Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, July 17

Hikayat Labu-Labi




"Saya sedih dengan labu-labi pulau kita. Entah ke mana akal mereka. Mudah saja mengkafir dan menuduh sesat saudara seagama. Seolahnya dialah saja buah yang paling beriman dan alim. Menebang balak memang mudah berbanding memugarnya. Lucunya, tahu pula berkasih-sayang dengan parasit harbi yang hanya mencari ruang untuk menghancurkan mereka. ". Prof Belimbing meluah rasa. Sakit benar hatinya.


Pintu bilik persidangan disendal dengan kerusi biru. Udara sejuk memenuhi ruang dari pendingin hawa berpusat. Ceri memasang telinga sambil matanya merenung draf kertas cadangan yang sedang disemak oleh Prof Belimbing. Sungguh dia ikut terpanggil dengan situasi yang melanda.


"Dalam kehidupan kita perlu bersikap realistik dan strategik. Idealistik sahaja tidak mencukupi. Cuba lihat bagaimana pendekatan parasit Khuldi menguasai ekonomi dan senario politik dunia. Mereka banyak menyelidik dan berfikir. Memahami psikologi tumbuhan dan menggunakan apa saja pendekatan untuk menyebarkan ideologi dan mengukuhkan pengaruh mereka. Kita tak akan mampu melawan mereka selagi hidup bertunjangkan nafsu dan sifat terburu-buru. Setiap perkara perlu ditimbang dengan teliti. Gunakanlah akal dan hati. Hayati perintah Iqra' dan bertindaklah dengan bijaksana secara berjemaah. Ini yang tidak ada pada kepimpinan labu-labi pulau kita". Prof. Belimbing menambah lagi. Jarinya yang kuning keemasan ligat menanda kertas cadangan di depannya dengan pen ungu. Di luar, siswa-siswi baru lalu lalang mencari bilik kuliah.


"Hm, apa pula pendapat Prof tentang Limau". Ceri terkenang sahabatnya yang sudah lama tidak ditemui itu. Dia hanya mengikuti perkembangan Limau melalui akhbar Warta Tumbuhan dan laman blog Limau yang mesra buah.


" Ceri, memimpin pulau sama juga dengan memimpin sebuah keluarga. Perlu ada keseimbangan antara kasih-sayang dan ketegasan. Setiap anak ada perangai masing-masing dan ibu -bapa perlu menggunakan pendekatan yang sesuai dengan watak masing-masing untuk memastikan mereka terdidik dengan baik dan seterusnya menjadi tunggak keluarga. Jangan kerana takut mereka merajuk kita berikan apa saja yang mereka mahu. Jangan rosakkan mereka dengan kemewahan kerana mereka tak akan pernah puas dan akan sentiasa meminta sehingga ibu-bapanya muflis dan papa kedana". Prof Belimbing menarik nafas panjang. Kertas cadangan yang sudah bertanda dengan pen ungu diserahkan semula kepada Ceri.


"Sayangkan anak tangan-tangankan ya Prof. ?". Prof Belimbing tertawa lalu menyambung: "Ya Ceri... sebelum terlambat!". Ceri ikut tertawa sambil mindanya mula merangka-rangka strategi untuk memulihkan krisis labu-labi yang kian meresahkan masyarakat buahnya. Sungguh, dia sentiasa percaya, Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum selagi mereka sendiri tidak berusaha untuk merubahnya.



No comments: