Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Tuesday, February 5

Di Mana Sharlinie?




Di mana Sharlinie? Saat artikel ini ditulis, kehilangan Sharlinie (5 tahun) sejak tiga minggu lalu masih lagi mengundang misteri. Adik Sharlinie Mohd Nashar, hilang ketika pulang dari taman permainan bersama kakaknya. Sharlinie hilang hanya 24 jam selepas Nur Fatiha Zaidi, 6, diculik seorang lelaki ketika sedang bermain sendirian pada pukul 5 petang di pekarangan flat Desa Sepakat Sri Manja, Kampung Medan, kira-kira dua kilometer dari lokasi Sharlinie diculik. Bagaimanapun, Nur Fatiha ditinggalkan penjenayah berkenaan di Wangsa Maju di sini kira-kira tiga jam kemudian (Berita Harian, 11 Januari 2008).


Belumpun reda trauma bahana penemuan Nurin Jazlin (8 tahun) dalam keadaan yang mengerikan pada September 2007, kes Adik Fatiha dan Sharlinie menambahkan lagi kebimbangan yang ada. Pastinya saat ini ramai yang menjangkakan yang pisang bakal berbuah buat kali yang kedua. Apapun, selagi Adik Sharlinie belum ditemui, masih ada harapan untuk mendengar berita bernada positif dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Ada yang berpendapat, kes-kes sebegini sepatutnya tidak didedahkan kerana dikhuatiri akan berlaku peniruan. Pendedahan ini seolah memberi idea dan model untuk dicontohi oleh penjenayah dan bakal penjenayah. Sememangnya pendapat ini boleh diterima pakai kerana manusia cenderung meniru tingkahlaku orang lain. Bagaimanapun, hukuman yang benar-benar setimpal kepada pesalah akan mencegah individu lain daripada melakukan kesalahan yang sama. Lalu, wujud satu lagi persoalan, bagaimana untuk memastikan pesalah berkenaan menerima hukuman yang setimpal dan adakah peruntukan undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menakutkan penjenayah dan bakal penjenayah tersebut?


Ternyata, dunia bukan tempat yang selamat untuk kanak-kanak perempuan. Jika suatu ketika dulu, masyarakat Arab menanam kanak-kanak perempuan hidup-hidup kerana dikhuatiri akan mencemarkan maruah keluarga, hari ini kanak-kanak perempuan yang ditatang bagai minyak yang penuh diculik dari keluarganya untuk dicemari, diperlakukan sewenang-wenangnya dan akhirnya dibunuh dengan kejam dan sadis.



Meskipun tragedi ini sememangnya menyedihkan, kita seharusnya berterima kasih kepada adik Nurin dan Sharlinie yang menyedarkan masyarakat terhadap isu keselamatan kanak-kanak terutamanya kanak-kanak perempuan. Kes Sharlinie bukan kes ketiga di Malaysia. Sejak Januari 2004, sejumlah 6270 kanak-kanak dilaporkan hilang. Daripada jumlah itu, 2,033 masih belum ditemui (Utusan Malaysia, 22 September).


Ya, begitulah adatnya. Kita jarang bertindak secara proaktif. Hanya setelah tragedi berlaku, barulah kita bertindak dan saat itu, nasi mungkin sudah bertukar menjadi bubur dan tulang-temulang sang kancil mungkin sudah lama dihazam di dalam perut sang buaya.

No comments: