Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, May 9

Taufan Nargis


YANGON 8 Mei – Lebih 100,000 orang dipercayai menjadi korban Taufan Nargis di Myanmar dan kira-kita sejuta lagi hilang tempat tinggal.


Bilangan korban yang dilaporkan oleh seorang diplomat Amerika Syarikat (AS) itu hampir menyamai 143,000 orang yang maut dalam taufan di negara jiran, Bangladesh pada 1991.
Media kerajaan setakat ini melaporkan, angka kematian rasmi ialah 22,980 dan 42,119 lagi masih hilang.


Bagaimanapun diplomat dan pakar bencana berkata, angka sebenar kematian akibat ombak besar yang menenggelami Delta Irrawaddy itu dijangka jauh lebih tinggi.
“Maklumat yang kami terima menunjukkan lebih 100,000 maut di kawasan delta tersebut,” kata Kuasa Usaha di Kedutaan AS di Myanmar, Shari Villarosa kepada wartawan di Washington.
Penolong Setiausaha Agung PBB bagi hal ehwal kemanusiaan, John Holmes di New York berkata, angka itu belum dapat disahkan tetapi tidak mengejutkan jika bilangan korban terus meningkat dengan banyak.


Bagaimanapun, sikap kerajaan tentera yang berlengah-lengah dalam membenarkan kemasukan bantuan antarabangsa telah menjengkelkan banyak pihak terutamanya agensi antarabangsa.
Enam hari selepas Nargis membadai Delta Irrawaddy dengan angin selaju 190 kilometer sejam yang disusuli ombak besar setinggi 3.5 meter, bekalan bantuan hanya masuk sedikit demi sedikit ke negara terpencil dan miskin ini.


Penerbangan tiga pesawat membawa bekalan kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mangsa tergendala hari ini, menantikan kelulusan junta beberapa jam selepas dijadual mendarat, kata pegawai PBB.


“Mangsa memerlukan bantuan hari ini, mereka juga memerlukan bantuan semalam,” kata Pengarah Rantau Asia bagi Program Makanan Sedunia (WFP) di Bangkok, Tony Banbury.
Beliau menegaskan, mangsa tidak boleh menunggu lagi dan tidak patut dibiarkan menunggu sehingga esok.


Sumber:


Utusan Malaysia, 2008. Taufan Nargis: Korban cecah 100,000, 09/05/07, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm




No comments: