Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Tuesday, March 3

Integrasi Kaum dan Kepemimpinan



Benar kata Cikgu Sidek, Integrasi bukan sekadar retorik... slogan atau kempen. Integrasi bukan sekadar kulit atau 'surface'. Integrasi mesti terbina di dalam diri. Integrasi mesti bersifat kukuh sebati. Integrasi adalah tentang kepercayaan. Sejauh mana kita saling mempercayai antara satu sama lain. Sejauh mana kita mendukung konsep 'kekenalan' dan sejauhmana kita saling menghormati agama, budaya dan pandangan hidup (tasawur atau kerangka pemikiran) orang lain.


Sejarah tidak dapat diubah kerana manusia tidak dapat memutarkan kembali masa yang berlalu. Berlandaskan kepada konsep 'here and now' iaitu di sini dan hari ini, kita menghadapi realiti kehidupan dengan penuh kebijaksanaan dan menjadikan sejarah sebagai iktibar jua peringatan yang mendalam. Kesilapan pemimpin terdahulu perlu diperbetulkan dengan segera sementara kepimpinan yang ada perlu dimantapkan secara berterusan.


Menjadi pemimpin bukanlah satu tugas yang mudah. Justeru, tidak hairanlah kita tidak digalakkan merebut jawatan. Sebaliknya, jika dilantik sebagai pemimpin, amanah tersebut perlu dilaksanakan dengan sempurna dan berhati-hati kerana setiap pemimpin bertanggungjawab kepada setiap yang dipimpinnya.


Salah satu daripada tugasan kepimpinan adalah membuat keputusan. Semakin tinggi posisi dan kedudukan kepimpinan seseorang, semakin besar implikasi daripada setiap pembuatan keputusannya.


Malangnya, hari ini, sebilangan individu melihat kepimpinan hanya daripada perspektif kuasa, pengaruh, penghormatan dan kemewahan hidup. Maka, tidak hairanlah, politik wang semakin berleluasa hari ini. Individu yang menggunakan politik wang jelas tidak layak memimpin. Mereka bukan sahaja tidak yakin dengan kebolehannya sendiri malah bertentangan dengan konsep kepimpinan melalui teladan. Ini menunjukkan bahawa ia tidak mampu memimpin dirinya sendiri. Justeru, apakah mungkin individu seperti ini berupaya memimpin keluarga, masyarakat dan organisasi dengan baik?


Berbalik kepada isu integrasi kaum, pemimpin perlu bijaksana untuk memastikan setiap anggota masyarakat memiliki rasa saling percaya yang tinggi - bebas dari sebarang prejudis dan prasangka kaum. Langkah pencegahan dan pemulihan perlu dilaksanakan agar keharmonian kaum dapat diperteguhkan. Justeru, dasar-dasar yang efektif perlu digubal untuk mengelakkan pergeseran kaum terjadi terutamanya dalam arena pendidikan dan siasah semasa.


Saya tidak pernah melihat kepelbagaian kaum sebagai satu masalah. Bagaimanapun, ia benar-benar akan menjadi masalah apabila setiap kaum menjadikan perbezaan sebagai sempadan dan tembok yang memisahkan dirinya dengan kelompok lainnya. Ia akan menjadi masalah apabila masing-masing saling cemburu dan prejudis. Ia akan jadi tambah bermasalah apabila terdapat sebilangan individu yang senghaja mencetuskan ketegangan kaum. Masalah akan menjadi bertambah parah apabila kepimpinan yang ada gagal untuk menangani kemelut yang terjadi. Yang pasti, hanya barisan kepimpinan yang adil, beramanah lagi bijaksana sahaja dapat memecahkan tembok yang ada serta berupaya memanfaatkan kepelbagaian yang wujud untuk memperteguhkan lagi institusi yang dipimpinnya.

No comments: