Bayu laut bertiup kencang. Sekawan camar putih terbang di birai awan biru. Ceri termenung merenung ombak yang bergulung datang dan pergi. Feri Seri Mahawangsa terus meluncur tenang membelah Laut Merah.
”Ceri, awak buah yang sempurna- cantik, bijak, versatile, ceria, menenangkan, beragama, berasal dari keluarga yang baik-baik dan berada. Untungnya siapa dapat awak. Saya nak cari buah yang macam awak ”.
Mesej Langsat yang tiba-tiba terpapar di skrin mikro komputer hijau berjalur putih susu membuat Ceri tertawa kecil. Halus dan menyenangkan. Ungkapan yang seakan sama sudah acapkali singgah ke telinganya. Bagi Ceri, itu semua cuma persepsi dan dia tidak pernah memandangnya serius.
”Terima kasih, aaamiiin! Awak terlalu memuji Lang. Andai benar sekalipun, bila masanya tiba, semuanya kan hilang sekelip mata bagai dilanda Tsunami”.
Langsat terdiam di hujung talian. Krismas 2004 menjadi saksi nestapa. Jutaan tumbuhan musnah sekelip mata. Hatinya tersayat pilu. Betapa lemah tumbuhan di sisi Esa. Baru ’dijentik manja’ terus rebah dan huru-hara. Bagaimana nanti saat ombak setinggi pohon kelapa menerjah seluruh benua dan bagaimana pula nantinya saat kiamat menjelma? Aduhai, betapa dahsyatnya.
Ceri bergerak tenang ke hujung kapal. Matanya leka seketika memerhati renangan gemalai seekor pari di laut luas. Sejak kematian teman sekolej dalam sujud tanpa sebarang petanda dan penyakit, saat kematian dirasakan seakan terlalu dekat dan ’akrab’. Apalah sangat virus sangkuriang dan bintik-bintik putih yang bertamu dua hari sebelum menjelang lebaran berbanding berita pemergian Cempedak buat selamanya.
”Lang... sejak Ramadan, saya kehilangan lima buah yang signifikan. Bermula dengan sepupu ibu. Matinya dalam tidur sementara menunggu masa berbuka puasa di teratak anakandanya di Sungai Resik. 2 Syawal, pakcik dan makcik saya kemalangan bertembung dengan lori di Kluang. Pakcik saya koma, makcik saya meninggal dunia tertelan terlalu banyak darah sendiri. Seminggu kemudian, saya terima berita pemergian teman sekelas di hospital Johor Bharu. Rupanya sejak enam bulan yang lalu dia menderita barah paru-paru. Cempedak namanya. Cem jauh lebih sempurna dari saya, Lang – cantik, baik, bijak dan berbakat. Dia Pegawai Tadbir Diplomatik yang juga pemegang Ijazah Kelas Pertama Sarjana Muda Kejuruteraan Earoangkasa. Dua hari yang lepas, datuk saya pula dijemput Allah dan jasadnya kini bermukim di Tongkang Pecah. Ubat yang dimakan dalam keadaan perut kosong menjadi asbab kematiannya. Lang.. terkadang saya merasakan, masanya sudah terlalu hampir untuk saya pulang... ”.
Kehidupan dunia ini dirasakan terlalu singkat. Tiada apa yang hendak direbutkan kecuali kasih-sayang dan redhanya Tuhan. Masa yang ada terlalu berharga dan Ceri mahu memanfaatkannya sebaik mungkin. Dalam munajatnya, dia selalu berdoa agar Tuhan memberinya kekuatan untuk menjadi sebaik-baik tumbuhan – yang paling bertaqwa, berakhlak mulia dan paling berguna.
”Eh! Jangan mati dulu. Rugi tak kahwin dulu..!”.
Balasan mesej dari Langsat membuat pipinya bersinar merah keemasan menahan tawa. Deretan warkah cinta yang tersusun kemas di dalam laci almari putih seakan berterbangan menagih perhatiannya. Mungkinkah ini jua sebahagian dari 'amanah' yang perlu dilunaskan sebelum kembara alam baqanya bermula? Adi, si kunang-kunang kesayangan yang sedari tadi mengintai dari dalam poket beg sandang hijau, tersenyum comel penuh makna.
No comments:
Post a Comment