Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Friday, October 17

Eksperimen 'Pilih Bulu'




Percaya atau tidak, manusia selalu pilih kasih dan pilih bulu (hipotesis)?

Sesekali, apakata kita bereksperimen dengan individu yang tidak mengenali kita. Jika kita biasa berpakaian kemas dan elegen, sesekali tidak salah utuk tampil ’miskin’, ranggi dan sempoi selagi bersih dan menutup aurat. Jika anda wanita bekerjaya yang biasa memakai suit yang dipadankan dengan tas tangan yang mahal serta kasut hitam berkilat ke pejabat, sesekali apakata anda berpakaian seperti makcik di kampung dengan baju kurung ringkas dan sandal atau sedikit ranggi dengan jeans longgar yang dipadankan dengan baju denim panjang paras lutut serta beg sandang.

Jika anda selalu tampil dengan kot mewah, kemeja lengan panjang yang bergosok rapi, tali leher dan beg berjenama, sesekali apakata tampil dengan jubah putih dan serban di kepala atau bergaya segak ’ala lelaki Melayu terakhir’ dengan berbaju Melayu, bersongkok hitam, bersamping songket dan bercapal. Anda juga boleh memilih untuk tampil sempoi dengan t-shirt leher bulat yang dipadankan dengan jeans atau kain pelikat. Jika ingin tampil sedikit ’nakal’, pakai ’cap’ terbalik, bercermin mata merah jambu atau oren dan berselipar jepun.

Kalau anda biasa membawa Mercedes Benz, BMW, Harrier atau Perdana, apakata sesekali anda menggunakan Perodua Kancil, menunggang motor ’kapcai’ atau berbasikal ke mana-mana.

Sebaliknya, jika anda biasa tampil ringkas dan ’miskin’, apakata sesekali tampil dengan gaya eksekutif, anggun dan bergaya.

Jika anda biasa tampil yakin, petah dan berwibawa, apakata sesekali anda belajar menjadi pendiam, pemalu dan bercakap dengan tergagap-gagap atau sengau. Jika anda biasa tersenyum dan ramah menyapa sesiapa saja, apakata sesekali anda belajar menjadi pemerhati dan berwajah serius. Sebaliknya, jika anda selalu tampil serius dan ’tidak berperasaan’, apakata anda belajar untuk sentiasa tersenyum serta tampil lincah dan aktif.

Anda boleh membuat eksperimen ini di mana saja, ketika membeli buah-buahan di tepi jalan, di pasar malam, di pusat membeli-belah, di hotel mewah, di butik ternama, di majlis tidak formal, di jabatan kerajaan dan swasta, di tepi pantai, di kampung, di tanah rancangan atau di tengah kesibukan kota metropolitan.

Untuk menjadikan eksperimen ini lebih menarik, pergi ke tempat yang sama dan berjumpa dengan beberapa individu yang sama beberapa kali dengan sela masa yang panjang seperti dalam tempoh dua minggu, dua bulan atau setahun dengan penampilan yang berbeza. Perhatikan bagaimana mereka melayan anda apabila berurusan dengan mereka. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan? Individu yang ’genuine’ akan melayan anda dengan cara yang sama walau bagaimanapun penampilan anda. Namun, individu sebegini lazimnya hanya satu dalam seribu. Selebihnya, 999 yang lain – cenderung untuk ’memilih bulu’. Oh ya, jangan lupa untuk mendokumentasikan hasil eksperimen anda itu :) .


1 comment:

irdina khan said...

ceri si merah saga, akan ku cuba saranan mu... hehehe..