Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Sunday, April 17

Sayangi Ibu




Berapa ramai anak-anak yang menyiakan ibu sehingga terlontar di rumah kebajikan atau termangu sendirian di kediaman usang, menunggu kepulangan anaknya? Usah kerana harta ibu diabaikan kerana ibu itu lebih mahal dari segala harta yang ada di dunia. Usah kerana kesilapan masa lalu ibu ditinggalkan kerana sampai bila-bila pun, ibu tetap ibu.


Seorang teman baru kehilangan ayahnya dalam kemalangan, meninggalkan seorang balu dan empat anak yang sudah dewasa, berkeluarga dan berkerjaya. Terkadang warna sebenar seseorang hanya terserlah apabila perebutan harta pusaka berlaku. Meski ibu masih hidup, masing-masing menuntut agar segala harta dibahagikan, termasuk hak milik si ibu. Siapapun di tempat si ibu, pasti bersedih saat ini. Bagai jatuh ditimpa tangga. Sekelip mata kehilangan suami tercinta, dan kini mendapat layanan sedemikian rupa dari anak-anaknya.


Saya tidak mahu membincangkan hal ini dari perspektif kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Sebaliknya, saya ingin mengingatkan diri sendiri, melihat dari perspektif tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa yang telah merangkak ke usia senja sebagaimana yang termaktub dalam surah Luqman yang bermaksud:


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.” Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa ini diperkuatkan lagi dalam surah Al-Isra’ ayat 23 dan 24: “Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “ Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil” .


Keengganan berbuat baik kepada ibu bapa dikaitkan dengan sifat sombong yang merupakan punca utama iblis dilaknat Allah dan tersungkur ke neraka jahanam sebagaimana termaktub dalam surah An-Nisa’, ayat 36 yang bermaksud: ”Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan- Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang sombong dan membanggakan dirinya”.


Kehidupan yang tidak berpaksikan kepada agama sudah tidak lagi relevan dalam era modernisasi. Cabaran dan pergolakan yang datang bertubi-tubi menuntut kepada kefahaman dan penghayatan agama yang jitu. Begitu juga dalam persoalan ini. Kemurkaan dan kesedihan ibu bapa terhadap gelagat anak derhaka hanya mengundang penyesalan, menutup pintu rezeki dan kehidupan yang jauh dari keberkatan dan rahmat Allah. Sepatutnya, peluang keemasan ini digunakan sepenuhnya untuk berbakti kepada ibu bapa. Selagi salah-seorangnya masih hidup, sebaiknya biarlah mereka sahaja yang menjadi pemegang harta atau bantulah mereka mengurus harta dengan bijaksana. Malahan, sewajarnya dalam usia inilah anak-anak berusaha untuk menanggung dan meringankan segala beban keduanya. Jika tidak berkemampuan, sekurang-kurangnya layanlah mereka dengan penuh kemuliaan, penghormatan dan kasih-sayang sebagai tanda syukur kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Roda kehidupan berputar. Suatu masa nanti, anak-anak yang dibelai dengan penuh kasih sayang dan kemanjaan juga akan dewasa, berkerjaya dan berkeluarga. Sayangi ibu.. layani mereka dengan penuh kasih-sayang... hormati dan muliai mereka di dunia. Mudah-mudahan dengan itu, kitaran kasih sayang dan rahmat Allah akan terus mengalir jernih.. melimpahi dari satu generasi ke satu generasi. Dan sesungguhnya, bangsa yang hebat bermula dengan keluarga yang sejahtera.


No comments: