Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Saturday, May 31

Pesan Bapa Ayam




Ayam-ayam sekalian
kita bercakaran sesama sendiri
tentang asal usul sebutir debu
yang terbang hinggap di meja putih itu
diam tak diam
sebulan berlalu


Ayam-ayam sekalian
sidang helang sudah lama berlegar di angkasa raya
di celah bangunan memasang telinga
sesekali berkeliaran seperti ayam jalanan
menusuk jarum kebencian sesama kita
dan tak sabar-sabar lagi
melapah lumat daging manis kita
untuk dibuat sup
atau dimakan begitu saja

Wacana Sinikal IV

Berikut karikatur karya seorang kartunis Brazil yang dikirimkan oleh Saudara Muhd Kamal Fasha melalui emel.

Wacana Sinikal III




Wacana Sinikal II


Wacana Sinikal


Friday, May 30

Jangan Berpaling


Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.


~Terjemahan Surah Luqman, ayat18~

Thursday, May 29

Alah Membeli...




Ceri meneliti iklan di akhbar Warta Tumbuhan. Hampir setiap hari, pelbagai produk IT yang canggih diperkenalkan di pasaran. Ceri tertawa kecil. Tak semudah itu dia terpedaya dengan hawa nafsunya. Akalnya masih waras untuk menilai antara kehendak nafsu dan keperluan sebenar.


Jika tidak kerana kehilangan telefon bimbit sewaktu berpindah ke pejabat baru, pastinya Ceri masih setia dengan telefon bimbit biru tuanya yang sudah layak diarkibkan di muzium itu. Itupun dia masih berkira dengan Cik Cendawan, si manis tinggi lampai, pemilik cafe IT yang menyewa kedai di bawah apartmennya.


" Cik Cendawan, berikan saya telefon yang paling canggih, tapi paling murah". Cendawan tersenyum lalu mengunjukkannya sebuah telefon hijau kristal menyerupai sebiji epal hijau siri Nilam 001 dengan memori 60 Gigabait.


"Yang ini paling canggih. Bateri suria, tak perlu cas selagi hayatnya masih ada. Radionya boleh menerima gelombang dari mana-mana bahagian planet Bumi, Marikh, Zuhal dan Pluto. Dilengkapi juga dengan siaran National Geography dan CNN secara percuma. Kamera digital pada aras 11 mega pixel dan anti gegaran. Video kameranya boleh memuatkan rakaman untuk 48 jam. Lebih dari cukup untuk menghasilkan sebuah filem dokumentari atau filem pendek yang canggih. Kalis air dan api. Jaminannya seumur hayat." Ceri mula mencongak-congak. Simpanannya memang lebih dari cukup. Namun berbaloikah RM 600 untuk sebuah telefon? Masuk yang ini, sudah 5 buah kedai dilawatinya secara rasmi. Itu belum dicampur lagi dengan 'mini penyelidikan' di internet.


"Hm... ok, saya fikir dulu. Terima kasih ya, Cik Cendawan". Ceri berlalu sambil mencapai pamplet NILAM 001.


Baharu saja melangkah ke anak tangga, laungan suara Cik Cendawan yang serak-serak basah hinggap ditelinganya: " Ceri, enam bulan lepas harganya RM 2000 tau !".


Ceri terus berlalu dengan senyuman nakal. Hatinya sekadar berbisik perlahan: "Ya Cik Cendawan, saya dah tahu dan... tak lama lagi harganya akan jatuh lagi ... dan tak lama selepas itu, produk lebih canggih akan dikeluarkan... dan selepas itu harganya akan jatuh merudum pada bulan keenam... dan seterusnya.. selagi manusia wujud di dunia dan boleh berfikir".


"Eh... ini jimat ke kedekut?". Adi, si kunang-kunang kecil kesayangannya yang memerhati dari tadi tertawa menyindir dan Ceri cuma tersenyum sambil menepuk-nepuk sayap Adi berulang kali.


Anak-anak Yang Terbuang


Mereka sungguh comel dan keletah. Telatah mereka aneka ragam dan menghiburkan: Lili yang kuat bertanya itu dan ini, Nini yang suka melompat-lompat dan ketawa riang, Kimi yang suka menjadi pemerhati, Hani yang peramah dan tidur pulas setelah perutnya buncit dengan susu, Bibi yang suka bermain lat tali lat dan Gigi yang suka berdiri dalam katil bayi dengan muka yang serius. Tidak ketinggalan juga Dina yang kuat menangis minta didukung setiap kali menerima pelawat. Seperti juga kanak-kanak lain, mereka dahagakan perhatian, pendidikan dan kasih sayang.

Siapakah mereka ini? Apa salah mereka dan wajarkah mereka dipersalahkan dalam usia yang terlalu mentah dan naif ini? Perlukan kita menafikan hak mereka sebagai warganegara Malaysia? Mampukah mereka menyumbang sesuatu kepada negara dan bagaimana? Apakah yang wajar kita lakukan agar tragedi yang menimpa mereka tidak berulang semula?

Persoalan demi persoalan datang bertali arus. Individu yang bijaksana pasti dapat menjawabnya dengan baik.

Wednesday, May 28

Pontianak II



Di saat kita diasak bertubi-tubi, sebilangannya memilih menjadi kelkatu, mengejar api dan merentungkan diri.


Di saat kita dipukul bertalu-talu, sebilangannya memilih menjadi petualang, ikut rakus memukul diri sendiri, tiada ihsan.


Tuesday, May 27

Ke Makam Bonda





Oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang



Kami mengunjungi pusara bonda

Sunyi pagi disinari suria

Wangi berseri puspa kemboja

Menyambut kami mewakili bonda



Tegak kami di makam sepi

Lalang-lalang tinggi berdiri

Dua nisan terkapar mati

Hanya papan dimakan bumi



Dalam kenangan kami melihat

Mesra kasih bonda menatap

Sedang lena dalam rahap

Dua tangan kaku berdakap



Bibir bonda bersih lesu

Pernah dulu mengucupi dahiku

Kini kurasakan kasihnya lagi

Meski jauh dibatasi bumi



Nisan batu kami tegakkan

Tiada lagi lalang memanjang

Ada doa kami pohonkan

Air mawar kami siramkan



Senyum kemboja mengantar kami

Meninggalkan makam sepi sendiri

Damailah bonda dalam pengabadian

Insan kerdil mengadap Tuhan



Begitu bakti kami berikan

Tiada sama bonda melahirkan

Kasih bonda tiada sempadan

Kemuncak murni kemuliaan insan

***


Puisi ini pernah saya deklamasikan sebanyak dua kali semasa di tahun lima atas arahan Cikgu Onn bin Kas. Pertama dalam perhimpunan sekolah dan keduanya sewaktu majlis penyampaian hadiah pelajar cemerlang. Puisi ini sememangnya mengesankan dan sehingga kini saya masih lagi dapat mengingati setiap bait katanya. Meskipun dideklamasikan dalam nada yang bersahaja, ianya sudah cukup untuk membuatkan teman-teman kecil saya menangis teresak-esak. Sejak itu juga, saya belajar memahami kepentingan puisi dalam menyuntik nilai murni dan membentuk peradaban manusia secara berhemah. Al-fatihah.

Saturday, May 24

Cahaya



Tika jiwa bercahaya

dan cahaya bertemu cahaya

ketenangan melata-lata

kedamaian melata-lata

dan bahagia pun melata-lata

jagatraya pun bermandi cahaya, melata-lata

melimpah-ruah - indah.


Tuesday, May 20

Tangani Stres Dengan Kaedah '10B'



Bertenang


Bernafas dengan dalam


Berkata relakslah/tak mengapa


Beribadah


Berurut


Bercakap dengan seseorang


Berehat dan Mendengar Muzik


Beriadah


Bersenam


Berfikiran Positif

***

Sumber: Dr. Nurasyikin Ibrahim, Penolong Pengarah, Unit Kesihatan Mental, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia.



Friday, May 16

Jutawan Segera



"Apa pandangan Ustaz Malinja tentang kes Hatib Leman di Kuala Perlis? Pukul sampai tenat, rupanya tersalah orang. Agaknya orang ramai sudah tidak sabar lagi dengan kes-kes jenayah yang semakin menjadi-jadi. Sayangnya tak selidik betul-betul. Terjah macam tu saja...". Akhbar Utusan Melayu disuakan kepada Ustaz Malinja yang sedang asyik menekuni karya terbaru Dr. Pistacio.


" Ya. Buat sesuatu ada batasnya. Setiap perkhabaran perlu diselidik. Ramai orang menyesal kerana sikap terburu-buru. Di negeri saya, perkara sebegini sudah tidak berlaku lagi. Kami belajar dari sejarah silam. Panglima Lengkuas telah dibunuh dengan kejam gara-gara fitnah. Akhirnya, baginda khalifah sangat menyesal dan hampir saja membunuh diri. Mujurlah mufti kami bijaksana orangnya. Maklum saja, itu bukanlah perbuatan orang beriman". Ceri terdiam seketika. Dia terkenangkan isteri dan anak-anak Khatib Leman yang hidup serba daif itu.
"Oh! Begitu rupanya. Apa yang baginda khalifah lakukan, ustaz?".


"Seratus ekor unta diserahkan kepada waris panglima Lengkuas, manakala kesemua sayuran yang menyebarkan fitnah tersebut dipenjara seumur hidup. Setelah itu, baginda berkurung di Masjid Putih. Tugas baginda kemudiannya dipangku oleh Ku Halia sehinggalah kini". Ceri mengangguk perlahan. Tikam dibalas tikam. Pucuk dibalas pucuk. Tangkai dibalas tangkai. Itu hukum yang selalu diperlekehkan masyarakat buahnya.


"Perkara sudah berlaku, Ceri. Manakan boleh ditarik semula. Jangan sampai terjadi lagi pada masyarakat tumbuh-tumbuhan seperti kita ini. Sungguh mengaibkan sekali. Doa tumbuhan yang teraniaya tiada hijabnya". Ustaz Malinja mencatat sesuatu di dalam lembaran daun pisang keringnya. Ceri mengangguk mengiakan.


"Wah! Kalau begitu halnya, waris Khatib Leman pastinya bakal jadi jutawan segera jika dibicarakan di negeri ustaz. Seorang, 100 unta. 20 orang, 2000 ekor! Sudahlah harga makanan melambung-lambung, ini rezeki terpijak ustaz!".


"Amboi! Amboi! Sukanya dia. Memanglah, sekurang-kurangnya nasib mereka terbela. Namun, apalah gunanya itu semua dengan nilai seorang ayah dan suami yang baik. Harta tak boleh membeli nyawa, Ceri".


" Ustaz, yang patah kan tumbuh berganti. Sekurang-kurangnya anak-anak beliau boleh dapat ayah baru... rumah baru... kereta baru... ". Ceri tersenyum mengusik.


"Bertuah sungguh kamu ni Ceri!".


Ustaz Malinja geleng kepala. Seakan mahu diketuknya saja jari jemari Ceri yang halus itu dengan jerami padi.

Selamat Hari Guru !


Ceri berjalan menyusuri ladang bunga matahari milik Ciku. Selendang putihnya dihamparkan di atas rumput hijau yang menggebu lalu berbaring di atasnya. Pohon-pohon bunga matahari menari lembut ditiup angin.

"Hai Ceri! Selamat pagi yang bercahaya! "

Ceri menoleh ke kiri dan ke kanan, mencari-cari dari mana arah suara itu.

"Sayalah Ceri. Selamat Hari Guru!". Sekuntum bunga matahari tersenyum mewah di atas kepala Ceri. Semewah warnanya yang kuning keemasan disimbah mentari pagi.

" Selamat Hari Guru juga". Ceri tertawa lalu bingkas duduk dengan penuh sopan.

"Gu maksudnya kegelapan. Ru tu maksudnya menyinari. Guru- yang menyinari kegelapan. Betul tak Ceri? Oh! ya... siapa guru pertama ceri? Mesti banyak pahala dia dapat".

"Ya.. betul tu. Banyak pahala dia. Setiap kali saya menulis dan membaca, setiap kali itulah dia mendapat pahala berterusan. Em.. untung betul dia".

Pertanyaan Matahari yang selebihnya dibiarkan tidak berjawab. Mindanya berlegar-legar mengenang zaman kudupnya yang ceria. Sewaktu berusia empat tahun, dia sudah pandai membaca, menulis dan mengira. Semuanya hasil didikan kekanda-kekandanya yang prihatin dan sangat menyayanginya itu. Habis dinding bilik diconteng mereka dengan marker sebagai menggantikan papan hitam. Anehnya, ibu membiarkan saja malahan hanya tersenyum memerhati gelagat mereka yang selalu riuh rendah itu.

Ceri terkenangkan ayahnya yang tegas dan pendiam. Paduan ideal dengan ibunya yang peramah dan penuh kelembutan. Dari keduanya, dia belajar mengenal alif ba ta, membaca dan menghafaz al-Quran dan berzanji bersama kekanda-kekandanya. Lucunya, meskipun dia buah yang paling bongsu, dia yang khatam terlebih dahulu. Ceri jua menyedari, dari kedua ayah bondanya, kekanda-kekandanya jua guru-gurunya, meskipun sedikit nakal, dia terdidik menjadi buah yang bijaksana dan terasuh dengan nilai-nilai mulia.

"Selamat Hari Guru ayahanda, bonda, kekanda dan jua guru-guruku sekalian. Semoga Allah meredhai kalian". Dalam sedar, kalimat itu bergema di mindanya.

"Ceri, berangan ya?". Matahari tersenyum lalu mengipas daunnya yang hijau itu di muka Ceri. Sebakul kuaci diserahkan kepada Ceri.

"Em... kuaci ini untuk siapa Matahari?". Ceri pura-pura bertanya.

Matahari tersenyum simpul. "Sudah gaharu cendana pula. Untuk awaklah Ceri, sempena hari guru. Jangan makan seorang ya. Ingat yang lain sama".

Ceri tertawa. Dia sudah berkira-kira untuk menanam sebahagian daripada biji kuaci itu menggunakan kaedah earofonik di apartmen kecilnya.

Thursday, May 15

Sukarelawan


Yang mana lebih baik: sukarelawan sepenuh masa atau separuh masa?


Itu soalan provokasi yang saya lontarkan kepada seorang teman, seorang sukarelawan sepenuh masa yang hobinya membantu menyelesaikan masalah orang lain.


Aha! Saudara ada jawapannya?

Sepi Seorang Ayah

Berikut tragedi yang berlaku kepada seorang ayah lewat email Pn. Fatimawati Halim:

Seminggu lepas, sewaktu saya on call 24 jam. Saya menerima panggilan dari anggota balai. Menurutnya, satu mayat ditemui di dalam sebuah rumah. Jiran mendakwa terhidu bau busuk. Saya bersama 6 anggota bantuan teknik dan Forensik ke tempat kejadian. Terdapat juga lima anggota balai yang sedia menanti saya. Saya membuat pemeriksaan di sekeliling rumah bagi mengesan sebarang kesan jenayah. TIADA. Saya intai melalui tingkap, memang baunya busuk menusuk hidung. Bau mayat !

Saya nampak sesusuk tubuh terbaring di atas sofa dengan hanya berkain pelikat. Ia mayat seorang lelaki, berulat, dengan mata dan gigi telah terkeluar. Saya terpaksa memecah masuk ke dalam rumah dan membuat pemeriksaan. Ada dompet yang mengandungi RM33, jam tangan dan IC serta beberapa nombor telelefon. Rumahnya usang, tanpa telefon, tiada peti sejuk, ada sedikit beras dan minyak masak. Nyata mayat tersebut, seorang lelaki 75 tahun. Saya menghubungi satu nombor telefon dan dijawab oleh seorang perempuan muda, 20 tahun dan itu cucunya. Mayat dibawa ke Hospital Ipoh untuk bedah siasat pada keesokan harinya.


Di mana anak-anaknya? Baru seminggu anaknya datang membawa ibunya ke Johor kerana bercuti, menyambut merdeka dan membawa ibu mereka berjalan-jalan dan mungkin ayah tak mahu mengikut. Berdasarkan siasatan Forensik, ayah tua itu meninggal dunia pada hari anak- anaknya membawa ibu mereka ke Johor. Sewaktu ditemui, mayat telah terbiar selama seminggu berdasarkan keadaan mayat dan saiz ulat yangmenghurungi mayat.

Saya menegur anaknya di bilik mayat tentang kesilapan mereka meninggalkan ayah mereka dalam keadaan sebegitu daif. Tanpa sebarang perhubungan dengan ayahnya mahupun menghubungi jiran tetangga. Tiada seorang pun anak-anaknya (5 lelaki , 4 perempuan) sanggup mengecam mayat ayah mereka, apatahlagi mengangkat jenazah. Cuma adik perempuan dan suaminya sahaja yang sanggup masuk ke dalam bilik mayat dan melakukan pengecaman, sejurus sebelum pengsan.

Kenapa sampai jadi begini ? Apa yang tak kena? Foto ini mengungkap bagaimana kesedihan ini diabadikan. Selagi kita ada ayah & emak...kita mesti jaga..mereka...




* Foto ini senghaja dikecilkan, sila klik pada foto bagi mendapatkan saiz asal.


Wednesday, May 14

Bahasa Ke-3



Bahasa pintu ilmu. Lebih tinggi dan rencam penguasaan bahasa, lebih luas dan pelbagai pintu ilmu yang tersedia untuk diterokai. Bahasa adalah wahana yang menyatukan manusia. Bahasa yang paling hebat adalah bahasa yang paling bermanfaat dan indah. Pastinya bahasa tersebut adalah bahasa al-Quran iaitu Bahasa Arab atas beberapa fakta konkrit yang telah kita sedia maklumi. Justeru, sudah sampai masanya kita turut berusaha untuk memanfaatkan bahasa ini sebaiknya. Dan... masanya sudah tiba barangkali untuk kita mendaulatkan bahasa ini, kalaupun bukan yang pertama atau kedua, sekurang-kurangnya... yang ke-3. Namun, sebaiknya yang kedua atau pun lebih molek lagi, yang pertama.

Tuesday, May 13

Pontianak


Mereka mula membuka topeng
bertukar rupa, gadis jelita, kini pontianak
menyeringai di mana-mana
menghilai di mana-mana
dan tuan memang tahu itu
lama dulu

Mereka sudah tiada malu
bermain teng teng di atas kepala
membaling songkok dan kitab lama, suka
dan tuan tetap merelakan
atas nama keadilan

Mereka kini angkuh
memukul genderang perang – lantang
menuang racun, membunuh akar umbi
dan tuanpun membiarkan saja
sampai leher tuan dipenggal, dan tuan pun bersemadi penuh sesal
kerna baru ini tuan sedar
yang tuan cuma boneka, bukan wira!

Monday, May 12

Jom Basikal !


Lampu isyarat bertukar hijau. Seorang profesor berbangsa Inggeris mengayuh basikal dengan tenang di antara deruan kereta yang berpusu-pusu masuk ke perkarangan UKM. Ceri tersenyum. Dia seolah terlihat kelibat gurunya sewaktu di UPM dahulu, Dr. Ahmad Hariza yang sering berulang-alik dari rumahnya di Taman Sri Serdang ke UPM dengan menunggang basikal. Imaginasi nakalnya terbayang kesemua ahli pengurusan tertinggi universiti, CEO syarikat-syarikat gergasi dan para menteri kabinet beria-ia menunggang basikal beramai-ramai ke pejabat masing-masing. Serta merta dia terasa seakan menghirup udara bersih dan berkuliah di dataran meletak kereta yang kini menjadi lapang- selapang-lapangnya.


Solehah III


Iman yang hakiki membentuk keseluruhan sikap, jiwa dan hati budi wanita salihah. Kekuatan jiwa, keikhlasan hati dan kehalusan budi menjadikan mereka lebih kukuh dan pejal daripada batu dan besi.


~Asiah 'Ali~


Rujukan:

Asiah 'Ali. 1999. Muslimah: Pendidikan, kekeluargaan & perjuangan, Penerbitan Muttaqin Sdn. Bhd: Kuala Lumpur. (p:30-31)

Masyarakat Penyayang





Foto ini saya peroleh melalui e-mel dari Saudari Halina Abdul Hamid.

Sunday, May 11

Masa untuk Berubah



Ceri: Banyaknya bunga Cik Ciku. Aneka warna!


Ciku: Seronok tanam bunga ni Ceri. Terutamanya bila musim berbunga. Stres hilang, udara pun nyaman.


Ceri: Menarik tu. Ya, bunga-bungaan terapi warna dan aroma yang baik. Ada tak yang boleh dimakan?


Ciku: Hm... tak ada.


Limau: Habislah Cik Ciku. Kalau semua kedai tutup, Cik Ciku makan bunga sajalah.


Ceri: Saya pun sama. Sekarang barang makanan dan keperluan asas naik melambung-lambung. Makin bertambah pendapatan, makin tinggi sara hidup kita. Tinggal di kawasan bandar dengan gaji RM2000 pun sudah dikira miskin.


Gajus: Itulah Ceri. Kadang-kadang saya geram dengan peniaga terutama konglomerat yang suka menindas pengguna. Hilang falsafah perniagaan sebagai wahana membantu ummah disamping mengaut keuntungan di dunia dan akhirat. Lebih malang lagi apabila berlaku penipuan yang berleluasa dalam masyarakat.


Ceri: Silap kita juga. Cuma jadi pemerhati. Cakap saja tak jadi apa. Dah sampai masanya kita kumpul dana, tingkat pengeluaran pertanian atau apa saja barangan keperluan pengguna dan menceburi dunia perniagaan. Kita ketandusan usahawan yang cekap dan beretika.


Gajus: Betul tu Ceri. Masanya sudah tiba untuk berubah. Kemewahan yang kita kecapi bukan untuk dibazirkan. Banyak penjimatan yang dapat kita laksanakan jika kita kreatif dan bijak memanfaatkan sumber yang ada secara optimum.


Limau: Ya, satu lagi. Kita terlalu bergantung kepada orang lain. Bahaya tu!


Ciku: Yalah.. yalah... lepas ni saya akan gantikan bunga yang ada untuk sayur-sayuran, kentang, ubi keledek, jagung dan padi huma.


Limau: Eh..eh... ada orang terasa pula. Hihi.


Gajus: Aha! Siapa makan cili, dialah yang terasa pedasnya. (ketawa)



Krisis Beras

Menangguk di air yang keruh: Masa terbaik untuk pembekal dan peruncit menyembunyikan bekalan beras.

Rupa dan Wajah



Oleh A Aziz Deraman


Abad ke abad dunia berubah

ada rupa nusa-nusa bertukar wajah

manusia yang bina peradabannya

kekadang ada rekah pada rupa

tidak cambah benih wajah budaya

biak subur ke segenap ladang jiwa.


Ratusan tahun bahasa Melayu

lalui masa berkembang tidak lesu

agung bahasa itu seagung bahasa ilmu

menajami halus senjata komunikasi

hebat gema serantau seindah bunyi

ratusan tahun persuratan Melayu abadi

ghairah megah kukuh tapak berdiri

di tangan pemikir ulama hukama

kitab-kitab ditulis terhimpun minda

ditatap orang para pelajar menadah

di riba dibaca rata-rata menelaah

tradisi ilmuannya tiada kenal muflis

tidak dikikis tidak terhakis habis

lahir pesantren harum nama pondok

langit akal terjunjung tanpa runduk

bumi berpijak laksana resmi padi

sifatnya dikenali setiap benua insani.


Zaman ke zaman bahasa Melayu maju

limpah persuratannya memenuhi penjuru

luas medan fikir jadi cakerawala kebudayaan

riak-riak bijak jadi gelombang perubahan

terima yang terbaik jadi kukuh akal budi

desa tradisi lisan jadi kota hikayat bahari

martabat kreatif cerna karya riwayat asasi

dari roman ke novel dari cerpen ke puisi

itu jadi makna pemikiran yang tinggi.


Abad 20, abad Melayu berani

berjuang sampai merdeka pertiwi

maju segala lapangan mewarnai hidup

tahu antara isi peradaban dan bentuk

masuk abad baru, dunia Melayu kelu

lidah kekaguman orang mulai bisu

kita kehilangan ghairah kalbu

entah ke mana keyakinan

entah di mana keupayaan dalam daya saing bahasa

dalam istimewa hikmah persuratannya

tidak terurus daya juang para ketua

tidak terterus kajian di tangan benua.


Kita biarkan selera diri hilang lebur

di lidah bangsa sendiri bicara terkubur.

Merdeka! Tetap merdeka!

dirgahayu nusa bangsa

apa-apakah tersohor bagi kita megah

setelah kita kehilangan masa yang punah

satu persatu milik kita musnah menanah

kita akan hilang rupa dan wajah.


A AZIZ DERAMAN DBP Kuala Lumpur

Friday, May 9

Kenangan Terindah




Berbahagialah para syuhada

para anbia, para solehin

yang telah pulang ke rahmatullah dengan kemenangan

setelah menjadikan kehidupan dunia, kenangan terindah

saat mereka berbicara, di syurga abadi



-Jabal Uhud

Taufan Nargis


YANGON 8 Mei – Lebih 100,000 orang dipercayai menjadi korban Taufan Nargis di Myanmar dan kira-kita sejuta lagi hilang tempat tinggal.


Bilangan korban yang dilaporkan oleh seorang diplomat Amerika Syarikat (AS) itu hampir menyamai 143,000 orang yang maut dalam taufan di negara jiran, Bangladesh pada 1991.
Media kerajaan setakat ini melaporkan, angka kematian rasmi ialah 22,980 dan 42,119 lagi masih hilang.


Bagaimanapun diplomat dan pakar bencana berkata, angka sebenar kematian akibat ombak besar yang menenggelami Delta Irrawaddy itu dijangka jauh lebih tinggi.
“Maklumat yang kami terima menunjukkan lebih 100,000 maut di kawasan delta tersebut,” kata Kuasa Usaha di Kedutaan AS di Myanmar, Shari Villarosa kepada wartawan di Washington.
Penolong Setiausaha Agung PBB bagi hal ehwal kemanusiaan, John Holmes di New York berkata, angka itu belum dapat disahkan tetapi tidak mengejutkan jika bilangan korban terus meningkat dengan banyak.


Bagaimanapun, sikap kerajaan tentera yang berlengah-lengah dalam membenarkan kemasukan bantuan antarabangsa telah menjengkelkan banyak pihak terutamanya agensi antarabangsa.
Enam hari selepas Nargis membadai Delta Irrawaddy dengan angin selaju 190 kilometer sejam yang disusuli ombak besar setinggi 3.5 meter, bekalan bantuan hanya masuk sedikit demi sedikit ke negara terpencil dan miskin ini.


Penerbangan tiga pesawat membawa bekalan kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mangsa tergendala hari ini, menantikan kelulusan junta beberapa jam selepas dijadual mendarat, kata pegawai PBB.


“Mangsa memerlukan bantuan hari ini, mereka juga memerlukan bantuan semalam,” kata Pengarah Rantau Asia bagi Program Makanan Sedunia (WFP) di Bangkok, Tony Banbury.
Beliau menegaskan, mangsa tidak boleh menunggu lagi dan tidak patut dibiarkan menunggu sehingga esok.


Sumber:


Utusan Malaysia, 2008. Taufan Nargis: Korban cecah 100,000, 09/05/07, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm




Sayang Selasih




Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan;

Buang emak buang saudara,

Kerna kekasih daku turutkan.



-Koleksi Pantun Melayu lama.

Thursday, May 8

Berbahagialah...


Berbahagialah

saat mereka melemparkan tuduhan kejam

tanpa usul periksa

setelah sedaya upaya

kau mengelak dari fitnah.



Itu petanda

Tuhan mengasihimu

meninggikan darjatmu

menghapuskan dosamu- bersih

andai kau sabar

dan berhati cekal



Semoga jiwamu tenang sentosa

dalam sabar dan solat

redha dengan ketentuan-Nya

jua tersenyum bahagia - seadanya.




Dallah Taibah, Madinah al Munawarah




Mawar




Oleh Isa Kamari



"Kita boleh mengeluh,

kerana jambangan mawar ternyata berduri atau bersyukur,

kerana jambangan berduri mengembangkan mawar.



Saya tidak menolak adanya onak dan duri dalam perjuangan.

Memang itu adalah janji (dari yang Maha Memberi, tentunya).

Tetapi saya memilih untuk membina daripada meruntuhkan.



Kehanifan Ibrahim A.S. adalah inspirasinya."


Wednesday, May 7

Refflesia


Atas nama bunga

mereka hilang manusiawi

anggun bergaya

menghirup darah penghutang

sampai kering!

Angkasawan


Sila jawab soalan di bawah:


Rozaimi (18 tahun) bercita-cita menjadi angkasawan pertama negara. Cita-citanya gagal apabila Syekh Muzaffar diumumkan sebagai angkasawan pertama negara. Rozaimi tidak berputus asa dan terus giat berlatih sehingga akhirnya berjaya menjadi angkasawan ke-2 negara pada tahun 2009. Menurut Marcia (1980), tahap identiti Rozaimi adalah:


A. Identity diffusion

B. Identity foreclosure

C. Identity moratorium

D. Identity achievement

E. Identity helligonosa


* Soalan ini adalah soalan ke-18 ujian peperiksaan akhir kursus Pertumbuhan & Perkembangan Manusia.

Monday, May 5

Santau


* batuk berpanjangan

* batuk berdarah

* sukar bernafas

* terasa seperti sesuatu bergerak-gerak di bawah kulit

* mudah marah

*cepat letih

*pelupa



Awas! Jika simptom-simptom berikut berlaku, kemungkinan terdapat gangguan jin ataupun santau.


Mira (bukan nama sebenar), mendapati simptom-simptom berikut berlaku. Setelah menjalani pemeriksaan di hospital, pegawai perubatan mendapati Mira tidak mempunyai sebarang penyakit. Berikutan itu, Mira mendapatkan rawatan di Darussyifa' dan disahkan terkena santau selama beberapa tahun melalui makanan. Ketika proses 'tepuk', serbuk kaca yang banyak keluar daripada tubuhnya.


Manusia sememangnya spesies yang 'paling terancam' di dunia. Justeru, berwaspadalah sentiasa.


Tasamuh



Oleh DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


Salah satu punca yang menyebabkan umat berterusan dihinggapi wabak perpecahan sehingga berterusan diperkotak-katikkan musuh ialah kerana terhakisnya nilai tasamuh dalam diri. Tasamuh ialah sikap berlapang-dada yang tercerna dalam jiwa seseorang sehingga terzahirnya sikap mudah memaafkan kesalahan orang lain bahkan bersedia menerima perbezaan pendapat dengan hati terbuka.


Sikap tasamuh merupakan cerminan keperibadian mukmin sejati yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam satu ketika. Bahkan nilai tasamuh jugalah yang telah memartabatkan umat Islam hingga dihormati kawan mahupun lawan di seantero dunia.


Malangnya sikap tasamuh semakin terhakis daripada jiwa dan peribadi umat hinggakan yang lebih terbudaya ialah sikap keras atau taksub kepada satu-satu pendirian sehingga langsung tidak memberi ruang kepada pandangan berbeza. Lebih menyedihkan apabila perbezaan pendapat seringkali ditanggapi secara negatif sehingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama Islam.


Fenomena ini kian membarah dalam masyarakat Islam ketika ini terutamanya dalam senario kerangka politik kepartian. Masih ramai yang terjerat dengan pemikiran politik partisan yang sempit dan jumud. Politik partisan yang dimaksudkan ialah politik memihak yang bukan pada prinsip kebenaran dan keadilan tetapi berasaskan sentimen assabiah melulu sehingga terhalangnya pertimbangan rasional dan objektif dalam menilai sesuatu perkara.


Keadilan


Politik partisan yang melulu ini turut meranapkan nilai keadilan kerana sesuatu pendirian yang ingin dilakukan bukanlah sangat berasaskan ‘siapa yang benar’ tetapi lebih terjurus kepada soal ‘dia orang siapa’. Akhirnya wujud kecenderungan melampau untuk mempertahankan kelompok sendiri tidak kira betul atau salah.

Gejala seperti inilah yang menghancurkan nilai-nilai tasamuh atau berlapang-dada sehingga tidak boleh lagi menerima pandangan berbeza lantaran terlalu terikat dan taksub dengan sentimen kelompok. Apa sahaja pandangan yang datang daripada kelompok sendiri dianggap benar semuanya manakala yang lahir daripada kelompok lain disanggah dan diperlekehkan.
Sebenarnya fenomena perselisihan umat yang berlaku ketika ini pernah diperdebatkan oleh para sahabat Nabi s.a.w.. Pernah satu hari, Saidina Umar r.a. bertanya kepada Ibnu Abbas r.a.: “Mengapa berselisih umat ini, sedangkan nabinya satu dan kiblatnya pun satu?" Seorang lagi sahabat bernama Said bin Mansur turut menambah: “Dan Kitabnya pun satu”.


Maka berkata Ibnu Abbas: “Ya Amirul Mukminin! Sesungguhnya telah diturunkan kepada kita al-Quran, maka kita membacanya dan mengetahuinya untuk apa ia diturunkan. Walaubagaimanapun kaum selepas kita membaca al-Quran tetapi tidak mengetahui untuk apa ia diturunkan, maka tiap-tiap kaum mempunyai pendapat sendiri; dan apabila terjadi demikian berselisihlah mereka”.


Imam As-Syatibi dalam buku karangan Abu Ubaid bertajuk Fadhail Al-Quran mengulas kenyataan Ibn Abbas tersebut. Katanya: “Apa yang dikatakan Ibn Abbas itu adalah benar, kerana apabila seseorang mengetahui untuk apa diturunkan sesuatu ayat atau surah itu, maka tentunya ia mengetahui kedudukan, takwil dan maksudnya, maka ia tidak pula melampaui batas padanya.


Tetapi bila ia jahil untuk apa sesuatu ayat atau surah itu diturunkan, maka lahirlah beberapa pendapat. Tiap-tiap orang mempunyai pendapat yang berbeza, sedangkan mereka tidak mempunyai kematangan ilmu yang dapat memimpin mereka kepada kebenaran. Akhirnya mereka sesat dan berkecenderungan menyesatkan orang lain.”


Memang tepat sekali ulasan dan analisis Imam Syatibi di atas. Kalau kita perhatikan senario umat Islam di Malaysia khususnya, terjadinya perpecahan banyak terkait kepada soal perselisihan mengenai isu-isu agama yang difahami dalam kerangka yang dangkal. Lebih malang lagi apabila isu-isu agama ditanggapi daripada kacamata parti dan bukannya berasaskan seluhan ilmu yang sahih.


Hakikat yang nyata, Islam tidak pernah menghalang perbezaan pandangan. Islam juga tidak sesekali menyekat kepelbagaian aliran pemikiran. Bahkan Islam menggalakkan umat agar memaksimumkan keupayaan akal kurniaan Allah untuk sentiasa berfikir dan bersikap kritis dalam menanggapi sesuatu perkara. Namun apa yang lebih mustahak, setiap perbahasan haruslah berpandukan ilmu dan fakta sahih, di samping menjaga adab dan tatasusila yang dianjurkan oleh syarak.


Perdebatan


Umum mengetahui bahawa perbahasan dan perdebatan adalah amalan tabii dalam mencari kebenaran yang pastinya wujud dalam realiti kerencaman pendapat dan kepelbagaian aliran pemikiran manusiawi. Ia juga adalah manifestasi kesuburan akal insan yang memerlukan proses lengkap-melengkapi antara satu sama lain bagi menatijahkan kehidupan yang lebih sempurna.
Apa yang pasti, perdebatan dan perbahasan dalam Islam mempunyai makna dan pengertian yang cukup besar dan kudus. Matlamat perdebatan dalam Islam bukan sekadar pentas meraih sokongan membuta tuli. Perbahasan juga tidak harus dijadikan amalan mencetus sentimen amarah atau benci. Lebih malang lagi sekiranya perbahasan hanya sekadar forum adu-domba dan kata-mengata tanpa sebarang resolusi.


Sebaliknya perbahasan dan perdebatan dalam Islam hanya bermatlamatkan mencari kebenaran dan keadilan. Sebab itulah Islam menggariskan dengan jelas prinsip, nilai dan adab-adab yang harus dipertahankan dalam perdebatan sebagaimana terumus dalam Surah an-Nahl ayat 125: Berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.


Justeru, umat harus belajar bersikap tasamuh atau berlapang dada dalam menerima pandangan berbeza. Janganlah kerana perbezaan fahaman politik kita sanggup menggadaikan prinsip keadilan yang menjadi tunjang agama. Janganlah disebabkan berbeza parti kita menafikan kebenaran hanya kerana yang menzahirkannya bukan daripada kelompok sendiri. Mudah-mudahan umat akan lebih matang hingga bersedia menerima kepelbagaian pendapat dengan hati yang terbuka.


Sumber:




Sunday, May 4

Mencari Filem yang Bijak


Sukarnya mencari filem yang bijak. Hampir setiap hari filem-filem Malaysia, Indonesia, Sepanyol, Korea dan Hindustan yang 'kurang bijak' ditayangkan di kaca tivi. Filem yang bijak berupaya menghibur disamping mendidik masyarakat menjadi manusia yang lebih bijak dan berakhlak. Filem yang 'kurang bijak', sebaliknya. Saya percaya, filem yang bijak lahir dari skrip yang juga bijak dan digarap dengan indah serta penuh kebijaksanaan oleh penulis dan pengarah yang bijaksana.

Taqwa



Orang-orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah tidak akan pernah takut kepada orang-orang yang memiliki kehebatan dan nama yang besar.


~Ibnul Jauzy~





Rujukan :

Ibnul Jauzy, 2000. Ketajaman mata hati: Antara bisikan syaitan dan malaikat, terjemahan Ibnu Ibrahim. Selangor: Pustaka Ilmi. (p-38)

Meningitis II


Ceri menjelma menjadi manusia lalu melangkah masuk ke klinik Karisma. Dr. Widat menyambut kehadiran Ceri dengan senyuman manis - semanis teh tarik.


Ceri: Dr. Widat, saya mahu mendapatkan suntikan meningitis. Sakit tak doktor? Dah lama saya tak kena cucuk ni. (senyum)


Dr. Widat: Tak sakit, jangan risau. Adik mahu ke Mekah ya?


Ceri: Ya, untuk mendapatkan visa ke sana. Dr.. apakata tak payah cucuk. Buat pengesahan saja. (ketawa).


Dr. Widat: Tak boleh! Bahaya tu! Di Mekah dan Madinah, orang ramai dan datang dari negara serta latar belakang yang berbeza. Virus meningitis mudah berjangkit melalui udara. (senyum).


Dr. Widat menyingsing lengan baju tangan kiri Ceri hingga ke paras siku lalu segera memeriksa tekanan darah. Setelah mendapati tekanan darahnya normal, picagari segera disuntik ke urat darah di bahagian pelipat siku.


Ceri: Eh! Dr. Widat... dah siap ya? (senyum)


Dr. Widat tersenyum tenang sambil menganggukkan kepalanya perlahan.


Ceri: Eh... tak sakit pun. Pandai Dr. Widat cucuk..


Dr. Widat tertawa mersik. Kad pengesahan suntikan meningitis segera dicop dan ditandatangani lalu diserahkan kepada Ceri. Dan, RM 90 pun terbang melayang...


Friday, May 2

Perempuan Solehah II





Dicampak ke laut menjadi kapal selam

Dilontar ke sungai menjadi jambatan

Terjatuh ke darat menjadi Harrier

Dilantun ke udara menjadi AIRBUS

Dilambung ke angkasa menjadi UFO


Menetak Air




Air ditetak tiada akan putus



Maksud:



1. Peri adik beradik dan ibu bapa itu tiadalah dapat dicerai-beraikan

2. Perbalahan antara satu kaum atau antara saudara-mara tiada akan menjadi perceraian selamanya.



Peribahasa lazim: Air dicincang tiada putus



Rujukan:



Shellabear, W. G. 1965. Kitab kiliran budi. Cetakan keempat, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara. (p-1)


Thursday, May 1

Perempuan Solehah


Perempuan solehah itu...
tika beruzlah, dia Mariam
tika berilmu, dia Aisyah
tika tersepit, dia Asiah
tika tersiksa, dia Sumaiyah
tika miskin, dia Fatimah

tika berharta, dia Khadijah