Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Wednesday, February 17

Bersama Kita Hentikan Kitaran Sengsara


Dahulu saya tidak melihat pergaulan bebas dan kod etika berpakaian sebagai satu isu yang besar. Namun, perspektif itu berubah apabila tiga orang teman yang saya kenali dengan akrab mengandung di luar nikah dalam usia belasan tahun. Meskipun ketiga-tiganya mengambil keputusan untuk berkahwin dan menjaga bayi mereka, kesannya masih ada sehingga kini iaitu nama baik yang tercemar, kecelaruan nasab keturunan, keciciran dalam pembelajaran dan ketidakstabilan mental. Kesemuanya berpunca daripada pergaulan bebas, rasa ingin tahu yang tinggi dan kenaifan remaja dalam mengendalikan hidup.


Dalam meniti dunia akhir zaman, inilah antara cabaran sosial yang perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Islam sedari mula menggariskan batas-batas pergaulan dan kod etika berpakaian yang cermat dan teliti sebagai langkah pencegahan (sila teliti kupasan agamawan tentang hal ini). Terdapat garisan yang jelas di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, hatta di antara ipar duai. Bahkan, kita sering diingatkan bahawa fitnah yang besar bagi seorang lelaki adalah saudara perempuan kepada isterinya sendiri. Dalam keluarga, tersedia juga etika pergaulan dan kod berpakaian yang jelas untuk mencegah gejala sumbang mahram. Begitu juga dalam pergaulan sesama jantina untuk mencegah perlakuan lesbian dan homoseksual.


Mencegah lebih baik dari mengubat. Justeru, ini antara perkara utama yang perlu ditekankan oleh ibu bapa, rakan sebaya.. juga dalam silibus pembelajaran di sekolah sebagai langkah pencegahan. Ini kerana, sebelum melangkah ke alam remaja, kanak-kanak perlu disediakan dengan panduan yang mencukupi agar mereka berupaya menjalani dunia remaja dengan cemerlang. Dalam masa yang sama, sebelum melangkah ke alam dewasa pula, para remaja perlu disediakan dengan panduan yang mencukupi untuk menjalani dunia dewasanya dengan cemerlang.


Maka, cukuplah dengan apa yang telah berlaku. Bersama kita menghentikan kitaran sengsara ini dan memulakan langkah baru untuk membina kehidupan yang lebih bermakna.. buat diri sendiri dan negara bangsa yang kita kasihi berpandukan ajaran wahyu... dengan mengupayakan seluruh kekuatan fakulti intelek (quwwah al-ilmu) dan hikmah (quwwah al-adl) yang telah tersedia.

1 comment:

Cengkih78 said...

salam dear mia, betul lah sgt tu. ada kajian terbaru menunjukkan seawal 9 thn dah buat seks dan terdedah dgn pornografi. membesarkan anak zmn skrg sgtlah mencabar, terutamanya bila wujud teknologi maklumat. semakin sukar utk menapis apa yg boleh dilihat atau tidak oleh anak2 skrg. tapi, hanya iman saja yg bleh menepis semua itu