Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Thursday, February 28

Bukan Sekadar Cerita...


Cerpen bukan sekadar cerita... cerpen yang baik mengandungi ilmu dan pengajaran yang mengesankan.


~Dr. Misran Rokimin ~



* Pesan beliau tenang sambil memuji-muji sebuah novel remaja yang berjaya menggarap perihal busana Melayu dengan teliti dan memberikan beliau ilmu baru setelah membacanya.

Tuesday, February 26

Tanya Pada Bulan

Oh Bulan!
apa mungkin ku di planet lain
bulan-bulan mengambang, 24 jam...

Oh Bulan!
mana bintang?
tanpa bintang... serimu nanti hilang...

Tanya Pada Mata

Tanya pada mata
apa sebab lebam?
nanti jawab mata, kena tumbuk orang

Tanya pada mata
pandang pada siapa?
nanti jawab mata, cuma jeling manja... dacing, roket... bulan.

Tanya Pada Roket

Tanya pada roket
bila sayapmu mencecah Pluto
apa mungkin nanti... bumi dilupai?

Sunday, February 24

Tetapi yang anehnya dengan pendidikan kini...




Kita memiliki teknologi, tetapi hilang hubungan sosial dan akal budi

Kita berjaya membangunkan insan tinggi intelek, tetapi rendah nilai keinsanan

Kita berjaya membangunkan insan celik S& T, tetapi buta agama dan budaya

Kita berjaya membangunkan alam, tetapi mematikan insan

Kita berjaya memerdekakan negara, tetapi memiliki jiwa hamba

Kita kaya dengan harta, tetapi miskin akal budi

Kita berjaya mengurus dunia, tetapi daif dalam mengurus untuk ke akhirat


~Prof. Dr. Mohd Yusof Othman~


* Modal Insan Faktor Pembangunan Negara, Bengkel Kaunseling Kebangsaan, UKM



Thursday, February 21

Sayur Campur Perisa Sarsi

Memasak sememangnya suatu aktiviti yang menyeronokkan apabila kita mempunyai peralatan memasak yang lengkap dan bahan yang mencukupi. Sesekali pulang ke kampung, lain pula yang terjadi. Kordial sarsi Jalen disangka kicap manis. Botolnya serupa, labelnya sahaja yang berbeza. Sudahnya resepi baru terhasil - sayur campur perisa sarsi! Mahu tahu rasa dan aromanya? Hm... cubalah sendiri :).





Salah sendiri yang kurang prihatin. Mujurlah cuma sarsi dan bukannya bahan lain. Apapun, untuk mengelakkan kekeliruan, ada baiknya pengilang/pengeluar mewujudkan kelainan terutamanya dalam corak pembungkusan produk-produk berlainan. Adakalanya, kita akan mendapati botol racun dan botol minuman mempunyai rupa yang seakan-akan sama.



Kesilapan ini mengingatkan saya pada kes-kes keracunan akibat sediaan-sediaan bahan di rumah seperti bahan peluntur, sabun, minyak tanah dan alat kosmetik. Rumah yang dijadikan tempat untuk berlindung boleh bertukar sebaliknya jika kita tidak berhati-hati. Itupun, kita belum mengambil kira kes-kes kemalangan domestik dan keracunan makanan di rumah yang meragut sekitar 4000 nyawa kanak-kanak setahun.


Akhir kata, selamat menyediakan hidangan berkhasiat untuk seisi keluarga dan... berhati-hatilah semasa di dapur! :)

Prasangka


Bila kita jaga mata, katanya sombong belaka

bila kita senyum menyapa, katanya mahu menggoda

bila kita tenang selamba, katanya tiada berjiwa

bila kita tulus membantu, katanya udang di balik batu



Manusia...
sesekali tampak lucu...

persepsinya berbeza

prasangkanya entah apa-apa

umbinya mungkin hati yang perlu diubati

penuh inferioriti, takut bayang sendiri


Monday, February 18

Masakan Melayu Menggemukkan?

Kata orang, masakan Melayu menggemukkan, mengurangkan produktiviti otak dan meningkatkan risiko kehadiran 'si tiga beradik' (darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung).

Nasi lemak, roti canai, teh tarik, masak lemak cili api, lontong, pengat keledek, bubur caca, kari, kuih-muih tradisional dan pelbagai lagi. Kesemuanya adalah deretan menu harian yang diwarisi sejak zaman berzaman (hm.. teh tarik dan roti canai tidak dapat saya pastikan asal usulnya). Kesemuanya kaya dengan karbohidrat atau lemak yang berpotensi besar menambahkan bilangan tisu lemak dalam badan.

Musykilnya, kenapa nenek moyang kita yang mengambil makanan yang sama kekal kurus, aktif, cerdas dan sihat?

Ternyata, yang salah bukan masakan tapi gaya hidup kita. Kebanyakan kita terlalu sayang untuk membakar lemak di badan. Hari ini, kerja-kerja domestik hanya dilakukan dengan jari berbanding tulang empat kerat. Ini ditambah lagi dengan kerjaya yang turut menambahkan lagi kemanjaan sel-sel lemak dan kolesterol di dalam badan.

Apa yang dapat disimpulkan, masakan Melayu tidak menggemukkan bahkan menyihatkan jika kita juga aktif, seaktif nenek moyang kita itu. :)

Sunday, February 17

Teori Islam


Teori digunakan untuk memahami sesuatu perkara berasaskan kerangka pemikiran tertentu. Usai membicarakan teori-teori psikologi dalam pertumbuhan dan perkembangan manusia, seorang pelajar dewasa bertanya dengan jujur:

"Puan, teori Islam ada tak?".


Ya, pastinya ada. Pelbagai teori dan konsep telah diperkenalkan oleh sarjana Islam dalam memahami manusia. Bagaimanapun, kita seringkali terlepas pandang terhadap teori-teori tersebut dalam silibus pengajian.


Friday, February 15

Ababil Zaman




Cukup sudah tuan

kita mengusung pahlawan

bersama 'keranda terbang'
atas nama pengorbanan

rentung sebelum berjuang


Tiba sudah masanya

kita gempur kedajalan

cuma dengan satu butang

Biar pecah bersepaian
menara kesombongan

biar luluh berserakan

Merapi kedengkian
si angkuh Abrahah itu

dengan Ababil zaman

milik akal sendiri

Thursday, February 14

Miskin Sifar


Oleh: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)



SECARA amnya manusia lebih percaya kepada fakta dan data berbanding teori. Oleh itu, dipaparkan beberapa fakta yang sempat dicatat sejarah berkenaan dengan kemenangan Islam memerangi kemiskinan. Begitu juga kesejahteraan, keamanan dan ketenteraman yang berjaya diwujudkan pemerintah dan sistem pentadbiran negara yang adil. Kesejahteraan, keamanan serta ketenteraman diwujudkan itu pernah diperkatakan Rasulullah SAW.


Baginda SAW mengatakan, manusia akan memperoleh kenikmatan yang banyak, hasil tuaian berlimpah ruah, kehidupan bahagia, sejahtera dan aman jika mereka mentadbirnya dengan baik. Bahkan, mereka tidak akan mendapati seorang pun yang layak menerima zakat. Semua itu hanya akan terjadi jika pemerintah yang adil dan saksama mengamalkan pendekatan pentadbiran menyeluruh dan pengamalannya turun hingga ke peringkat akar umbi.


Imam al-Bukhari bin Hatim at-Thay-i, bahawasanya ketika Hatim berada bersama Nabi SAW, seorang lelaki datang mengadukan kesusahan hidupnya. Kemudian datang pula lelaki lain yang mengadukan kejadian rompakan yang berlaku ke atas dirinya.


Pada masa itu, niat Adiy berjumpa Rasulullah SAW ialah untuk memeluk agama Islam. Nabi SAW khuatir Adiy akan berubah niat selepas melihat kemiskinan kaum Muslimin serta tidak wujudnya keamanan dalam masyarakat mereka. Oleh itu, Rasulullah SAW memaparkan ramalannya sebagai dorongan dan galakan kepada Adiy. Baginda bersabda, "Wahai Adiy, pernahkah engkau melihat bandar Herat?" Jawab Adiy, "Belum pernah, wahai Rasulullah. Tetapi seseorang pernah memberitahu saya mengenai bandar itu." Rasulullah bersabda: "Jika panjang umurmu kelak nescaya engkau akan menyaksikan bagaimana seorang wanita boleh berpergian di atas seekor unta dari Herat hingga bertawaf di Makkah tanpa berasa takut kepada sesiapa pun kecuali Allah."


Adiy yang meriwayatkan hadis ini berkata, "Saya sendiri berkata dalam hati, ke manakah gerangan perginya para perompak Thay-i yang membakar seluruh negeri," Adiy seolah-olah berasa mustahil suasana tenang dan aman akan wujud sampai kepada tahap diberitakan Nabi SAW. Beliau sendiri mengetahui kejahatan perompak di negerinya yang tidak pernah berhenti mengacau kehidupan masyarakat dan menyalakan api fitnah di merata negeri.


Rasulullah SAW menyambung sabdanya kepada Adiy: "Jika umur engkau lebih panjang lagi, maka engkau boleh menyaksikan khazanah Raja Kisra dikuasai kaum Muslimin." "Raja Kisra bin Hormuz?" Tanya Adiy. Jawab Rasulullah SAW: "Ya, Raja Kisra bin Hormuz. Dan jika umurmu lebih panjang lagi, nescaya engkau akan menyaksikan satu masa iaitu seorang lelaki keluar dengan telapak tangan dipenuhi dengan emas atau perak untuk disedekahkan, tetapi tidak ada seorang pun yang mahu menerima sedekahnya itu."


Selepas itu, Adiy pun memeluk Islam dan menjadi seorang Muslim yang baik. Beliau menyaksikan sendiri ketepatan kata-kata Nabi SAW. Beliau berkata, "Saya sudah menyaksikan sendiri bagaimana seorang wanita boleh berpergian sendirian atas untanya dari Herat sehingga bertawaf di Kaabah. Tidak ada sesuatu pun yang ditakutinya melainkan Allah. Saya juga berada bersama pejuang yang menakluki kerajaan Parsi dan menguasai khazanah Raja Kisra bin Hormuz.


Sabda Rasulullah SAW kepada Adiy berkenaan seorang lelaki yang keluar dengan emas dan perak menunjukkan ia akan berlaku pada masa yang dekat dan masih dapat disaksikan sahabat yang berumur panjang. Perkara itu berlaku pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang adil.


Banyak hadis Nabi SAW menceritakan mengenai kekayaan yang akan dilimpahkan kepada umat sehingga tidak ada lagi orang yang layak menerima sedekah. Semua hadis itu adalah ucapan Rasulullah SAW yang maksum. Baginda SAW tidak bersabda mengikut kehendak peribadi atau hawa nafsu. Hadis itu memberi harapan kepada kita akan satu hari di mana kemiskinan berjaya dibanteras dan dihapuskan. Hal itu bertentangan dengan Taurat yang menyatakan kemiskinan adalah fenomena kekal abadi, dan orang miskin akan sentiasa wujud di atas muka bumi.


Imam al-Bukhari serta imam lain meriwayatkan daripada Harithah bin Wahab al-Khuza'i Harithah berkata, "Saya mendengar Rasulullah bersabda bermaksud: Bersedekahlah sebelum sampai kepada kami satu zaman iaitu seorang lelaki berjalan dengan membawa harta untuk disedekahkan, tetapi tidak seorang pun yang mahu menerimanya. Seseorang berkata kepadanya, "Seandainya kamu membawanya semalam tentu saya terima, tetapi sekarang saya tidak memerlukannya lagi."


Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud: Kiamat tidak akan terjadi sebelum kamu semua memperolehi harta yang melimpah ruah. Hal ini menimbulkan kerunsingan di kalangan pemilik harta kerana tidak ada orang yang mahu menerima sedekah. Bila mereka menawarkan harta tersebut kepada seseorang, maka orang itu akan berkata, "Saya tidak memerlukannya." (Hadis riwayat Imam al-Bukhri daripada Abu Hurairah)


Kitab ad-Dalail Al-Bayhaqi meriwayatkan daripada Umar bin Usaid (Ibnu Abdul Rahman bin Zaid bin al-Khattab) berkata, "Umar bin Abdul Aziz memegang tampuk khalifah selama 30 bulan. Demi Allah sebelum beliau meninggal dunia, beliau memberikan kekayaan yang sangat banyak kepada kami. Beliau pernah berkata kepada pegawainya, "Bahagikanlah harta ini kepada sesiapa saja orang miskin yang kamu jumpai." Akan tetapi pegawai itu tidak berjaya menemui satu orang miskin pun dan terpaksa kembali dengan membawa harta itu. Umar bin Abdul Aziz sudah menjadikan rakyatnya kaya-raya."


Yahya bin Sa'ad berkata, "Umar bin Abdul Aziz pernah mengutuskan saya untuk mengutip zakat di benua Afrika. Selepas hasil zakat berjaya saya kumpulkan saya pun mencari orang miskin untuk saya bahagikan hasil zakat itu kepada mereka. Namun, saya tidak menjumpai seorang miskin pun dan tidak ada seorang pun yang mahu mengambil hasil zakat itu. Umar bin Abdul Aziz sudah menjadikan seluruh manusia kaya raya. Akhirnya saya terpaksa membelanjakan hasil zakat itu dengan membeli beberapa hamba sahaya untuk saya memerdekakan."


Kekayaan dan kesejahteraan penduduk tidak hanya wujud di benua Afrika seperti diceritakan Yahya bin Sa'ad. Sebaliknya sejarah mencatatkan kemakmuran dan kesejahteraan wujud di merata pelusuk kawasan yang bernaung di bawah khalifah Islamiah pada masa itu.


Abu Ubaid meriwayatkan, Umar bin Abdul Aziz pernah menulis warkah kepada Gabenor Iraq, Abdul Hamid bin Abdur Rahman. Isi warkah itu ialah satu perintah supaya Abdul Hamid membahagikan agihan (gaji atau peruntukan khas) kepada orang ramai. Warkah itu dijawab oleh Abdul Hamid dengan jawapan: " Saya sudah memberikan seluruh agihan kepada orang ramai, tetapi masih tersisa lagi sejumlah harta di Baitulmal. Umar bin Abdul Aziz menghantar satu warkah lain mengatakan: "Carilah orang yang dibebani hutang, tetapi dia berhutang bukan untuk tujuan berfoya-foya. Tunaikanlah hutangnya."


Warkah itu dijawab kembali Abdul Hamid, "Saya sudah menunaikan hutang mereka, tetapi masih lagi tersisa sejumlah harta di Baitulmal." "Jika begitu, carilah orang bujang yang ingin menikah. Nikahkanlah mereka dan bayarlah maharnya," perintah Umar bin Abdul Aziz. Tidak lama kemudian datang jawapan daripada Abdul Hamid, "Saya sudah menikahkan seluruh orang bujang yang saya jumpa, tetapi masih tersisa lagi sejumlah harta di Baitulmal." "Jika demikian, carilah orang yang terkena kewajipan cukai. Tambahkanlah tanah mereka dan berikan kepada mereka modal yang boleh mengembangkan usaha pertanian mereka. Kita tidak akan memintanya kembali selepas setahun atau dua tahun."


Apabila hajat dan keperluan orang ramai sudah dipenuhi, barulah Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengarahkan gabenornya untuk melaburkan harta itu untuk tujuan pengembangan dan menambah hasil pengeluaran negara. Pelaburan dijalankan dengan cara membantu petani kecil yang hanya memiliki sebidang tanah. Mereka diberi pinjaman yang boleh mempertingkatkan usaha mereka. Semua perkara ini berlaku ratusan tahun sebelum dunia mengenal 'Bank Pinjaman Pertanian'. Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz menerangkan kepada petani bahawa kehebatan hasil pertanian bukan hanya membawa keuntungan kepada petani saja, tetapi juga menambah kekuatan negara. Di samping itu, setiap negara berhak mengutip cukai daripada kalangan berada, tetapi negara juga tidak boleh melupakan kewajipannya membantu kalangan itu mengembangkan usaha mereka supaya mampu menunaikan segala kewajipannya secara teratur.


Sumber: Berita Harian, 13 Febuari 2008

Tuesday, February 12

SEBUMI 2008


Zahir Tak Terucap

Adakalanya kita sibuk menyalahkan orang lain kerana hakikatnya kita sukar untuk mengakui kelemahan diri sendiri.

Tuesday, February 5

Di Mana Sharlinie?




Di mana Sharlinie? Saat artikel ini ditulis, kehilangan Sharlinie (5 tahun) sejak tiga minggu lalu masih lagi mengundang misteri. Adik Sharlinie Mohd Nashar, hilang ketika pulang dari taman permainan bersama kakaknya. Sharlinie hilang hanya 24 jam selepas Nur Fatiha Zaidi, 6, diculik seorang lelaki ketika sedang bermain sendirian pada pukul 5 petang di pekarangan flat Desa Sepakat Sri Manja, Kampung Medan, kira-kira dua kilometer dari lokasi Sharlinie diculik. Bagaimanapun, Nur Fatiha ditinggalkan penjenayah berkenaan di Wangsa Maju di sini kira-kira tiga jam kemudian (Berita Harian, 11 Januari 2008).


Belumpun reda trauma bahana penemuan Nurin Jazlin (8 tahun) dalam keadaan yang mengerikan pada September 2007, kes Adik Fatiha dan Sharlinie menambahkan lagi kebimbangan yang ada. Pastinya saat ini ramai yang menjangkakan yang pisang bakal berbuah buat kali yang kedua. Apapun, selagi Adik Sharlinie belum ditemui, masih ada harapan untuk mendengar berita bernada positif dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Ada yang berpendapat, kes-kes sebegini sepatutnya tidak didedahkan kerana dikhuatiri akan berlaku peniruan. Pendedahan ini seolah memberi idea dan model untuk dicontohi oleh penjenayah dan bakal penjenayah. Sememangnya pendapat ini boleh diterima pakai kerana manusia cenderung meniru tingkahlaku orang lain. Bagaimanapun, hukuman yang benar-benar setimpal kepada pesalah akan mencegah individu lain daripada melakukan kesalahan yang sama. Lalu, wujud satu lagi persoalan, bagaimana untuk memastikan pesalah berkenaan menerima hukuman yang setimpal dan adakah peruntukan undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menakutkan penjenayah dan bakal penjenayah tersebut?


Ternyata, dunia bukan tempat yang selamat untuk kanak-kanak perempuan. Jika suatu ketika dulu, masyarakat Arab menanam kanak-kanak perempuan hidup-hidup kerana dikhuatiri akan mencemarkan maruah keluarga, hari ini kanak-kanak perempuan yang ditatang bagai minyak yang penuh diculik dari keluarganya untuk dicemari, diperlakukan sewenang-wenangnya dan akhirnya dibunuh dengan kejam dan sadis.



Meskipun tragedi ini sememangnya menyedihkan, kita seharusnya berterima kasih kepada adik Nurin dan Sharlinie yang menyedarkan masyarakat terhadap isu keselamatan kanak-kanak terutamanya kanak-kanak perempuan. Kes Sharlinie bukan kes ketiga di Malaysia. Sejak Januari 2004, sejumlah 6270 kanak-kanak dilaporkan hilang. Daripada jumlah itu, 2,033 masih belum ditemui (Utusan Malaysia, 22 September).


Ya, begitulah adatnya. Kita jarang bertindak secara proaktif. Hanya setelah tragedi berlaku, barulah kita bertindak dan saat itu, nasi mungkin sudah bertukar menjadi bubur dan tulang-temulang sang kancil mungkin sudah lama dihazam di dalam perut sang buaya.

Sunday, February 3

Perhiasan yang Menjadi Kebanggaan


Sewaktu kecil, anak-anak lelaki menjadi perhiasan mata kerana lucunya,

dia menjadi tumpuan harapan.

Maka setelah dia besar, dia menjadi kebanggan kerana kejayaan hidupnya.



~Prof. Dr. Hamka~

Saturday, February 2

Muharam & Tazkiratul Maut

Muharam

Bulan ini bulan mulia. Tanggal 1 Muharam, para Muhajirin yang tebal imannya berhijrah merentas padang pasir sejauh 320 km dari Kota Mekah ke bumi Madinatul Munawarah. Pelan tindakan strategik yang cukup terancang ini menjadi titik permulaan kepesatan pembangunan peradaban murni di seluruh dunia bersesuaian dengan fitrah Islam sebagai rahmat sarwa jagat (rahmatal lil a'lamin). Detik inilah yang menjadi asas permulaan takwim hijrah pada tahun 622 Masihi. Detik ini jualah yang turut melakar sejarah sebagai salah satu daripada hubungan diplomatik bertunjangkan iman yang paling berjaya di dunia.


Penasihat Bisu

Setiap kita mempunyai dua penasihat tetap. Satu memberi nasihat dengan kalam. Satu lagi menasihat tanpa suara. Penasihat pertama adalah al-Quran dan penasihat kedua adalah detik kematian.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Bulan Muharam yang mulia ini, penasihat kedua memainkan peranannya dengan baik. Rentetan kematian demi kematian meninggalkan iktibar dan keinsafan kepada individu yang bersedia untuk mengambil peringatan. Selembar al-Fatehah buat mereka telah kembali ke rahmatullah. Antaranya:



  • Datuk Megat Junid Megat Ayub, Bekas Menteri Dalam Negeri
  • Prof. Madya Dr. Aminudin Mohd Yusof, Pakar Psikologi UKM
  • Datuk Ishak Baharom, Bekas Mufti Negeri Selangor
  • Lolo' atau Rosli Khamis, Penggiat seni tanah air kelahiran Singapura
  • Bapak Suharto, Bekas Presiden Indonesia


Meskipun berbeza agama, keturunan dan geografi, kematian tetap memberikan impak yang mendalam terutamanya bagi yang mengenali individu ini secara dekat.

  • S.Krisnasamy, ADUN Tenggaroh
  • Heath Ledger, Pelakon Hollywood kelahiran Australia
  • Gordon B. Hinckley, Presiden dan ketua agama Kristian Mormon
  • Sir Edmund Hillary, Pendaki pertama puncak Gunung Everest


Apapun, setiap yang bernafas pasti merasai mati. Persoalannya, bersediakan kita untuk mati atau menghadapi kematian insan yang disayangi atau mempunyai hubungan signifikan dalam hidup kita pada bila-bila masa sahaja?