sesekali tubuh terasa terlalu lemah, letih dan lesu.. tak bermaya. Itu tandanya tubuh perlu berehat... tidur yang cukup, berehat.. bersantai di tempat yang tenang.. subur dan menghijau barang seketika, berspa.. bersiram dengan air yang bersih menyegarkan.., menikmati air mineral yang sejuk lagi berkhasiat, atau berwuduk.. menyucikan diri dengan air mutlak yang suci lagi menyucikan dan bermunajat di keheningan malam yang membahagiakan. Itu juga mungkin isyarat tubuh perlukan diet pemakanan yang lebih sempurna atau aktiviti fizikal yang lebih baik.



Kata PLUS.. berehat sebentar boleh menyelamatkan nyawa. Kata Steven Covey pula.. tajamkan gergaji dengan berehat seketika untuk melonjakkan produktiviti pada hari seterusnya. Ya, kerana tubuh kita juga ada haknya.. hak untuk berehat pada kapasiti tertentu.. tidak terlalu sedikit.. dan tidak juga berlebihan.. untuk membina semula kekuatan.



Selamat berehat.. buat yang terlampau penat.. dan selamat bekerja semula dengan penuh efektif dan efisyen.. :).




Khasiat Kurma



Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak".

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 :



Tafsirnya : "Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak".

(Surah Maryam : 25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :

"Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air".

(Hadis riwayat Ahmad)

Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.

Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma :



Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.

Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.

Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.

Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala






Sumber:



http://www.brunet.bn/gov/mufti/alhadaf/dis98/h_fruit.htm




Monday, May 9

Tahap Aktiviti Fizikal



Jadual ini saya peroleh di dalam lif Klinik Kesihatan Kangar. Cuba kira.. dalam sehari berapa jauhkah kaki kita melangkah?


Wednesday, April 20

Teh Pudina








Kata pensyarah saya, sesekali cuba menu yang berbeza supaya nantinya kita tahu mana yang teristimewa. Jika singgah di Nile Cafe, UIAM Gombak.. saya suka menikmati lazagnia, barbusa atau nasi bukhari kambing bersama teh pudina (teh O panas yang ditambahkan dengan daun pudina segar). Jemput minum ya... :)







Wednesday, March 16

Apa khabar?






Lama tidak berjumpa. Saudara apa khabar.. sihat?



Bilakah kali terakhir saudara membuat pemeriksaan kesihatan?

Adakah saudara benar-benar bebas dari penyakit kencing manis (diabetes), darah tinggi, kanser dan pelbagai penyakit berbahaya?

Jika tidak, adakah saudara sentiasa mematuhi preskripsi perubatan yang diberikan?

Adakah saudara mengamalkan gaya hidup sihat?

Adakah pemakanan saudara benar-benar suci, bersih, berkualiti dan seimbang?

Adakah persekitaran rumah, kejiranan dan tempat kerja saudara bersih dan bebas dari sebarang pencemaran?

Adakah saudara seorang yang sentiasa komited dengan tugas, sentiasa bertawakal, mempunyai hubungan baik dengan sesama manusia, mudah bersyukur, mudah berlapang dada, sentiasa redha dengan ketentuan-Nya dan tenang dalam apa jua situasi?

Adakah saudara sentiasa belajar, mengambil iktibar dan memperbaiki diri serta komuniti?

Adakah saudara merasa bahagia dalam melayari kehidupan berkeluarga?

Adakah saudara seronok bekerja?





Jika ya, tahniah kerana menjaga kesihatan diri kerana ianya anugerah yang sangat berharga, dan seringkali hanya disedari betapa mahalnya nikmat itu setelah sakit mendatangi. Semoga Allah memberi saudara kekuatan untuk terus menjadi sebaik-baik manusia, iaitu yang paling bermanfaat kepada manusia lainnya. Salam ceria dan salam perjuangan.. :).






Wednesday, January 19

Pisang Goreng.. Panas! Panas!



Stres? Memakan pisang dikatakan boleh membangkitkan mood ceria. Selain dimakan begitu sahaja, pisang juga boleh dinikmati dengan aneka cara.

Berikut antara resepi mudah untuk mendapatkan pisang goreng yang rangup. Resepi ringkas ini 'talian hayat' daripada kekanda di Tanjung Malim.


Bahan:

1. Sebiji pisang tanduk yang sudah masak.

2. Satu setengah cawan tepung gandum.

3. Setengah cawan tepung beras.

4. Air

5. Sedikit garam

6. Minyak masak



Cara:



1. Buat bancuhan tepung menggunakan bahan 2-5.


2. Kupas pisang dan potong sederhana tebal.


3. Panaskan minyak untuk menggoreng. Curahkan dua sudu minyak yang telah panas ke dalam bancuhan tepung dan sebatikan.


3. Celupkan pisang ke dalam bancuhan tepung dan goreng sehingga garing.






Berikut pula resepi sambal kicap yang juga ringkas daripada suami sebagai bahan pencicah:


1. 5 biji cili api (bergantung kepada tahap kepedasan yang dimahukan)

2. 1 biji bawang putih
3. kicap manis

4. gula secukup rasa

5. limau nipis



Cara:


Tumbuk cili api dan bawang putih (samada mentah atau digoreng). Masukkan ke dalam mangkuk, tambahkan kicap manis dan tambahkan gula jika perlu. Akhir sekali, perahkan sedikit air limau nipis.


Mudah bukan... selamat menjamu selera.. :).


Tuesday, December 21

Kiwi



Mulakan hari dengan menu sarapan pagi yang lazat dan berkhasiat.


Kiwi antara buah yang cantik dipandang dan berkhasiat. Dua biji buah kiwi sehari sudah mencukupi terutamanya bagi ibu mengandung. Ini kerana, ia kaya dengan:


1. vitamin C (meningkatkan sistem imuniti tubuh dari penyakit)

2. asid folik (mengelakkan kecacatan saraf pada janin)

3. serat (mengumpul dan membuang toksin dari kolon)

4. kalsium (menenangkan dan menstabilkan perasaan, meningkatkan kualiti tidur)

5. potassium (melawan efek garam atau sodium bagi mengurangkan tekanan darah tinggi).


* Dipetik dari Majalah Pa & Ma, Jan, 2011.

Wednesday, March 31

Makan untuk Sihat: Menguatkan Daya Imunisasi.




Sihat melalui pilihan makanan

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF



BERAPA kerap anda mendapat selesema atau batuk? Adakah luka yang anda alami mengambil masa yang agak lama untuk sembuh? Adakah anda sering mengalami keletihan amat sangat atau sakit kepala? Semua gejala di atas merupakan simptom-simptom penyakit yang kerap mengganggu sistem imunisasi tubuh manusia yang setiap waktu dikeliling bakteria dan virus.

Untuk itu selain mengamalkan gaya hidup sihat termasuk bersenam dan menjaga pemakanan, setiap individu juga dinasihatkan memantau kedudukan sistem daya tahan badan.

Pakar Terapi Rawatan Semulajadi dan Nutrisi Kordel, Esther Peh berkata, untuk meningkatkan sistem daya ketahanan badan, pemilihan kombinasi makanan yang berkhasiat amat penting di samping pengambilan vitamin-vitamin tambahan.

Jelas beliau, tabiat mengambil makanan yang mengandungi banyak lemak dan gula tetapi kurang atau tidak langsung melakukan senaman juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada gangguan sistem daya ketahanan badan seseorang.

''Corak pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat mengakibatkan masyarakat Malaysia hari ini mudah dijangkiti penyakit.

''Ini kerana dunia yang semakin maju turut mengakibatkan gaya hidup serta pemakanan masyarakat hari ini menjadi semakin moden.

''Ia ditambah pula dengan kesibukan bekerja dan tiada masa untuk bersenam yang secara tidak langsung menjadi penyumbang untuk dijangkiti penyakit berjangkit,'' ujarnya ketika pada forum terbuka mengenai gaya hidup sihat di Pusat Perubatan Sunway, di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah beliau, untuk merangsang daya ketahanan badan, disaran agar minum banyak air - sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Selain itu, seseorang individu turut dinasihatkan mengamalkan diet yang seimbang di samping memperbanyakkan pengambilan sayuran serta buah-buahan berwarna terang.

Senaman juga salah satu cara paling cepat dan berkesan untuk merangsang sistem imun badan.

Rehat dan tidur yang mencukupi juga salah satu cara untuk tampil sihat.

"Tidur adalah salah satu cara terbaik untuk merehatkan badan dan disarankan agar tidur antara enam atau tujuh jam satu malam.

"Selain itu elak ketagihan terutama alkohol, dadah dan rokok kerana semua itu boleh merosakkan sistem imun kita," katanya.

Dalam pada itu menurut Esther, mengurangkan pengambilan ubat juga merupakan salah satu cara untuk meningkatkan sistem ketahanan badan.

Ini kerana pengambilan terlalu banyak ubat akan menjejaskan sistem pertahanan badan disebabkan kandungan dadah di dalamnya.

Bagi penyelesaian kepada masalah sistem imunisasi badan, Esther menyarakan agar orang ramai mengambil kombinasi vitamin seperti vitamin C, zink dan selenium

Ketiga-tiga kombinasi vitamin tersebut merupakan kombinasi yang bagus kerana ia memberikan perlindungan yang diperlukan.

''Sebaik-baiknya bagi mereka yang mengambil vitamin tambahan digalakkan mengambil kombinasi antara vitamin C, zink dan selenium.

''Ini kerana ketiga-tiganya mempunyai peranan masing-masing dalam memberi perlindungan kepada sistem imunisasi badan anda,'' katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa vitamin C banyak terkandung dalam buah kiwi berbanding buah oren di samping buah jambu dan betik.

''Seperti yang kita ketahui vitamin C terkenal sebagai perangsang daya tahan dan juga diperlukan dalam pembentukan kolagen.

''Pada masa sama, ia turut mengekalkan sistem imun badan di samping mempercepatkan proses penyembuhan,'' katanya.


Nota: Ambilan dari Utusan Malaysia.

Saturday, March 6

Mencabar Kinabalu




KOTA KINABALU 5 Mac - Pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin hari ini mendedahkan antara petua yang diamalkannya bagi menambah kekuatan badan adalah dengan memakan kuning telur ayam kampung dicampur halia.


Menurutnya, petua yang diperoleh daripada jurupandu berpengalaman yang bertugas di Gunung Kinabalu itu terbukti berkesan menambah stamina dan kekuatan badan bagi mengharungi cabaran pendakian setiap hari.


"Selain itu saya juga memakan sejenis makanan tambahan yang dicadangkan oleh pakar bagi menguatkan sendi dan tulang.


"Saya akan mengambil makanan tambahan itu dalam bentuk pil sebanyak dua biji setiap pagi dan malam yang berharga RM260 sebotol," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Jurugambar Utusan Malaysia itu berkata, untuk mengekalkan stamina di tahap terbaik, antara makanan yang dielakkannya adalah makanan pedas dan berlemak selain minuman bergas dan air batu.


"Sejak mula melibatkan diri dalam pendakian pada 1997, saya tidak mengambil minuman bergas dan air batu bagi menjaga stamina sebaliknya mengambil air suam dan panas.


"Dari segi pemakanan pula saya tidak mengambil makanan pedas atau makanan segera tetapi sering memakan sup dan sayur-sayuran," katanya.


Mengulas mengenai misi pendakian ke-64 hari ini Mohd. Noor memberitahu, beliau ditemani mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Raizul Rahmat dan jurupandu, Azli Azie Atun.


"Pendakian berjalan lancar. Saya memulakan pendakian pada pukul 7 pagi dan sampai ke puncak pada pukul 1.26 petang sebelum sampai ke bawah pada pukul 4.30 petang," ujarnya.


Pada 31 Disember lalu, Mohd. Noor, 42, memulakan misinya menawan puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali yang dijadual berakhir 20 April ini sebelum pendakian baru di Menara Kuala Lumpur.


Beliau juga akan melakukan 111 kali pendakian di menara itu dari 1 hingga 7 Mei ini untuk melayakkan dirinya melakar nama dalam Guinness World of Records.


Projek Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 yang bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia keseluruhannya mengambil masa selama lima bulan.


Rekod pendakian Mohd. Noor terdahulu adalah Pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo tanpa henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).


Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan TV3 merupakan media rasmi untuk projek tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dan UMS.


Nota:


1. Sumber- Utusan Malaysia

2. Makan untuk sihat.

3. Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada mukmin yang lemah walaupun dalam keduanya ada kebaikan... al Mukminul qawiyyu ahabbu minal mukminidh dha’if..


Saturday, February 20

Main Masak-Masak


Memasak antara aktiviti yang boleh menjana kreativiti, meredakan stress dan membina tabiat pemakanan yang sihat. Selain dari masakan rutin yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, terdapat aneka jenis resepi yang boleh dicuba apabila berkelapangan. Setelah mahir, mencipta resepi sendiri adalah antara perkara yang sangat mengujakan.



Berikut antara laman sesawang yang boleh dirujuk sebagai panduan asas (kecuali bahan masakan yang tidak halal). Selamat mencuba ! :)



1. Mesra. Net Recipes (Himpunan resepi masakan Malaysia dan antarabangsa) dan Selera Malaysia (Hidangan ringkas masakan Malaysia)



2. My Resipi (Tempat untuk berkongsi resepi)



3. My Recipes (Koleksi resepi untuk jantung sihat)



4. Healthy Cooking Recipee (Koleksi resepi pemakanan sihat)



5. Chinese Food Recipees (Himpunan resepi masakan China)



6. Middle Eastern Recipees (Himpunan resepi masakan Timur-Tengah)



7. Just Fruit Recipes (766 resepi berasaskan buah-buahan)



Tuesday, November 17

Hidup 'manis' sekarang, terseksa kemudian



Oleh ZULKIPLE IBRAHIM


MENURUT laporan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) pada tahun 2007, hampir 1.2 juta rakyat Malaysia menghidapi kencing manis. Bagi statistik untuk tahun 2008, jumlah ini meningkat sebanyak 650,000 orang dan angka ini dijangka terus bertambah bagi tahun 2009.


Diabetes atau kencing manis merupakan satu penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian dan ramai pesakit diabetes hanya menyedari mereka menghidap penyakit itu apabila timbul komplikasi.


Sebenarnya diabetis ialah satu penyakit yang boleh dielakkan, melainkan ia berpunca daripada genetik, tetapi gaya hidup di zaman moden ini menyebabkan penyakit itu semakin senang dihidapi.


Kandungan tinggi gula dalam darah


Menurut pakar endokrinologi serta juga pakar nutrisi/pemakanan, Dr. S. Menon, diabetes terjadi bukan dalam sekelip mata tetapi hanya muncul dalam jangka masa yang agak panjang setelah pesakit mempunyai kandungan gula di dalam darah yang tinggi secara berterusan.
Ini akibat pengambilan makanan yang mengandungi gula tanpa kawalan, diet yang tidak seimbang serta juga amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang senaman dan aktiviti fizikal.


"Diabetes ibarat pembunuh yang bersembunyi, dan akan muncul apabila suasana sudah menjadi tidak terkawal. Bagaimanapun diabetis bukan hanya bergantung kepada faktor nutrisi sahaja tetapi juga genetik.


Kisah Azhar


Dr. Menon memaparkan kisah Azhar (bukan nama sebenar) yang berasal dari sebuah kawasan pedalaman di sebuah negeri di Pantai Timur dan tidak mengetahui bahawa kedua-dua ibu bapanya memang menghidapi diabetes bapanya.


Sejak pada umur awal belasan tahun, Azhar sudah mula mengalami tanda-tanda diabetes seperti tahap kehausan yang amat sangat, cepat letih, kerap buang air kecil pada waktu malam dan juga keletihan.


"Saya tidak mendapatkan rawatan kerana menganggap itu hanya perkara biasa sehinggalah saya datang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan pelajaran di universiti," kata Azhar.


Menurut Azhar, apabila dia mengalami bisul bernanah di belakang kepalanya, barulah mengetahui yang beliau menghidapi kencing manis.


Ibu bapa serta abang-abangnya meninggal dunia kerana myocardial infarct (tisu jantung tidak mendapat cukup bekalan oksigen) iaitu satu daripada komplikasi diabetes.


Kandungan karbohidrat yang tinggi


Bagi seorang lagi pesakit diabetes, gaya hidup dan diet yang tidak sihat menyebabkan beliau menghidapi kencing manis.


"Dari kecil, saya memang mengambil diet yang mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi. Sarapan pagi ialah nasi, makan tengah hari pun nasi, makan malam sudah tentulah juga nasi dan kalau keluar minum lewat malam pun nasi.


"Kalau nak kata senaman, memang jauh sekali dan memang tidak pernah saya lakukan," katanya.


Bagi Manan pula, ketika beliau berada di universiti, beliau mula ketagih minum air berkabonat.
"Setiap malam, saya ambil minuman ini hinggalah saya mengalami komplikasi kegagalan buah pinggang kerana diabetes," tambahnya.


Diabetis juvenil


Menurut Dr. Menon, sekiranya kencing manis diwarisi melalui faktor genetik iaitu daripada ibu bapa, biasanya ibu, seseorang itu akan mempunyai diabetes dari kecil dan ini dikenali sebagai diabetes juvenil atau diabetes Type I.


Bagi mereka yang menghidapi kencing manis ketika umur sudah meningkat, diabetes ini dikenali sebagai Diabetes Type II atau maturity onset dan ini terjadi dari sebab faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.


Menurut Dr. Menon, walaupun komplikasi diabetes yang selalu diceritakan memang menakutkan, masih ramai yang seolah-olah tidak peka terhadap masalah ini hinggalah kepada satu tahap yang agak terlambat.


Komplikasi diabetes memang bahaya dan tidak hairanlah apabila diabetes digelar sebagai 'ibu kepada segala penyakit'.


Antara organ yang akan terlibat ialah mata (katarat, glaukoma dan retinopati), buah pinggang (penyakit dan kegagalan), saraf (neuropati), jantung dan salur darah (penyakit kardiovaskular), gusi (penyakit periodontal) dan kaki (saluran darah terganggu menyebabkan gangrene serta amputasi).


Amalan hidup sihat


Bagi Dr. Menon, amalan hidup sihat serta diet yang seimbang memang selalu dipertuturkan oleh fraterniti perubatan bagi mencegah penyakit diabetes.


Biasanya ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengambil kisah tentang penyakit sehinggalah mereka mula mengalami komplikasi, kata beliau.


Ini ialah nasihat Dr Menon kepada orang ramai:


"Diabetes mengambil masa yang agak lama sebelum terjadi. Kadang-kadang langsung tidak ada tanda dan gejala sebelum kita sedar yang kita ada kencing manis.


"Jadikan kebiasaan untuk menjalani pemeriksaan setiap tiga atau enam bulan setidak-tidaknya. Bagi mereka yang sudah ada diabetes, adalah penting bagi mereka mematuhi pengurusan penyakit kencing manis mengikut apa yang dinasihatkan doktor".


Ambillah makanan seimbang dan selalu amalkan senaman, elakkan merokok dan mengambil minuman beralkohol. - Bernama


Sumber: Utusan Malaysia

Saturday, October 24

Murung Cabang Penyakit




Oleh Rosmaliana Aida Mohd



SESIAPA saja boleh mengalami masalah kemurungan tidak mengira usia, jantina atau bangsa malah kanak-kanak seawal usia lima tahun juga boleh mengalami kemurungan cuma simptom mereka berbeza daripada orang dewasa. Bagaimanapun, mengikut kajian, kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi daripada lelaki kerana mereka lebih bersikap tanggungjawab dan mengambil tahu setiap perkara secara mendalam.


Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, berkata pesakit yang mengalami masalah kemurungan akan hilang keyakinan diri, berasa rendah diri serta hidup dalam dunia mereka sendiri.Menurutnya, jika tidak dirawat segera penghidap masalah kemurungan akan berasa dunia mereka seolah-olah tamat di situ saja dan ini menyebabkan banyak kejadian bunuh diri berlaku.


"Disebabkan itu, mereka perlu mendapatkan rawatan pakar selain ubat-ubatan bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku".


"Ini disebabkan kemurungan bukan kelemahan peribadi tetapi penyakit yang menjejaskan otak yang memerlukan rawatan perubatan dengan segera," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.Antara sebab wanita lebih kerap berdepan dengan kemurungan ialah perubahan peringkat hormon yang dialami sepanjang hidup mereka terutama selepas mengalami haid, hamil, selepas bersalin, pramenopaus dan putus haid. Hormon dalam badan akan berubah sepanjang tempoh kehidupan dan wanita paling banyak mengalaminya. Ia sedikit sebanyak memberi banyak tekanan dalam kehidupan seharian mereka.


Selain itu katanya, tekanan atau stres melampau juga boleh mendorong ke arah kelainan ini. Kadangkala kemurungan boleh berlaku walaupun kehidupan individu berkenaan sihat dan normal. Antara penyebab tekanan termasuklah penat dalam usaha untuk mengimbangkan antara tugasan di rumah dan tempat kerja, mempunyai pekerjaan yang berat dan membebankan, status ibu atau bapa tunggal, masalah kewangan serta perceraian ataupun kematian pasangan hidup."Oleh itu, keseimbangan dalam melakukan kerja harian amat perlu untuk mengelakkan tekanan dihadapi dan lakukan perkara itu setakat termampu. Jangan memaksa diri melakukan perkara di luar kemampuan diri," katanya.


Namun begitu katanya, penyakit kemurungan juga boleh diwarisi sekiranya ada sejarah kemurungan dalam keluarga."Bagaimanapun sekiranya mengamalkan gaya hidup sihat serta tidak terlalu bercita-cita tinggi hingga sukar digapai dan menyebabkan kekecewaan, maka ia satu cara hidup yang ringkas tanpa sebarang bebanan," katanya.


Malah ramai beranggapan seseorang itu gila jika berjumpa pakar psikiatri walaupun sebenarnya banyak masalah mental yang tidak ada kaitan dengan gila dan tidak kurang juga yang menganggap kemurungan sebagai masalah biasa. Menurutnya, faktor kemurungan boleh berpunca daripada pelbagai sebab seperti kematian anggota keluarga, putus kasih, perceraian, krisis ekonomi dan bebanan di tempat kerja serta akibat penyakit kronik.


Biasanya pesakit yang mengalami masalah kemurungan akan hilang minat terhadap perkara yang menggembirakannya. Mereka juga berasa tidak fokus, mengasingkan diri, hilang selera makan atau gangguan tidur dan kurang memberi tumpuan terhadap kerja.


Dianggarkan terdapat 300 jenis penyakit tergolong dalam penyakit psikologi dan kemurungan adalah satu cabang daripada penyakit jiwa. Penyakit kemurungan boleh memberi kesan kepada tubuh badan dan kehidupan sosial penghidapnya kerana ia satu penyakit yang menyebabkan seseorang individu berada dalam keresahan dan kegelisahan secara berterusan tanpa sebarang sebab munasabah.Malah jika tidak ditangani secara rasional, masalah kemurungan ini boleh melarat kepada perkara lebih buruk hingga menjejaskan kesihatan diri individu itu sendiri.Ia sebenarnya penyakit keempat di dunia yang paling berpotensi menyebabkan ketidakupayaan individu dari segi sosial kerana kebanyakan daripada penghidap masalah ini lebih gemar menyendiri tanpa bergaul dengan sesiapa.


