Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, May 16

Selamat Hari Guru !


Ceri berjalan menyusuri ladang bunga matahari milik Ciku. Selendang putihnya dihamparkan di atas rumput hijau yang menggebu lalu berbaring di atasnya. Pohon-pohon bunga matahari menari lembut ditiup angin.

"Hai Ceri! Selamat pagi yang bercahaya! "

Ceri menoleh ke kiri dan ke kanan, mencari-cari dari mana arah suara itu.

"Sayalah Ceri. Selamat Hari Guru!". Sekuntum bunga matahari tersenyum mewah di atas kepala Ceri. Semewah warnanya yang kuning keemasan disimbah mentari pagi.

" Selamat Hari Guru juga". Ceri tertawa lalu bingkas duduk dengan penuh sopan.

"Gu maksudnya kegelapan. Ru tu maksudnya menyinari. Guru- yang menyinari kegelapan. Betul tak Ceri? Oh! ya... siapa guru pertama ceri? Mesti banyak pahala dia dapat".

"Ya.. betul tu. Banyak pahala dia. Setiap kali saya menulis dan membaca, setiap kali itulah dia mendapat pahala berterusan. Em.. untung betul dia".

Pertanyaan Matahari yang selebihnya dibiarkan tidak berjawab. Mindanya berlegar-legar mengenang zaman kudupnya yang ceria. Sewaktu berusia empat tahun, dia sudah pandai membaca, menulis dan mengira. Semuanya hasil didikan kekanda-kekandanya yang prihatin dan sangat menyayanginya itu. Habis dinding bilik diconteng mereka dengan marker sebagai menggantikan papan hitam. Anehnya, ibu membiarkan saja malahan hanya tersenyum memerhati gelagat mereka yang selalu riuh rendah itu.

Ceri terkenangkan ayahnya yang tegas dan pendiam. Paduan ideal dengan ibunya yang peramah dan penuh kelembutan. Dari keduanya, dia belajar mengenal alif ba ta, membaca dan menghafaz al-Quran dan berzanji bersama kekanda-kekandanya. Lucunya, meskipun dia buah yang paling bongsu, dia yang khatam terlebih dahulu. Ceri jua menyedari, dari kedua ayah bondanya, kekanda-kekandanya jua guru-gurunya, meskipun sedikit nakal, dia terdidik menjadi buah yang bijaksana dan terasuh dengan nilai-nilai mulia.

"Selamat Hari Guru ayahanda, bonda, kekanda dan jua guru-guruku sekalian. Semoga Allah meredhai kalian". Dalam sedar, kalimat itu bergema di mindanya.

"Ceri, berangan ya?". Matahari tersenyum lalu mengipas daunnya yang hijau itu di muka Ceri. Sebakul kuaci diserahkan kepada Ceri.

"Em... kuaci ini untuk siapa Matahari?". Ceri pura-pura bertanya.

Matahari tersenyum simpul. "Sudah gaharu cendana pula. Untuk awaklah Ceri, sempena hari guru. Jangan makan seorang ya. Ingat yang lain sama".

Ceri tertawa. Dia sudah berkira-kira untuk menanam sebahagian daripada biji kuaci itu menggunakan kaedah earofonik di apartmen kecilnya.

No comments: