Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Wednesday, January 14

Tradisi & Tradisional dalam Pembangunan Berteraskan Agama


Tradisi dan tradisional, bunyinya hampir sama namun membawa maksud yang berbeza. Tradisi adalah apa jua amalan dan budaya cemerlang generasi terdahulu atau masakini. Tradisi masyarakat Islam sebelum kurun ke-14 sebagai contohnya menjadikan penyelidikan dan pembelajaran dalam pelbagai bidang ilmu secara bersepadu (integrative) sebagai teras dalam masyarakat.


Mentaliti Sebahagian Ilmuan Masakini


Ini berbeza dengan budaya keilmuan pada hari ini yang melihat ilmu secara terpisah-pisah. Sebilangan ilmuan/sarjana dalam bidang-bidang kepakaran tertentu beranggapan bidang ilmu mereka lebih baik berbanding bidang ilmu lain. Masing-masing ego dengan kepakaran yang ada dan enggan membuka pemikiran kepada ruang lingkup ilmu yang lebih luas dan bersifat holistik. Tambah melucukan, ilmuan dalam bidang yang sama pula beranggapan hanya formula, metodologi atau pendekatan mereka sahaja yang lebih baik berbanding pendekatan serta kepakaran individu atau jabatan lain. Lunturnya sifat tawaduk dan jiwa kehambaan dalam kalangan ilmuan ini membawa kepada pemikiran yang jumud dan keegoan yang tidak berasas. Ini kemudiannya merencatkan potensi sebenar ilmuan dalam menjawab (menyelesaikan) segala permasalahan yang berlaku dalam masyarakat.


Tradisi Ilmuan Silam


Senario ini pastinya jauh berbeza dengan tradisi ilmuan Islam di masa lampau. Masing-masing berlumba-lumba untuk menguasai pelbagai bidang ilmu sama ada ilmu agama, sejarah, politik, sastera, psikologi, perubatan, matematik, falsafah, pendidikan, sains, teknologi, astronomi, geografi dan pelbagai lagi cabang ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah (ibadah) dan menyumbang secara optimum kepada pembangunan masyarakat dan alam sekitar.


Ilmu tidak dilihat sebagai komoditi semata-mata sebagaimana mentaliti sebilangan umat Islam hari ini (walaupun ilmu agama) , tetapi yang lebih penting ilmu dilihat sebagai tunjang ibadah. Ilmu mengurus diri (fardhu ain) dan ilmu mengurus sistem (fardhu kifayah) diperkukuh dari masa ke semasa.


Pemikiran yang terbuka juga mendorong ilmuan Islam mengkaji pemikiran dan tamadun daripada masyarakat bukan Islam seperti daripada tamadun Yunani, China dan India. Ilmu yang diperoleh ini pula ’disaring-jernihkan’ dengan agama dan hasilnya diperkembangkan dan disebarkan dalam tamadun Islam dan tamadun selainnya. Hasilnya, ilmu berkembang dengan pantas dan akhirnya membina tamadun yang indah lagi disegani kawan dan lawan. Keharuman ilmu yang melimpah-ruah ini kemudiannya mengundang setiap insan yang dahagakan ilmu pengetahuan dari seluruh dunia ke Baghdad, Cordova, Seville dan lainnya.


Dunia Islam menjadi penyumbang dan pemimpin kepada kesejahteraan sejagat bersesuaian dengan sifat Islam sebagai ’rahmatan lil a’lamin’ (pembawa rahmat ke seluruh alam) dan bukannya sekadar sebagai pengguna dan pengikut semata-mata sepertimana hari ini.


Tradisional: Pro dan Kontra


Tradisional pula merujuk kepada cara/budaya hidup (gaya fikir, sikap dan tingkahlaku) silam. Justeru, masyarakat tradisional adalah masyarakat yang masih mengekalkan cara hidup silam dan enggan menerima perubahan. Elemen tradisional yang baik perlu dikekalkan. Sebaliknya, elemen tradisional yang jelas bertentangan dengan agama serta tidak lagi relevan dengan kesejahteraan masyarakat dan negara perlu ditinggalkan.


Budaya pembaziran terutamanya dalam urusan perkahwinan dan pesta-pesta keraian perlu dilupuskan. Begitu juga dengan penampilan serta perhiasan diri serta kediaman, bangunan dan kenderaan secara berlebih-lebihan meskipun berkemampuan. Adakalanya dalam beberapa perkara, tanpa disedari, sebilangan umat Islam masih mengamalkan adat yang dibawa dari ajaran agama lain atau masyarakat lain yang pernah dianuti oleh nenek moyang mereka sebelum kedatangan Islam.


Hari ini juga, sebilangan umat Islam masih mengamalkan budaya nenek moyang yang menindas dan menyakitkan anggota masyarakat lain seperti berkhatan secara berlebihan, penderaan fizikal, emosi dan kejiwaan serta ketaatan tanpa batasan terhadap pemimpin masyarakat dan agama.


Dalam segmen pemikiran, terdapat juga sebilangan individu yang terlalu berpegang kepada buku ataupun kitab tertentu sahaja (selain al-Quran), menidakkan ijtihad semasa serta memboikot penggunaan medium sains dan teknologi serta ilmu-ilmu moden meskipun ianya tidak bertentangan dengan agama. Ini pastinya jelas bertentangan dengan ajaran agama yang bersifat indah, intelek, dinamik, universal dan holistik.
k
* Diubah suai dari nota kuliah perubahan sosial dan polisi pendidikan

No comments: