Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, January 23

Seronoknya Puasa! :)


Benarlah kata orang, bila berkawan dengan penjual minyak wangi, sedikit sebanyak, wangiannya akan melekat pada kita. Di sekolah barunya yang serba Ungu, Ceri punya dua teman yang baik hati, berdisiplin, penyayang, rajin berpuasa lagi sejuk dipandang mata. Seorang bernama Tin dan seorang lagi dipanggilya Tun. Tun nama manja Zaitun. Zaitun semanis namanya. Dilahirkan dan dibesarkan di bumi barakah- Makkatul Mukaramah. Ibunya sudah mendapat taraf kerakyatan Pulau Ceri dan kini merupakan usahawan gandum yang dikenali ramai. Tin pula dilahirkan dan dibesarkan di Melbourne. Benua Kanggaroo yang kini sedang mengalami musim panas kering pada aras 40 darjah celcius. Bapanya pakar bom dan perang saraf yang kini dipinjamkan ke Johor Bharu. Saat bertiga, nada Inggeris berbaur irama padang pasir dan kanggaru yang bersimpang siur sering saja membuatkan Ceri tertawa kecil mengiakan.

Tin dan Tun hobinya berpuasa. Bukan puasa Isnin dan Khamis, tetapi dari Isnin melanjut ke Khamis. Setiap minggu begitu sehiggalah ke penghujung semester. Cemburu Ceri melihatnya. Tin dan Tun tidak pernah sekalipun mengajak Ceri berpuasa, namun siapa yang tidak cemburu melihat orang lain membuat amal kebajikan? Tingkah nan terpuji sering saja jauh lebih mengesankan dari bebalan berjela.

Kini, masuk semester kedua, Ceri sudah mula seronok berpuasa. Untungnya berpuasa, Ceri bukan saja tambah sihat dan cerdas bahkan punya lebih banyak masa dan lebihan kewangan. Pakaiannya sudah mula memberikan lebih ruang udara dan risiko keseksian juga berjaya dikurangkan ke tahap yang lebih minimum. Solatnya tambah khusyuk, ilhamnya tambah mencurah-curah dan dia juga tambah mudah untuk bangun di awal pagi berbanding sebelumnya. Terasa setiap butiran ilmu begitu mudah diserap berbanding sewaktu perutnya kenyang. Setiap patah kata dan buah penanya juga tambah membekas dan mudah difahami dek kerana datangnya jua dari lubuk hati dan mindanya yang kini jernih bercahaya.

Ceria Ceri berganda saat terbaca artikel Rapi keluaran Januari 2009 tentang detoks. Meskipun fesyen yang dicadangkan hanya sesuai untuk dipakai di dalam rumah, Ceri menyukai 60% daripada kandungan majalah terbitan Kumpulan Karangkraf itu. Menarik sekali! Secara tidak sengaja rupanya dia telah mengamalkan terapi detoks tertua tetapi amat berkesan untuk menyahkan segala toksid atau racun yang sekian lama terperam dan mengganggu sistem tubuhnya itu dengan hanya berpuasa Apabila tidak mempunyai aktiviti luar yang berat pula, sesekali Ceri mengamalkan terapi jus nanas dan air masak sahaja.

Ceri menyelak langsir indigonya luas-luas. Bauan rumput yang baru dipotong menyegarkan minda. Sejak mula berpuasa semula, Ceri tampil lebih berseri-seri, ceria, tenang dan bertenaga. Kulitnya terasa lebih bercahaya manakala tisu-tisu perut dan ususnya juga terasa lebih sihat kerana sel-sel yang kepenatan sudah disingkirkan dan digantikan dengan sel-sel baru yang lebih segar dan bersemangat untuk bekerja. Seronok sungguh Ceri dengan hobi baru yang menguntungkan ini. Serasa hatinya terbang riang seperti si tiung comel yang asyik memagut biji rumput di laman apartmennya nan menghijau itu.


No comments: