Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, May 16

Jutawan Segera



"Apa pandangan Ustaz Malinja tentang kes Hatib Leman di Kuala Perlis? Pukul sampai tenat, rupanya tersalah orang. Agaknya orang ramai sudah tidak sabar lagi dengan kes-kes jenayah yang semakin menjadi-jadi. Sayangnya tak selidik betul-betul. Terjah macam tu saja...". Akhbar Utusan Melayu disuakan kepada Ustaz Malinja yang sedang asyik menekuni karya terbaru Dr. Pistacio.


" Ya. Buat sesuatu ada batasnya. Setiap perkhabaran perlu diselidik. Ramai orang menyesal kerana sikap terburu-buru. Di negeri saya, perkara sebegini sudah tidak berlaku lagi. Kami belajar dari sejarah silam. Panglima Lengkuas telah dibunuh dengan kejam gara-gara fitnah. Akhirnya, baginda khalifah sangat menyesal dan hampir saja membunuh diri. Mujurlah mufti kami bijaksana orangnya. Maklum saja, itu bukanlah perbuatan orang beriman". Ceri terdiam seketika. Dia terkenangkan isteri dan anak-anak Khatib Leman yang hidup serba daif itu.
"Oh! Begitu rupanya. Apa yang baginda khalifah lakukan, ustaz?".


"Seratus ekor unta diserahkan kepada waris panglima Lengkuas, manakala kesemua sayuran yang menyebarkan fitnah tersebut dipenjara seumur hidup. Setelah itu, baginda berkurung di Masjid Putih. Tugas baginda kemudiannya dipangku oleh Ku Halia sehinggalah kini". Ceri mengangguk perlahan. Tikam dibalas tikam. Pucuk dibalas pucuk. Tangkai dibalas tangkai. Itu hukum yang selalu diperlekehkan masyarakat buahnya.


"Perkara sudah berlaku, Ceri. Manakan boleh ditarik semula. Jangan sampai terjadi lagi pada masyarakat tumbuh-tumbuhan seperti kita ini. Sungguh mengaibkan sekali. Doa tumbuhan yang teraniaya tiada hijabnya". Ustaz Malinja mencatat sesuatu di dalam lembaran daun pisang keringnya. Ceri mengangguk mengiakan.


"Wah! Kalau begitu halnya, waris Khatib Leman pastinya bakal jadi jutawan segera jika dibicarakan di negeri ustaz. Seorang, 100 unta. 20 orang, 2000 ekor! Sudahlah harga makanan melambung-lambung, ini rezeki terpijak ustaz!".


"Amboi! Amboi! Sukanya dia. Memanglah, sekurang-kurangnya nasib mereka terbela. Namun, apalah gunanya itu semua dengan nilai seorang ayah dan suami yang baik. Harta tak boleh membeli nyawa, Ceri".


" Ustaz, yang patah kan tumbuh berganti. Sekurang-kurangnya anak-anak beliau boleh dapat ayah baru... rumah baru... kereta baru... ". Ceri tersenyum mengusik.


"Bertuah sungguh kamu ni Ceri!".


Ustaz Malinja geleng kepala. Seakan mahu diketuknya saja jari jemari Ceri yang halus itu dengan jerami padi.

No comments: