Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, July 31

Kopitiam Ghadir

"Hidayah tidak hinggap pada hati semua orang. Ia hinggap pada hati yang terpilih"- Kopitiam Ghadir.


Berminat dengan teater? Teater muzikal Kopitiam Ghadir yang berasaskan semangat Surah al-Asr dan gagasan 'memasjidkan seni' kelihatan menawarkan sedikit kelainan.


"Drama sejam 15 minit ini mengisahkan seorang lelaki yang tersesat ke sebuah kota misteri dan terpaksa singgah di sebuah kafe untuk bertanyakan arah. Di situ beliau bertemu dengan sekumpulan pemuda aneh yang asyik menyanyikan pelbagai rentak lagu nasyid. Lelaki tersebut berbual-bual mengenai Rasulullah saw dan keutamaan baginda sebelum membuat keputusan samada untuk menetap di kota kecil tersebut, atau keluar pulang ke tempat asalnya".


"Pementasan Kopitiam Ghadir akan berlangsung antara 8-11 Ogos 2009 bermula pukul 9 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka (Balai Budaya Tun Syed Nasir). Tiket hanyalah RM 10. Tempahan tiket boleh dibuat mulai sekarang melalui pengurus produksi saudara Luqman Hisyam di nombor 012 2335263. Sms sahaja nama, tempahan malam pementasan dan jumlah tiket."


"Komposer, penyanyi dan aktor Kopitiam Ghadir - penasyid dari kumpulan Revolusi Pembudayaan Selawat - akan muncul di Radio Ikim.fm pada 1 Ogos 2009 (Sabtu) pukul 10-12 malam"


Nota: Sila rujuk laman berikut untuk maklumat lanjut: http://tehranifaisal.blogspot.com/.

Tips Membuang Masa



Berikut antara tabiat lazim, sikap atau perkara yang menjadi 'penyumbang utama' (punca):


  1. Bertangguh

  2. Melakukan sesuatu tanpa perancangan atau di luar perancangan

  3. Tiada sifat tegas diri

  4. Disiplin diri rendah

  5. Kekurangan sumber (bahan/peralatan dan kepakaran)

  6. Tiada matlamat yang jelas

  7. Terlalu cerewet (perfectionist)


Berikut pula antara aktiviti yang berpotensi membuang masa dengan banyak jika tidak dikawal atau dikendalikan dengan baik:


  1. Tidur dan berkhayal

  2. Menonton televisyen

  3. Bersembang

  4. Membeli-belah

  5. Menggunakan internet dan bermain game

  6. Majlis sosial

  7. Mesyuarat

Wednesday, July 29

Salju



Lama tidak bermain dengan grafik.... persekitaran epal hijau ini tampak 'damai' sekali.
o
Bayangkan ini kulit depan karya saya. Setiap halaman di dalamnya pula berwarna hijau lembut yang menenangkan. Terdapat pula laman-laman yang memainkan muzik tertentu (seperti suara burung, ombak dan paluan gong di hari konvokesyen) dan mengeluarkan aroma tertentu (seperti epal segar... pandan dan udara segar di kawasan pergunungan) apabila lembarannya dibuka untuk menghidupkan mood pembacaan. Saudari pasti tak sabar untuk 'menghazamnya' bukan... :)
.
o

H1N1 dan e-Learning



Semester ini, saya hanya mengikuti dua mata pelajaran yang dijadualkan pada setiap hari Selasa dan Rabu. Bagaimanapun, kelas pada hari Rabu dijadikan independent study atau pembelajaran persendirian. Menariknya, ianya dikendalikan menggunakan LMS (Learning Management System). Menerusi LMS, silibus pengajian dan nota-nota kuliah dapat dimuat turun pada bila-bila masa. Selain itu, terdapat juga ruangan forum di mana pelajar dapat berdialog berhubung subjek tersebut bersama rakan-rakan yang lain dan juga pensyarah. Sistem ini membolehkan proses pembelajaran berlangsung walau di manapun pensyarah dan pelajar berada- di rumah, di hospital mahupun di luar negara. Mengambil iktibar situasi hari ini yang memperlihatkan penutupan sekolah, asrama penuh, kolej-kolej dan universiti akibat penularan wabak selsema khinzir (H1N1), sistem e-learning atau e-pembelaran ini perlu diperluaskan dalam semua sistem pendidikan di Malaysia.


Jika digunakan dengan baik, sistem e-pembelajaran memberikan pelbagai manfaat apabila diaplikasikan sepenuhnya dalam sistem pendidikan dalam semua peringkat umur. Antaranya:



  1. sebagai sistem sokongan kepada sistem pembelajaran sedia ada

  2. membolehkan proses pembelajaran terus berlangsung pada saat kecemasan (seperti wabak, kemalangan atau sewaktu kelas bersemuka terpaksa dibatalkan) atau pada bila-bila masa

  3. mengurangkan penggunaan kertas

  4. proses pembelajaran yang lebih menarik dan interaktif serta meningkatkan daya kreativiti pelajar

  5. menyediakan pelajar dengan dunia kerjaya masa depan yang memerlukan kemahiran ICT

  6. membolehkan ibu bapa memantau pembelajaran anak-anak dari rumah atau sama-sama mempelajari subjek anak-anak

  7. mengelakkan penyakit berjangkit, mengurangkan kos pengangkutan dan mengurangkan risiko kemalangan serta gejala sosial di sekolah/institusi.

