Tokoh Maal Hijrah 1429
Penganugerahan Tan Sri Syed Mokhtar A-Bukhary sebagai tokoh Maal Hijrah adalah saat keemasan yang dinanti-nantikan. Inilah rupa bentuk hartawan yang kita mahukan. Hartawan berjiwa taqwa yang menyumbang kepada pemantapan ekonomi negara dan kesejahteraan ummah. Inilah jua sebahagian daripada acuan yang kita inginkan daripada generasi muda negara - tekun, istiqamah dan penuh iltizam.
Pengangguran
Umum melihat isu pengangguran sebagai satu aspek yang negatif. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada 20,000 graduan yang dilabelkan sebagai menganggur dan 'gagal' mendapatkan pekerjaan. Persoalannya, benarkah mereka benar-benar 'menganggur' atau tidak melakukan sebarang pekerjaan? Atau dalam bahasa yang lebih mudah, rutin hariannya cuma makan, tidur dan melepak?
Senario 'pengangguran' ini juga malahan mengakibatkan segelintir masyarakat memandang rendah terhadap keperluan pendidikan tinggi dengan dialog tipikal seperti ini :
" Buat apa belajar tinggi-tinggi. Menghabiskan duit dan akhirnya menganggur".
Jutawan Muda
Setiap perkara mengandung hikmah tersendiri bagi manusia yang sentiasa optimis dan berbaik sangka kepada Allah. Kesempatan dari limpahan sumber tenaga manusia pintar di dalam negara sewajarnya digunakan sepenuhnya untuk melahirkan jutawan muda dan melonjakkan kemajuan negara secara bersepadu. Program-program keushawanan dan slogan 'pertanian adalah perniagaan' sedikit sebanyak berjaya membuka minda masyarakat untuk menjadikan keusahawanan sebagai budaya dan melihat pertanian sebagai sektor yang sangat bermanfaat dan menguntungkan. Yang pasti, minda muda masakini perlu diubah daripada sekadar memburu peluang kerjaya kepada mencipta peluang kerjaya untuk diri sendiri dan orang lain. Peluang untuk menjana pendapatan lumayan terbuka luas dalam apa jua sektor terutamanya dalam bidang pertanian, industri hiburan dan perfileman, latihan dan pendidikan, sastera, kesenian, sukan dan pelancongan.
Jutawan Pintar
Hari ini, deretan nama jutawan muda mula muncul satu persatu. Muda, kaya dan terkenal - pastinya mereka ini menjadi idola kepada generasi muda. Apapun, menjadi jutawan di usia muda turut mengundang cabaran yang tersendiri. Justeru, untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi 'ujian-ujian khas' ini, generasi muda perlu mempersiapkan diri dengan ilmu yang bersepadu dan keimanan yang kental dan tahan diuji. Dalam erti kata lain, 'muda, kaya dan terkenal' masih belum memadai tanpa ' ketaqwaan dan kebijaksanaan ' dalam memacu kehidupan.
No comments:
Post a Comment