28 Mei ini, seorang teman bakal melangsungkan majlis perkahwinannya di Sungai Siput, Perak. Menariknya, pasangan ini telah diijabkabulkan setahun yang lalu. Cuma majlis keraiannya sahaja ditunda agar teman saya itu dapat menumpukan perhatian terhadap pengajian ijazah kedoktorannya di Universiti Malaya. Tempoh setahun itu digunakan untuk menyulam cinta dan saling berkenalan dalam ikatan pernikahan. Ternyata, cinta di dalam ikatan perkahwinan lebih indah dan menenangkan kerana di situ terhimpun sakinah, mawaddah wa rahmah. Namun, sebelum itu, ilmu yang mantap, proses pemilihan pasangan yang baik dan restu ibu bapa perlu diambil kira sebagai tapak asas rumahtangga sejahtera. Semoga keluarga baru ini berbahagia hingga ke syurga.
Buat yang sedang mencari pasangan, berhati-hati dalam memilih teman. Seorang wanita itu dikahwini lantaran kecantikan, harta, keturunan dan agamanya. Beruntunglah sesiapa yang memilih yang beragama. Bagaimana kalau ada kesemuanya? Wah! Itu bonus namanya. Namun, usahlah terlalu memilih, cukuplah andai bakal isteri itu menyejukkan mata dan hati, subur, beragama dan memiliki keperibadian yang baik.. dan cukuplah andai bakal suami itu seorang yang saudari hormati dan percaya, matang, bertanggungjawab, berupaya menyara keluarga, serta saudari redha dengan agama dan akhlaknya. Yang lebih utama, laksanakan istiharah dan musyawarah dengan sebaiknya.
Buat yang sedang bercinta, fikirkan sejenak sama ada pasangan anda sekarang sesuai dijadikan teman hidup dikala susah dan senang. Terkadang, saat bercinta, mata menjadi 'kabur' dan 'buta' seketika. Justeru, tiada salahnya meminta orang yang lebih arif dan dipercayai untuk merisik akhlak dan keperibadian bakal pasangan. Dalam pada itu, sentiasa perbaiki diri sendiri dan segera berpijak di bumi yang nyata kerana perkahwinan bukan hanya seputar cinta tetapi juga satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama. Jika tidak sesuai, hentikanlah dengan segera. Namun jika telah benar-benar yakin, segeralah mendirikan 'rumah dan tangga' kerana bercinta terlalu lama di luar ikatan perkahwinan, lebih banyak buruk berbanding baiknya. Elakkan keluar berdua-duaan dan berbicara perkara yang tidak perlu meskipun dalam ikatan pertunangan. Sabar itu indah... dan kesabaran dalam melayari fasa pra-perkahwinan pastinya membuahkan keindahan setelah kedua pasangan dijabkabulkan nanti.. :).
No comments:
Post a Comment