Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Sunday, September 29

Tips Mencari Tajuk Tesis

Penyelidikan adalah aktiviti yang mengujakan. Berikut disertakan tips untuk mencari tajuk tesis yang sesuai bagi mahasiswa:

1. Berbincang dengan penyelia tesis anda. Mungkin beliau mempunyai tajuk tertentu untuk anda. Adakalanya penyelia mempunyai geran atau gerak kerja penyelidikan yang membolehkan anda turut serta dalam kajian tersebut. Semak juga bidang kepakaran, hasil penyelidikan dan penerbitan penyelia anda.

2. Sekiranya penyelia tidak menetapkan sebarang topik atau bidang, pilih satu subjek/kursus/kuliah yang paling anda gemari. Fokus kepada satu topik yang paling anda minati dan membangkitkan rasa ingin tahu yang tinggi. Contohnya, dalam kuliah Kepemimpinan, anda memilih satu topik yang dibincangkan pada minggu ke-7 kelas iaitu topik kepengikutan dalam organisasi.

3. Buat carian jurnal secara online seperti Ebscohost, Oxford Journal dan Web of Science. Masukkan kata kunci berasaskan topik yang anda minati. Dapatkan sekurang-kurangnya 10 artikel terkini. Semak trend, metodologi dan dapatan kajian terkini. Lihat juga saranan penulis terhadap kajian seterusnya yang perlu dilakukan dan sebarang jurang maklumat yang masih belum diteroka dalam bidang tersebut.

4. Hadiri seminar atau diskusi sama ada secara bersemuka atau maya, baca buku/artikel, aktifkan seluruh panca indera dan buat pemerhatian terhadap apa yang berlaku di sekeliling anda. Pemerhatian juga termasuk persekitaran global yang boleh diperoleh daripada pembacaan dan info terkini dari laman sesawang yang boleh dipercayai. Mungkin anda boleh mendapat cetusan idea yang menarik dari situ.

5.  Terdapat tiga jenis kajian yang anda boleh lakukan. Yang pertama, fokus kepada kekuatan (strength based research). Yang kedua, fokus kepada kelemahan. Yang ketiga, fokus kepada kekuatan dan kelemahan. Tentukan pendekatan yang mahu anda gunakan.  Ia membantu anda menentukan tajuk yang lebih spesifik bagi kajian anda.

6. Pastikan peringkat standard tesis anda. Bagi kajian sarjana muda, tesis tersebut mestilah mempunyai penemuan baru. Bagi kajian sarjana atau master, tesis tersebut perlulah mempunyai analisis yang kritikal dan mendalam, Bagi tesis PhD atau Ijazah Doktor Falsafah, tesis tersebut perlulah menghasilkan teori baru. 

7. Semak tempoh masa pengajian dan tempoh masa khas yang diberikan untuk menyempurnakan tesis. Pilih kajian dan metodologi yang anda boleh laksanakan dalam tempoh yang diberikan. Tesis yang baik adalah tesis yang dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada diri, keluarga dan masyarakat. Pilih tajuk yang mencabar daya intelektual dan rasa ingin tahu anda. Jangan pilih yang terlalu mudah ataupun terlalu sukar sehingga menjadikan anda mustahil untuk bergraduat dalam tempoh yang diberikan. 

8. Dalam mood santai, berasaskan pembacaan, pemerhatian dan kreativiti anda, senaraikan tajuk tesis yang bakal anda lakukan. Senaraikan antara 5-7 tajuk yang menarik. Rehat sebentar dan pilih 3 sahaja tajuk yang terbaik.

9. Bincangkan tajuk tersebut dengan rakan atau penyelia tesis anda. Buka minda untuk sebarang kritikan, cadangan dan penambahbaikan. Dapatkan persepakatan bersama dengan penyelia terhadap tajuk tesis yang hendak dilaksanakan.

Selamat menulis tesis ! 










5 comments:

Hidayat Loo said...

thanks for sharing, I'm request copy and paste in my FB.. wasalam Hidayat

Bijaksana TnC said...

Silakan.

rismah said...

syukran....sangat bermanfat

Hantaran Perkahwinan said...

sangat bermanfaat dan membantu

Fit said...

Terima kasih..sangat membantu