Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Sunday, October 26

Budaya Ilmu



Islam agama intelek dan amat mementingkan ilmu. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah di Gua Hira' adalah Iqra' yang bermaksud 'bacalah!". Membaca dalam konteks ini bukan sekadar membaca begitu sahaja, tetapi juga berusaha untuk memahami, berfikir dan mengkaji sesuatu dengan nama Allah. Persoalannya, mengapa ayat ini merupakan ayat pertama yang diturunkan? Mengapa bukan suruhan untuk mengabdikan diri kepada Tuhan atau menunaikan ibadah solat dan haji?

Jelas disini, Islam amat menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Bahkan menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap umat Islam. Justeru, tidak hairanlah, kurun ketujuh Masihi menyaksikan berlakunya revolusi tasawur (kerangka pemikiran) dari kepercayaan karut, animisme dan budaya jahiliah kepada risalah taqwa & pembaikan akhlak secara secara berhemah dan tersusun. Budaya ilmu hidup subur di Kota Mekah dan Madinah. Mereka yang berkunjung ke Masjid Nabawi pastinya akan terkenang nostalgia indah akan pesta keilmuan di antara Nabi dan para sahabatnya di taman raudhah. Pada kurun berikutnya, tamadun Islam berkembang dengan pantas merentas sempadan kota dan benua. Umat Islam terkehadapan dalam semua aspek. Ketika bangsa Eropah masih teraba-raba dalam kegelapan, teori dan penemuan baru umat Islam dalam pelbagai disiplin ilmu adalah realiti yang berlaku pada masa silam.

Ilmu tidak sewajarnya dilihat dalam perspektif yang sempit dan terpisah-pisah sebagaimana hari ini. Sarjana Islam terdahulu bukan sahaja menguasai al-Quran dan sunnah, bahkan mereka turut menguasai ilmu sains, perubatan, teknologi, falsafah, perundangan, sastera dan pelbagai lagi. Dalam ertikata lain, sarjana Islam pada waktu tersebut bersifat multi-disiplin. Penguasaan dalam pelbagai bidang ilmu membolehkan sarjana Islam melihat masalah daripada pelbagai perspektif dan menyelesaikan masalah secara lebih kritis dan kreatif. Petunjuk wahyu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memahami ilmu dan meneroka penemuan-penemuan baru yang mengujakan. Sarjana Islam juga terbuka kepada tamadun Yunani dan tamadun asing lainnya. Falsafah Greek diterjemahkan dan dikaji secara mendalam sebelum ianya disaring dengan petunjuk wahyu. Pada zaman empayar Othmaniah, Andalusia, Seville dan lainnya menjadi pusat tumpuan utama para pencinta ilmu dari seluruh pelusuk dunia. Dalam tempoh 700 tahun, tamadun Islam menerajui dunia sehinggalah empayar Othmaniah tumbang pada kurun ke 14 Masihi.

Kini bukan masanya untuk bernostalgia. Sumpahan 'kegersangan ilmu dan akal budi' sudah berakhir. Setelah melalui 700 tahun melalui zaman gelap, sudah sampai masanya umat Islam melaksanakan peranannya semula. Tamadun materialistik dan hedonistik yang disuakan Barat ternyata terlalu rapuh dan kini telah memakan diri. Kejatuhan ekonomi secara drastik di Amerika Syarikat dan United Kingdom serta keruntuhan sistem kekeluargaan dan nilai yang membarah menandakan era 'keangkuhan' Barat sebagai kuasa besar dan 'lanun moden' kian berada di penghujungnya. Dan... dengan kekuatan petunjuk wahyu yang bersifat mutlak serta kekuatan akal yang dicerna dengan ilmu, umat Islam perlu melaksanakan tanggungjawabnya kepada orde baru dunia yang bersifat holistik. Ini bersesuaian dengan tujuan risalah Islam itu sendiri - membawa khabar gembira dan kesejahteraan sejagat.






No comments: