Seseorang menghantar dua keping gambar melalui MMS-sebelum dan sesudah. Gambar pertama adalah wajahnya yang ceria tertawa iras pelakon terkenal dari luar negara. Pada gambar itu tertera tulisan yang berbunyi:
Once upon a time, they call me young gun...
Gambar kedua menyusul. Sekujur tubuh kurus cekung kelihatan seperti sedang bermogok lapar selama sebulan. Wajahnya sugul menyakitkan dengan rupa yang tidak terurus dan pandangan yang kosong, bagai menunggu tali digantungkan ke leher. Pada gambar itu tertera perkataan:
Inilah saya sekarang...
Wajah yang berbeza dalam satu nama. Katanya, silalah pilih mana satu antara kedua gambar itu sebagai kenangan andai malam itu ia berjaya membunuh diri. Detik itu sungguh sadis sekali. Semuanya penangan dadah yang telah merosakkan fungsi mentalnya sehingga tidak mampu lagi mengawal emosi, pemikiran dan perlakuan. Sungguh-sungguh dia cuba menguji 'ayat-ayat saya'. Syukurlah, esoknya ia masih lagi bernyawa dan kembali bertugas seperti biasa.
Saya tidak tahu berapa lama ia mampu bertahan. Semoga ia berjaya dalam jihadnya memerdekakan diri dari belenggu dadah yang merantainya hingga ke saat ini. Sehingga artikel ini ditulis, entah berapa belasan ribu wang dilabur untuk menempah tiket neraka jahanam. Kata seorang teman, rindu pada dadah bukan sebarang rindu. Rindunya yang penuh dendam. Rindu yang mengundang murka dan kebinasaan.
Niat sememangnya tidak menghalalkan cara. Babaknya bermula dengan niat untuk membuktikan kepada teman-temannya yang ia boleh meninggalkan dadah dengan mudah setelah mencuba.
Dadah, walau apa pun bentuk dan warnanya, usahlah dicuba-cuba. Sekali 'terkena', berpalingnya tak semudah membilang beruang koala yang tertidur kekenyangan di atas pokok berdaun rendang. Begitu juga dengan perkara lain yang jelas haram lagi merosakkan -arak, judi, zina, homoseksual, lesbian dan entah apa-apa lagi. Tiadalah salahnya jiwa bebas lagi yang suka meneroka. Terokalah apa jua asal saja tidak melangkau sempadan agama kerana jiwa yang terbabas dari fitrahnya takkan sekali tenang tenteram. Dan dalam pada itu, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu saling 'memelihara tepi kain' agar mampu terus bertahan (survival of the fittest) merentas zaman... tidak sekali-kali mereput, terkoyak dan berlubang-lubang.
No comments:
Post a Comment