Simptom kemurungan:


Kesedihan atau 'kekosongan' perasaan yang berpanjangan.
Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan.
Mudah berputus asa.
Perasaan bersalah dan tidak berguna.
Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur.
Hilang selera makan dan penurunan berat badan.
Berperasaan lebih baik mati, kadangkala disertai dengan cubaan bunuh diri.
Rasa tidak tenteram dan mudah marah.
Kurang daya tumpuan, sukar membuat keputusan.



Antara tip yang boleh digunakan untuk mengelakkan masalah kemurungan:
Amalkan gaya hidup sihat seperti bersenam secara teratur serta mengambil pemakanan seimbang.
Dapatkan tidur mencukupi kerana tidur adalah elemen rehat paling penting untuk tubuh serta minda supaya dapat kembali bertenaga secara fizikal dan mental keesokan harinya.
Elak bersendirian serta luangkan masa bersama keluarga.


Nota:

1. Ambilan dari Harian Metro

2. La tahzan, damaikan hati dan cemerlangkan diri dengan sabar dan doa yang tiada putusnya.

3. Belajar seni menceriakan diri dan orang lain.

4. Sebaiknya elakkan pergantungan kepada ubat penenang kerana ianya boleh memberikan kesan sampingan.

5. Amalkan sifat optimis dan positif (baik sangka)

6. Lingkungi diri dengan individu dan persekitaran yang positif, ceria dan menenangkan

7. Amalkan gaya hidup seimbang. Ikuti setiap usaha dengan tawakal dan redha.




Friday, October 9

Cergas di Usia Tua


Seorang teman berkongsi cerita tentang ibunya yang kekal cergas di usia 67 tahun. Malah, staminanya mengalahkan anak-anak dan cucu-cucunya yang masih muda belia.


Apa rahsianya?


Beliau melazimkan solat malam bermula sekitar jam 4 pagi dan meneruskan rutin hariannya yang aktif sesudah itu. Selepas kematian suaminya, masanya dipenuhi dengan aktiviti keagamaan dan ilmiah, pengurusan perniagaan dan gerak kerja kebajikan. Wajahnya sering muncul di kaca televisyen namun tak perlulah saya tuliskan di sini. Biarlah anakanda kesayangannya itu menulis biografi tentang ibunya sebagai panduan berguna kepada generasi mendatang.


Nota: Terkenang kehebatan Al-fateh dan tenteranya ketika menawan Konstantinople.


Wednesday, September 30

Ergonomik: Senaman Mata




Bagi yang sentiasa menggunakan komputer, senaman mata diperlukan untuk mengurangkan ketegangan. Terdapat beberapa kaedah senaman mata. Antaranya dengan langkah mudah berikut:


1. rehat sebentar dari memandang skrin komputer anda

2. pandang objek yang jauh selama beberapa saat

3. pandang objek sederhana jauh selama beberapa saat

4. lihat semula skrin komputer


Pengulangan langkah di atas boleh melatih mata untuk fokus kepada jarak yang berbeza-beza.




Nota:



2. Suatu ketika dulu, seorang optometris pernah mencadangkan kepada saya supaya melakukan senaman mata setiap pagi dengan merenung objek hijau yang jauh (alam semulajadi) selama beberapa ketika. Ini mungkin dapat mengatasi gejala 'lazy eye' dalam jangkamasa panjang.


Saturday, August 15

Penawar H1N1?

Kelmarin, teman saya mulai cuak setelah teman sepengajiannya sewaktu di Maahad Johor meninggal dunia selang 4 jam setelah kematian bayi perempuannya yang baru dilahirkan bahana Selsema Khinzir (H1N1).


Pagi ini, saya terima mesej dari seorang teman yang lain:

"Salam. Sekarang mangsa selsema b*** sudah mencecah 51 orang setakat semalam. So..kita kena serius cegah bukan merawat. Antibodi badan kita hendaklah kuat. Mengikut amalan perubatan yang dirahsiakan oleh bangsa lain, memakan BAWANG PUTIH bersama makanan harian lain atau memakan vitamin garlic adalah antibodi terbaik untuk mencegah penularan ini. Tolong sebarkan mesej ini kepada yang tersayang. Kita tak tahu mangsa yang seterusnya".

Mungkin ada benarnya. Sewaktu di sekolah menengah, seorang teman memakan bawang putih yang dibakar sebagai alternatif untuk mengubati penyakit lelah. Menyebut tentang lelah, saya teringat pesan kekanda saya untuk membawa pulang hati unta bagi tujuan sama.



Beberapa orang teman yang lain pula mencadangkan pengambilan makanan ini:


  1. epal hijau
  2. oren

  3. bunga lawang

Seorang pakar perubatan holistik pula mengatakan pertahanan badan menjadi lemah kerana kehadiran toksid dan asid berlebihan dalam badan. Justeru, beliau mencadangkan perkara berikut:

  1. memakan sayuran dan buah-buahan terutamanya yang beralkali
  2. meminum air kelapa
  3. menjauhi perlakuan homoseksual dan onani

Apapun, saya percaya gaya hidup sihat terutama yang pernah diamalkan oleh baginda Rasul dan para sahabatnya adalah kaedah berkesan untuk menguatkan imuniti tubuh, memelihara kesejahteraan persekitaran dan seterusnya mencegah penyakit. Ianya boleh dibahagikan kepada empat komponen iaitu tabiat pemakanan sihat, tabiat kebersihan, tabiat kesejahteraan mental dan tabiat tingkah-laku positif.


Tabiat Pemakanan Sihat


  1. Memakan makanan yang halal dan berkhasiat (prinsip halalan toyyiba) seperti kurma/tamar, kismis, susu, madu, minyak zaitun dan habbatus sauda'

  2. Minum air putih secukupnya

  3. Berpuasa pada waktu tertentu

  4. Menjauhi makanan yang diharamkan (memabukkan, beracun dan memudaratkan tubuh badan)

  5. Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang
  6. Memenuhi perut dengan tiga bahagian: 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 untuk angin

  7. Makan secara berjemaah dan menjaga adab-adab makan

Tabiat Kebersihan

  1. Menjaga kebersihan diri dengan bersugi (menjaga kebersihan mulut dan gigi), mandi dan sebagainya.

  2. Sentiasa dalam keadaan suci/menyucikan diri dari hadas kecil dengan berwuduk (membersihkan anggota tubuh terutamanya muka, telinga, tangan, kaki) dan dari hadas besar dengan mandi.
  3. Menjaga adab istinjak dan bersin

  4. Menggunakan harum-haruman

  5. Memakai pakaian yang bersih

  6. Sentiasa memastikan persekitaran fizikal yang bersih dari najis dan kekotoran
  7. Memelihara jarak fizikal (wilayah pribadi) dan hanya bersentuhan dengan individu yang dibolehkan

Tabiat Kesejahteraan Mental

  1. Memelihara silaturahim, saling berkasih-sayang dan menjaga adab-adab pergaulan

  2. Ceria dan berbaik sangka (sentiasa optimis, bermotivasi dan berfikiran positif)
  3. Sentiasa ikhlas (melakukan sesuatu untuk memburu keredaan Allah) dan bertawakal (pergantungan sepenuhnya kepada Allah)
  4. Kaya dengan sifat positif atau mahmudah (seperti pemaaf, berlapang dada, jujur) dan bersih dari penyakit hati (seperti hasad, riak, ujub dan takbur) serta sifat-sifat negatif (mazmumah)

  5. Bergaul dengan individu positif - memiliki ahli keluarga, sahabat dan ahli komuniti yang positif

  6. Memiliki kediaman yang selesa, kenderaan yang baik dan kerjaya yang mengujakan

  7. Ghairah menuntut ilmu, memperbaiki diri, membuat penyelidikan, meluaskan horizon pemikiran serta memajukan dan meningkatkan kesejahteraan diri dan masyarakat (altruisme)


Tabiat Tingkah-laku Positif

  1. Bertindak secara proaktif
  2. Menjauhi perbuatan sia-sia, pergaulan bebas dan aktiviti yang memudaratkan diri dan masyarakat (perkara makruh dan haram)
  3. Bangun awal pagi dan menghargai masa
  4. Menutup aurat (melindungi tubuh dari ancaman persekitaran) dan hanya keluar daripada rumah apabila perlu
  5. Sentiasa aktif, rajin, kuat bekerja dan komited
  6. Sentiasa seimbang dan bersederhana (wasatiah) - berehat, beriadah, menikmati aktiviti seni dan berjenaka apabila perlu
  7. Bekerja secara berpasukan

Nota: Mungkinkah penawar H1N1 dapat diekstrak dari dari tumbuhan anti-toksid (seperti bawang, sireh dan kelapa), herba terpilih (seperti tongkat ali dan kacip fatimah) dan juga pemakanan berkhasiat yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadith?


Tuesday, July 28

Cepat! Cepat! Cepat!



Saya tertarik dengan satu pendapat tentang bentuk senaman yang mudah (dan praktikal bagi mereka yang sibuk) - iaitu 'buat dengan cepat'. Berjalan dengan cepat, memasak dengan cepat, menulis dengan cepat, berfikir dengan cepat, membuat kerja dengan cepat... pendek kata, melakukan apa saja perkara (yang relevan sahaja) lebih cepat dari kadar yang biasa. Cepat bukan bermakna tergopoh-gapah, panik dan kalut. Cepat di sini melakukan tugasan dan apa jua aktiviti lebih cepat daripada biasa tanpa mengurangkan kualitinya. Dalam ertikata lain, cekap, tepat dan efisyen. Hasilnya, lebih banyak kalori dapat dibakar, lebih banyak perkara dapat dihasilkan, lebih banyak masa dapat dimanfaatkan.


Yang paling utama, lakukan dengan 'riang' dan nikmati perbezaannya :)

Awas: Pandemik H1N1


*Jangan tiru aksi ini. Walaupun berpakaian lengkap (tidak bercawat), kanak-kanak kecil ini tidak tahu apa-apa.


Wabak Selsema Khinzir di Seluruh Dunia


Menurut World Health Organization (WHO), di seluruh dunia, 134 503 kes dilaporkan dengan 816 kematian (sehingga 22 Julai 2009). Pecahan kes adalah seperti berikut:



  1. Afrika - 157 kes

  2. Amerika - 87 965 kes (707 kematian)

  3. Timur Tengah - 890 kes (1 kematian)

  4. Eropah - 16 556 kes (34 kematian)

  5. Asia - 7538 kes (44 kematian)

  6. Negara Pasifik - 21, 577 kes (30 kematian)


Wabak Selsema Khinzir di Malaysia


Kes selsema khinzir (saya setuju dengan pendapat Dato' Dr Rais Yatim untuk mengekalkan istilah selsema babi) atau H1N1 di Malaysia kini mencecah 1,124 kes. 574 (51%) daripadanya kes import dan 550 (49%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, 1103 kes (98%) telah sembuh. 10 kes atau 1% sahaja yang sedang menerima rawatan anti-viral di hospital manakala lapan (8) kes atau 1% mendapat rawatan antiviral di rumah. (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2009).


Pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia


Nasihat kepada orang ramai:

Kementerian Kesihatan akan terus memantau kejadian kes yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian kluster ILI. Orang awam termasuk institusi pendidikan dan tempat kerja diminta memberi kerjasama dengan melaporkan kejadian kes ILI (influenza-like illness) yang menunjukkan simptom selesema, batuk atau sakit tekak. Mereka yang mendapat gejala yang teruk atau berisiko tinggi perlu segera mendapatkan rawatan di hospital yang berdekatan.

Bagi memperlahankan penularan wabak ini, kerjasama orang ramai amatlah diperlukan untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:


  1. Orang ramai diminta untuk terus dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya membasuh tangan secara rutin dan etika batuk.

  2. Mereka juga perlu mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta mengurangkan majlis perjumpaan).

  3. Mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik yang berdekatan.

  4. Kes-kes yang bergejala ringan boleh berehat di rumah dengan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di tahap yang optimum.

  5. Mereka juga dinasihatkan memakai mask (pelindung mulut) dan jika gejala bertambah teruk untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

  6. Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah telah di muat naik ke laman web Kementerian Kesihatan sebagai rujukan orang awam.

  7. Kejadian-kejadian jangkitan influenza-like illness (ILI) atau jumlah ketidakhadiran (absenteeism) di sekolah atau di tempat kerja yang luar biasa, hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk siasatan lanjut.

  8. Bagi pelajar yang terlibat dengan penutupan kelas atau sekolah termasuk intitusi pengajian tinggi, perlu dimaklumkan bahawa hanya mereka yang tiada bersimptom sahaja dibenarkan kembali ke tempat pengajian mereka. Mereka yang masih bersimptom perlu terus berehat di kediaman masing-masing sehingga sembuh atau tiada bersimptom. Tindakan ini perlu kerana mereka yang bersimptom masih mempunyai risiko untuk menularkan virus influenza kepada rakan karib mereka

Nota: Mencegah lebih baik dari merawat.


Sunday, July 26

Karbohidrat untuk Darah AB

Rice by earl258.flickr


Anda penerima universal atau pemilik darah AB? Golongan darah AB dikatakan hanya muncul 1000 tahun lalu. Bilangannya hanya 2-5% daripada keseluruhan penduduk.


Menurut Dr Peter J'Adamo, setiap kategori darah mempunyai senarai pemakanan yang sesuai dengan darah tersebut atau perlu dihindari untuk mengelakkan masalah kesihatan.


Bagi darah AB, karbohidrat yang sesuai adalah daripada:


  1. beras putih/merah/basmathi
  2. oat
  3. gandum hitam
  4. sekoi
  5. spelt

Karbohidrat sederhana sesuai pula adalah:

  1. roti
  2. tepung sagu
  3. couscous
  4. bijirin gandum
  5. bayam
  6. ubi kisar


Karbohidrat yang perlu dihindari:

  1. jagung
  2. gandum
  3. tepung jagung
  4. mi soba
  5. cornflakes
  6. tepung ubi kayu