Meskipun e-pembelajaran tidak dapat menggantikan fungsi pembelajaran bersemuka dalam bilik darjah, namun ianya penting sebagai sistem sokongan utama untuk memantapkan lagi proses pembelajaran. Bahkan, yang lebih utama, ianya bertindak sebagai penyelamat di saat-saat kecemasan sebegini.


Kesimpulannya, sistem e-pembelajaran sedia ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya (saya percaya, di setiap IPTA sistem ini sudah diperluaskan). Dalam pada itu, ianya juga perlu sentiasa diperkemaskan supaya mudah dicapai, mesra pengguna, lebih menarik dan berupaya memantapkan lagi sistem pembelajaran sedia ada. Selain itu, sistem e-pembelajaran yang bersesuaian dengan setiap tahap umur dan pembelajaran perlu dibangunkan secara berperingkat.


Nota: Mungkin selepas ini kita perlu lebih 'menjiwai' sistem e-banking, e-forum, e-book dan pelbagai lagi sistem dalam talian yang telah diperkenalkan oleh kerajaan. Malah, tidak mustahil, selepas ini kita boleh menikmati e-seminar dan mungkin juga.... e-teater Kopitiam Ghadir :)

Tuesday, July 28

Cepat! Cepat! Cepat!



Saya tertarik dengan satu pendapat tentang bentuk senaman yang mudah (dan praktikal bagi mereka yang sibuk) - iaitu 'buat dengan cepat'. Berjalan dengan cepat, memasak dengan cepat, menulis dengan cepat, berfikir dengan cepat, membuat kerja dengan cepat... pendek kata, melakukan apa saja perkara (yang relevan sahaja) lebih cepat dari kadar yang biasa. Cepat bukan bermakna tergopoh-gapah, panik dan kalut. Cepat di sini melakukan tugasan dan apa jua aktiviti lebih cepat daripada biasa tanpa mengurangkan kualitinya. Dalam ertikata lain, cekap, tepat dan efisyen. Hasilnya, lebih banyak kalori dapat dibakar, lebih banyak perkara dapat dihasilkan, lebih banyak masa dapat dimanfaatkan.


Yang paling utama, lakukan dengan 'riang' dan nikmati perbezaannya :)

Awas: Pandemik H1N1


*Jangan tiru aksi ini. Walaupun berpakaian lengkap (tidak bercawat), kanak-kanak kecil ini tidak tahu apa-apa.


Wabak Selsema Khinzir di Seluruh Dunia


Menurut World Health Organization (WHO), di seluruh dunia, 134 503 kes dilaporkan dengan 816 kematian (sehingga 22 Julai 2009). Pecahan kes adalah seperti berikut:



  1. Afrika - 157 kes

  2. Amerika - 87 965 kes (707 kematian)

  3. Timur Tengah - 890 kes (1 kematian)

  4. Eropah - 16 556 kes (34 kematian)

  5. Asia - 7538 kes (44 kematian)

  6. Negara Pasifik - 21, 577 kes (30 kematian)


Wabak Selsema Khinzir di Malaysia


Kes selsema khinzir (saya setuju dengan pendapat Dato' Dr Rais Yatim untuk mengekalkan istilah selsema babi) atau H1N1 di Malaysia kini mencecah 1,124 kes. 574 (51%) daripadanya kes import dan 550 (49%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, 1103 kes (98%) telah sembuh. 10 kes atau 1% sahaja yang sedang menerima rawatan anti-viral di hospital manakala lapan (8) kes atau 1% mendapat rawatan antiviral di rumah. (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2009).


Pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia


Nasihat kepada orang ramai:

Kementerian Kesihatan akan terus memantau kejadian kes yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian kluster ILI. Orang awam termasuk institusi pendidikan dan tempat kerja diminta memberi kerjasama dengan melaporkan kejadian kes ILI (influenza-like illness) yang menunjukkan simptom selesema, batuk atau sakit tekak. Mereka yang mendapat gejala yang teruk atau berisiko tinggi perlu segera mendapatkan rawatan di hospital yang berdekatan.

Bagi memperlahankan penularan wabak ini, kerjasama orang ramai amatlah diperlukan untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:


  1. Orang ramai diminta untuk terus dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya membasuh tangan secara rutin dan etika batuk.

  2. Mereka juga perlu mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta mengurangkan majlis perjumpaan).

  3. Mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik yang berdekatan.

  4. Kes-kes yang bergejala ringan boleh berehat di rumah dengan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di tahap yang optimum.

  5. Mereka juga dinasihatkan memakai mask (pelindung mulut) dan jika gejala bertambah teruk untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

  6. Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah telah di muat naik ke laman web Kementerian Kesihatan sebagai rujukan orang awam.

  7. Kejadian-kejadian jangkitan influenza-like illness (ILI) atau jumlah ketidakhadiran (absenteeism) di sekolah atau di tempat kerja yang luar biasa, hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk siasatan lanjut.

  8. Bagi pelajar yang terlibat dengan penutupan kelas atau sekolah termasuk intitusi pengajian tinggi, perlu dimaklumkan bahawa hanya mereka yang tiada bersimptom sahaja dibenarkan kembali ke tempat pengajian mereka. Mereka yang masih bersimptom perlu terus berehat di kediaman masing-masing sehingga sembuh atau tiada bersimptom. Tindakan ini perlu kerana mereka yang bersimptom masih mempunyai risiko untuk menularkan virus influenza kepada rakan karib mereka

Nota: Mencegah lebih baik dari merawat.


Monday, July 27

Perginya Seorang Sutradara



"I am optimistic and sentimental to the point of being annoying, especially to people who think that being cynical and cold is cool. Everyday, I thank Allah for everyday things like the ability to breathe, the ability to love, the ability to laugh, and the ability to eat and drink"

~Yasmin Ahmad~






Actress Azean Irdawaty wrote a special poem dedicated to Yasmin:



She was an angel

God sent us

No, he lent us

To be a storyteller

Who spun stories of

Magic, joy and enchantment

Who we often lose sight of

Her fight was brief

Her leaving was a grief

Just like her movies

The end came too soon

But her wisdom remainlike words to a tune

That we will hold dear

Forever you will be near.

I love you Yasmin

I will miss you always.






Nota: Sutradara tersohor, Yasmin Ahmad telah menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas koma selama tiga hari pada usianya 51 tahun. Saya sukakan karyanya bersama PETRONAS. Semoga rohnya berbahagia di negeri abadi. Al-Fatihah.


Varanus Lirungensis



Varanus lirungensis, sejenis spesies biawak monitor ditemui di Pulau Talaud, Indonesia. Haiwan karnivor (pemakan daging) ini dikatakan mempunyai perkaitan dengan biawak komodo dan buaya monitor.
*Ambilan dari Ecoworld Com.

Sunday, July 26

Karbohidrat untuk Darah AB

Rice by earl258.flickr


Anda penerima universal atau pemilik darah AB? Golongan darah AB dikatakan hanya muncul 1000 tahun lalu. Bilangannya hanya 2-5% daripada keseluruhan penduduk.


Menurut Dr Peter J'Adamo, setiap kategori darah mempunyai senarai pemakanan yang sesuai dengan darah tersebut atau perlu dihindari untuk mengelakkan masalah kesihatan.


Bagi darah AB, karbohidrat yang sesuai adalah daripada:


  1. beras putih/merah/basmathi
  2. oat
  3. gandum hitam
  4. sekoi
  5. spelt

Karbohidrat sederhana sesuai pula adalah:

  1. roti
  2. tepung sagu
  3. couscous
  4. bijirin gandum
  5. bayam
  6. ubi kisar


Karbohidrat yang perlu dihindari:

  1. jagung
  2. gandum
  3. tepung jagung
  4. mi soba
  5. cornflakes
  6. tepung ubi kayu

Saturday, July 25

Pantun Gejala Sosial




Dari Sarawak kami datang,
Sungguh berhajat menabur budi;
Bagaimana negara akan gemilang,
Gejala sosial kian menjadi-jadi?


Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu;
Penjara Kajang sudahlah padat,
Tempat belia bersinggah lalu.



~Mohd Khairi Mansor & Joanes Anak Imang~



Nota: Tugasan pelajar bagi subjek Pembangunan Belia, UKM pada Oktober 2006.


Friday, July 24

Mudahkan, Jangan Menyusahkan




Abu Burdah r.a berkata :”Rasulullah mengutus ayah ku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata:”Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, Gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan berseia sekatalah kamu.”

(Bukhari dan Muslim)




*ambilan dari e-hadis, JAKIM

Wednesday, July 22

Petanda Perbelanjaan Melebihi Pendapatan






Berikut merupakan antara petanda awal yang menunjukkan nilai perbelanjaan peribadi sudah melebihi pendapatan. Menurut Glenn Curtis dalam Investopedia.com, kita harus berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila amaran awal ini muncul:




  1. Skor kad kredit berada di bawah 600

  2. Menyimpan kurang 5% daripada pendapatan

  3. Baki kad kredit tinggi kerana hanya membayar nilai minimum

  4. Lebih 28% daripada pendapatan diperuntukkan untuk rumah

  5. Bil-bil bulanan berada di luar kawal

* Untuk keterangan lanjut, rujuk di sini .

Antara Dua Ekstrem



Terdapat dua kelompok ekstrem darihal berfikir. Kelompok pertama beranggapan mereka tidak pandai dan tak perlu malah tak layak berfikir. Merasakan dirinya terlalu lemah dan kerdil lalu mengiakan apa saja pendapat individu yang diikutinya. Jika individu yang diikutinya betul, maka betullah ia. Jika tidak, maka sebaliknya. Bak kata pepatah lama- untug sabut timbul, untung batu tenggelam.


Kelompok kedua beranggapan dirinya seorang pemikir yang hebat, sentiasa betul dan pendapatnya tidak boleh dipertikai sama sekali. Membangkang apa sahaja meskipun benar dan bersungguh-sungguh menegakkan pendapatnya meskipun salah.


Kelompok pertama akan terus mundur dan menjadi 'pengikut itik' yang mudah diperdayakan. Kelompok kedua melengkapi kelompok pertama, begitu juga sebaliknya. Menjadi diktator dan akhirnya terperangkap dalam kepompong pemikirannya sendiri. Kelompok pertama mengalami masalah inferiority complex manakala kelompok kedua berada pada tahap over-confident, superior dan egoistik (atau dalam istilah lain ujub, riak, sum'ah dan takabur). Semakin ramai bilanga kelompok pertama, maka semakin ramailah bilangan kelompok kedua. Semakin ramai bilanga kedua-dua kelompok dalam organisasi, maka semakin lemah, huru-hara dan mundurlah organisasi tersebut.


Kelompok ketiga adalah kelompok sederhana. Mereka berfikir secara seimbang dan holistik. Sikap berfikir ini menjadikan mereka pemikir yang hebat tetapi tawaduk. Menggunakan fakulti akal untuk berfikir berasaskan kerangka ilmu wahyu (quranic paradigm), kajian ilmiah (scientific paradigm) dan deria keenam (intuisi). Tahu membezakan antara yang hak dan batil jua meneliti setiap kesamaran dengan saksama. Terbuka kepada pandangan orang lain namun tegas berpegang kepada prinsip yang benar. Meneliti setiap pandangan dan melakukan penambahbaikan demi kesejahteraan bersama. Kelompok inilah yang layak dipanggil ummatan wasatan. Mereka inilah manusia yang memiliki sikap berfikir yang dinamik lantas memiliki upaya untuk beramar makruf nahi mungkar dan melonjakkan masyarakatnya ke takah yang tertinggi.


*Nota: Sekadar reaksi awal kepada pandangan Dr Edward de Bono dalam bukunya - Teach Your Child How to Think terbitan Penguin Books.


Tuesday, July 21

Penilaian


Penilaian dalam Perencanaan dan Perlaksanaan Program


Penilaian adalah perkara yang sangat penting dalam melaksanakan program latihan dan pendidikan. Ianya perlu sentiasa dibuat dari peringkat awal sesuatu program (perencanaan program), semasa program berjalan (perlaksanaan) dan selepas program berakhir. Penilaian membolehkan kelemahan dan kekuatan program dikesan bagi melakukan penambaikan. Dengan cara itu, kualiti program dapat dipertingkat serta-merta atau sekurang-kurangnya dapat dijadikan garis panduan untuk meningkatkan keberkesanan program seterusnya. Bagaimanapun, proses penilaian sering dikesampingkan kerana ketiadaan kepakaran dan ianya juga tidak dilihat sebagai keperluan. Akibatnya, prestasi program tidak dapat dinilai dan kesilapan yang sama diulangi dalam program-program berikutnya.


Penilaian dalam Kehidupan Seharian


Masa pantas berlari. Orang yang berjaya sentiasa memuhasabah diri sejak fakulti akalnya mulai dapat membezakan antara yang hak (baik) dan batil (buruk). Orang yang berjaya sentiasa peka dan prihatin, menilai dirinya sendiri dan melakukan penambahbaikan sebelum berpulang ke alam barzakh. Menghakimi diri dengan teliti sebelum diri dihakimi di Mahsyar Ilahi.


Terlalu banyak perkara yang boleh dan perlu dinilai. Bagaimanapun, cukuplah dulu dengan persoalan di bawah ini:


  1. Apa yang mesti dicapai dan sejauhmanakah masa yang ada dimanfaatkan sebaiknya?

  2. Adakah hari ini lebih baik dari semalam yang telah ditinggalkan?

  3. Bagaimana hubungan menegak dengan Allah dan hubungan mengufuk sesama manusia jua alam semesta?

  4. Apakah sumbangan yang telah diberi? Ikhlaskah diri?

  5. Bijaksanakah diri dalam mencatur kehidupan?

  6. Dimana kekuatan dan kelemahan diri dan sejauh mana penambahbaikan dilakukan?

  7. Sudahkah potensi dan sumber yang ada digembeling sepenuhnya atau hanya dibiarkan terbazir dan sia-sia?

*Nota: Untuk teman-teman yang sedang cuti belajar, soalan penilaian ada dalam progress report (IPT dan KPT). Isi.. jangan tak isi :).



Sunday, July 19

Tatabahasa Musafir





Permusafiran kita...

punya subjek dan predikat

koma

titik bertindih

penanda wacana

kurungan

bunga-bunga bahasa

kata seruan

tanda soal

ayat penyata

dan

noktah.



Friday, July 17

Masa untuk Berubah



Sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) orang yang melakukan kesalahan kerana kebodohannya, kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya). Sesungguhnya, Tuhanmu setelah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
k
~Terjemahan maksud ayat Surah an-Nahl, ayat ke-119~

Hikayat Labu-Labi




"Saya sedih dengan labu-labi pulau kita. Entah ke mana akal mereka. Mudah saja mengkafir dan menuduh sesat saudara seagama. Seolahnya dialah saja buah yang paling beriman dan alim. Menebang balak memang mudah berbanding memugarnya. Lucunya, tahu pula berkasih-sayang dengan parasit harbi yang hanya mencari ruang untuk menghancurkan mereka. ". Prof Belimbing meluah rasa. Sakit benar hatinya.


Pintu bilik persidangan disendal dengan kerusi biru. Udara sejuk memenuhi ruang dari pendingin hawa berpusat. Ceri memasang telinga sambil matanya merenung draf kertas cadangan yang sedang disemak oleh Prof Belimbing. Sungguh dia ikut terpanggil dengan situasi yang melanda.


"Dalam kehidupan kita perlu bersikap realistik dan strategik. Idealistik sahaja tidak mencukupi. Cuba lihat bagaimana pendekatan parasit Khuldi menguasai ekonomi dan senario politik dunia. Mereka banyak menyelidik dan berfikir. Memahami psikologi tumbuhan dan menggunakan apa saja pendekatan untuk menyebarkan ideologi dan mengukuhkan pengaruh mereka. Kita tak akan mampu melawan mereka selagi hidup bertunjangkan nafsu dan sifat terburu-buru. Setiap perkara perlu ditimbang dengan teliti. Gunakanlah akal dan hati. Hayati perintah Iqra' dan bertindaklah dengan bijaksana secara berjemaah. Ini yang tidak ada pada kepimpinan labu-labi pulau kita". Prof. Belimbing menambah lagi. Jarinya yang kuning keemasan ligat menanda kertas cadangan di depannya dengan pen ungu. Di luar, siswa-siswi baru lalu lalang mencari bilik kuliah.


"Hm, apa pula pendapat Prof tentang Limau". Ceri terkenang sahabatnya yang sudah lama tidak ditemui itu. Dia hanya mengikuti perkembangan Limau melalui akhbar Warta Tumbuhan dan laman blog Limau yang mesra buah.


" Ceri, memimpin pulau sama juga dengan memimpin sebuah keluarga. Perlu ada keseimbangan antara kasih-sayang dan ketegasan. Setiap anak ada perangai masing-masing dan ibu -bapa perlu menggunakan pendekatan yang sesuai dengan watak masing-masing untuk memastikan mereka terdidik dengan baik dan seterusnya menjadi tunggak keluarga. Jangan kerana takut mereka merajuk kita berikan apa saja yang mereka mahu. Jangan rosakkan mereka dengan kemewahan kerana mereka tak akan pernah puas dan akan sentiasa meminta sehingga ibu-bapanya muflis dan papa kedana". Prof Belimbing menarik nafas panjang. Kertas cadangan yang sudah bertanda dengan pen ungu diserahkan semula kepada Ceri.


"Sayangkan anak tangan-tangankan ya Prof. ?". Prof Belimbing tertawa lalu menyambung: "Ya Ceri... sebelum terlambat!". Ceri ikut tertawa sambil mindanya mula merangka-rangka strategi untuk memulihkan krisis labu-labi yang kian meresahkan masyarakat buahnya. Sungguh, dia sentiasa percaya, Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum selagi mereka sendiri tidak berusaha untuk merubahnya.



Thursday, July 16

Yayasan Harta Pusaka



Harta pusaka tidak semestinya dibahagikan serta-merta. Saya tertarik dengan pendekatan yang digunakan oleh keluarga seorang staf di UIAM. Setelah kematian ibu-bapa mereka sewaktu kecil, atas nasihat seorang peguam, harta peninggalan tersebut tidak dipecah-pecahkan. Sebaliknya, ianya diuruskan oleh seorang pemegang amanah yang boleh dipercayai. Kini, setelah masing-masing dewasa dan mempunyai kerjaya yang mantap, salah seorang darinya menguruskan sepenuhnya harta pusaka tersebut yang berupa kutipan sewa rumah dan tanah. Pendapatan yang diperoleh digunakan untuk membiayai percutian bersama, pembelajaran anak-anak dan urusan-urusan lain keluarga. Pendekatan ini bukan sahaja memberikan keuntungan jangka panjang malah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin.


Monday, July 13

Pelancongan Agama

*Siapa kata untuk menarik pelancong asing kita mesti mesti membuka disko 24 jam, menyediakan arak di hotel ternama, menyediakan pusat perjudian dan pesta hiburan sepanjang tahun?


*Tanpa konsert, pertunjukan bunga api mahupun demonstrasi... semalam, 200,000 orang dikatakan menghadiri Perhimpunan Dakwah Tabligh Sedunia (Ijtimak 2009) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Satu jumlah yang begitu besar.


*Peristiwa yang berlangsung kelmarin menunjukkan prospek tinggi dalam industri pelancongan berorientasikan agama. Ini bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia yang sentiasa dahagakan agama dan panduan dalam hidupnya.


*Beberapa orang teman dari Amerika, Afrika dan Filifina pernah berpesan kepada rakan senegaranya: "Jika ingin belajar tentang Islam, datanglah ke Malaysia". Syukurlah, dalam kegawatan yang ada, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang masih lagi menganugerahkan kita aset bernilai tinggi yang perlu dibangunkan sepenuhnya: citra hidup unggul dan budaya hidup tinggi berteraskan agama.

Putih II






Tangan yang di atas lebih baik

dari yang di bawah

saat jiwa seputih salju

bercahaya

meski tiada - lensa kamera








Sunday, July 12

Dosa Ibu Bapa

Awas: Untuk bacaan dewasa sahaja





Oleh Biro Agama & Kerohanian, Kelab MATRADE



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Untuk renungan kita bersama..


Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah hilang seri di wajah dan jiwa malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika kita sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita menumpahkan akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?

Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah, guru nurseri, dan entah siapa lagi. Ibu dan ayah di mana? Jawapannya mudah sahaja, SIBUK BEKERJA.

Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya kerana makan pakai anak-anak sudah cukup. Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu. Soal makan, minum, pakaian, perlindungan, pendidikan, makanan emosi dan spiritual, semuanya mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak putus-putus. Apa yang paling utama adalah soal jumlah masa yang kita luangkan bersama mereka.

Sudah cukupkah untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar kasihkan mereka? Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak diswastakan kepada pihak lain. Kita sibuk bekerja dan kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai mungkin semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita.

Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan bapa terhadap anak-anak, lebih besar berbanding kesalahan mereka kepada kita. Insaflah wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih sayang diberi.

Seandainya kita memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah heret kita ke suasana yang menjadikan ianya tersepit. Kita ada tanggungjawab kepada isteri/suami dan anak-anak.

Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh , kita singgah di Tapah untuk Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh . Tetapi selepas 15 minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang anak kita tiada. Ketika itu kita kelam kabut mencari U-Turn dan mulut tidak henti-henti berdoa agar anak yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada mudarat.


Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita ada jalan untuk berpatah balik menyelamatkan keadaan. Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis, jurutera, pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam perjalanan memanjat tangga kenaikan pangkat, kita tertinggal isteri dan anak-anak di belakang.


Jika lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi jika mereka ditinggalkan dari tarbiah dan didikan Islam, ketika kita tersedar yang mereka yang sudah jauh ketinggalan di belakang, apakah ada jalan pulang? Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.

Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa kepada pengorbanan anak-anak selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.


Sabda Nabi Muhamad SAW betapa tanda Kiamat itu adalah pada ibu yang melahirkan tuannya. Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana begitu boleh terjadi?


Kesimpulannya, anak durhaka di akhir zaman, bermula dengan dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja yang tidak menguruskan masa dengan bijak.


Wallahualam.

* Email ini diforwardkan oleh Cik Nor Jana Saim.


*Berhati-hati menghantar anak-anak ke nurseri, terdapat sesetengah nurseri yang mencampurkan ubat tidur atau dadah di dalam susu anak untuk memudahkan urusan penjagaan.



Saturday, July 11

Xinjiang



PENDUDUK Islam berbasikal melintasi askar China yang lengkap dengan peralatan antirusuhan dan berperisai di pintu masuk Masjid Dong Kuruk Bridge, dalam pusat bandar raya Urumqi di Daerah Xinjiang China, pagi ini. Rusuhan puak etnik yang berlaku kelmarin telah mengorbankan lebih kurang 150 orang. Pintu pagar masjid diarah tutup dan arahan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat telah dibuat. Rakyat asing juga tidak dibenarkan datang melawat bandar raya dalam wilayah Xinjiang yang bergolak ini.



* Rusuhan etnik mengingatkan kepada kisah ngeri pertempuran antara etnik yang pernah berlaku di Batu Pahat dan Muar sebelum merdeka. Kisahnya seolah lebih mengerikan dari tragedi 13 Mei 1969. Versi dokumentasi yang ada dikatakan tidak mengungkap kisah sebenar yang berlaku. Bagaimanapun, itu mungkin lebih baik agar kelukaan yang ada tidak terlalu parah. Perbalahan antara kaum tidak menguntungkan sesiapa melainkan individu lain yang berkepentingan.

Friday, July 10

Kisah Cinta Halimatul Saadiah


ADALAH menjadi tradisi bagi keluarga-keluarga mulia di Mekah untuk menghantar anak mereka ke kawasan pergunungan. Ini bertujuan agar anak mereka dapat menghirup udara yang sedar dan membesar dengan sihat. Anak-anak ini akan disusui oleh wanita daripada kaum Bani Sa'ad.

Wanita-wanita yang menyusui biasanya lebih tertarik kepada anak-anak orang kaya. Mereka tidak berminat untuk menyusui anak seorang fakir mahupun yatim.

Halimah merupakan seorang wanita yang selalu menjadi ibu susuan. Pada tahun itu, keluarganya ditimpa kemiskinan. Tanah menjadi tandus dan ternakan mereka menjadi kurus kering. Akhirnya Halimah dan suaminya memutuskan untuk ke Mekah bagi mengambil seorang bayi untuk disusui. Mereka berharap upah yang diberikan akan dapat menampung keperluan hidup mereka pada waktu itu.

Unta yang dinaiki mereka itu sangat lemah. Halimah risau kalau-kalau unta itu mati sebelum sampai ke Mekah.

Anak Halimah selalu menangis kelaparan. Unta yang dibawa juga sudah tidak mengeluarkan susu kerana kekurangan zat. Halimah juga tidak mampu menyusui bayinya lagi.

Akhirnya mereka sampai di Mekah. Semua bayi yang ada sudah diambil oleh wanita-wanita yang lebih dahulu tiba di Mekah. Hanya tinggal seorang bayi lelaki bernama Muhammad. Ayahnya sudah meninggal dunia dan keluarganya miskin. Kedudukan mereka sangat mulia di antara tokoh-tokoh Quraisy, namun wanita-wanita lain enggan mengambilnya kerana dia yatim dan miskin pula.

Halimah melihat Muhammad terbaring dalam keadaan lapar di ranjangnya yang kasar. Tiba-tiba Halimah berasa kasihan terhadap Muhammad. Allah menanamkan rasa kasih dan cinta di dalam hati Halimah. Wanita itu terus jatuh sayang apabila melihat Muhammad.

Halimah pun membawa anak yatim itu pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan, Halimah membelai Muhammad dengan penuh kasih sayang. Beliau meletakkan tangan ke dada bayi itu sehingga Muhammad tertawa. Beliau mencium dahi Muhammad. Halimah berasakan seolah-olah Muhammad itu seperti anaknya sendiri.

Halimah pun menyusui Muhammad. Alangkah terperanjatnya Halimah apabila mendapati bayi itu mampu menyusu sehingga kenyang dan tertidur. Anaknya sendiri juga menyusu sehingga kenyang dan tidur. Halimah juga merasa tubuhnya lebih sihat daripada yang sebelumnya.

Tidak berapa lama selepas membawa Muhammad pulang ke perkampungannya, nasib keluarga Halimah berubah. Tanah yang tandus menjadi subur. Binatang ternakan yang kurus menjadi gemuk dan mengeluarkan banyak susu. Hidup Halimah gembira sekali.

Halimah tahu bahawa kebaikan itu telah datang bersama anak yatim yang disusuinya. Cinta Halimah kepada Muhammad semakin bertambah dari sehari ke sehari. Anak yatim itu telah diberkati oleh Yang Maha Esa.


Sumber: Bicara Agama, Utusan Malaysia


Thursday, July 9

Tidak sekali-kali akan menimpa kami...




Katakanlah:

" Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatupun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami, dan kepada Allah jualah orang-orang yang beriman itu bertawakal"



~Terjemahan maksud ayat Surah at-Taubah ayat ke-51~


Wednesday, July 8

Tingkahlaku Asertif



Terdapat tiga jenis tingkahlaku yang digunakan oleh individu dalam berkomunikasi: Asertif (tegas diri), pasif dan dan agresif. Tingkahlaku yang paling berkesan adalah tingkah laku asertif. Ianya adalah keseimbangan di antara tingkahlaku pasif dan agresif. Berikut merupakan antara ciri-ciri tingkahlaku asertif:



  • Berterus-terang dalam menyatakan pendapat, keinginan dan pandangan tanpa niat memaksa, mengancam atau memalukan orang lain

  • Menghormati orang lain

  • Tegas dalam menyatakan pendirian

  • Tiada unsur ketakutan atau kebimbangan yang luar biasa

  • Tegas dalam pendirian tetapi tidak menganiayai hak orang lain

  • Jujur dan berterus-terang dalam berkomunikasi di antara individu

  • Tenang, mesra dan jujur terhadap perasaan mereka

Tingkahlaku asertif dan agresif bertujuan untuk menyampaikan mesej dengan jelas. Bezanya ialah bagaimana ia dilakukan. Individu yang agresif mungkin berniat untuk memalukan atau menyakiti individu lain tetapi individu asertif lebih tenang dan tegas tanpa niat untuk menyakiti orang lain.


Contoh:



  • Asertif: Meminta peminjam membayar semula hutangnya dengan bahasa yang sopan.

  • Agresif: Meminta dengan bahasa kasar dan ugutan seperti pendekatan ALONG.

  • Pasif: Membiarkan saja walaupun sangat memerlukan.

Tingkahlaku asertif membolehkan proses komunikasi berkesan berlaku. Individu asertif menyampaikan mesej secara telus dan tulus. Ianya sukar dilakukan pada peringkat awal namun ia penting untuk membolehkan matlamat dicapai serta mengelakkan salah faham dalam komunikasi (pseudo-conflict).



* Nota kuliah Bsc HRD 2001, Komunikasi dalam Pembangunan Sumber Manusia. Senghaja saya paparkan nota-nota lama di sini bagi tujuan dokumentasi dan percambahan fikiran.


Tuesday, July 7

Negeri Bahagia

Negeri ini ditabalkan sebagai negeri yang 'paling bahagia' dan 'paling hijau' di dunia.


Kenapa ya... bukan Malaysia atau lainnya?

Saudara/i ada jawapannya? Ada apa dengan Costa Rica?


Monday, July 6

Katakan Kau Cinta




Cinta bukan sebatas uda dan dara. Cinta universal sifatnya. Cinta pada Allah, sumber segala cinta. Cinta yang melimpahkan cinta. Kerana cinta kepada Allah, insan beriman menyintai rasulnya, menghayati keindahan hidup beragama, memuliakan kedua ibu bapanya, menghormati guru-gurunya dan menyintai saudaranya sebagaimana ia menyintai dirinya sendiri. Kerna cinta, tiada setitispun kedengkian berlegar di jiwanya. Kerena cinta, insan beriman sentiasa mengharapkan kebaikan dan rahmah melimpahi kehidupan manusia lainnya. Kerana cinta, insan beriman terus menimba ilmu dan menyebarkannya, mengkaji, merekacipta, membina empayar dan membangun peradabannya. Kerana cinta, insan beriman sentiasa melakukan penambahbaikan dan menumpahkan seluruh kebaktian tanpa mengharapkan balasan dan pujian manusia. Kerana cinta, insan beriman sentiasa tekal tenang lagi bijaksana dalam mendepani cabaran yang merintanginya. Kerana cinta, setiap kejadian mengundang hikmah dan tarbiah. Kerana cinta, kehidupan terasa indah dan bermakna.


Cinta motivasi yang tiada taranya. Hambarnya hidup tanpa cinta... pada Allah dan rasul-Nya... pada agama, bangsa dan negara... pada insan dan pada alam. Tanpa cinta, serasa alam hanya punya dua warna - hitam dan putih. Warnakan hidup dengan cinta... kerna cinta sejati adalah nadinya bahagia dan berjaya.


.

Sunday, July 5

Imej Kendiri Negatif



Berikut antara ciri-ciri individu yang memiliki imej kendiri yang negatif:



  • Dengki

  • Bercakap negatif tentang diri sendiri

  • Sentiasa rasa bersalah

  • Sukar memberi dan menerima pujian

  • Tidak mengambil berat keperluan diri dan memenuhinya

  • Tidak menyatakan kemahuan dan tidak mempertahankan hak

  • Gagal menunjukkan kasih-sayang

  • Mengkritik orang lain

  • Membandingkan diri dengan orang lain

* Catatan nota kuliah Bsc. HRD


Saturday, July 4

Bayi dan Orang Besar




Terdapat sebuah kampung yang terkenal kerana telah melahirkan ramai tokoh-tokoh yang berwibawa. Tidak hairanlah kampung itu sering menjadi destinasi pelancongan.


Pada suatu hari, segerombolan pelancong berkunjung ke daerah itu. Salah seorang pelancong tersebut bertanya kepada seorang petani yang sedang bekerja di situ:


"Pakcik, benarkah kampung ini telah melahirkan ramai orang besar dan ternama?"


Petani itu tercengang, terkejut mungkin lalu menjawab:


"Setahu pakcik, yang lahir di sini hanyalah bayi-bayi belaka!".



Apakah yang anda rasakan apabila jawapan itu diberikan kepada anda? Marah, kewa atau sekadar tersenyum sumbing? Jawapan pakcik ikhlas, bukan lelucon kosong. Hakikatnya tiada seorangpun manusia yang terus dilahirkan menjadi seorang negarawan, agamawan, dermawan dan pelbagai lagi 'wan'. Jika ada, alangkah bertuahnya ibu mengandung atau kebarangkalian kedua- jatuh pengsan!. Mungkin.


Manusia dilahirkan sebagai bayi lalu menjadi kanak-kanak, remaja dan dewasa bersama titian waktu dan akhirnya kembali menjadi bayi di senja usia. Itulah fitrah pusingan hidup manusia. Natijahnya, 20, 30 atau 40 tahun selepas ia dilahirkan barulah ia membentuk dirinya menjadi seorang tokoh korporat, cendekiawan, ulama, umara (pemimpin) atau seorang penyangak yang masyhur. Siapa dan dimanakah kita sebenarnya? Adakah kita akan menjadi tiang negara atau sampah masyarakat? Siapakah kita 5, 10 atau 15 tahun akan datang? Tepuk dada tanya iman.


*Tulisan ini pernah saya muatkan dalam Wahana Minda, risalah bulanan Sekretariat Penerbitan Kolej Kedua, UPM pada tahun 2000.