Semester ini, saya hanya mengikuti dua mata pelajaran yang dijadualkan pada setiap hari Selasa dan Rabu. Bagaimanapun, kelas pada hari Rabu dijadikan independent study atau pembelajaran persendirian. Menariknya, ianya dikendalikan menggunakan LMS (Learning Management System). Menerusi LMS, silibus pengajian dan nota-nota kuliah dapat dimuat turun pada bila-bila masa. Selain itu, terdapat juga ruangan forum di mana pelajar dapat berdialog berhubung subjek tersebut bersama rakan-rakan yang lain dan juga pensyarah. Sistem ini membolehkan proses pembelajaran berlangsung walau di manapun pensyarah dan pelajar berada- di rumah, di hospital mahupun di luar negara. Mengambil iktibar situasi hari ini yang memperlihatkan penutupan sekolah, asrama penuh, kolej-kolej dan universiti akibat penularan wabak selsema khinzir (H1N1), sistem e-learning atau e-pembelaran ini perlu diperluaskan dalam semua sistem pendidikan di Malaysia.
Jika digunakan dengan baik, sistem e-pembelajaran memberikan pelbagai manfaat apabila diaplikasikan sepenuhnya dalam sistem pendidikan dalam semua peringkat umur. Antaranya:
- sebagai sistem sokongan kepada sistem pembelajaran sedia ada
- membolehkan proses pembelajaran terus berlangsung pada saat kecemasan (seperti wabak, kemalangan atau sewaktu kelas bersemuka terpaksa dibatalkan) atau pada bila-bila masa
- mengurangkan penggunaan kertas
- proses pembelajaran yang lebih menarik dan interaktif serta meningkatkan daya kreativiti pelajar
- menyediakan pelajar dengan dunia kerjaya masa depan yang memerlukan kemahiran ICT
- membolehkan ibu bapa memantau pembelajaran anak-anak dari rumah atau sama-sama mempelajari subjek anak-anak
- mengelakkan penyakit berjangkit, mengurangkan kos pengangkutan dan mengurangkan risiko kemalangan serta gejala sosial di sekolah/institusi.
Meskipun e-pembelajaran tidak dapat menggantikan fungsi pembelajaran bersemuka dalam bilik darjah, namun ianya penting sebagai sistem sokongan utama untuk memantapkan lagi proses pembelajaran. Bahkan, yang lebih utama, ianya bertindak sebagai penyelamat di saat-saat kecemasan sebegini.
Kesimpulannya, sistem e-pembelajaran sedia ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya (saya percaya, di setiap IPTA sistem ini sudah diperluaskan). Dalam pada itu, ianya juga perlu sentiasa diperkemaskan supaya mudah dicapai, mesra pengguna, lebih menarik dan berupaya memantapkan lagi sistem pembelajaran sedia ada. Selain itu, sistem e-pembelajaran yang bersesuaian dengan setiap tahap umur dan pembelajaran perlu dibangunkan secara berperingkat.
Nota: Mungkin selepas ini kita perlu lebih 'menjiwai' sistem e-banking, e-forum, e-book dan pelbagai lagi sistem dalam talian yang telah diperkenalkan oleh kerajaan. Malah, tidak mustahil, selepas ini kita boleh menikmati e-seminar dan mungkin juga.... e-teater Kopitiam Ghadir :)
No comments:
Post a Comment