Rumah pertama saya dibeli pada tahun 2006 ketika masih bertugas sebagai tutor, usai berjaya melunaskan pinjaman pelajaran yang tertunggak secara maraton. Berpadanan dengan pendapatan yang agak kecil, saya hanya membeli sebuah ruang udara yang juga sangat kecil di sebuah lokasi strategik. Alhamdulillah, meski kecil, ia sudah lebih dari memadai sebagai tempat berteduh dan ruang persinggahan. Yang lebih utama, tidak perlu berpindah-randah memindahkan timbunan buku dan artikel setiap kali berpindah. Namun, yang lebih menarik lagi, beberapa orang rakan, termasuk yang masih bujang turut teruja membeli rumah, dan pastinya yang jauh lebih besar dan mahal Justeru, sengaja saya paparkan di sini, agar ramai rakan-rakan di luar sana turut teruja membeli rumah sama ada yang pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.
Berikut antara tips membeli rumah:
1. Beli rumah bersesuaian dengan pendapatan. Sebahagian berpendapat, bayaran sewa bulanan mestilah tidak lebih dari 30% dari pendapatan bulanan. Meski terdapat pinjaman 100%, sebaiknya cuba bayar pendahuluan yang banyak bersesuaian dengan kadar kemampuan.
2. Jika membuat pinjaman, utamakan skim perbankan Islam kerana tiada risiko turun naik BLR. Justeru, bayaran bulanan adalah tetap dan tidak dipengaruhi oleh keadaan ekonomi semasa. Juga, sebaiknya minimumkan tahun pembiayaan dan ambil insuran takaful agar waris dapat memiliki rumah tanpa perlu membayar baki ansuran tertunggak sekiranya berlaku kematian atau kecacatan kekal.
3. Semak terlebih dahulu status pemaju perumahan dari laman web kementerian. Reputasi pemaju yang baik dapat mengurangkan dari risiko rumah terbengkalai, terutamanya jika membeli rumah yang masih dalam pembinaan.
4. Semak caj tersembunyi yang kadangkala akan membebankan pengguna. Contohnya, caj servis perumahan dan caj pembentungan yang dikenakan setiap bulan.
5. Pilih kawasan kejiranan yang selamat dan sihat. Juga, pilih lokasi yang strategik, seperti berdekatan dengan khidmat pengangkutan awam, sekolah dan universiti, terutamanya jika tidak mempunyai kenderaan sendiri atau bercadang untuk menyewakannya.
6. Kenalpasti sejarah lokasi pembinaan rumah. Elakkan kawasan berisiko tinggi seperti tanah bekas lombong, bekas tapak pelupusan sampah, kawasan cerun bukit, berhampiran tebing sungai atau pantai, kawasan tanah yang selalu dilanda banjir, kawasan garisan gempa bumi, kawasan tsunami dan kawasan lingkaran gunung berapi.
7. Laksanakan istiharah dan musyawarah. Buat kajian terperinci terlebih dahulu kerana ianya melibatkan komitmen kewangan yang besar. Pastikan pembelian itu berbaloi, tidak membebankan dan merugikan terutamanya untuk jangka masa panjang.
No comments:
Post a Comment