Dalam salah-satu bengkel Kepimpinan Intelektual Muda Melayu sekitar tahun 2003 di Kuala Lumpur, En. Hanafi dari UITM sempat membincangkan tentang kemahiran berfikir. Antaranya adalah tentang unsur 'core' (saya terjemahkan sebagai unsur/perkara utama) dan 'non-core' (sampingan). Menurut beliau, kita selalu terperangkap dengan unsur sampingan sehingga mengabaikan unsur utama. Ini kerana unsur sampingan kelihatan lebih besar dan lebih mudah dilihat berbanding unsur utama sebagaimana rajah di bawah.
Segiempat kecil (berwarna biru tua) mewakili unsur utama dan segiempat yang lebih besar (berwarna biru muda) mewakili unsur sampingan.
Unsur utama adalah isu utama yang perlu diselesaikan dan unsur sampingan adalah unsur-unsur lain yang berkait dengan isu tersebut. Bagi menyelesaikan masalah, kita perlu bijak membezakan antara isu utama dan unsur-unsur yang berlegar disekelilingnya. Contohnya dalam isu PPSMI, isu utamanya adalah kepentingan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bagi memudahkan pembelajaran sains dan matematik di sekolah sementara isu sampingannya adalah siapa yang memperjuangkannya, berapa ramai, kaedah yang digunakan, parti politik mana yang terlibat dan sebagainya. Justeru, perkara yang perlu diselesaikan adalah apakah medium bahasa yang sewajarnya digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi tujuan pembangunan negara bangsa?
Pemimpin yang bijaksana dapat membezakan antara isu utama dan sampingan (kurang penting atau tidak penting) dengan mudah. Pemahaman terhadap isu utama membolehkan pemimpin mengenalpasti punca, situasi dan implikasi isu tersebut dan seterusnya membuat keputusan yang tepat bagi menangani permasalahan atau konflik yang timbul tanpa dipengaruhi sentimen pribadi.
No comments:
Post a Comment