Bahasa dan jiwa manusia adalah dua entiti yang menyatu. Bahasa terbina seiring dengan berkembangnya peradaban sesuatu bangsa. Lebih tinggi peradaban sesuatu bangsa, lebih tinggi nilai bahasanya.
Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, Bahasa Melayu menjadi Lingua Franca sebagaimana kedudukan yang dinikmati oleh Bahasa Inggeris pada masa kini. Bahasa Melayu adalah bahasa ekonomi, bahasa ilmu, bahasa agama dan bahasa yang menyatukan bukan sahaja warga tempatan malahan juga masyarakat antarabangsa terutamanya yang berdagang di Melaka. Seiring dengan itu, Bahasa Melayu terus berkembang. Menurut sebahagian pendapat ahli bahasa, daripada empat perkataan, Bahasa Melayu yang bersifat arbitrari menyerap pelbagai perkataan baru dan membina peradabannya sendiri.
Kedudukan Bahasa Melayu mula tergugat apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 diikuti dengan kerajaan Melayu lainnya sehinggalah Tanah Melayu akhirnya memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957. Penjajahan demi penjajahan menjadikan penduduk Tanah Melayu mula hilang keyakinan terhadap keupayaan dan kekuatannya sendiri. Meskipun secara fizikalnya, Tanah Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia telah bebas dari belenggu penjajahan, namun kesan psikologi yang ditinggalkan oleh imperialis barat masih belum mampu dipulihkan sepenuhnya. Trauma dan fobianya masih kental sehingga hari ini. Dalam sedar, apa sahaja yang datang daripada Barat dianggap hebat dan moden manakala tradisi dan peradaban yang telah dibina sendiri dari acuan keindahan budaya Melayu dan Islam dianggap kolot dan mundur.
Dalam dunia hari ini, penguasaan Bahasa Inggeris adalah satu keperluan untuk menguasai pelbagai bidang ilmu. Kekuatan Bahasa Inggeris adalah kerana kerana nilai ilmunya. Namun begitu, dalam masa yang sama ia turut menjadi senjata neo-kolonialis yang ampuh. Bahasa Inggeris datang dengan pakej yang lengkap - ilmu, ideologi, budaya dan nilai yang bercampur-baur. Penjajahan bukan lagi bersifat fizikal sebaliknya dalam bentuk perang psikologi yang menyerang jiwa manusia yang berada di dalamnya secara terancang. Justeru, penguasaan Bahasa Inggeris adalah penting untuk menguasai pelbagai bidang ilmu namun dalam masa yang sama, kita perlu menyediakan diri untuk menapis virus-virus yang datang bersama kebanjiran maklumat dan kemodenan yang ditawarkan.
Bahasa Melayu mengandungi nilai peradaban yang tinggi. Pantun Melayu sebagai contohnya adalah satu bentuk falsafah yang digubah dengan irama yang tersendiri yang tidak terdapat dalam mana-mana peradaban lainnya. Begitu juga dengan gurindam, syair, seloka, peribahasa, lagu dan sebagainya. Bahasa Melayu turut mengandungi 2000 perkataan bahasa Arab seperti adil, ihsan, amanah, azan, hikmah dan pelbagai lagi. Kesemuanya memberikan makna yang mendalam dan membentuk nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian. Membuang Bahasa Melayu samalah seperti membuang peradaban dan jati diri yang telah dibina berkurun tahun lamanya.
Setelah 51 tahun merdeka, kedudukan Bahasa Melayu perlu diperhalusi kembali. Harus diingat, Bahasa Melayu pernah menjadi Lingua Franca suatu ketika dulu. Tidak mustahil, dalam era globalisasi ini, dengan kesedaran yang ada, Bahasa Melayu akan berada dikedudukan asalnya semula.
Arakian, tiada salahnya kita menguasai bahasa lainnya. Bahkan adalah satu bonus jika kita berupaya menguasai lebih daripada tiga bahasa sekaligus. Malahan, ianya juga adalah satu keperluan dalam era lambakan maklumat ini. Bagaimanapun, Bahasa Melayu yang menjadi jiwa bangsa Malaysia tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Malahan, ia perlu diperkukuhkan dari masa ke semasa agar jiwa bangsa Malaysia yang berada di dalamnya akan terus kukuh dan terpelihara walau sebesar dan sedahsyat manapun Tsunami yang melanda.
No comments:
Post a Comment