Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
NABI Muhammad SAW pernah diberi gelaran 'Al-Amin' kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti Baginda memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran itu telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraisy kepada Baginda.
Gelaran ini tidak hanya diakui oleh umatnya tetapi seluruh masyarakat Arab waktu itu. Ia sebagai bukti bahawa kepimpinan akan menjadi berwibawa jika ada kejujuran dan ketegasan demi menegakkan kebenaran.
Dalam konteks negara kita, usaha kerajaan untuk membasmi gejala rasuah, politik wang, penyelewengan dan salah guna kuasa merupakan manifestasi daripada intipati sifat Al-Amin dalam konteks kepimpinan yang diredai Allah. Ia bertepatan dengan kaedah dan ajaran yang disarankan oleh Rasulullah SAW.
Umat Islam harus diciptakan menjadi umat yang mempunyai semangat jihad untuk melawan apa jua bentuk rasuah. Pengajaran penting daripada tindakan kerajaan ke atas isu-isu berkaitan politik wang adalah untuk melahirkan semangat jihad memerangi rasuah.
Paling penting, orang yang bakal dipilih sebagai pemimpin itu mestilah boleh dipercayai dan jujur.
Tindakan Lembaga Disiplin UMNO terhadap mereka yang mengamalkan politik wang adalah bukti ketegasan parti tersebut untuk memerangi rasuah.
Persoalannya, mengapa sesetengah ahli masyarakat ada kecenderungan melakukan rasuah? Jawapannya, kerana tiada kejujuran. Mereka takut kepada bayang-bayang sendiri padahal ketakutan itu sebenarnya berpunca dari dalam diri mereka sendiri.
Perlu diingat, kedua-dua pihak yang memberi dan menerima rasuah merupakan golongan yang berdosa. Sekiranya tidak ada yang memberi walaupun diminta, sudah tentu rasuah tidak berlaku dan begitu juga sebaliknya.
Permasalahan politik wang seakan-akan tidak berkesudahan. Orang Islam yang meyakini akan adanya hari pembalasan tentunya tidak akan menganggap masalah itu biasa sahaja. Ini kerana kesan daripada perbuatan rasuah akan mengikis akidah seseorang.
Golongan tersebut terlalu meyakini bahawa wang adalah segala-galanya dan wang juga boleh membuatkan mereka berkuasa. Jika tidak dibendung, mereka boleh menjadi seumpama Firaun yang tidak mempercayai kekuasaan Allah SWT dan hanya bertuhankan kuasa dan harta benda.
Bagi golongan ini, harta dan kekayaan adalah kuasa. Percayalah bahawa kepimpinan atau kekuasaan yang diperolehi secara haram itu tidak akan kekal lama kerana ia tidak diredai oleh Allah SWT.
Ketika pertama kali Nabi SAW menerima wahyu daripada Allah SWT, Baginda berasa bingung. "Siapakah yang akan aku ajak? Dan siapakah pula yang akan mendengarnya?"
Sudah sewajarnya apabila Khadijah percaya kepadanya, ia bermakna telah mengambil berat perihal Baginda. Selama hidupnya, Baginda SAW adalah seorang yang jujur.
Lalu Khadijah menyatakan keimanannya atas kenabian tersebut. Ia merupakan hadiah kepercayaan daripada orang lain sebagai balasan kerana kejujuran Nabi SAW.
Baginda adalah contoh pemimpin sejati dan memiliki prinsip. Prinsip itulah yang menciptakan kepercayaan dan pengaruh luar biasa ke atas pengikutnya.
Suatu ketika sahabat Baginda, Utbah menawarkan harta, pangkat malah kedudukan sebagai raja. Rasullullah SAW menjawab dengan membacakan surah As-Sajadah.
Maka Utbah melihat yang berdiri di depannya itu bukanlah seorang lelaki yang berhasrat memiliki harta duniawi tetapi seorang insan yang mahu mengajak manusia ke arah kebaikan.
Baginda mempertahankan sesuatu dengan baik dan menggunakan kata-kata dengan penuh berhemah. Baginda menolak tawaran dengan cara yang begitu mempesonakan.
Dalam hal ini, terdapat banyak hadis sahih yang menunjukkan Baginda melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah. Rasuah adalah satu daripada dosa besar manakala rasuah paling keji dan besar dosanya ialah rasuah berkaitan hukum. Ini kerana hukum ditetapkan oleh Allah SWT sementara manusia sebagai pelaksana sahaja.
Melakukan penyelewengan dalam hukum bererti melanggar perintah Allah. Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayat oleh Al-Tarmizi yang bermaksud: "Rasuah dalam urusan yang berkaitan dengan hukum adalah kufur."
Sementara itu, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasullullah bersabda: "Allah melaknat orang yang memakan riba, pemberi, kerani dan saksinya. Mereka itu adalah sama."
Seseorang yang menginginkan sesuatu jawatan atau kedudukan dalam pemerintahan, kemungkinan besar akan mengorbankan agamanya demi mencapai keinginannya itu. Dia mungkin rela melakukan apa sahaja meskipun perbuatan maksiat demi untuk mendapat atau mempertahankan kedudukannya.
Rasulullah SAW juga pernah menolak permintaan seorang sahabat yang datang meminta agar diberi jawatan dalam pemerintahan. Baginda bersabda yang bermaksud: "Kami tidak akan memberikan jabatan pemerintahan ini kepada orang yang memintanya dan bercita-cita untuk mendapatkannya."
Alasan penolakan itu ialah kerana bimbang orang yang bercita-cita tinggi seperti itu akan berani melakukan apa sahaja demi mendapatkan jawatan tersebut.
Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Manusia apabila melihat kemungkaran, tidak merubahnya, maka dipastikan hampir sahaja Allah menimpa akan seksaan secara menyeluruh." (Riwayat Ahmad)
PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment