Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Saturday, April 9

Melayu Malas?




Dalam satu wawancara di radio IKIM, terlontar pandangan daripada tetamu undangan bahawa orang Melayu itu sifatnya malas. Penyataan tersebut disokong pula dengan penuh bersemangat oleh seorang pemanggil yang juga berbangsa Melayu dan beragama Islam.


Benarkah Melayu memang malas? Label ini muncul sejak lama dulu dan masih berlegar-legar menghambat masyarakat Melayu hingga kini.


Entahlah, sedari kecil hingga dewasa, kehidupan saya sentiasa dikelilingi oleh bangsa Melayu yang rajin dan berbudi. Sukar hendak mencari orang Melayu yang malas dalam ertikata yang sebenarnya.


Di kampung contohnya, dari sekitar 2000 penduduk, hanya ada beberapa orang sahaja orang yang boleh dikategorikan sebagai malas. Itupun mereka sangat berdikari dan akan bekerja mengambil upah apabila kehabisan duit. Cuma ada seorang yang suka meminta-minta dan itupun kerana ia kurang siuman.


Di sekolah rendah rakan-rakan saya sangat rajin. Secara purata berbasikal 12 kilometer sehari untuk ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Begitu juga di sekolah menengah, mereka begitu rajin belajar dan melibatkan diri dalam kegiatan ko-kurukulum. Di kampus begitu juga, malah ada yang mengalami tekanan mental akibat terlalu fokus kepada pelajaran. Para pensyarah saya apatahlagi. Mereka juga sangat rajin dan boleh dikatakan bekerja selama 24 jam sehari (mujur sehari cuma ada 24 jam sahaja).


Masuk ke alam pekerjaan, juga sukar untuk saya mencari rakan sekerja yang benar-benar malas. Dari seawal jam 6.30 pagi mereka sudah ada di pejabat sehinggalah lewat malam. Begitu juga pada hujung minggu dan cuti umum. Tempat kerja saya sentiasa diisi oleh rakan sekerja yang begitu rajin sekali. Bahkan para pelajar saya yang kebanyakannya berbangsa Melayu juga sangat rajin dan komited dengan tugas mereka. Dan, sepanjang saya mengajar hanya seorang pelajar yang boleh dikategorikan sebagai malas sehingga terpaksa diberi notis gagal dan diberhentikan. Dan, pelajar itu bukan berbangsa Melayu, juga tidak ber bin dan berbinti.


Justeru, maaflah ya.. berasaskan pengalaman peribadi, sehingga kini saya percaya bangsa Melayu adalah bangsa yang rajin dan berbudi. Jika ada pun yang malas, ia cuma segelintir. Maka adilkah, kerana seekor kerbau membawa lumpur, segala kerbau yang ada turut dipalit jua?

No comments: