Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Wednesday, January 14

Pembangunan dan Perubahan




Perspektif Pembangunan


Perspektif pembangunan dari kaca mata Barat tertumpu kepada tiga sektor utama iaitu pembangunan sosial, pembangunan ekonomi dan pembangunan politik. Pembangunan sosial berhubung rapat dengan masyarakat yang merangkumi tradisi, budaya dan agama. Agama cuma dilihat sebagai satu unit kecil dalam masyarakat serta terpisah daripada aspek ekonomi dan politik.


Sebaliknya, Islam pula melihat pembangunan sebagai Deen ataupun cara hidup (way of life). Pembangunan daripada perspektif Islam meletakkan agama sebagai teras dalam pembangunan. Dengan itu, ruang lingkup pembangunan dari perspektif Islam bersifat holistik, syumul dan universal. Justeru, setiap komponen dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara sama ada budaya, ekonomi, teknologi, bahasa dan tradisinya adalah terbangun dan dibangunkan dalam acuan agama. Ini bersesuaian dengan fungsi agama sebagai asas setiap sesuatu, solat sebagai tiang dan jihad sebagai puncak.


Pembangunan dan Perubahan


Pembangunan tidak dapat dipisahkan daripada perubahan. Untuk membangun, manusia dan persekitarannya perlu berubah dan diubah kepada tahap yang lebih baik berbanding sebelumnya. Perubahan melibatkan dua dimensi iaitu perubahan bentuk (form) dan perubahan tingkahlaku (substance). Perubahan bentuk bersifat mekanistik dan teknikal manakala perubahan kandungan merangkumi perubahan tingkahlaku untuk mencapai matlamat.
Perubahan dalam Islam datang dari faktor dalaman, iaitu seluruh ahli jamaah. Jamaah dalam konteks ini tidak terhad kepada persatuan atau kelompok tertentu. Sebaliknya, jamaah merujuk kepada setiap individu dan keluarga Muslim dalam masyarakat (society) atau negara. Perubahan juga melibatkan faktor luaran (eksternal) seperti geopolitik, alam sekitar dan globalisasi.


Antara Masyarakat, Jamaah, Negara dan Ummah


Masyarakat (society) adalah sekumpulan manusia yang mempunyai beberapa persamaan sama ada lokaliti, kerjaya, minat, status, bangsa, agama atau budaya yang sama. Masyarakat terbentuk daripada beberapa unit keluarga dari kaum yang sama atau berbilang-bangsa dan agama (masyarakat majmuk atau plural society). Istilah jamaah pula digunakan khusus untuk menandakan kelompok masyarakat Islam manakala istilah ummah melihat setiap individu Muslim di seluruh dunia (tanpa mengira bangsa, status dan negara) sebagai bersaudara dan terikat padu dalam satu binaan yang saling meneguhkan.


*Diubah suai dari nota kuliah perubahan sosial dan polisi pendidikan.

No comments: