Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Saturday, June 13

Corat-Coret Dunia Kampus




"... keputusan dah keluar. Alhamdulillah, akhirnya merasa juga 4.0 untuk semester akhir. Untuk semester keseluruhan, 3.78. Terima kasih atas nasihat dan doa... ".

Mesej ini saya terima tiga hari lepas dari seorang pelajar yang berdedikasi dan aktif. Alhamdulillah, akhirnya ia berupaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademiknya disamping memiliki personaliti yang menarik dan seimbang. Sungguh, tiada perkara yang lebih membahagiakan seorang guru yang ikhlas selain melihat anak-anak didiknya berjaya dalam urusan dunia dan akhirat.


Kepada adik-adik yang bakal meneroka dunia kampus, selamat datang dan tanamkanlah cita-cita untuk memperoleh keputusan yang cemerlang atau ijazah kelas pertama dengan CGPA sekurang-kurangnya 3.70 ke atas.


Usah terlalu ghairah berpersatuan pada semester pertama. Mantapkan terlebih dahulu pengajian anda. Setiap orang mempunyai kapasiti yang berbeza. Ada siswa yang boleh cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum dan ada yang sebaliknya. Kemudian, pada semester kedua, apabila telah memperoleh CGPA yang baik, secara automatik estim kendiri akan meningkat dan adik-adik juga berasa lebih tenang, ceria dan yakin. Ketika itu, saya amat mengalu-alukan adik-adik untuk bergerak aktif dalam persatuan.


Seseorang pernah bertanya kepada saya, apabila bertembung antara kepentingan akademik dan persatuan, mana satu yang perlu didahulukan. Jawapan saya -akademik. Alasannya mudah, yang satu wajib dan yang satu lagi sunat. Secara logiknya, dahulukan yang wajib kemudian barulah diikuti dengan perkara yang sunat. Apabila yang wajib telah disempurnakan, buatlah yang sunat sebanyak manapun kerana ianya mendatangkan manfaat yang besar kepada diri kita sendiri akhirnya. Jika perkara sebaliknya berlaku, saya kira, ianya amat berbahaya. Ibaratnya kita menunaikan solat tahajud sepanjang malam tetapi meninggalkan solat subuh.


Sedari tahun pertama pengajian sehinggalah ke tahun akhir, hampir sepuluh orang senior dan rakan sekolej yang gagal dan diberhentikan. Meskipun di kalangan kami, panggilannya agak manis iaitu pingat Gagah Berani, pasti ianya memberikan masalah yang besar kepada siswa yang terlibat kerana ianya melibatkan masa depan yang panjang. Kesemuanya berpunca dari penglibatan yang terlalu aktif dalam persatuan dan akhirnya ianya memberikan kesan psikologi yang negatif kepada kedua-dua belah pihak: siswa yang gagal dan persatuan yang diceburi.


Saya kira, ini fenomena yang biasa berlaku di mana-mana universiti sekaplipun. Semoga ianya tidak berlaku kepada adik-adik dan generasi selepas ini. Sudah lumrah belia terutamanya golongan pelajar pintar cerdas (genius) suka meneroka apa jua, sehingga adakalanya kehilangan fokus. Justeru, kenali diri sendiri supaya kita tahu di mana batas diri kita serta pilihlah rakan-rakan dan senior yang baik untuk didampingi dan dijadikan role-model (suka belajar, berakhlak mulia, aktif dan sentiasa positif). Tetapkan fokus adik-adik terhadap pelajaran disamping terlibat dengan aktiviti yang berupaya memantapkan kemahiran serta mengembangkan bakat adik-adik secara optimum (dalam batasan tadi).


Peluang mungkin datang hanya sekali dan kerana itulah kita sentiasa diingatkan agar melakukannya dengan cara yang terbaik. Selamat maju jaya dan semoga dirahmati. :)

No comments: