Semua catatan yang tidak dinyatakan sumber/rujukannya adalah pandangan pribadi dan cetusan pengendali blog ini. Pembaca dibenarkan membuat salinan (copy paste), mencetak atau menyebarkannya di laman maya dengan memberikan kredit kepada blog ini: ©http://7kilas.blogspot.com. Sebarang percetakan bagi tujuan kormesial pula perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pengendali blog.


Thursday, September 25

Diari Buku: Mahathir Mohamad




Tajuk Buku

Mahathir Mohamad: an Illustrated Biography

Penulis/Ilustrator

E.Yu (Yu Chuan Choon)

Penerbit

MPH Group Publishing Sdn Bhd

Harga

RM 15.00 (MPH Alamanda, Putrajaya)

Kekuatan

Kulit buku yang menarik, kandungan yang ringkas, padat serta
mudah difahami, disokong dengan ilustrasi dan sesuai untuk semua golongan masyarakat yang memahami Bahasa Inggeris.

Cadangan Penambahbaikan
Disokong dengan edisi Bahasa Melayu dan kesemua karikatur perlu lebih menyerupai wajah sebenar Dr. Mahathir (terutama zaman kanak-kanak dan remaja), turut dimuatkan dengan foto-foto sebenar dan pandangan orang lain terhadap tokoh.



Tun Dr. Mahathir Mohamad. Secara peribadi, saya melihat beliau adalah seorang tokoh yang genius, serba boleh, penuh kontroversi dan memiliki motivasi pencapaian yang tinggi. Gaya pengucapan beliau bersahaja, mudah difahami semua lapisan masyarakat namun bernas dan efektif. Menyorot biografi beliau dalam bentuk ilustrasi oleh E.Yu sememangnya menarik dan mengujakan. Daya tarikan utama buku ini adalah pada tokoh yang dipilih iaitu Tun Mahathir dan biografi perjalanan hidup beliau yang sarat dengan pengajaran.

Dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Alor Star Kedah, beliau merupakan anak bungsu daripada sembilan beradik yang cerdik, rajin, aktif, berbakat dan kuat berusaha sedari kecil. Pada zaman kanak-kanaknya, beliau sangat rapat dengan ibunya (Cik Wan Tempawan Cik Wan Hanapi, surirumah sepenuh masa), dimanjakan oleh seluruh ahli keluarganya dan dididik dengan tegas oleh bapanya (Mohamad Iskandar, guru besar sekolah Inggeris pertama di negeri Kedah). Faktor-faktor ini kemudiannya banyak membentuk keperibadian beliau apabila dewasa. Di samping itu, beliau juga bertuah kerana memiliki keluarga (keluarga luas dan keluarga nukleus) yang memahami dan sentiasa menyokong perjuangannya.


Beliau memulakan pendidikan rasmi di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum melanjutkan pengajian ke Kolej Sultan Abdul Hamid dan kemudiannya di Universiti Malaya (Singapura) dalam bidang perubatan. Sifat keushawanan beliau terserlah pada zaman remaja apabila beliau berhenti belajar untuk sementara waktu pada zaman pendudukan Jepun. Beliau mula menjual kopi dan kuih di Pekan Rabu, membina kedai kopinya sendiri sebelum menjualnya untuk memulakan perniagaan menjual buah-buahan. Pada waktu itulah beliau mula menyedari perbezaan taraf hidup masyarakat Melayu yang jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Selepas menamatkan pengajian di sekolah menengah, beliau mula menceburkan diri dalam politik dengan menyertai kempen menentang Malayan Union dan menulis artikel politik dengan nama samaran C.H.E. Det. Lebih membanggakan, dengan hasil penulisannya beliau mampu memiliki motorsikal sendiri. Kerjaya perubatannya bermula pada tahun 1953 di Hospital Besar Pulau Pinang, Alor Star, Perlis dan Langkawi. Beliau mengambil langkah berani meletakkan jawatan dan membuka kliniknya sendiri serta berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada masyarakat sambil melibatkan diri dalam perniagaan berkaitan pengangkutan, perlombongan dan perumahan sebelum menceburi dunia politik dengan serius dan menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat.


Terdapat banyak perkara menarik yang dapat dipelajari daripada beliau melalui buku ini. Antaranya adalah keberanian beliau melakukan sesuatu yang difikirkannya betul, teknik penyelesaian masalah, pengurusan masa dan daya kepimpinannya yang dinamis.

Beliau bijak mengurus masa. Solat Subuh, senaman ringan, mandi, menulis, membaca, bersarapan dan menulis/membaca semula adalah rutin hariannya sebelum ke pejabat. Beliau juga akan membaca sebelum memulakan tugas rasmi (akhbar) dan sebelum tidur. Dengan pengurusan masa yang baik, dalam kesibukannya bekerja, beliau masih sempat melakukan hobinya serta melepaskan ketegangan dengan menyanyi, bertukang, menulis buku, memasak, berkebun, menunggang kuda dan membuat kerja-kerja hiasan dalaman.

Tun Mahathir seorang yang pemalu dan merendah diri namun dalam masa yang sama seorang yang berterus-terang dan tegas. Beliau juga seorang pendengar yang baik dan hanya akan memberikan pendapatnya setelah mendengar semua permasalahan atau aduan dengan teliti. Kritikan beliau mudah diterima pada zaman Tun Razak kerana apabila mengkritik, beliau turut mengemukakan cadangan penambahbaikan. Pemikiran dan daya ingatan yang tajam membolehkannya membuat keputusan dengan cepat, berpandangan jauh, tidak mudah dipengaruhi dan berupaya menyelesaikan krisis dengan tenang. Dalam menyelesaikan masalah, beliau mengadaptasikan kaedah perubatan: membuat pemerhatian, mengenalpasti sejarah penyakit dan klien, melakukan pemeriksaan fizikal, melakukan pemeriksaan khas untuk mengenalpasti penyakit dan membuat keputusan seperti menentukan diagnosis dan rawatan yang diperlukan.

Buku ini adalah permulaan yang baik untuk mendekati kehidupan seorang tokoh yang prolifik. Bagaimanapun, satu bentuk penulisan yang jauh lebih terperinci dan mendalam tentang kehidupan beliau, gaya hidup, pandangan dan pemikiran, strategi-strategi yang digunakan oleh beliau serta kontroversi yang dilalui oleh beliau perlu didokumentasikan dan dikupas secara ilmiah sebagai rujukan pembelajaran dan khazanah keilmuan yang yang mencakupi pelbagai bidang ilmu. Ini penting kerana negara memerlukan saf kepimpinan yang genius, berpengetahuan luas, strategis, serba boleh, berperibadi mulia, bertaqwa dan dalam masa yang sama memiliki kualiti kepimpinan seperti beliau untuk menjadi sebuah negara maju yang disegani dan seimbang pada tahun 2020 atau lebih awal dari itu.

1 comment:

Unknown said...

Satu ringkasan mengenai Tun yang amat menarik.

Saya pun berharap satu buku yang lebih terperinci mengenai Tun akan dihasilkan kelak. Seboleh nya ia mencatatkan masa Tun menjadi Perdana Menteri sehingga ke hari Tun bersara, pemikiran Tun dan dasar dasar yang diperkenalkankan oleh Tun.