Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Monday, May 14

Demi Masa



Demi masa.. sesungguhnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Yang saling berpesan-pesan pada kesabaran dan kebenaran. 

Sudah lama saya tidak membalas emel yang panjang. Saya selalu percaya, setiap nasihat yang kita berikan kepada orang lain sebenarnya adalah peringatan penting untuk diri kita sendiri. Berikut adalah sebahagian dari balasan emel tersebut:

Setiap kita punya amanah dan tanggungjawab tersendiri sebelum berpulang ke pangkuan Ilahi. Adakalanya dalam perjuangan, kita hampir berputus asa, kecewa, sakit hati, marah, sedih dan aneka rasa yang bercampur-baur. Ianya adalah lumrah kerana kita manusia biasa - bukan malaikat. Yang penting, teruskan perjuangan.. ikhlaskan diri, sematkan pergantungan yang tinggi kepada Allah dan bukan kepada manusia, urus masa dengan sebaiknya, fokus kepada matlamat yang ingin dicapai, perbaiki hubungan sesama-manusia dan depani masalah dengan baik dan selesaikan satu persatu.

Tidur memang keperluan namun tidak sesuai untuk dijadikan pelarian dari masalah. Hidup kita di dunia sebentar saja. Sampai masanya nanti, kita akan tidur di alam kubur dalam tempoh yang sangat lama sebelum dibangkitkan semula di Padang Mahsyar untuk ditimbang. Justeru, kita gunakan setiap detik peluang yang ada.. sementara kita masih boleh bangun.. pada perkara yang lebih bermanfaat dan mendatangkan kebaikan.. agar tiada penyesalan ketika jasad kita terbujur dipembaringan. Kerana itu kita memerlukan jam loceng agak tidak terlajak masa untuk menyelesaikan setiap tugasan yang ada. Rangka semula strategi.. senaraikan tugasan.. sediakan jadual kerja bulanan ataupun tahunan supaya setiap tugasan dapat disempurnakan sebelum tarikh akhir yang diberikan.

Teruskan perjuangan dan semoga hari ini sentiasa lebih baik dari semalam. Orang yang beriman sentiasa melakukan sesuatu dengan cara yang paling baik, sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri dan keadaan, sentiasa bertawakal kepada Allah, sentiasa yakin bahawa  tiada suatu apapun yang mustahil dengan izin Allah, sabar dengan apa jua yang menimpanya, syukur dengan segala anugerahnya, sentiasa tenang dan redha dengan ketentuan-Nya yang telah terjadi serta tenang, ceria lagi bijaksana dalam mengemudi ranjau hidupnya yang penuh berliku.

Selamat maju jaya lagi diberkati-Nya. Setiap kita sedang diuji... semoga kita semua sentiasa lulus cemerlang dalam setiap ujian yang mendatang... dan sentiasa bertambah bijaksana dalam meniti kehidupan.


No comments: