Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Thursday, May 29

Alah Membeli...




Ceri meneliti iklan di akhbar Warta Tumbuhan. Hampir setiap hari, pelbagai produk IT yang canggih diperkenalkan di pasaran. Ceri tertawa kecil. Tak semudah itu dia terpedaya dengan hawa nafsunya. Akalnya masih waras untuk menilai antara kehendak nafsu dan keperluan sebenar.


Jika tidak kerana kehilangan telefon bimbit sewaktu berpindah ke pejabat baru, pastinya Ceri masih setia dengan telefon bimbit biru tuanya yang sudah layak diarkibkan di muzium itu. Itupun dia masih berkira dengan Cik Cendawan, si manis tinggi lampai, pemilik cafe IT yang menyewa kedai di bawah apartmennya.


" Cik Cendawan, berikan saya telefon yang paling canggih, tapi paling murah". Cendawan tersenyum lalu mengunjukkannya sebuah telefon hijau kristal menyerupai sebiji epal hijau siri Nilam 001 dengan memori 60 Gigabait.


"Yang ini paling canggih. Bateri suria, tak perlu cas selagi hayatnya masih ada. Radionya boleh menerima gelombang dari mana-mana bahagian planet Bumi, Marikh, Zuhal dan Pluto. Dilengkapi juga dengan siaran National Geography dan CNN secara percuma. Kamera digital pada aras 11 mega pixel dan anti gegaran. Video kameranya boleh memuatkan rakaman untuk 48 jam. Lebih dari cukup untuk menghasilkan sebuah filem dokumentari atau filem pendek yang canggih. Kalis air dan api. Jaminannya seumur hayat." Ceri mula mencongak-congak. Simpanannya memang lebih dari cukup. Namun berbaloikah RM 600 untuk sebuah telefon? Masuk yang ini, sudah 5 buah kedai dilawatinya secara rasmi. Itu belum dicampur lagi dengan 'mini penyelidikan' di internet.


"Hm... ok, saya fikir dulu. Terima kasih ya, Cik Cendawan". Ceri berlalu sambil mencapai pamplet NILAM 001.


Baharu saja melangkah ke anak tangga, laungan suara Cik Cendawan yang serak-serak basah hinggap ditelinganya: " Ceri, enam bulan lepas harganya RM 2000 tau !".


Ceri terus berlalu dengan senyuman nakal. Hatinya sekadar berbisik perlahan: "Ya Cik Cendawan, saya dah tahu dan... tak lama lagi harganya akan jatuh lagi ... dan tak lama selepas itu, produk lebih canggih akan dikeluarkan... dan selepas itu harganya akan jatuh merudum pada bulan keenam... dan seterusnya.. selagi manusia wujud di dunia dan boleh berfikir".


"Eh... ini jimat ke kedekut?". Adi, si kunang-kunang kecil kesayangannya yang memerhati dari tadi tertawa menyindir dan Ceri cuma tersenyum sambil menepuk-nepuk sayap Adi berulang kali.


No comments: