Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Tuesday, January 20

Ilmu Mengurus Diri & Ilmu Mengurus Sistem


Manusia yang seimbang dan berjaya, memiliki ilmu mengurus diri (knowledge to manage self) dan ilmu mengurus sistem (knowledge to manage the system) yang mantap.

Ilmu mengurus diri atau ilmu fardhu ain bukan sekadar amalan ritual seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Sebaliknya, ilmu mengurus diri merujuk kepada ilmu yang membolehkan manusia mengurus jiwanya dengan baik ( ’qalb’ management atau IESQ -kecerdasan intelek, emosi dan rohani). Dengan adanya ilmu ini, pemikiran, sikap dan perlakuan manusia sentiasa terpandu dalam jalur akhlak yang mulia.

Manusia bukan sejenis mikrob di dalam tabung uji - terasing dalam dunianya sendiri. Manusia adalah makhluk berakal yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Tiada seorangpun manusia yang baligh, berakal lagi mukalaf terlepas daripada memikul tanggungjawab ini hatta bagaimana sekalipun agama, gender (lelaki, perempuan, khunsa atau ’jadi-jadian’), keturunan, rupa paras dan status sosialnya. Bagi melunaskan amanah sebagai khalifah dengan sempurna, manusia memerlukan ilmu untuk mengurus sistem (knowledge to manage system). Ilmu mengurus sistem merujuk kepada segala ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mengurus dan mentadbir alam sekitar, sumber manusia, organisasi, negara dan sumber alam dengan efektif dan efisyen seperti penguasaan ilmu sains dan teknologi, perundangan, ekonomi dan politik.

Mana Lebih Utama?

Mana lebih utama, ilmu mengurus diri atau mengurus sistem? Kedua-duanya penting namun keutamaan perlu diberikan pada ilmu mengurus diri dan diikuti dengan ilmu mengurus sistem. Ianya juga perlu diperkukuhkan dari masa ke semasa selaras dengan kepesatan arus globalisasi, materialisme, anarki dan hedonisme.


Tanpa ilmu mengurus diri yang baik, individu cenderung untuk menyalahgunakan ilmu dan kemahiran yang dimiliki untuk memudaratkan individu lain sepertimana yang dilakukan oleh Rejim Zionis di Gaza.
Pakar bom pula memusnahkan bangunan dan manusia tanpa pertimbangan kemanusiaan. Pemimpin mengumpul harta sebanyak-banyaknya untuk kepentingan pribadi dan kroni. Pakar komputer menggodam dan melumpuhkan sistem pentadbiran dan pertahanan negara serta menyebarkan virus dengan rasa bangga. Bank-bank dan firma-firma perniagaan pula terus-terusan menindas pengguna dengan sistem riba dan perjanjian / akad yang berat sebelah sehingga menjadikan pengguna muflis dan menanggung kerugian yang besar.

Bagaimanapun, tanpa ilmu mengurus sistem yang baik, individu hanya mampu menjadi seorang manusia yang baik (good man) tetapi tidak dapat menyumbang secara optimum kepada masyarakat dan negara. Contohnya, seorang ahli ibadah yang zuhud tidak berupaya mentadbir negara dengan baik sekiranya ia tidak mempunyai kemahiran kepimpinan, pentadbiran, politik dan memahami psikologi sosial serta perubahan yang berlaku di dalam masyarakat. Para agamawan pula tidak berupaya membina empayar perniagaan bebas riba lagi adil dan beramanah, membina rangkaian media yang bebas dari unsur fujur, memberikan alternatif hiburan yang membina serta membentuk polisi yang berkesan tanpa memiliki kemahiran dalam selok belok perniagaan, teknologi, komunikasi dan ilmu bantu lain yang bersesuaian.

Setiap amanah perlu diserahkan kepada ahlinya agar tidak mengundang kehancuran. Sehubungan itu, kedua-dua ilmu berkenaan perlu dikuasai dengan baik untuk melahirkan masyarakat yang terdidik (educated) dan terpelajar (learned). Mereka inilah kemudiannya yang layak, berkemampuan dan berkewajipan membentuk polisi atau dasar-dasar yang benar-benar efektif, efisyen, bersepadu (integrative) dan holistik dalam upaya membentuk peradaban yang unggul lagi dirahmati.


*Diubah suai dari nota kuliah Perubahan Sosial dan Polisi Pendidikan, INSTED, IIUM.


No comments: