Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Monday, September 22

Perihal Makan


Fakulti pertama dan tertua bagi manusia adalah hawa nafsu (quwwah al-shahwah) terhadap makanan. Apabila bayi dilahirkan, lazimnya secara spontan ia akan terus menyusu sehingga kenyang daripada ibunya. Menurut Imam al-Ghazali, oleh kerana ini adalah hawa nafsu tertua manusia, ianya adalah perkara yang paling sukar dan terpenting untuk diasuh. Justeru, berasaskan premis tujuan pengasuhan dan pendidikan anak adalah untuk membentuk akhlak mulia, disiplin atau etika makan perlu dilatih terlebih dahulu untuk membolehkan manusia menguasai tingkatan hawa nafsu yang semakin berkembang sepanjang hayatnya. Kegagalan untuk menguasai hawa nafsu pada tahap ini (makan) boleh mengakibatkan manusia gagal untuk menguasai hawa nafsu berikutnya. Oleh itu, bukanlah suatu yang menghairankan apabila kita diajar tentang adab-adab sebelum, semasa dan sesudah menjamah makanan.


Terdapat pelbagai adab makan. Antaranya memulakan dengan menyebut nama Allah, makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang, menggunakan tangan kanan, mengambil makanan yang paling dekat terlebih dahulu, tidak berebut-rebut, mengunyah makanan dengan baik, tidak gelojoh dan tidak comot. Ketika menghadap makanan, walau bagaimana lapar sekalipun, kita juga diasuh supaya ingat 'orang di belakang' (orang yang masih belum makan). Ini bermakna, dalam memenuhi tuntutan fizikal, individu dilatih untuk membentuk rasa bersyukur, berdisiplin dan tidak mementingkan diri sendiri. Persoalannya, sejauhmanakah hal ini dipraktikkan sebagai satu elemen pembentukan akhlak mulia terutama di kalangan kanak-kanak? Sebagai contoh, kegemukan (obesiti) di kalangan kanak-kanak adalah satu fenomena biasa di negara membangun dan negara maju sehinggakan ada yang menghidap penyakit darah tinggi yang biasanya dikaitkan dengan warga tua pada usia yang masih kecil.

k
Rujukan:
k
Asmaa' Mohd Arshad, (2003). A comparative analysis of al-Ghazali and Miskawaih on child education, Islamic Culture, Volume LXXVII (1-29).


No comments: