Menelusuri kehidupan Rasulullah sememangnya indah. Tiada sekalipun singgah rasa jemu meski dibaca berulang kali.
Saya temui buku Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah SAW oleh Nawawi Dasuki ketika menunggu ibu singgah di pasar Parit Sulung. Buku terbitan Wisdom Mind bersaiz A8 setebal 273 ms ini hanya berharga RM12. Penjualnya seorang remaja yang gigih berjalan ke sana ke mari mencari pelanggan. Dia bahkan memberikan saya diskaun dua ringgit menjadikan nilainya hanya RM10. Melihat kegigihannya, saya ambil dua buah, meski tahu rak buku kecil saya sudah terlalu sesak. Tambahan pula harganya agak murah berbanding isi kandungannya.
Bab ke 72 dalam buku ini mengisahkan bagaimana baginda menyantuni haiwan. Ketika Saidatina Aishah memukul unta yang sukar dikendalikan nabi menegur dengan katanya:
"Wahai Aishah, berlaku baik dan lembutlah, kerana sesuatu yang demikian akan menjadi indah. Begitu juga jika sebaliknya".
Ketika seorang sahabat mengambil telur seekor burung merpati, baginda memintanya memulangkannya kembali setelah melihat keadaan burung itu yang terganggu.
Ketika melihat seekor unta yang seakan bergenang dengan air mata, baginda mengusapnya dengan belas kasihan sehingga unta itu menjadi tenang dan berdiam diri. Nabi kemudiannya menegur pemilik unta agar takut kepada Allah kerana tidak memberinya makanan yang cukup dan mengarahkannya bekerja sahaja.
Apabila menyembelih binatang yang halal, baginda berpesan pula agar menggunakan alat pemotong yang tajam agar tidak menyakiti haiwan tersebut.
Begitulah sebahagian daripada kisah ihsannya nabi kepada haiwan yang tidak berakal yang terkadang menyusahkan namun ditangani dengan kesantunan. Sungguh, maka benarlah bahawa Rasul itu pembawa rahmat kepada sekalian alam.
Buku ini tidak menyediakan rujukan terperinci namun usaha menghimpunkan kisah-kisah tersebut secara ringkas dan mudah difahami wajar dipuji.
No comments:
Post a Comment