Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Saturday, January 24

Laguku.. Lagumu




Irama dan lagu tak dapat dipisahkan. Andai terpisah, musnah tiada berjiwa -hampa. Itu pendapat Seniman Agung Negara, Tan Sri P Ramlee tentang lagu. Sayangnya, lagu-lagu yang ada terkadang melalaikan lagi melesukan pemikiran.


Lagu Luka vs Ceria


Setiap tahun, ribuan lagu digubah dan diperdengarkan. Namun secara purata, daripada 10 lagu yang ada, mungkin hanya 1 yang benar-benar membina lagi terjamin mutunya. Selebihnya lagu-lagu picisan, cinta luka, memuja kecantikan, kecurangan, prasangka dan pelbagai lagi yang tidak perlu disenaraikan di sini.


Serta-merta saya terkenangkan kata-kata seorang teman:


"Zura cuma tulis yang positif saja. Yang sedih-sedih Zura tak tulis. Kalau tulis yang sedih-sedih, bila baca semula kita jadi sedih".


Itu tentang diari yang ditulis untuk bacaan sendiri. Bagaimana pula dengan lagu-lagu yang digubah untuk tatapan umum? Tiada salahnya untuk berkongsi kesedihan dengan orang lain, namun sebaiknya pilihlah kesedihan yang berasas dan bermanfaat. Mungkin kesedihan yang dapat menyedarkan orang ramai tentang bahaya obesiti, budaya pengotor, pergaulan bebas, rokok, marah yang tidak dikawal, kejahilan beragama dan rasuah. Mungkin lagu-lagu yang membuatkan pendengarnya merasa takut dan malu atas keaibannya sendiri. Mungkin kesedihan yang dapat membangkitkan semangat perjuangan dan patriotisme.


Nama adalah Tanggungjawab


Setiap karyawan bertanggungjawab terhadap karya yang ditulisnya. Karyawan yang baik menulis bukan kerana nama. Sebaliknya, meletakkan namanya di situ kerana ia bersedia untuk bertanggungjawab terhadap setiap karyanya.


Setiap lagu memberikan implikasi sosial dan psikologikal samada secara sedar ataupun separa sedar. Lagu-lagu yang layu dan longlai menjadikan akal dan jiwa manusia ikut lesu dan keliru. Lagu-lagu yang positif dan membina menjadikan jiwa pendengarnya ceria, bersemangat dan tenang.


Alang-alang berkarya, tulislah karya mendidik jiwa. Alang-alanglah berkarya, tulislah karya yang bermanfaat kepada ummah lagi berpahala.


Meminjam kata sifu Faisal Tehrani: tulislah karya lingkungan jauh berbanding lingkungan dekat. Karya-karya yang berintikan falsafah, agama, politik dan isu-isu antarabangsa.


Sesekali, tiada salahnya menulis isu-isu pribadi, namun biarlah hanya yang lazat, seimbang dan berkhasiat sahaja yang disajikan kepada umum.


No comments: